HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Pandangan Ular Boleh
Menyebabkan Seorang Ibu Keguguran.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
اُقْتُلُوْا الْحَيَّاتِ وَاقْتُلُوْا ذَا الطُّفْيَتَيْنِ وَاْلأَبْتَرَ
فَإِنَّهُمَا يَطْمِسَانِ الْبَصَرَ وَيَسْتَسْقِطَانِ الْحَبَلَ.
Bunuhlah ular dan
bunuhlah
“Za al-Thufayatain”
(ular yang memiliki dua garis putih di belakangnya) dan “al-Abtar” (ular
yang pendek ekornya) kerana keduanya boleh merosakkan pandangan dan menyebabkan
keguguran (kepada ibu mengandung yang memandangnya).[1]
Kemusykilan:
Bagaimanakah ular
boleh merosakkan pandangan kita dan boleh menyebabkan ibu keguguran kandungannya?
Pernah saya lihat seorang ibu yang mengandung melihat ular yang berada di dalam
kurungan tetapi tidak ada apa-apa kemudaratan yang menimpanya seperti yang
didakwa oleh hadis di atas.
Penjelasan:
Ada dua penjelasan
tentang hadis di atas:
Pertama:
Apa yang dikhuatiri
oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ialah al-‘Ain yang mungkin menimpa seseorang kerana
memandang mata ular. Tidak dinafikan bahawa makhluk jin dan syaitan boleh
menjelma dalam bentuk ular dan mereka mampu mengakibatkan al-‘Ain kepada
orang yang memandangnya.
Kedua:
Apabila seseorang
itu saling berpandangan dengan seekor ular, bererti jarak antara dia dan ular
tersebut adalah dekat. Jarak ini membolehkan ular itu menyambar dengan tiba-tiba
sehingga jika yang disambar adalah mata seseorang, ia akan menyebabkan kerosakan
matanya. Jika ia menyambar seorang ibu yang sedang mengandung, ia boleh
menyebabkan keguguran kerana terkejut dan ketakutan yang amat sangat. Jika ular
itu adalah dari spesis yang berbisa, maka sudah tentu ia akan mengakibatkan
kemudaratan yang lebih besar.
Ada juga beberapa
spesis ular tertentu yang boleh “meludahkan” bisanya tanpa perlu menggigit
mangsanya. Ini boleh dilakukannya dalam jarak tertentu dengan mangsanya, iaitu
satu jarak yang membolehkan mata saling bertentangan antara satu sama lain.
Oleh itu hadis ini
tidak bertujuan untuk menetapkan kemudaratan setiap kali seseorang itu
berhadapan dengan ular tetapi memberi peringatan akan kemudaratan yang mungkin
menimpa dalam suasana tertentu.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar
radhiallahu ‘anhma, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan
lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari no:
3297 (Kitab Awal Ciptaan, Bab Firman
Allah.........2:164)