HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Contoh no: 5
Hadis al-‘Ain.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَلْعَيْنُ حَقٌّ.
al-‘Ain adalah
benar.[1]
Kemusykilan:
Apakah sebenarnya
al-‘Ain? Benarkah ia boleh menyebabkan sihir dan penyakit hanya apabila dua
orang saling memandang? Saya mendapati ini sukar untuk diterima.
Penjelasan:
al-‘Ain
adalah tilik mata yang dengannya seseorang itu boleh menyebabkan orang lain yang
dipandang matanya menjadi sakit, lemah atau disihir. al-‘Ain berlaku
kerana kejahatan segelintir manusia yang memiliki tenaga telepati yang tinggi[2]
dan juga kerana kejahatan jin dan syaitan. Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَلْعَيْنُ حَقٌ وَيَحْضُرُ بِهَا الشَّيْطَانُ وَحَسَدُ اِبْنِ آدَمَ.
Al-‘Ain adalah
benar, syaitan dan manusia yang dengki mengganggu kamu dengannya.[3]
Syaitan mengganggu
manusia melalui beberapa cara dan salah satu darinya adalah seperti hadis di
atas, iaitu melalui pandangan mata. Dalam kes ini mungkin sahaja syaitan
menjelma menjadi makhluk dan dengan pandangannya dia berjaya menilik mata
seseorang dan memberi gangguan kepadanya, sama ada gangguan jasmani atau rohani.
Gangguan manusia
juga tidak dapat kita nafikan. Ia lahir dari sifat dengki dan cemburu seseorang
kepada orang yang lain. Disebabkan tahap kedengkian dan kecemburuannya yang amat
tinggi, mungkin sahaja ia dapat disalurkan melalui matanya hingga memberi
pengaruh buruk kepada mata orang lain yang dipandangnya. Oleh kerana itulah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
pernah mengingatkan kita:
إِذَا رَأَى أَحَدَكُمْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مَالِهِ أَوْ مِنْ أَخِيْهِ مَا
يُعْجِبُهُ فَلْيَدْعُ لَهُ بِالْبَرَكَةِ، فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ.
Apabila seseorang
kamu melihat terhadap dirinya atau hartanya atau tentang saudaranya apa yang
mengkagumkannya, maka doakanlah baginya keberkatan, kerana sesungguhnya
al-‘Ain adalah
sesuatu yang benar.[4]
Makhluk jin juga
boleh mengganggu manusia melalui al-‘Ain. Umm Salamah radiallahu ‘anha
menerangkan bahawa pada satu ketika pernah seorang budak kerja wanita di
rumahnya yang warna mukanya berbeza dari kebiasaan. Melihat itu baginda bersabda:
اِسْتَرْقُوْا لَهَا فَإِنَّ بِهَا النَّظْرَةَ.
Jampikanlah untuk
dia sebab dia terkena
al-Nazrah.[5]
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَعَوَّذُ مِنْ عَيْنِ
الْجَانِّ. ثُمَّ أَعْيُنِ الإِنْسِ. فَلَمَّا نَزَلَ الْمُعَوِّذَتَانِ،
أَخَذَهُمَا وَتَرَكَ مَا سِوَى ذَلِكَ.
Demikian penjelasan
tentang al-‘Ain. Benar atau tidak, memang sukar diukur dengan daya nalar
kerana ia adalah sesuatu yang berada di luar jangkauannya. Oleh kerana itu
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersabda: al-‘Ain adalah benar – bertujuan untuk menyedarkan
umatnya tentang kebenaran perkara ini dan bahayanya yang tinggi.
Oleh itu hendaklah
setiap orang berwaspada tentangnya kerana ia termasuk dalam perkara ghaib
sepertimana gangguan syaitan, jin dan sihir yang semuanya sukar dikesan oleh
mata kasar. Hendaklah selalu membaca dua surah terakhir al-Qur’an, iaitu surah
yang dikenali sebagai al-Mu‘awwizatan sebagai pelindung daripada al-‘Ain.
[1]
Sahih:
Sebahagian hadis
daripada Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih
al-Bukhari – no: 5740 (Kitab Tibb, Bab al-‘Ain
adalah benar).
[2]
Lihat penjelasan
Ibn al-Qayyim dalam Zaad al-Ma‘ad, jld 6, ms
244-247.
[3]
Sahih:
Hadis daripada
Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad dan
dinilai
sahih oleh Hamzah Ahmad Zain dalam Musnad
Ahmad – no: 9631 (Musnad Abu Hurairah, hadathana
Ibn Numair...............).
[4]
Hasan:
Hadis daripada ‘Amr
bin Rabi‘ah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Abu Ya’la,
al-Hakim dan al-Thabarani,
isnadnya
dinilai baik (jayyid) oleh Husain Salim
Asad dalam Musnad Abu Ya’la – no: 7195
(Musnad hadis ‘Amr bin Rabi‘ah, hadathana Abu
Bakar bin Abi Syaibah.............). al-Suyuti
menukilnya dalam al-Jamii’ al-Sagheir – no:
622 dan beliau mensahihkannya
dan ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani
dalam Sahih al-Jamii’ al-Sagheir – no: 556.
[5]
Sahih:
Sebahagian hadis
yang dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim
dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5739 (Kitab Tibb,
Bab Ruqyah al-‘Ain).
[6]
Al-Baghawi –
Syarah al-Sunnah (tahqiq
& takhrij
Syu‘aib al-Arna’uth, Maktabah Islami, Beirut
1983), jld 12, ms 163.
[7]
Sahih:
Dikeluarkan oleh
al-Tirmizi, al-Nasa’i (Sunan & Kabir),
Ibn Majah, al-Baihaqi (al-Kubra & al-Iman)
dan lain-lain, dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan
al-Nasa’i (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 1998)
– no: 5509 (Kitab Memohon perlindungan, Bab
Perlindungan dari ‘ain jin).