HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Makan Kurma
Terpelihara Dari Sihir.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ تَصَبَّحَ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعَ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً لَمْ يَضُرَّهُ فِيْ ذَلِكَ
الْيَوْمِ سُمٌّ وَلاَ سِحْرٌ.
Sesiapa makan tujuh
biji kurma ‘Ajwa setiap pagi maka terpeliharalah dia pada hari itu dari racun
atau sihir.[1]
Kemusykilan:
Seorang rakan saya
telah disihir dan saya telah mengesyorkan dia kurma ‘Ajwa tetapi sehingga kini
dia masih belum sembuh. Bagaimanakah sepatutnya diamalkan hadis kurma ajwa di
atas?
Penjelasan:
Keistimewaan kurma ‘Ajwa
dibandingkan dengan lain-lain jenis kurma adalah kerana berkat petunjuk dan
pengkhususan Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ke atasnya. Demikian juga sebagaimana baginda telah mengkhususkan
jumlah tujuh biji pada setiap pagi. Keberkatan juga mungkin berasal dari
keistimewaan tanah Madinah yang menjadi tempat khas pokok-pokok kurma ‘Ajwa.
Berkesan atau tidak
kurma ‘Ajwa ke atas racun dan sihir bergantung kepada Allah
Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana
berkesan atau tidaknya sesuatu sihir itu adalah dengan izin Allah jua. Firman
Allah:
فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ
وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ.
Dalam pada itu ada
juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan
dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu
seseorangpun melainkan dengan izin Allah.
[al-Baqarah
2:102].
Oleh itu bagi
mengamalkan hadis di atas hendaklah seseorang itu memakan kurma ‘Ajwa dengan
perasaan penuh harapan akan kurniaan Allah, rendah diri akan kekuasaan Allah
untuk memelihara dan menyembuh, dan bertawakal sepenuhnya akan keputusan Allah
terhadap dirinya.
Adakalanya kurma ‘Ajwa
tidak berkesan kepada orang yang memakannya kerana terdapat bisikan kecil di
dalam hatinya yang ingin menguji dan mencabar sama ada benar atau tidak sabda
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Bisikan inilah yang sebenarnya menghilangkan keistimewaan kurma ‘Ajwa.
[1]
Sahih:
Hadis daripada
Sa‘ad bin Abi Waqas
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5769 (Kitab Tibb,
Bab Pengubatan sihir dengan kurma ajwa).