HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Habbatus Saudah
Penyembuh Semua Penyakit.
A’isyah
radiallahu ‘anha berkata, aku mendengar Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ هَذِهِ الْحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلاَ مِنْ
السَّامِ .
Sesungguhnya al-Habbatus
Saudah penyembuh bagi semua penyakit kecuali al-Samu.
A’isyah bertanya:
Apakah al-Samu? Nabi menjawab:
اَلْمَوْتُ.
Mati.[1]
Kemusykilan:
Jika hadis ini benar
maka kenapakah masih terdapat banyak penyakit yang tidak dapat diubati?
Penjelasan:
Terdapat dua
penjelasan terhadap hadis ini:
Pertama:
Nilai pengubatan
Habbatus Saudah dalam hadis di atas adalah berdasarkan berkat pengkhususan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
ke atasnya. Habbatus Saudah pada asalnya merupakan salah satu kaedah
perubatan masyarakat ketika itu, namun berdasarkan berkat pengkhususan dan
petunjuk baginda ke atasnya, menjadilah ia sejenis ubat yang mampu mengubati
semua jenis penyakit.
Akan tetapi perlu
diingatkan bahawa semua keberkatan asalnya daripada Allah
‘Azza wa Jalla termasuklah juga
Habbatus Saudah. Demikian juga semua kesembuhan berasal dari Allah manakala
Habbatus Saudah hanyalah satu cara dan ikhtiar ke arah kesembuhan.
Justeru kesembuhan
seseorang itu tetap bergantung kepada kehendak dan izin Allah. Jika Allah
mengkehendaki kesembuhan, maka sembuhlah penyakit itu walau seberat mana
sekalipun. Sebaliknya jika Allah tidak mengkehendaki kesembuhan, maka penyakit
itu tidak akan sembuh sehinggalah si pesakit menemui maut.
Firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala melalui lisan
Nabi Ibrahim ‘alaihi salam:
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ.
Dan apabila aku
sakit, maka Dia-lah yang menyembuhkan penyakitku
[al-Syu‘ara 26:80]
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ. فَإِذَا أُصِيْبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ
عَزَّ وَجَلَّ.
Setiap penyakit
ada ubatnya. Maka apabila diperoleh ubat penyakit tersebut, akan sembuhlah ia
dengan izin Allah
‘Azza
wa Jalla.[2]
Kedua:
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
sebenarnya bermaksud menganjurkan Habbatus Saudah sebagai sejenis ubat
yang bersifat umum lagi luas manfaatnya. Dalamnya terkandung sejumlah zat dan
khasiat yang dapat mencegah dan menyembuh beberapa penyakit biasa.
Hadis di atas tidak
bermaksud untuk menetapkan Habbatus Saudah sebagai satu-satunya ubat bagi
semua jenis penyakit. Antara petunjuk kepada fahaman ini adalah sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dalam
sebuah hadis yang lain:
مَا أَنْزَلَ اللهُ دَاءً إلاَّ قَدْ أَنْزَلَ لَهُ شِفَاءً عَلِمَهُ مَنْ عَلِمَهُ
وَجَهِلَهُ مَنْ جَهِلَهُ ( إِلاَّ السَّامِ. قِيْلَ: وَمَا السَّامِ ؟ قَالَ:
اَلْمَوْتُ ).
Tidaklah Allah
menurunkan satu penyakit kecuali diturunkan juga baginya ubatnya, diketahui oleh
mereka yang mengetahuinya dan tidak diketahui oleh mereka yang tidak
mengetahuinya
[3]
kecuali al-Samu.
Ditanya: Apakah itu
al-Samu? Baginda menjawab: (Ia adalah) kematian.[4]
Hadis ini
menerangkan bahawa bagi setiap penyakit Allah telah menyediakan ubatnya. Untuk
mengetahui apakah ubat itu, hendaklah seseorang itu mengkaji dan membuat
eksperimen kerana ubat itu hanya akan diketahui oleh mereka yang ingin
mengetahuinya dan tidak akan diketahui oleh mereka yang enggan.
Hadis ini
menunjukkan bahawa Habbatus Saudah bukanlah ubat bagi semua penyakit
kerana jika itu adalah kesnya, pasti akan disebut: “Tidaklah Allah menurunkan
satu penyakit melainkan Habbatus Saudah adalah ubat baginya”.
Selain itu jika
dirujuk kepada sejumlah hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang lain, akan ditemui bahawa baginda
mendiagnosa pelbagai penyakit yang berlainan dengan ubat yang berlainan, tidak
dengan Habbatus Saudah sahaja.
Justeru dapat
difahami bahawa yang dimaksudkan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam tentang
Habbatus Saudah adalah ia sejenis ubat yang umum manfaatnya. Ia tidak
khusus kepada sesuatu penyakit tertentu.
[1]
Sahih:
Dikeluarkan oleh
Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, Ibn Majah
dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5687 (Kitab Tibb,
Bab al-Habbatus Saudah).
[2]
Sahih:
Hadis daripada
Jabir bin ‘Abdullah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim –
no: 2204 (Kitab Salam, Bab Setiap penyakit ada
ubatnya............).
[3]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn Mas‘ud
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Abu Ya’la, al-Baihaqi (al-Kubra), al-Thabarani
(Ausath & Kabir), al-Hakim dan lain-lain,
dinilai
sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad
Ahmad – no: 3578 (Musnad ‘Abdullah Ibn Mas‘ud,
hadathana Sufyan ‘an ‘Atha’...............).
[4]
Hasan:
Tambahan dalam
kurungan dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak
(tahqiq:
Mustafa A.Q. ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1990) – no: 8220 dan al-Thabarani
dalam al-Mu’jam al-Ausath – no: 2534.
Isnad ini dinilai
hasan
oleh penyemak al-Mu’jam al-Ausath: Mahmud
Hasan Ismail.