HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN

 

Contoh no: 2

Kencing Unta Sebagai Ubat.

Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkata:

أَنَّ نَاساً اِجْتَوَوْا فِيْ الْمَدِيْنَةِ فَأَمَرَهُمْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَلْحَقُوْا بِرَاعِيْهِ يَعْنِيْ الإِبِلَ فَيَشْرَبُوْا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا. فَلَحِقُوْا بِرَاعِيْهِ فَشَرِبُوْا مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا حَتَّى صَلَحَتْ أَبْدَانُهُمْ.

Cuaca Madinah tidak sesuai untuk beberapa orang, maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh mereka mengikut pengembala untanya dan untuk mereka minum susu dan kencing unta tersebut.

Maka mereka mengikut pengembala itu dan minum susu serta kencing unta sehingga menjadi sihat semula badan mereka.[1]

 

Kemusykilan:

Bagaimana mungkin Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendiagnosa pesakitnya dengan air kencing unta yang sebenarnya adalah najis?

Penjelasan:

Memang pada zahirnya kelihatan aneh apabila baginda Nabi mendiagnosa pesakit dengan air kencing unta. Akan tetapi perhatikanlah penghujung hadis tersebut di mana Anas bin Malik menerangkan bahawa dengan meminum air kencing unta dan susunya, pesakit-pesakit tersebut kembali sembuh. Di sini terdapat bukti bahawa air kencing unta dan susunya dapat menjadi ubat untuk penyakit tertentu.

Ini adalah satu contoh kaedah perubatan yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sesuai dengan suasana masyarakat di zamannya. Ia adalah sesuatu yang diterima dan terbukti berkesan. Orang ramai pada ketika itu tidak menolaknya, malah mereka menerimanya sebagai sejenis ubat yang mujarab. Ia hanya dipandang aneh oleh masyarakat pada zaman kebelakangan kerana tidak biasa dengannya.

Perlu diingatkan bahawa apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menetapkan jenis-jenis ubat, ia bukanlah sesuatu yang diteka atau dipilih secara rambang tetapi ia adalah berdasarkan ilmu yang benar, sama ada merupakan ijtihad baginda atau pembelajaran baginda daripada suasana di sekelilingnya. Semua ini berada di bawah pengawasan wahyu. Hal ini baginda lakukan dengan penuh tanggungjawab dan baginda juga berpesan kepada orang lain agar melakukannya juga dengan penuh tanggungjawab. Sabda baginda:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَمْ يُعْلَمْ مِنْهُ طِبٌّ قَبْلَ ذَلِكَ، فَهُوَ ضَامِنٌ.

Sesiapa yang menjadi doktor padahal dia tidak ada ilmu dalam bidang perubatan sebelum itu, maka dia dipertanggungjawabkan (atas apa-apa risiko yang akan timbul).[2]

Adapun persoalan tentang najisnya kencing unta, para ahli fiqh mengatakan bahawa berdasarkan hadis di atas, dibolehkan minum air kencing daripada binatang yang halal dimakan dagingnya. Ia tidak lagi dipandang sebagai najis.[3]

 

 

 

 



[1] Sahih: Hadis dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah dan lain-lain dengan lafaz yang sedikit berbeza-beza tetapi dengan pengajaran yang sama, iaitu disuruh minum susu dan air kencing unta sebagai ubat. Di atas adalah lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 5686 (Kitab Tibb, Bab Berubat dengan air kencing unta).

[2] Hasan: Hadis daripada Syu’bah, daripada datuknya, dikeluarkan oleh Abu Daud, Al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Hakim, al-Dar al-Quthni dan lain-lain. Isnadnya dinilai hasan oleh Mujaddi bin Mansur al-Shuri dalam Sunan al-Dar al-Quthni (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1996) – no: 4452 dan oleh Mahmud Muhammad Mahmud dalam Sunan Ibn Majah (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998) – no: 3466 (Kitab Tibb, Bab Sesiapa yang berubat tanpa ilmu perubatan).

[3] Dalam bab ini ada beberapa pendapat dan semuanya telah dikupas oleh al-Syaukani dalam Nail al-Authar (terj: Hadimulyo & K. Suhardi; CV. asy-Syifa’, Semarang 1994), jld 1, ms 101-108.