HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Tidak Ada Penyakit Berjangkit.
Sabda Rasulullah shallallahu-alaihi-wasallam:
لا َعَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَلاَ هَامَةَ وَلاَ صَفَرَ، وَفِرَّ مِنْ
اَلْمَجْذُوْمِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الأَسَدِ.
Tidak boleh menjangkitkan penyakit, dan tidak boleh mempercayai kesialan,[1]
dan tidak boleh mempercayai Hama[2],
dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari
penyakit kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa.[3]
Kemusykilan:
Di manakah letak kebenaran hadis ini kerana merupakan kesepakatan para doktor
bahawa sesetengah penyakit boleh berjangkit daripada seorang ke seorang yang
lain.
Penjelasannya:
Perkataan Laa ‘Adwa (لا
عدوى)
biasanya diterjemahkan sebagai tiada penyakit berjangkit atau
tidak ada penyakit berjangkit. Akan tetapi dalam kaedah bahasa Arab,
perkataan Laa (
لا)
boleh memiliki dua erti, yang pertama sebagai “peniadaan” (nafyun) dan
yang kedua sebagai “larangan” (nahyun). Kaedah bahasa Arab ini boleh juga
kita lihat dalam ayat al-Qur’an berikut:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ
وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ.
(Masa
untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh
yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan)
ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat
maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.
[al-Baqarah 2:197]
Firman Allah Subhanahu waTa’ala di atas bukanlah bermaksud satu
peniadaan seperti tidak ada persetubuhan, tidak ada kemaksiatan dan tidak
ada pertengkaran kerana tiga perkara ini memang sentiasa wujud dan tidak boleh
dihapuskan begitu sahaja. Akan tetapi yang dimaksudkan adalah larangan
iaitu jangan bersetubuh, jangan melakukan maksiat dan jangan bertengkar.
Perhatikan pula sabda Rasulullah shallallahu-alaihi-wasallam dalam hadis berikut:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ.
Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan.[4]
Perkataan Laa tidak bermaksud peniadaan kerana unsur mudarat
memang sentiasa wujud. Yang dimaksudkan adalah larangan iaitu jangan
melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri dan jangan pula melakukan
sesuatu yang memudaratkan orang lain.
Kembali kepada hadis asal di atas, yang dimaksudkan oleh Rasulullah
shallallahu alaihi wasallam ialah tidak boleh membiarkan penyakit menjangkit,
membiak, menjalar, menular dan merebak.[5]
Hadis tersebut tidak bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud. Bukankah di
penghujung hadis sedia terdapat petunjuk bahawa wujudnya penyakit yang
berjangkit, iaitu apabila Rasulullah menyuruh kita menjauhkan diri dari penyakit
kusta? Perhatikan juga hadis-hadis di bawah ini sebagai penyokong kepada
keterangan penulis di atas, bahawa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Rasulullah
ialah jangan membiarkan sesuatu penyakit itu menjangkit, merebak dan menular.
لاَ يُوْرِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ.
Janganlah orang yang sakit mengunjungi orang yang sihat.[6]
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُوْنِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوْهَا. وَإِذَا وَقَعَ
بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا.
Apabila kamu mendengar satu wabak penyakit berjangkit di sesuatu daerah maka
janganlah memasuki ia (daerah tersebut). Dan apabila kamu berada dalam daerah
yang sedang dilanda wabak penyakit berjangkit maka janganlah kamu keluar darinya.[7]
Penjelasan Tambahan:
Terdapat penjelasan
lain untuk hadis di atas, iaitu dari aspek taqdir. Hampir semua penyakit boleh
berjangkit, namun kepada siapa ia berjangkit dan apakah orang tersebut akan
benar-benar sakit terpulang kepada taqdir Allah.
Oleh itulah kita
dapati apabila satu orang yang demam selsema berada bersama beberapa orang yang
sihat, sebahagian orang ada yang menjangkiti demam selsema tersebut manakala
sebahagian lagi tidak. Terserah kepada taqdir Allah siapa yang akan turut demam
selsema, siapa yang tetap sihat.
Justeru hadis di
atas diterjemahkan sebagai: Tidak ada penyakit berjangkit, dengan
pengertian apabila seseorang itu sakit, ia bukanlah kerana jangkitan tetapi
kerana taqdir Allah.
Berdasarkan
terjemahan dan penjelasan ini, apabila seseorang itu terkena suatu penyakit, dia
tidak akan mudah menuduh orang lain sebagai punca penyakitnya. Sebaliknya dia
akan redha bahawa penyakit tersebut adalah taqdir Allah yang tentu memiliki
hikmah di sebaliknya.
Ada pun bahagian
akhir hadis: …dan larilah kamu dari penyakit kusta sebagaimana kamu lari
dari seekor singa, maka ia disebabkan dahsyatnya keadaan pesakit kusta
sehingga menggerunkan orang yang melihatnya. Maka hadis ini menganjurkan untuk
menjauhi pesakit kusta melainkan bagi orang yang sudah biasa atau cukup kuat
untuk melihatnya.
[1]
Masyarakat Arab
ketika itu mempercayai sesetengah perkara atau
haiwan boleh membawa kesialan kepada manusia.
Contohnya ialah burung-burung dan arah
penerbangan mereka di angkasa. Terjemahan di
atas adalah yang lebih tepat berbanding
terjemahan yang penulis berikan sebelum ini
dalam buku 20 Hujah Golongan Anti Hadis dan
Jawapannya (Jahabersa 2002), ms 155.
[2]
Hama
berasal dari satu
adat Jahiliyah yang mempercayai ruh seseorang
yang mati dibunuh akan keluar dari kuburnya
dalam bentuk jelmaan manusia atau burung dan ia
akan mencela tuannya yang mati terbunuh itu.
Demikian terang Mahmoud Matraji dalam Sahih
Muslim yang beliau terjemahkan, jld 3B, ms
465.
[3]
Sahih:
Hadis dari Abu
Hurairah
radhiallahu ‘anh, lafaz di atas dikeluarkan
oleh al-Bukhari sahaja secara muallaq,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5707. (Kitab
al-Tibb, Bab (Penyakit) Kusta). Bagi
jalan-jalan periwayatan yang lengkap, lihat
keterangan Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath
al-Bari, jld 11, ms 307 (syarah bagi hadis no:
5707) dan Taghliq al-Ta’liq
(tahqiq:
Sa‘id ‘Abdul Rahman; Maktabah al-Islami, Beirut
& Dar al-Amman, Amman 1405H), jld 5, ms 45.
Jalan-jalan ini mensahihkan
hadis muallaq ini sepertimana terang al-‘Aini
dalam Umdat al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari
(tahqiq:
Siddiq Jamil; Dar al-Fikr 1998), jld 14, ms
692 (syarah bagi hadis no: 5707). Hadis
seumpama juga diriwayatkan oleh ‘Abdullah ibn ‘Umar
dan Anas bin Malik
radhiallahu ‘anhma dan dikeluarkan oleh
Malik, Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan ramai lagi.
[4]
Sahih:
Hadis mutawatir
dikeluarkan oleh Ahmad, al-Daruquthni, Ibn Majah
dan lain-lain, dinukil dan dinilai
hasan
oleh al-Suyuti dalam al-Jamii’ al-Sagheir –
no: 9899 manakala dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel
(Maktabah al-Islami, Beirut 1985) no:
896.
[5]
‘Abdullah bin
‘Ali al-Najdy al-Qushaimy – Memahami
Hadits-hadits Musykil (terj: Kathur Suhardi;
Pustaka Mantiq, Solo 1993), ms 101-107.
[6]
Sahih:
Hadis dari Abu
Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Bukhari
dan Abu Daud, lihat Sahih al-Bukhari – no:
5771 & 5774. (Kitab al-Tibb, Bab Tidak
boleh menjangkitkan penyakit).
[7]
Sahih:
Hadis dari
‘Abdurrahman bin ‘Auf dan Sa‘ad
radhiallahu ‘anhma, dikeluarkan oleh Ahmad,
Abu Uwanah, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain,
lihat Sahih al-Bukhari – no: 5728 & 5729.
(Kitab al-Tibb, Bab Apa yang diperkatakan
tentang wabak penyakit).