HADIS-HADIS MUSYKIL DARI SUDUT ILMU PERUBATAN MODEN
Pengenalan Dan
Kaedah Memahaminya.
Terdapat banyak
hadis yang menerangkan kaedah perubatan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam. Akan
tetapi pada masa kini sesetengah kaedah perubatan tersebut dipandang tidak
sesuai malah boleh mengakibatkan mudarat kepada pesakitnya.
Ketahuilah bahawa
kemusykilan terhadap kaedah perubatan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dapat
dijawab dengan memerhatikan beberapa hal berikut:
Adakah hadis-hadis yang menerangkan kaedah perubatan tersebut benar-benar
berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam? Adakah hadis yang mengkhabarkannya bertaraf sahih?
Kaedah perubatan adalah sesuatu yang sentiasa berubah-ubah mengikut
tamadun manusia. Ada kaedah perubatan yang tepat pada zaman dahulu tetapi
dianggap salah pada masa kini dan ada kaedah perubatan yang dianggap tepat pada
masa kini mungkin akan dianggap aneh pada masa akan datang.
Kaedah perubatan
yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana
masyarakat pada zamannya. Ia adalah sesuatu yang diterima dan terbukti berkesan.
Setakat ini tidak kita temui sebuah hadis sahih yang menerangkan kes
kematian pesakit hasil diagnosa Rasulullah. Hal ini jauh berbeza dengan kaedah
perubatan masa kini di mana penggunaan beberapa jenis ubat yang berasaskan steroid dan rawatan tertentu memiliki kesan sampingan negatif termasuk
kematian.
Oleh itu perlu
dipertimbangkan semula kaedah perubatan siapakah yang memusykilkan?
Adakah hadis-hadis tersebut diterjemah dan difahami dengan tepat?
Menjadi perbincangan di kalangan ilmuan adakah kaedah perubatan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bersumber dari wahyu atau ijtihad baginda sendiri? Penulis berpendapat, kaedah
perubatan Rasulullah adalah merupakan ijtihad baginda sendiri di bawah
pengawasan wahyu. Antara bukti terkuat dalam hal ini ialah hadis berikut:
Sa‘ad bin Abi Waqas
radhiallahu ‘anh
berkata, saya pernah terkena sakit yang berat, lalu Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam datang menziarah aku. Baginda meletakkan tangannya di dada aku
sehingga terasa kesejukan ke hatiku. Kemudian baginda bersabda:
إِنَّكَ رَجُلٌ مَفْؤُوْدٌ، اِئْتِ اَلْحَارِثَ بْنَ كَلَدَةَ أخَا ثَقِيْفٍ
فإِنَّهُ رَجُلٌ يَتَطَبَّبُ.
Sesungguhnya engkau
seorang lelaki yang dihinggap penyakit dada, pergilah kepada al-Harith bin
Khaldah, warga Thaqif. Dia seorang yang boleh mengubati (kamu).
[1]
Diperselisihkan sama
ada al-Harith bin Khaldah telah masuk Islam atau tidak ketika Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
menyarankan beliau sebagai doktor.[2]
Namun hadis
ini menjadi dalil bahawa Rasulullah tidak diutuskan oleh Allah kepada umat
sebagai doktor kerana jika inilah halnya, pasti baginda sendiri yang akan
merawat Sa‘ad bin Abi Waqas.
Berikut dikemukakan
beberapa hadis tentang prinsip dan kaedah perubatan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam yang
dianggap memusykilkan.
[1]
Hasan:
Dikeluarkan oleh
Abu Daud (3727) dari jalan Mujahid,
daripada Sa‘id bin Abi Waqas, bahawa........
Isnad ini terputus kerana Mujahid tidak
pernah mendengar daripada Sa‘id bin Abi Waqas.
Berkata Abu Hatim al-Razi, Mujahid
sebenarnya menerima hadis ini daripada Mas‘ab
bin Sa‘id, daripada Sa‘id bin Abi Waqas.
Demikian ulas al-Munziri sebagaimana nukil
Syamsul Haq Abadi dalam Aunul Ma’bud Syarah
Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995),
jld 10, ms 276.
Justeru
isnad
hadis ini dinilai baik (jayyid)
oleh Syu‘aib al-Arna’uth dalam Zaad al-Ma‘ad
(Maktabah al-‘Asriyyah, Beirut 2000), jld
6, ms 144 manakala dinilai
sahih
oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan
Abu Daud (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 2000)
– no: 3876 (Kitab Tibb, Bab Tentang kurma
Ajwa).
[2]
Antara lain lihat
Ibn Abi Hatim al-Razi – Jarh wa al-Ta’dil
(Dar al-Fikr, Beirut 1952) – no: 401; Ibn
Abd al-Bar – al-Isti‘ab fi Ma’rifat al-Ashab
(Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995) –
no: 404 dan Ibn Hajar al-Asqalani – al-Isabah
fi Tamyiz al-Sahabah (Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1995) – no: 1480.