Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.
Contoh 4:
Orang Kafir Memiliki
Tujuh Usus.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
اَلْمُؤْمِنُ يَأْكُلُ فِيْ مِعًى وَاحِدٍ وَالْكَافِرُ يَأْكُلُ فِيْ سَبْعَةِ
أَمْعَاءٍ.
Orang mukmin makan
dengan satu usus manakala orang kafir makan dengan tujuh usus.[1]
Kemusykilan:
Disepakati oleh
semua doktor bahawa semua manusia, tanpa mengira Muslim atau kafir, memiliki
sistem usus yang sama. Maka bagaimana mungkin hadis di atas menerangkan bahawa
orang Islam ada satu usus manakala orang kafir ada tujuh usus?
Penjelasan:
Hadis ini asalnya
disampaikan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam ketika seorang bukan Islam yang hadir atas jemputan baginda
dihidang dengan perahan susu kambing. Tetamu tersebut minum perahan itu lalu
meminta tambah, lalu diperahkan lagi untuknya. Dia minum dan meminta tambah lagi,
begitulah seterusnya sehingga perahan ke tujuh. Pada keesokan harinya dia
memeluk Islam lalu Rasulullah menjamu dia dengan perahan susu kambing. Dia minum
sehingga habis namun apabila di jamu dengan perahan kedua, dia tidak meminumnya.
Melihat itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam bersabda: Orang mukmin makan dengan satu usus manakala orang
kafir makan dengan tujuh usus.[2]
Kisah di atas
tidaklah membatasi maksud hadis kerana mengikut kaedah, sesuatu hadis yang
memiliki lafaz umum tidak terikat dengan sebab-sebab yang melahirkannya. Justeru
sabda Rasulullah: Orang mukmin, dia makan dengan satu usus manakala orang
kafir dia makan dengan tujuh usus tidaklah terikat kepada tetamu yang
minum tujuh perahan susu kambing di atas.
Maksud Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
membezakan antara satu dan tujuh usus bukanlah bertujuan memberi pengertian dari
sudut sains biologi tetapi adalah satu kiasan (majaz) bahawa orang Islam
makan sedikit manakala orang bukan Islam makan banyak.
Angka tujuh atau
tujuh puluh lazimnya digunakan oleh masyarakat Arab bagi menunjukkan satu jumlah
yang banyak. Perhatikan tiga contoh berikut dari al-Qur’an:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ
أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ
يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.
Bandingan (derma)
orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti
sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu
pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala
bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi
Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
[al-Baqarah 2:261]
وَلَوْ أَنَّمَا فِي الْأَرْضِ مِنْ شَجَرَةٍ أَقْلَامٌ وَالْبَحْرُ يَمُدُّهُ مِنْ
بَعْدِهِ سَبْعَةُ أَبْحُرٍ مَا نَفِدَتْ كَلِمَاتُ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ
حَكِيمٌ.
Dan sekiranya segala
pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan
dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis
Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana. [Luqman
31:27]
اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ
سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا
بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ.
(Orang-orang
munafik itu) sama sahaja (sama ada) engkau meminta ampun untuk mereka atau
engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta
ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali
mengampunkan mereka; yang demikian itu kerana mereka telah kufur kepada Allah
dan Rasul-Nya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang
fasik.
[al-Taubah 9:80]
Oleh itu hadis di
atas bukanlah bermaksud bahawa orang bukan Islam memiliki tujuh buah usus tetapi
ia bermaksud bahawa orang bukan Islam makan dan minum dalam jumlah yang banyak.
Berbeza halnya dengan orang mukmin, mereka makan dan minum dengan penuh hemat
dan disiplin. Mereka makan hanya apabila lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Mereka juga memberi keutamaan untuk berkongsi makanan dan tidak mengadu akan
apa-apa yang tidak mereka suka selain berdiam sahaja.
Berikut dua buah
ayat al-Qur’an tentang adab-adab pemakanan:
يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا
وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ.
Wahai anak-anak
Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke
tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan
jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang
yang melampaui batas.
[al-A’raaf 7:31]
إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ
تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ
وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ.
Sesungguhnya Allah
akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh
- ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya)
orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum
sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi
tempat tinggal mereka.
[Muhammad 47:12]
[1]
Sahih:
Hadis daripada
‘Abdullah ibn ‘Umar, Abu Musa dan Abu Hurairah
radhiallahu ‘anhm, dikeluarkan oleh al-Bukhari,
Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari
– no: 5393 (Kitab Makanan, Bab Seorang mukmin
dia makan.......).
[2]
Sahih:
Ringkasan hadis
daripada Abu Hurairah
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh Ahmad,
Muslim, al-Tirmizi dan lain-lain, lihat Sahih
Muslim – no: 2063 (Kitab Minuman, Bab Seorang
mukmin dia makan.......).