Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.

 

Contoh 3:

Demam Panas Adalah Daripada Api Neraka.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

اَلْحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ فَأَبْرِدُوْهَا بِالْمَاءِ.

Demam panas adalah daripada serpihan neraka, maka sejukkanlah ia dengan air.[1]

Kemusykilan:

Kita sama-sama tahu bahawa suhu badan yang naik ketika demam adalah kerana tindakan daya tahanan badan manusia yang ingin melawan virus-virus yang menyerangnya. Akan tetapi dalam hadis ini diterangkan pula bahawa kepanasan tersebut adalah merupakan serpihan daripada api neraka. Bagaimana mungkin demam panas ada mempunyai kaitan dengan api neraka?

Penjelasan:

Ada dua tafsiran terhadap hadis di atas:

 

Tafsiran Pertama:

Dikaitkan antara demam panas dan api neraka sebagai peringatan dan iktibar kepada orang yang sedang demam. Peringatan sedemikian adalah supaya seseorang itu tidak leka antara kehidupannya di dunia dan balasannya di Hari Akhirat. Orang yang demam merasai kepanasan badannya, lalu diingatkan bahawa api neraka adalah jauh lebih panas daripada itu. Moga dia dapat mengambil iktibar dan segera mengingatkan dirinya akan hal-hal yang telah atau akan dilakukannya, yang mungkin mengakibatkan dirinya dihumban ke dalam neraka yang jauh lebih panas.

Dalam beberapa hadis lain, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengaitkan suasana panas yang dialami di mukabumi ini dengan api neraka sebagai peringatan dan iktibar kepada umatnya. Perhatikan dua hadis berikut:

أَبْرِدُوْا بِالصَّلاَةِ فَإِنَّ شِدَّةَ الْحَرِّ مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ.

Tangguhlah solat (zuhur ketika cuaca amat panas) kerana sesungguhnya kepanasan itu adalah daripada serpihan neraka.[2]

اِشْتَكَتْ النَّارُ إِلَى رَبِّهَا. فَقَالَتْ رَبِّ أَكَلَ بَعْضِي بَعْضًا. فَأَذِنَ لَهَا بِنَفَسَيْنِ نَفَسٍ فِي الشِّتَاءِ وَنَفَسٍ فِيْ الصَّيْفِ. فَأَشَدُّ مَا تَجِدُوْنَ مِنْ الْحَرِّ وَأَشَدُّ مَا تَجِدُوْنَ مِنْ الزَّمْهَرِيْرِ.

Neraka mengadu kepada Tuhan-Nya: “Wahai Tuhanku, sebahagian aku memakan sebahagian yang lain.” Maka diizinkan bagi ia dengan dua nafas, nafas di musim sejuk dan nafas di musim panas. Justeru kerana itulah terdapatnya kepanasan dan kesejukan (dalam cuaca).[3]

 

Tafsiran Kedua:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengaitkan suasana kepanasan yang dialami manusia dengan neraka bagi mengisyaratkan bahawa sumber kepanasan atau tenaga haba yang kita alami ini semuanya berasal dari neraka.

Neraka adalah salah satu ciptaan Allah ‘Azza wa Jalla yang terawal dan dari neraka itu diambil sebahagian kecil daripada tenaga habanya lalu disebarkan ke alam ini. Semua bentuk tenaga haba yang kita alami asalnya adalah dari neraka.

Justeru hadis di atas dan beberapa hadis lain yang menyusulinya bukan bertujuan menerangkan sebab kepanasan tetapi adalah bagi mengisyaratkan asal usul kepanasan itu sendiri. Hadis ini secara tersendirinya menjadi cabaran bagi para ahli sains, di mana mereka semua sedia mengetahui tentang tenaga haba tetapi mereka masih gagal untuk mencari sumber asal tenaga haba.

Sebahagian mereka berpendapat bahawa sumber asal tenaga haba ialah matahari. Ini mungkin benar tetapi hadis-hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa tenaga haba memiliki sumber asal yang lebih terdahulu daripada matahari, malah matahari itu sendiri dipersoalkan – dari manakah ia memperolehi tenaga habanya?

al-Imam al-Bukhari sedia mengetahui maksud yang tersirat di dalam hadis-hadis ini maka kerana itulah beliau menyusun hadis-hadis ini dalam kitab Sahihnya dalam bab Kitab Permulaan Ciptaan, iaitu satu bab khusus yang menerangkan perkara-perkara pertama yang dicipta oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala di alam ini.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: Demam panas adalah daripada serpihan neraka, maka sejukkanlah ia dengan air tetap memiliki nilai perubatan yang benar di dalamnya. Sehingga kini di zaman perubatan serba moden, kaedah paling berkesan untuk meredakan suhu badan yang tinggi kerana demam panas adalah dengan air, malah adakalanya direndamkan seluruh badan pesakit ke dalam kolam yang berisi ais jika didapati suhu badannya terlalu tinggi.

 

 



[1] Sahih: Hadis daripada Ibn Abbas, Ibn ‘Umar, Rafi’ bin Khadij dan A‘isyah radhiallahu ‘anhm dengan beberapa lafaz yang sedikit berbeza, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, di atas dengan lafaz al-Bukhari, lihat Sahih al-Bukhari – no: 3261 (Kitab Permulaan ciptaan, Bab Sifat neraka.........).

[2]  Sahih: Hadis daripada Abu Dzar dan Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anhma, dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 3259 (Kitab Permulaan ciptaan, Bab Sifat neraka.........).

[3]  Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 3260 (Kitab Permulaan ciptaan, Bab Sifat neraka.........).