Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.
Contoh 2:
Peringkat
Perkembangan Embrio.
Sabda Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً
نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ
ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ ....
Sesungguhnya setiap
seorang daripada kamu dikumpulkan kejadiannya di dalam perut ibunya (selama) 40
hari (sebagai) nutfah, kemudian ia menjadi ‘alaqah seperti sedemikian itu (40
hari), kemudian ia menjadi mudghah seperti sedemikian (40 hari), kemudian
diturunkan malaikat …….[1]
Penjelasan Istilah:
1.
Nutfah: Ertinya setitik cecair atau setitik sperma
sepertimana firman Allah Subhanahu wa
Ta’ala dalam ayat berikut:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنْثَى.
مِنْ نُطْفَةٍ إِذَا تُمْنَى.
Dan bahawa
sesungguhnya, Dia-lah yang menciptakan pasangan - lelaki dan perempuan, dari
setitis air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim).
[al-Najm 53:45-46]
إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ.
Sesungguhnya Kami
telah aturkan cara mencipta manusia bermula dari air mani yang bercampur (dari
pati benih lelaki dan perempuan).
[al-Insan 76:02]
Dalam hadis di atas
diterangkan bahawa nutfah lelaki dan perempuan bercampur di dalam
rahim ibu.[2]
2.‘Alaqah:
Ertinya sesuatu yang berpaut (something that clings) atau melekat kepada
sesuatu yang lain. Ia juga diertikan sebagai lintah yakni haiwan yang berpaut
kepada haiwan lain untuk menyedut darahnya. Dalam hadis ini ia bererti embrio
tersebut (ovum yang telah disenyawakan) berpaut kepada rahim ibu.[3]
3.
Mudghah: Ertinya ketulan atau gumpalan yang rupanya seolah-olah sesuatu
yang dikunyah sehingga kelihatan kesan gigi di atasnya.[4]
Ketiga-tiga
peringkat ini juga telah disebut oleh al-Qur’an:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ طِينٍ.
ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَكِينٍ.
ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً
فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ
أَنْشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ.
Dan sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian
Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih (nutfah) pada penetapan yang kukuh;
Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi ‘alaqah; lalu Kami ciptakan ‘alaqah
itu menjadi mudghah; kemudian Kami ciptakan mudghah itu menjadi beberapa tulang;
kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian
itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah
kelebihan dan ketinggian Allah sebagai sebaik-baik Pencipta.
[al-Mu’minun 23:12-14]
Kemusykilan:
Dalam hadis di atas,
diterangkan bahawa peringkat perkembangan embrio, daripada nutfah
ke ‘alaqah ke mudghah mengambil masa 120 hari (40 +
40 + 40). Hal ini bertentangan dengan penemuan sains moden, di mana semua
peringkat perkembangan tersebut sebenarnya mengambil masa 42 hari sahaja. Oleh
itu berkata Maurice Bucaille dalam bukunya The Bible, The Qur’an and Science
setelah menyebut hadis di atas: Penjelasan tentang peringkat perkembangan
embrio ini tidak selari dengan penemuan (sains) masa kini.[5]
Penjelasannya:
Wujudnya kemusykilan
ini adalah kerana dua sebab, pertama adalah nukilan lafaz hadis yang tidak tepat
dan kedua adalah pemahaman perkataan Arab yang tidak tepat. Berikut diperincikan:
Pertama: Teks hadis
yang sebenar.
Perkataan
nutfah dalam lafaz hadis di atas sebenarnya tidak terdapat dalam lafaz
asal yang dirujuk dalam kitab-kitab hadis. Berikut adalah lafaz asal bagi
bahagian pertama hadis tersebut:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْماً، ثُمَّ
يَكُوْنُ عَلَقَةً......
Sesungguhnya setiap
seorang daripada kamu dikumpulkan di dalam perut ibunya (selama) 40 hari,
kemudian ia menjadi ‘alaqah ……
Demikianlah lafaz
ini, tidak terdapat perkataan nutfah selepas 40 hari.
Teks ini dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’e,
Ibn Majah[6]
dan lain-lain[7].
Adapun tambahan perkataan nutfah, ia hanya dikeluarkan oleh Abu
Uwanah[8]
dan Abu Bakar al-Ismaili[9].
Perkataan
nutfah ini kemungkinan besar ditambah oleh salah seorang perawi untuk
menjelaskan lagi maksud hadis sepertimana yang dijelaskan oleh al-Qur’an dalam
surah al-Mu’minun 23:12-14. Tambahan ini lama-kelamaan diambil terus dan
dianggap sebagai sebahagian daripada hadis Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam.[10]
Hadis dengan
tambahan ini telah dinukil oleh al-Nawawi dalam kitabnya
al-Adzkar[11],
Riyadh al-Salihin[12]
dan Matan al-Arba‘in
(Hadis 40). Tambahan ini diikuti oleh beberapa tokoh selepas beliau seperti
al-Suyuti dalam
Jamii’ al-Sagheir[13]
dan
al-Hindi dalam
Kanz al-Ummal[14].
Tambahan ini membawa
perbezaan maksud yang besar. Berikut dikemukakan lafaz asal berbanding teks yang
memiliki tambahan:
Lafaz asal:
Sesungguhnya setiap seseorang daripada kamu dikumpulkan di dalam perut ibunya (selama)
40 hari.
Lafaz dengan
tambahan: Sesungguhnya setiap seseorang daripada kamu dikumpulkan
kejadiannya di dalam perut ibunya (selama) 40 hari (sebagai) nutfah.
Lafaz tambahan ini
memberi maksud bahawa peringkat nutfah sesebuah embrio di dalam
rahim ibunya memiliki tempoh 40 hari. Ini jelas bertentangan dengan fakta sains
masa kini di mana tempoh peringkat nutfah sebenarnya lebih kurang
7 hari. Adapun lafaz asal hadis ini, ia hanya menerangkan tempoh peringkat
perkembangan embrio selama 40 hari di dalam rahim tanpa memperincikan bahawa ia
adalah dalam peringkat nutfah sahaja. Perbezaan ini seterusnya
membawa kita kepada penjelasan kedua pula:
Kedua: Pemahaman
hadis yang sebenar.
Jelas kepada kita
bahawa lafaz hadis yang sebenar ialah:
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا، ثُمَّ
عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَبْعَثُ
اللَّهُ مَلَكًا......
Sesungguhnya setiap
seseorang daripada kamu dikumpulkan di dalam perut ibunya (selama) 40 hari,
kemudian ia menjadi ‘alaqah seperti sedemikian itu, kemudian ia menjadi mudghah
seperti sedemikian, kemudian Allah menurunkan malaikat……
Kini perlu kita kaji
pula maksud sabda Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam:
ثُمَّ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ
Sabda Rasulullah ini
boleh difahami dengan dua cara, yang pertama adalah sepertimana yang lazim di
mana perkataan (
ثُمَّ
) yang ertinya “kemudian”
merujuk kepada tempoh 40 hari. Maka maksud hadis ini adalah: Selepas 40 hari,
ia menjadi ‘alaqah seperti sedemikian itu.
Cara pemahaman kedua
adalah perkataan (
ثُمَّ
) merujuk kepada
peringkat perkembangan embrio, bukan tempoh 40 hari. Maka maksud hadis ini
adalah:
Selepas pengumpulan air mani lelaki dan perempuan dalam perut (rahim) ibunya, ia
“kemudian” berubah ke peringkat ‘alaqah.
Perubahan ini tetap
berlaku dalam tempoh 40 hari tersebut dan tidak di luarnya. Inilah yang
dimaksudkan dengan (
مِثْلَ ذَلِكَ
) yang ertinya “seperti sedemikian”, bermaksud ia berlaku dalam
tempoh masa yang sama tersebut.
Pemahaman kedua ini
adalah jelas bertepatan dengan fakta sains masa kini. Maka terjemahan tepat
hadis ini adalah: Kemudian dalam tempoh yang sama itu, ia berubah menjadi
‘alaqah.
Demikian juga dengan
sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam yang seterusnya:
ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ
di mana
terjemahannya yang tepat adalah sepertimana cara pemahaman yang kedua, iaitu:
Kemudian dalam tempoh yang sama itu, ia berubah menjadi mudghah.
Maka terjemahan
sebenar bagi keseluruhan hadis ini adalah: Sesungguhnya setiap seseorang
daripada kamu dikumpulkan di dalam perut ibunya (selama) 40 hari, kemudian dalam
tempoh yang sama itu ia berubah menjadi ‘alaqah, kemudian dalam tempoh yang sama
itu ia berubah menjadi mudghah.
Maka dengan itu
seluruh peringkat perkembangan embrio, sejak dari peringkat pengumpulan dalam
rahim ke peringkat ‘alaqah ke peringkat mudgah,
semuanya berlaku dalam tempoh masa 40 hari. Ini bertepatan dengan penemuan sains
masa kini dan dengan itu hilanglah kemusykilan terhadap hadis ini.
Penjelasan Tambahan.
Dengan pemahaman
yang baru terhadap hadis di atas, perlu dikaji semula hukum fiqh yang berkaitan
dengan pengguguran janin. Umumnya para fuqaha sebelum ini menetapkan tempoh 120
hari bagi membezakan hukum pengguguran janin. Jika umur janin adalah sebelum 120
hari, maka ia boleh digugurkan. Jika umur janin melebihi 120 hari, ia haram
digugurkan kecuali dalam suasana darurat kerana pada saat ini roh telah ditiup
kepadanya dan ia dikira sebagai makhluk yang bernyawa.[15]
Walaubagaimanapun
dengan pemahaman yang baru terhadap hadis di atas dan diperkuatkan dengan
penemuan sains mutakhir, tempoh yang sebenar bagi membezakan hukum pengguguran
janin ialah 40 hari.
Selain itu perlu
diingatkan beberapa perkara yang penting dalam hal ini:
Tidak dinafikan bahawa terdapat perbezaan hukum antara menggugurkan janin
yang belum ditiupkan roh dan yang telah ditiupkan roh kepadanya. Tidak diyakini
sama sekali bahawa Allah Subhanahu wa
Ta‘ala menerangkan kepada kita saat peniupan roh ke dalam janin tanpa
sebarang hikmah di dalamnya.
Adapun bagi mereka
yang tidak mahu membezakan antara fasa sebelum dan selepas peniupan roh, mereka
sebenarnya menyalahi petunjuk nas dan akal. Mereka ialah umpama orang yang
menyamakan hukum antara lelaki dan wanita yang berpelukan dengan lelaki dan
wanita yang berzina.
Apa yang
tepat tentang hukum menggugurkan janin adalah ia haram sekalipun pada fasa
sebelum peniupan roh. Ini adalah kerana janin tersebut tetap dipandang sebagai
sebuah objek dan hukum merosakkan sesebuah objek berbeza-beza selari dengan
manfaat atau mudarat yang dimiliki oleh objek tersebut.
Jika sesebuah objek
itu akan membawa kemudaratan kepada manusia, maka disunatkan atau diwajibkan
memusnahkan objek tersebut selari dengan kadar kemudaratan yang bakal dibawanya.
Jika sesebuah objek itu akan membawa manfaat, maka dimakruhkan atau diharamkan
memusnahkan objek tersebut selari dengan kadar kemanfaatan yang bakal dibawanya.
Contohnya,
disunatkan memusnahkan gambar-gambar majalah yang tidak senonoh manakala
diwajibkan memusnahkan arak dan dadah. Dimakruhkan memusnahkan pakaian dan
perkakas harian manakala diharamkan memusnahkan buku-buku ilmiah dan makanan
yang halal.
Janin adalah satu
objek hidupan yang memiliki manfaat yang sangat besar kepada agama dan
masyarakat sehingga memusnahkannya jatuh pada hukum haram. Merosakkan janin
adalah umpama seseorang yang merosakkan salah satu daripada anggota badannya dan
ini jelas adalah perbuatan yang diharamkan syari‘at.[16]
Oleh itu tidak boleh
menggugurkan janin sebelum atau selepas 40 hari atas apa-apa alasan kecuali
darurat, seperti:
[2-A]
Disahkan oleh minimum dua orang doktor pakar bahawa janin tersebut
memiliki kecacatan yang hakiki yang akan membawa beban kepada dia dan kedua
ibubapanya apabila dilahirkan nanti. Sains masa kini membolehkan kesihatan janin
ditetapkan pada saat-saat awal dan dipastikan kesihatannya apabila ia membesar
nanti.
[2-B]
Janin tersebut diperolehi oleh seorang wanita melalui jalan paksa seperti
rogol dan penganiayaan. Maka dalam kes seperti ini dibolehkan menggugurkan janin
tersebut untuk mengelakkan beban psikologi yang bakal menimpa anak dan ibu satu
hari nanti. Akan tetapi jika ibu rela menerima anak tersebut, maka tidak
menggugurkan janin adalah pilihan yang lebih baik.
[1]
Sahih:
Sebahagian hadis
daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud
radhiallahu ‘anh, dikeluarkan oleh al-Bukhari,
Muslim dan lain-lain, namun di atas adalah
dengan lafaz al-Nawawi dalam Kitab al-Arba‘ain
– no: 04. Perbincangan perbezaan lafaz akan
dikemukakan seterusnya.
[2]
Muhammad
‘Ali Albar - Human Development as Revealed in
the Holy Qur'an and Hadith (Saudi Publishing
and Distributing House, Jeddah 1989), ms 57.
Untuk gambar peringkat-peringkat ini, lihat:
[1] Keith L.
Moore – The Developing Human: Clinically
Oriented Embryology (with Islamic Additions:
Correlation Studies with al-Qur’an and Hadith by
‘Abdul Majeed Azzindani) (3rd ed, W.B.
Saunders, Philadephia 1982 & Dar al-Qiblah,
Jeddah 1983), mukasurat pertama selepas muka
buku.
[2]
T.W. Sadler – Langman’s Medical
Embryology (Williams & Wilkins, Baltimore
1985), ms i.
[3]
Muhammad
‘Ali Albar - Human Development as Revealed in
the Holy Qur'an and Hadith,
ms 67;
Keith Moore,
The Developing Human,
ms 55-57
dan
Sadler,
Langman’s Medical Embryology,
ms 55.
[4]
Muhammad
‘Ali Albar - Human Development as Revealed in
the Holy Qur'an and Hadith,
ms 71 dan seterusnya;
Keith Moore,
The Developing Human,
ms 79-81
dan Sadler,
Langman’s Medical Embryology,
ms 58 dan seterusnya.
[5]
(A.S.
Noordeen, Kuala Lumpur 1989), ms 245. (alih
bahasa oleh penulis).
[6]
Lihat:
[1]
Sahih
al-Bukhari – no: 6594 (Kitab al-Qadr).
[2] Sahih
Muslim (terj: Mahmoud Matraji; Dar al-Fikr,
Beirut 1993), no: 2643 (Kitab al-Qadar).
[3] Sunan Abu
Daud (terj: Bey Arifin; Victory Agencie,
Kuala Lumpur 1993), no: 4544 (Kitab al-Sunnah,
Bab Tentang al-Qadar).
[4] Sunan al-Tirmizi
(terj: M. Zuhri; Victory Agencie, Kuala
Lumpur 1993), no: 2220 (Kitab al-Qadar, Bab
Amal ditentukan oleh perbuatan terakhir).
[5] Sunan al-Nasa’i
al-Kabir (tahqiq:
‘Abdul Ghafar Sulaiman & Sa‘id Kasrwi Hasan; Dar
al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1991), no: 11246.
[6] Sunan Ibn
Majah (terj: ‘Abdullah Shonhaji; CV.
Asy-Syifa’, Semarang 1992), no: 76 (Bab
Tentang al-Qadar).
[7]
Antaranya:
[1]
‘Abdul Razzaq – al-Musannaf (tahqiq
& takhrij:
Habib al-Rahman al-‘Azami; Maktabah al-Islami,
Beirut 1983), no: 20093.
[2]
Ahmad bin Hanbal – al-Musnad
(tahqiq
& takhrij:
Ahmad Syakir & Hamzah Zain; Dar al-Hadith, Cairo
1995), no: 3624, 3934 & 4091 (dua yang
terakhir dengan lafaz 40 malam)
[3]
al-Bazzar – al-Musnad (tahqiq
& takhrij:
Mahfuz al-Rahman Zain Allah; Muasasah ‘Ulum
al-Qur’an, Beirut & Maktabah al-Ulum wa Hukum,
Madinah 1409H), no: 1551 & 1766.
[4]
Abu Ya’la
– al-Musnad
(tahqiq
& takhrij:
Husain Salim Asad; Dar al-Ma’mun li
al-Turath,
Damsyik 1984), no: 5157.
[5]
al-Thabarani – al-Mu’jam al-Sagheir
(tahqiq:
Syamsul Haq Abadi; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut (tp thn) ), jld 1, ms 84 & al-Mu’jam
al-Ausath (tahqiq
& takhrij:
Mahmud Hasan Ismail; Dar al Fikr, Jordan 1999),
no: 1717 (dgn lafaz 40 malam).
[6]
al-Baihaqi – al-Sunan al-Kubra (tahqiq:
M. ‘Abdul Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1999), no: 15421 & 21280; Syu‘abu al-Iman
(tahqiq:
Muhammad Sa‘id Basuwni Zaghlul; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1999), no: 187 & Kitab al-I’tiqad
wa al-Hidayah ila Sabil al-Rasyad (tahqiq
& takhrij:
‘Abd al-Razaq ‘Afifi, ‘Abdul Rahman al-Mahmud &
‘Abdul Rahman al-Saleh; Dar Ibn Hazm, Beirut
1999), ms 152-153.
[7]
Abu al-Husain al-Saidawi –
Mu’jam al-Shaikh
(tahqiq
& takhrij:
‘Umar ‘Abd
al-Salam; Muasasah al-Risalah, Beirut 1405H),
ms 60;
[8] Abu Bakar al-Humaidi
– al-Musnad (tahqiq:
Habib al-Rahman al-‘Azami; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut & Maktabah al-Matnabi, Kaherah (tp thn)
), no: 126;
[9]
Abu Daud al-Tayalisi – al-Musnad
(Dar
Ma’refah, Beirut (tp thn) ), ms 28 (dgn
lafaz 40 malam);
[10]
Ibn Ja‘ud al-Jauhari al-Baghdadi – al-Musnad
(tahqiq:
‘Amar bin Ahmad Haidar; Muasasah al-Nadr, Beirut
1990), no: 2594.
[11]
Abu al-Shaikh al-Asbahani – Kitab al-‘Azomah
(tahqiq
& takhrij:
Ridha-u-Allah bin Muhammad; Dar al-‘Asomah,
Riyadh 1998), no: 1077.
[12]
Abu Bakar al-Khalil – Kitab al-Sunnah
(tahqiq
& takhrij:
‘Athiyah al-Zahzani; Dar al-Rayah, Riyadh 1410),
no: 890.
[13]
Ibn Abi ‘Ashim – Kitab al-Sunnah (tahqiq
& takhrij:
Nasr al-Din al-Albani, Maktabah al-Islami,
Beirut 1993), no:175.
[14]
Abu Nu‘aim –
Hilyah al-Auliya’
(Dar al-Kitab
al-‘Arabi, Beirut 1405),
jld 7,
ms 365.
[8]
Sepertimana yang
diterangkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam
Fath al-Bari (tahqiq:
‘Abdul
‘Aziz bin
Baz, Dar al-Fikr, Beirut 2000), jld 13, ms
314 (Kitab al-Qadar, hadis no: 6594).
[9]
Mu’jam Shaikh Abu Bakar al-Ismaili (tahqiq:
Zayad Muhammad Mansur, Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukum,
Madinah 1410), no:130.
[10]
Sharf al-Qaadhaah
– Asbab al-Ta‘addud al-Riwayat fi al-Hadith
al-Nabawi al-Shariff, ms 25-26, CF. Jamal
al-Din M. Zarabozo – Commentary on the Forty
Hadith of al-Nawawi (al-Basheer, Boulder
1999), vol 1, ms 389-390.
[11]
Kitab al-Adzkar
(Dar al-Hadith,
Kaherah; edisi cdrom: al-Muhaddith v8.65),
no: 1065.
[12]
Riyadh al-Salihin (tahqiq
& takhrij:
Syu‘aib al-Arna’uth; Maktabah al-Ma’mun, Jeddah
1996), no: 396.
[13]
al-Jamii’ al-Sagheir
(terj:
Nadjih Ahmad; Pt Bina Ilmu, Surabaya 1995),
no: 2179.
[14]
Kanz al-Ummal fi Sunan al-Aqwal wa al-Af‘al
(tahqiq:
‘Umar al-Rumiyati; Dar al-Kutub al-Ilmiah,
Beirut 1998), no: 520 & 572.
[15]
Untuk perincian
pendapat para imam mazhab, lihat Muhammad Nu‘aim
Yasin – Fikih Kedokteran (terj: Munirul
Abidin; Pustaka al-Kautsar, Jakarta 2001), ms
197-215.
[16]
Hal ini berbeza
hukumnya dengan tindakan perancangan keluarga
yang menghalang percampuran antara air mani
lelaki dan wanita, seperti penggunaan kondom,
pil pencegah kehamilan, suntikan hormon, IUD dan
lain-lain cara yang ada. Ini adalah kerana
kaedah ini tidak memusnahkan janin tetapi
sekadar mengelak kemungkinan persenyawaan
antara sperma lelaki dan wanita yang bakal
melahirkan janin. Persenyawaan adalah umpama
akad jual beli. Seseorang itu tidak dibolehkan
memecahkan akad jika ia telah dipersetujuinya
bersama pihak yang lain. Berbeza halnya jika
tidak ada akad antara dua pihak. Perancangan
keluarga sudah wujud di zaman Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda
tidak mengharamkannya. Perkara ini telah penulis
huraikan dalam buku Kaedah Memahami
Hadis-hadis yang Saling Bercanggah (Jahabersa,
Johor Bahru 2002).