Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.
Contoh 1:
Matahari Sujud Di
Bawah Arasy Di Malam Hari.
Berkata Abu Dzar
radhiallahu ‘anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah
bertanya kepada dia tentang hal tenggelamnya matahari:
أَتَدْرِيْ أَيْنَ تَذْهَبُ ؟ قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ:
فَإِنَّهَا تَذْهَبُ حَتَّى تَسْجُدَ تَحْتَ الْعَرْشِ فَتَسْتَأْذِنَ فَيُؤْذَنُ
لَهَا وَيُوْشِكُ أَنْ تَسْجُدَ فَلاَ يُقْبَلَ مِنْهَا. وَتَسْتَأْذِنَ فَلاَ
يُؤْذَنَ لَهَا. يُقَالُ لَهَا اِرْجِعِيْ مِنْ حَيْثُ جِئْتِ فَتَطْلُعُ مِنْ
مَغْرِبِهَا. فَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى: (( وَالشَّمْسُ تَجْرِيْ لِمُسْتَقَرٍّ
لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيْرُ الْعَزِيْزِ الْعَلِيمِ )).
“Tahukah
kamu ke mana perginya (matahari di malam hari)?” Saya (Abu Dzar) menjawab:
“Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Lalu Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya
ia pergi sehingga sujud di bawah Arasy. Ia meminta izin maka diizinkannya. Lalu
ia segera untuk bersujud lagi tetapi tidak diterima darinya, lalu ia meminta
izin lagi namun ia tidak diperkenankan. Dikatakan kepada ia: Kembalilah dari
mana kamu datang. Maka ia muncul (terbit) dari tempat ia tenggelam (terbenam).
Inilah yang
dimaksudkan oleh Allah Ta‘ala dalam firman-Nya: Dan matahari, ia beredar ke
tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengetahui.”
[Yasin
36:38][1]
Kemusykilan:
Ada beberapa
kemusykilan yang timbul dari hadis ini:
Dalam hadis ini disebutkan bahawa matahari
pergi untuk bersujud,
menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari. Bukankah ini menyalahi fakta
sains di mana yang bergerak sebenarnya adalah bumi?
Berdasarkan ilmu sains, kita sama-sama tahu di mana kedudukan matahari di
malam hari. Kenapa pula dalam hadis ini dikatakan matahari pergi bersujud di
bawah Arasy?
Lebih aneh, bagaimana pula matahari akan terbit di tempat terbenamnya,
yakni di sebelah Barat?
Di akhir hadis ini, dibacakan ayat al-Qur’an bahawa matahari beredar ke
tempat yang ditetapkan baginya. Dalam kuliah-kuliah Zakir Naik[2],
diterangkan bahawa maksud ayat ini bukanlah untuk menunjukkan bahawa matahari
itu bergerak dalam orbitnya yang tersendiri atau bergerak mengelilingi bumi
tetapi ia menunjukkan bahawa matahari berpusing di atas paksinya dengan setiap
pusingan mengambil masa kira-kira 25 hari. Ini juga telah dibuktikan oleh sains
mutakhir. Maka sekali lagi terdapat percanggahan antara hadis ini dengan
al-Qur’an dan sains.
Penjelasannya:
Sebelum dijelaskan
satu persatu kemusykilan di atas, perlu diingatkan bahawa tujuan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
membicarakan perihal matahari bukanlah untuk mengajar umat pada zamannya ilmu
sains tetapi adalah untuk menghubungkan antara ciptaan-ciptaan alam dan
Penciptanya agar dengan pengamatan dan pemerhatian tersebut, keimanan dan
keyakinan umat bertambah teguh dan mantap.
Ini adalah
sepertimana firman Allah Subhanahu wa
Ta‘ala dalam al-Qur’an:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ.
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ
وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ
هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Sesungguhnya pada
kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,
kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;
(Iaitu)
orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk
dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang
kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau
menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah
kami dari azab neraka.”
[‘Ali Imran 3:190-191]
Kaedah pengamatan
dan pemerhatian tersebut mungkin sahaja berbeza bergantung kepada individu,
tahap ilmu dan suasana zaman kehidupannya. Dalam kes ini Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam
memberikan tumpuan kepada umatnya di zaman yang masih belum dikuasai sepenuhnya
oleh ilmu sains. Sekalipun Rasulullah mengetahui ilmu sains secara tepat
berdasarkan wahyu pengajaran dari Allah ‘Azza
wa Jalla, baginda tidak mungkin akan mengajarnya kerana melakukan sedemikian
tidaklah termasuk dalam kaedah dakwah yang berhikmah di saat itu.
Namun dengan
berubahnya zaman dan peradaban manusia, maka berubahlah juga kaedah dakwah. Apa
yang dianggap sebagai tidak berhikmah di zaman dahulu kini berubah menjadi
kaedah yang berhikmah manakala apa yang dianggap berhikmah di zaman dahulu
mungkin sahaja tidak lagi tepat di zaman kini.
Ini umpama apabila
seorang anak kecil berumur 3 tahun yang bertanya kepada kedua ibubapanya dari
manakah dia datang. Adakah kedua ibubapanya akan menjelaskan kepada dia setiap
perincian, dari pemulaan hubungan seks, peringkat-peringkat perkembangan embrio
sehinggalah kepada proses kelahiran; atau mereka akan mencari jalan lain untuk
menjelaskan secara mudah dan mengaitkannya kepada Allah agar si anak dapat
memahaminya dan mula mengenal siapakah Penciptanya? Pasti sahaja jawapan kedua
ibubapa akan berbeza apabila yang bertanya adalah seorang anak yang telah
mencapai umur dewasa belasan tahun, di mana dijelaskan dari sudut sains biologi
dan dikaitkan dengan sifat Allah yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui.
Oleh itu jika kita
perhatikan benar-benar hadis perihal matahari di atas, kita akan dapati ianya
penuh dengan petunjuk dan isyarat yang mengaitkan matahari dengan Penciptanya.
Hadis ini tidak bercanggah dengan sains malah ia adalah satu cabaran kepada ilmu
sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.
Berikut dijelaskan
satu persatu kemusykilan yang timbul daripada hadis di atas:
Kemusykilan Pertama:
Matahari pergi untuk
bersujud, menunjukkan bahawa yang bergerak adalah matahari.
Penjelasan:
Perkataan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesungguhnya
ia (matahari) pergi sehingga…….” sebenarnya adalah ungkapan dari segi
bahasa, bukan sains. Bukankah kita juga apabila merujuk kepada matahari
menggunakan ungkapan seolah-olah matahari yang bergerak? Dalam bahasa Melayu
dikatakan “Matahari sedang terbit” di pagi hari, “Matahari telah
tergelincir” di siang hari dan “Matahari terbenam” di waktu Maghrib.
Semuanya menunjukkan seolah-olah yang bergerak adalah matahari. Begitu juga
dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa para ahli sains, di mana dikatakan
“The Sun rises” dan “The Sun sets”, kedua-duanya menunjukkan
seolah-olah matahari yang bergerak.
Justeru diulangi
bahawa sebutan: “Sesungguhnya ia (matahari) pergi sehingga…….”
sebenarnya adalah ungkapan dari segi bahasa, bukan sains.
Kemusykilan Kedua:
Matahari pergi
bersujud di bawah Arasy.
Penjelasan:
Yang dimaksudkan
bersujud dalam hadis di atas bukanlah bersujud sepertimana perbuatan solat
tetapi adalah sujud dalam ertikata ia mentaati perintah dan ketetapan Allah ke
atasnya. Perhatikan firman Allah
Subhanahu wa Ta‘ala dalam dua
ayat berikut:
وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا
وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ.
Dan kepada Allah
jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sujud (tunduk
menurut), sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga)
bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang.
[al-Ra’d 13:15]
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي
الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ
وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ.
Tidakkah engkau
mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada
Allah, dan matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang,
dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia?
[al-Hajj
22:18]
Sujud dalam dua ayat
di atas ertinya ia mengikuti segala undang-undang dan peraturan yang telah Allah
tetapkan bagi ia. Ini dikenali sebagai sunnatuLlah. Hal ini diperincikan
oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala
dalam ayat berikut:
إِنَّ رَبَّكُمُ اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ فِي سِتَّةِ
أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ يُغْشِي اللَّيْلَ النَّهَارَ يَطْلُبُهُ
حَثِيثًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ وَالنُّجُومَ مُسَخَّرَاتٍ بِأَمْرِهِ أَلَا لَهُ
الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ.
Sesungguhnya Tuhan
kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia
bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya
dengan deras (silih berganti) dan matahari dan bulan serta
bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada
Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan
pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
[al-A’raaf 7:54]
Justeru sama ada
matahari atau bulan atau planet-planet lain, sama ada ia berorbit atau berputar
pada paksinya atau kedua-duanya, itu semua adalah perintah, peraturan dan
ketetapan Allah bagi mereka.
Maka apabila
dikatakan matahari setelah terbenam pergi bersujud kepada Allah, ertinya ia
tunduk kepada perintah dan peraturan Allah terhadapnya. Matahari tetap berada
pada peraturannya, ia tidak hilang tetapi akan terbit kembali pada esok paginya.
Terbit dan terbenamnya matahari yang disaksikan kerana pergerakan bumi adalah
kerana aturan dan ketetapan Allah ‘Azza
wa Jalla terhadap mereka.
Hal ini telahpun
dibuktikan oleh sains akan tetapi sains masih belum dapat menemui kenapa dan
bagaimana matahari dan bumi dapat berputar dan/atau berorbit dalam satu
peraturan yang begitu seragam sehingga ia tidak bertembung mahupun lari dari
ketetapannya. Begitu juga dengan sistem cakerawala yang lain, planet-planet,
bulan, meteor dan bintang. Sains telah menemui peraturan gerakan mereka tetapi
sains belum menemui siapakah yang mengaturnya. Atau mungkin sudah ditemui tetapi
keberatan untuk mengakui atau mengumumkannya.
Inilah yang penulis
maksudkan bahawa hadis ini bukan sahaja tidak bercanggah dengan sains malah ia
adalah satu cabaran kepada ilmu sains yang mutakhir mahupun yang akan datang.
Kemusykilan Ketiga:
Matahari akan terbit
di tempat terbenamnya.
Penjelasan:
Keterangan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
bahawa matahari kemudiannya disuruh terbit di tempat terbenamnya sebenarnya
merujuk kepada suasana akhir zaman beberapa ketika sebelum Kiamat. Terdapat
beberapa hadis lain di mana Rasulullah menerangkan bahawa menjelang Hari Kiamat,
matahari akan terbit di tempat terbenamnya.[3]
Di saat ini matahari tidak lagi mengikuti peraturan yang sudah sekian lama
diperintahkan kepadanya.
Di dalam al-Qur’anul
Karim, terdapat beberapa ayat yang menerangkan bahawa matahari hanya akan
mengikuti peraturan yang ditetapkan baginya untuk satu tempoh tertentu. Salah
satu dari ayat tersebut ialah:
خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِالْحَقِّ يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ
وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ
يَجْرِي لِأَجَلٍ مُسَمًّى أَلَا هُوَ الْعَزِيزُ الْغَفَّارُ.
Ia (Allah)
menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula
menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang
melingkari malam (dengan cahayanya); dan Ia menjadikan matahari dan bulan
beredar menurut perintahnya, - tiap-tiap satu dari keduanya, beredar untuk
suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi
Yang sentiasa Mengampuni.
[al-Zumar 39:05, lihat juga Fatir 35:13, Luqman 31:29 dan al-Ra’d 13:02]
Sebelum tempoh yang
ditetapkan itu, peraturan terhadap matahari adalah sepertimana dalam ayat
berikut:
لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ
النَّهَارِ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ.
Matahari tidak
mungkin baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang;
kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya
masing-masing.
[Yasin
36:40]
Namun setelah tempoh
yang ditetapkan yakni menjelang Hari Kiamat, matahari dan bulan akan berhimpun
bersama sepertimana yang dikhabarkan oleh ayat berikut:
يَسْأَلُ أَيَّانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ.
فَإِذَا بَرِقَ الْبَصَرُ.
وَخَسَفَ الْقَمَرُ.
وَجُمِعَ الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ.
Dia bertanya (secara
mengejek): “Bilakah datangnya hari kiamat itu?” Maka (jawabnya: Hari Kiamat akan
datang) apabila pemandangan menjadi terpendar-pendar (kerana gerun takut), Dan
bulan hilang cahayanya, Dan matahari serta bulan dihimpunkan bersama.
[al-Qiyamah 75:6-9]
Malah matahari
sendiri akan digulung:
إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ
Apabila matahari
digulung.
[al-Takwir
81:01][4]
Yakni apabila
matahari dilipat, dicantumkan sebahagian dengan sebahagian yang lain seperti
melipat kain serban, menghimpunkan pakaian dengan pakaian lain, kemudian dibuang,
hilang cahayanya sebagai tanda alam ini akan binasa.[5]
Menjelangnya Hari
Kiamat, peraturan matahari sangat berbeza dan berlainan, mungkin sahaja
yang pertama ia terbit dari Barat, kemudian berhimpun dengan bulan lalu akhirnya
ia menggulung sehingga hilang cahayanya. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
Kemusykilan Keempat:
Matahari beredar ke
tempat yang ditetapkan baginya.
Penjelasannya:
Nukilan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam akan
ayat 36 surah Yasin: “Dan matahari, ia beredar ke tempat yang ditetapkan
baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.”
tidaklah bertujuan untuk menafikan
sains mahupun membenarkannya.
Tujuan baginda
hanyalah untuk menerangkan bahawa urusan peredaran matahari, apa dan bagaimana
dari awal hingga ke saat menjelang Kiamat, semuanya di bawah pengetahuan dan
kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla.
Penjelasan Tambahan:
Di kalangan ilmuan
Islam, ada yang berpendapat bahawa bukan bumi yang mengelilingi matahari tetapi
matahari yang mengelilingi bumi.
Pendapat ini mereka
dasarkan kepada pelbagai ayat al-Qur’an dan hadis sahih, di mana semuanya
menerangkan matahari yang bergerak, bukan bumi yang bergerak.
Ada pun dakwaan
sains yang menyatakan bumi mengelilingi matahari, kita umat Islam tidak tahu
sejauh mana kebenarannya kerana kita tidak menguasai ilmu ini.
Secara umumnya ilmu
ini pada masa kini dikuasai oleh umat bukan Islam. Apa yang diajar tentang
peredaran bumi mengelilingi matahari, semuanya berasal daripada umat bukan
Islam. Mungkin mereka tersilap atau mungkin mereka menyembunyikan kebenaran
kerana enggan mengakui kebenaran Islam. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
[1]
Sahih:
Hadis dikeluarkan
oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat
Sahih al-Bukhari (terj: Mahmoud Matraji; Dar
al-Fikr, Beirut 1993),
no: 3199
(Kitab Awal Penciptaan, Bab Sifat Matahari dan
Bulan).
[2]
Beliau
adalah seorang tokoh da‘i dari India yang
terkenal di seluruh dunia. Dalam beberapa
kuliahnya, dikaitkan antara ayat al-Qur’an dan
penemuan sains yang jelas agar dengan itu
terbukti kebenaran al-Qur’an sebagai sebuah
kitab wahyu. Beliau juga adalah seorang pakar
dalam bab Perbandingan Agama dan Isu-isu semasa.
Sangat dianjurkan kepada para pembaca untuk
menimba ilmu dari kuliah-kuliah beliau.
Kuliah-kuliah ini telah dirakam dan diedarkan
dalam bentuk Video CD oleh Saba Islamic Media,
Kuala Lumpur.
(http://www.saba-islamic-media.com)
[3]
Lebih
lanjut silalah mengkaji buku Amin Muhammad
Jamaluddin yang amat menarik, berjudul Umur
Umat Islam, Kedatangan Imam Mahdi dan Munculnya
Dajjal (terj: H.Akel; Cendekia Sentra
Muslim, Jakarta 2000). Bagi hadis-hadis yang
menerangkan matahari bakal terbit di tempat
terbenamnya, lihat mukasurat 136-138.
[4]
Terjemahan ayat
berdasar edisi Tafsir al-Munir yang
diterjemahkan oleh panel penterjemah kelolaan
Persatuan Ulama’ Malaysia.
[5]
Wahbah
Zuhaili – Tafzir al-Munir (PUM & IMAP,
Kuala Lumpur 2001), juz ‘Amma, ms 76.