Hadis-hadis musykil dari sudut ilmu Sains.
Pengenalan Dan
Kaedah Memahaminya.
Hadis-hadis yang
musykil dari sudut ilmu sains ialah hadis-hadis yang memberi maksud atau
pengajaran yang tidak selari dengan penemuan dan fakta sains masa kini. Ada di
antara hadis-hadis ini yang terasing dengan sains, ada yang bertentangan dengan
sains dan ada yang dibuktikan salah oleh sains.
Sebenarnya
hadis-hadis yang dianggap musykil ini hanyalah merupakan sesuatu yang wujud pada
pandangan zahir seseorang. Sebenarnya tidak akan wujud sebarang pertentangan
antara hadis-hadis Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam dan alam kehidupan ini (yakni sains) kerana kedua-duanya
adalah wahyu dan penciptaan yang berasal daripada sumber yang sama iaitu Allah
‘Azza wa Jalla.
Justeru apabila
seseorang itu menemui satu hadis yang kelihatan musykil dari sudut sains, ia
bukanlah kemusykilan yang hakiki. Kemusykilan wujud kerana kegagalan seseorang
itu untuk mencermati beberapa faktor berikut:
Adakah
hadis yang dianggap bertentangan tersebut sahih sanadnya dan
benar-benar berasal daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam? Tidak sedikit kita menemui sesebuah hadis yang
dianggap berasal daripada Rasulullah tetapi ia memiliki sanad yang sangat
dha‘if atau maudhu’, atau mungkin juga ia hanyalah merupakan
sebutan sahabat atau generasi selepas mereka.
Adakah
hadis yang dianggap bertentangan tersebut telah diterjemahkan atau difahami
dengan tepat?
Adakah
fakta sains tersebut sesuatu yang nyata (established fact) atau hanya
teori yang belum dipersetujui secara jumhur oleh para ahlinya? Sekalipun ia
adalah sesuatu yang dipersetujui jumhur, perlu diingatkan bahawa ilmu sains
bersifat dinamik, apa yang dipersetujui seratus tahun dahulu mungkin akan
diperselisihkan pada masa kini dan apa yang dipersetujui pada masa kini mungkin
akan dipersoalkan semula pada masa akan datang. Oleh itu hendaklah ditetapkan
secara pasti sesebuah fakta sains sebelum ia dianggap bertentangan dengan
sesebuah hadis.
Apakah
sudah dipertimbangkan kemungkinan bahawa hadis musykil tersebut sebenarnya
menerangkan sesuatu yang pada hakikatnya masih belum dijangkau ilmunya?
Hadis-hadis seperti ini sering kali ditolak sebagai ketinggalan padahal mungkin
sahaja ia memiliki petunjuk sains yang jauh ke hadapan, ke satu tahap yang buat
masa ini belum tercapai oleh sains dan sekaligus menjadi cabaran bagi para
ahlinya.
Adakah hadis yang
dianggap bertentangan tersebut asalnya disampaikan oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai
satu ilmu sains atau hanya sekadar apa yang sesuai dengan suasana masyarakat di
sekeliling baginda?
Yang terakhir di
atas amat perlu diberi perhatian kerana ada sesetengah pihak yang menganggap
keseluruhan ucapan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam adalah
daripada sumber wahyu. Sebenarnya para ilmuan Islam telah bertindak cemerlang
dalam hal ini, di mana mereka telah membezakan ucapan, perbuatan dan persetujuan
baginda (yakni sunnah baginda) kepada beberapa jenis:
Sunnah yang termasuk dalam urusan syari‘at seperti akidah, ibadah dan
sebagainya. Dalam sunnah yang pertama ini wahyu bersifat memerintah manakala
Rasulullah hanyalah sebagai penyampainya.
Sunnah yang termasuk dalam urusan ijtihad baginda sebagai seorang
pemimpin seperti kaedah kepimpinan negara, strategi peperangan dan pengurusan
masyarakat. Dalam sunnah yang kedua ini wahyu bersifat membimbing dengan memberi
beberapa petunjuk asas agar tidak terkeluar dari batas yang diredhai syari‘at.
Sunnah yang
termasuk dalam urusan harian baginda sebagai seorang manusia seperti cara tidur,
menyikat rambut, berpakaian dan sebagainya. Dalam sunnah ini wahyu bersifat
memerhati dan menegur agar setiap perbuatan harian ini termasuk dalam lingkungan
teladan hasanah yang dapat dicontohi oleh umat baginda.
Oleh kerana itu
perlu dibezakan antara sunnah-sunnah Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam agar
kita dapat meletakkan setiap hadis baginda pada tempatnya yang sebenar.
Berikut dikemukakan
4 contoh hadis yang dianggap terasing, bertentangan dan batil dengan sains moden
diikuti dengan penjelasannya yang sebenar.[1]
[1]
Hampir semua hadis-hadis musykil dalam kategori
Dari Sudut Ilmu Sains (Bab A) dan Dari
Sudut Ilmu Perubatan (Bab B) penulis ambil
dari buku Maurice Bucaille yang berjudul The
Bible, The Qur’an and Science
(A.S.
Noordeen, Kuala Lumpur 1989) dalam sebuah bab
khusus yang berjudul The Qur’an, Hadith and
Modern Science (ms 242-248) di
mana dalam bab ini pengarang telah mengemukakan
sejumlah hadis dalam kitab Sahih al-Bukhari
yang memusykilkan beliau.