Bab 8
Pengukur Kebenaran Bukanlah
Keramaian Atau Kemasyhuran
Mohd Hairi bin Nonchi
Pendidikan Dengan Sains Sosial,
Universiti
Malaysia
Sabah
Dalam kalangan umat Islam, ada sebahagian pihak yang
beranggapan bahawa kebenaran sesuatu perkara itu diukur berdasarkan
kepada ramainya orang yang berpegang kepadanya. Dalam perkataan lain,
mereka menjadikan faktor kuantiti sebagai barometer untuk mengukur
sesuatu kebenaran. Apabila diajukan soalan, mengapa anda berpandangan
sedemikian, maka dengan spontan pihak yang ditanya akan menjawab:
“Bukankah jumlah yang ramai dalam sesuatu perkara itu menggambarkan
kesatuan pendapat dari pelbagai pihak, dan sudah tentu sahajalah tidak
mungkin perkara yang disepakati itu tersilap atau salah!”
Demikianlah sikap sebahagian umat Islam pada masa kini dan sikap mereka
tatkala berinteraksi dengan agama mereka sendiri, di mana segelintir
dari kalangan mereka sering beralasan “kena ikut pegangan yang paling
ramai” bagi menangkis sesuatu perkara yang dikatakan sebagai “pelik” dan
“ganjil” pada pandangan mereka tanpa mahu mengkajinya terlebih dahulu
sama ada perkara “pelik” yang ditolak itu berada di posisi kebenaran
atau sebaliknya.
Berpijak atas dasar ini, maka penulis menampilkan diri di arena pentas
penulisan bagi memperbetulkan semula sikap sesetengah pihak dalam
membuat pengukuran ketika mencari kebenaran sesuatu pegangan atau
amalan. Kesedaran untuk menulis artikel ini sebenarnya timbul apabila
penulis sendiri melihat reaksi atau sikap sebahagian masyarakat ketika
mereka berhadapan dengan kepelbagaian pendapat atau amalan.
Oleh yang demikian, penulis merasakan perlunya perkara ini diketengahkan
agar manhaj dalam menilai sesuatu perkara berhubung dengan persoalan
agama ini dapat dibetulkan dan diletakkan pada tempat yang sepatutnya.
Sepanjang perbahasan ini, penulis semampu mungkin akan berusaha membawa
para pembaca sekalian untuk mengenali manhaj yang benar dalam membuat
penilaian; yaitu manhaj yang bersumberkan kepada petunjuk al-Qur’an,
pegangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a serta pandangan para
ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Insya’Allah.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran, maka kita akan dapati
sejumlah ayat yang menerangkan bahawa Allah s.w.t sendiri telah
membatalkan pandangan sesetengah pihak yang meletakkan pegangan dan
amalan majoriti sebagai hujah yang menjustifikasikan pegangan mereka.
Hal ini kerana, kebenaran itu hanyalah bersumberkan kepada wahyu yang
Allah turunkan kepada sekalian Nabi dan Rasul-Nya, manakala manusia pula
tiadalah sedikit pun hak untuk menentukan pegangan mereka itu adalah
sesuatu yang benar. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah :
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ
ٱلۡمُمۡتَرِينَ
“Kebenaran itu adalah (bersumber)
daripada Tuhanmu; maka janganlah engkau termasuk orang-orang yang
meragui tentang kebenaran itu..”
(Surah al-Baqarah
2:147)
Perhatikan
juga
ayat-ayat berikut:
وَإِن تُطِعۡ أَڪۡثَرَ مَن فِى ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ
عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ
إِلَّا يَخۡرُصُونَ
“Dan jika kamu menuruti
kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu
dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan
belaka; dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap
Allah).”
(Surah al-An’am
6:116)
وَمَا يَتَّبِعُ أَكۡثَرُهُمۡ إِلَّا ظَنًّاۚ إِنَّ
ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِى مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيۡـًٔاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمُۢ
بِمَا يَفۡعَلُونَ
“Dan kebanyakan mereka tidak menuruti melainkan sangkaan sahaja;
(padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak (dalam)
menentukan dari kebenaran”
(Surah Yunus 10:36)
Lihatlah dalam ayat-ayat di atas, Allah s.w.t sendiri telah
menerangkan kepada kita mengenai tabiat atau sikap manusia yang
kebanyakan atau majoritinya hanya cenderung kepada sikap
berprasangka dalam membuat penilaian terhadap sesuatu perkara – walhal
persepakatan yang hanya didasarkan kepada sangkaan oleh majoriti
itulah yang sering menyesatkan manusia dari jalan yang benar. Tidak
sekadar itu, selain ayat-ayat al-Quran di atas, terdapat beberapa lagi
dalil dari al-hadis
as-sahihah
dan qaul para ulama’ mengenai perkara ini, di antaranya :
Hadis
#
1:
Tsauban r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda :
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ
إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟
قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ
السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ
مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ. فَقَالَ
قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا
وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
“Sebentar lagi akan datang umat-umat yang berkerumunan
ke atas
kalian seperti kerumunannya orang-orang yang makan pada satu pinggan.”
Maka seorang bertanya:
“Apakah
jumlah kami pada ketika itu sedikit?” Baginda s.a.w menjawab:
“Bahkan
jumlah kamu pada saat itu ramai. Akan tetapi keadaan kamu seperti
buih-buih di lautan. Dan sesunguhnya Allah akan mencabut dari (hati)
musuh-musuh kamu rasa takut terhadap kamu serta akan ditimpakan
(penyakit)
al-Wahn
di dalam hati-hati kamu.”
Para sahabat bertanya:
“Wahai
Rasulullah! Apakah
al-Wahn?”
Baginda menjawab:
“Cinta
kepada dunia dan takut mati.”
Hadis di atas memaparkan perkhabaran baginda s.a.w mengenai
keadaan umat Islam di akhir zaman. Menarik untuk diperkatakan di sini
bahawa jika diamati hadis yang tertera di atas maka kita akan dapati
Rasulullah s.a.w menyebut “... Bahkan jumlah kamu pada saat itu
ramai ....” bagi menjawab soalan yang diajukan oleh salah
seorang sahabatnya.
Sebenarnya, sahabat yang bertanya tersebut telah beranggapan bahawa
kemungkinan punca utama yang menjadi penyebab kepada berlakunya situasi
yang menimpa umat Islam sebagaimana yang dikhabarkan oleh baginda dalam
sabdanya tersebut adalah disebabkan oleh jumlah atau bilangan mereka
yang sedikit.
Walaubagaimanapun, sangkaan atau anggapan sahabat tersebut ternyata
meleset kerana soal bilangan bukanlah sebab utama yang membawa kepada
kelemahan umat Islam, akan tetapi - sebagaimana menurut penjelasan
baginda s.a.w - ianya adalah disebabkan oleh sikap umat Islam sendiri
yang tidak lagi berpegang teguh kepada jati diri Islam yang tulen,
sebaliknya lebih cenderung kepada sifat terlalu cintakan dunia dan
takutkan mati (al-Wahn). Maka dalam hadis ini ternyata kualiti
umat Islam jauh lebih penting dari kuantiti mereka.
Hadis #2:
Dalam sebuah hadis
yang masyhur,
Rasulullah s.a.w telah bersabda:
أَلاَ إِنَّ مَنْ قَبْلَكُمْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ اِفْتَرَقُوْا عَلَى
ثِنْتَيْنِ وَسَبْعِيْنَ مِلَّةً، وَإِنَّ هَذِهِ الْمِلَّةَ سَتَفْتَرِقُ
عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ: ثنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِيْ النَّارِ
وَوَاحِدَةٌ فِيْ الْجَنَّةِ وَهِيَ الْجَمَاعَةُ.
“.... Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab (Yahudi
dan Nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan
sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh
tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka
dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga iaitu al-Jamaah ....”
Menerusi hadis di atas, Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan
kepada kita bahawa selepas kewafatan baginda s.a.w umat Islam akan
berpecah kepada beberapa golongan. Ternyata apa yang diungkapkan oleh
baginda s.a.w tersebut benar-benar berlaku ketika ini, di mana umat
Islam telah berpecah belah kepada sekian-sekian aliran, jamaah, puak,
kumpulan atau golongan.
Walaubagaimanapun, di samping perkhabaran tersebut, baginda s.a.w turut
mengingatkan kita bahawa hanya satu kumpulan sahaja daripada
kumpulan-kumpulan yang berpecah ini yang akan berjaya memasuki syurga,
iaitu “al-Jamaah”.
Melalui risalah ini, ingin penulis mengambil kesempatan untuk
memperbetulkan salah faham sebahagian pihak mengenai makna sebenar bagi
istilah “al-Jamaah” dalam hadis tersebut.
Hendaklah difahami bahawa maksud “al-Jamaah” dalam hadis di atas
bukanlah merujuk kepada sesuatu kumpulan, puak, firqah, parti, gerakan,
organisasi atau persatuan, akan tetapi yang dimaksudkan dengan istilah
“al-jamaah” dalam hadis tersebut ialah umat Islam seluruhnya yang
bersatu di atas kebenaran.
Manakala kebenaran itu pula sudah pastilah apa yang bersumberkan kepada
petunjuk al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih berdasarkan
amalan dan pemahaman para sahabat r.a atau generasi al-Salaf al-Soleh.
Kesilapan dan kegelinciran yang sering berlaku di kalangan
segelintir umat Islam hari ini ialah, apabila disebut sahaja istilah
“al-Jamaah” maka secara automatik tergambar pada benak
fikiran mereka bahwa “al-Jamaah” itu merujuk kepada sesuatu
kumpulan atau golongan, kemudian dari kumpulan itu pula mereka cuba
mengaitkannya dengan faktor kuantiti atau bilangan orang-orang yang
menjadi pengikut atau pendukung kepada kumpulan tersebut.
Bertitik tolak dari salah faham ini, maka lahirlah manhaj penilaian
“semakin ramai pengikut sesuatu golongan atau kumpulan, maka kumpulan
itulah yang sebenarnya yang paling betul”.
Sebenarnya “al-Jamaah” dalam hadis di atas tidak ada kena-mengena
sedikit pun dengan faktor kuantitinya. Hal ini adalah kerana, sesiapa
sahaja yang mengikuti kebenaran yang dibawa oleh baginda s.a.w maka dia
adalah termasuk dalam “al-Jamaah” yang diiktiraf baginda s.a.w –
walaupun – yang berpegang kepada kebenaran tersebut hanyalah keseorangan
diri dan amat sedikit orang-orang yang mengikutinya. Hakikat ini adalah
sepertimana jelas Abd Allah ibn Mas’ud r.a.:
“Al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran sekalipun engkau
bersendirian”
Selain itu, Al-Imam Abu Syamah As-Syafi’e r.h.
ketika menghuraikan maksud al-Jamaah berkata :
“Acapkali datang perintah untuk berpegang teguh dengan al-Jamaah,
maka yang dimaksudkan (dengan berpegang teguh kepada al-Jamaah ialah)
senantiasa berpegang teguh dengan kebenaran dan para pengikutnya,
walaupun orang yang berpegang teguh dengan kebenaran itu sedikit
jumlahnya dan orang yang menyelisihinya banyak jumlahnya. Hal ini kerana
kebenaran ialah ajaran yang diamalkan oleh al-Jamaah generasi
pertama semenjak Nabi s.a.w dan para sahabatnya r.a, dan tidak
dipertimbangkan banyaknya jumlah pengikut kebatilan yang ada setelah
mereka..”
Hadis
# 3:
Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan sebuah hadis, di mana beliau
mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيْبًا.
فَطُوْبىَ لِلْغُرَبَاءِ.
“Sesungguhnya Islam bermula asing, dan ia akan kembali menjadi asing
sepertimana ia bermula; maka berbahagialah orang-orang yang asing itu.”
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w memberitakan kepada
umatnya akan sifat “asing”
yang bakal menimpa
agama Islam dan orang-orang yang berpegang teguh kepadanya. Sebagaimana
hadis-hadis sebelum ini, maka demikian jugalah, dalam riwayat ini
baginda tidak sedikit pun mengaitkan faktor bilangan yang ramai atau
kemasyhuran sebagai hujah bagi menjustifikasikan kebenaran sesuatu
amalan atau pegangan.
Yang baginda tonjolkan dalam riwayat di atas hanyalah mengenai
kebahagiaan yang bakal diraih bagi golongan “asing”
yang benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam yang tulen lagi
murni; yakni Islam sebagaimana yang dibawa dan dipraktikkan oleh
Rasulullah dan generasi sahabat suatu masa dahulu.
Oleh sebab itu, maka tidak menghairankanlah apabila pelbagai amalan
sunnah Rasulullah dipraktikkan di tengah-tengah masyarakat hari ini, ia
dipandang “pelik” dan “asing”. Malah lebih daripada itu, bagi masyarakat
yang jahil,
mereka
akan menganggapnya sebagai amalan yang terkeluar dari ajaran Islam.
Semua ini disebabkan bukan sahaja oleh faktor kejahilan mereka dalam
memahami ajaran Islam yang sebenar atau kerana sifat “kepelikan” amalan
tersebut, tetapi juga disebabkan oleh kurang atau sedikitnya orang-orang
yang beramal dan berpegang dengannya berbanding dengan amalan lain yang
dilakukan oleh majoriti umat.
Secara kesimpulannya,
berdasarkan kepada hujah-hujah yang penulis bahaskan di atas, maka
jelaslah kepada kita semua bahawa untuk mengukur sesuatu kebenaran
bukanlah terletak kepada kemahsyuran sesuatu pegangan atau amalan.
Ia juga tidak
terletak kepada bilangan orang-orang yang beramal atau berpegang
kepadanya.
Apa yang benar ialah, untuk mempastikan sama ada sesuatu perkara itu
benar atau tidak, maka ia perlu ditimbang atas neraca al-Quran dan
al-Sunnah yang sahih. Apakah ianya benar-benar berpijak di atas
dalil-dalil al-Quran dan/atau al-Sunnah yang sahih, atau sebaliknya.
Inilah manhaj yang benar lagi adil, dan juga merupakan prinsip yang
termaktub di atas lembaran al-Quran dan al-Sunnah.
Sebagai mengakhiri risalah ini, maka ada baik kiranya penulis menukilkan
beberapa pesanan para ulama’ yang berkait rapat dengan persoalan ini.
Diharap dengan pesanan dan mutiara kata daripada mereka ini sedikit
sebanyak akan membantu ke arah membuka minda bagi siapa sahaja yang
membacanya agar dengan cara seperti ini manhaj penilaian yang benar,
tepat lagi adil dapat diterapkan kepada semua pihak.
al-Imam al-Thurtusi r.h (w530H):
Merata dan tersebarnya suatu amalan tidak menunjukkan kebolehannya
sepertimana terselubungnya tidak menunjukkan pelarangannya.
Syaikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan dalam kitabnya Syarah Masa-il
Jahiliyah berkata:
Nilai ukur kebenaran itu bukan kerana jumlah pengikut yang besar, tetapi
nilai ukurnya adalah kebenaran atau kebatilan yang menyertainya. Setiap
yang benar walaupun pengikutnya sedikit, maka harus digenggam kuat.
Itulah jalan keselamatan.
Semua kebatilan tidak boleh berubah menjadi benar hanya kerana jumlah
pengikutnya yang banyak. Nabi s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Islam
itu muncul sebagai agama yang asing (sedikit pengikutnya) dan suatu
ketika akan kembali asing sebagaimana pertama kali muncul”
(Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Iman –
no: 146)
Seorang tokoh as-Salaf as-Soleh yang mulia,
Abu ‘Ali al-Fudhail bin ‘Iyad r.a.
pernah
berkata:
Berpeganglah pada petunjuk (kebenaran). Janganlah engkau tewas
disebabkan hanya segelintir sahaja yang melakukannya. Jauhilah jalan
yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan golongan (ramai) yang telah
rosak.
Al-Imam
Ibnu Muflih
r.h. dalam bukunya al-Adab al-Syar’iyah berkata:
Seseorang itu hendaknya mengetahui bahawa banyak perkara yang dilakukan
oleh kebanyakan orang adalah menyalahi peraturan syara’. Sedangkan ia
(sudah) menjadi mahsyur di kalangan mereka dan kebanyakan orang
mengikuti amalan mereka itu.
Dan wajib ke atas orang yang mengetahui penyimpangan itu untuk
menyelisihi mereka,
dibuktikan melalui ucapan dan perbuatannya. Janganlah dia merasa lemah
dalam tindakannya itu disebabkan hanya dia sahaja yang melakukannya dan
sedikit rakan yang melakukannya.
خَيْرُكُمْ قَرْنِيْ ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ
الَّذِيْنَ يَلُوْنَهُمْ.