Bab 7
Bahaya Syi‘ah Kepada Umat Islam
Apabila disebut tentang Syi‘ah, maka umat Islam
terbahagi kepada dua kubu. Kubu yang pertama menganggap ia hal kecil
yang sengaja dibesar-besarkan oleh pihak musuh bagi memecah-belahkan
umat Islam. Bagi kubu ini tidak ada “Sunni” dan tidak ada “Syi‘ah”,
sebaliknya yang ada hanyalah Muslim.
Kubu yang kedua pula menganggap ia hal besar lagi penting.
Mereka mengkafirkan golongan Syi‘ah dan menghalalkan darah
mereka. Justeru menghukum murtad dan membunuh golongan Syi‘ah
dianggap sebagai salah satu perintah agama oleh kubu ini.
Di antara dua kubu yang ekstrim ini terletak golongan Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah, golongan yang sememangnya dalam kebanyakan
urusan berada di pertengahan antara mereka yang cuai (kubu pertama) dan
mereka yang melampaui batas (kubu kedua). Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
menilai Syi‘ah secara adil dan mendudukkan mereka berdasarkan
timbangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Apabila dikatakan “bahaya” Syi‘ah kepada umat Islam,
bahaya tersebut bukanlah dari sudut ketenteraan, ekonomi, teknologi,
ilmu dan sebagainya. Akan tetapi bahaya tersebut ialah dari sudut aqidah
Syi‘ah berbanding Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Justeru apabila membicarakan bahaya Syi‘ah kepada umat Islam,
aspek yang akan disentuh ialah dari sudut aqidah.
Atas dasar keadilan, kajian dan pengamatan saya mendapati
aqidah Syi‘ah boleh dibahagikan kepada dua kategori:
Pertama: Aqidah yang
disenyapkan.
Ia merupakan beberapa dasar kepercayaan yang pernah disebut
dalam sumber-sumber Syi‘ah akan tetapi tidak lagi disebut pada
masa kini. Ada pun sebab mengapa ia tidak disebut:
-
Kepercayaan tersebut
bukan merupakan dasar yang disepakati di kalangan tokoh-tokoh
Syi‘ah, khasnya di kalangan Syi‘ah Itsna Asyariyah.
-
Kepercayaan tersebut
merupakan pegangan serpihan-serpihan yang ekstrim di kalangan
Syi‘ah. Ia tidak mewakili pegangan aliran utama Syi‘ah.
-
Kepercayaan tersebut
merupakan amalan masyarakat Syi‘ah secara adat tradisi, ia
bukan berdasarkan hujah atau pandangan para tokoh Syi‘ah.
Tiga sebab di atas tidak khusus berlaku kepada kalangan
Syi‘ah tetapi dialami juga dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah. Justeru di kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah
sendiri terdapat kepercayaan yang tidak disepakati, kepercayaan yang
merupakan pegangan serpihan-serpihan ekstrim dan kepercayaan masyarakat
yang diperbetulkan oleh para tokoh dan ilmuan.
Ada pun ciri-ciri aqidah atau kepercayaan Syi‘ah yang
duduk dalam kategori ini, ia adalah seperti berikut:
-
Tahrif
al-Qur’an.
Iaitu kepercayaan oleh sebahagian orang Syi‘ah bahawa
al-Qur’an yang tulen adalah apa yang asalnya dalam penjagaan
Fathimah radhiallahu 'anha, anak Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam (Mushaf Fathimah) manakala al-Qur’an
yang ada sekarang ini sudah diubahsuai dengan dibuang ayat-ayat
berkenaan kepimpinan Ahl al-Bait. Ada juga dakwaan bahawa
para tokoh Syi‘ah memiliki wewenang untuk mengubah kandungan
al-Qur’an.
Perkara ini dinafikan
oleh para tokoh Syi‘ah kontemporer.
Malah mereka membuktikannya dengan menggunakan seluruh sumber Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah daripada al-Qur’an sehinggalah kepada sumber
hadis dan sejarah.
-
al-Bada’
yang bermaksud mengetahui tentang sesuatu yang sebelumnya tidak
diketahui. Dikatakan, Tuhan bersifat al-Bada’ sehingga Dia
mungkin menetapkan sesuatu lalu kemudian menukar ketetapan itu. Di
kalangan tokoh Syi‘ah ada yang menetapkan keyakinan ini dan
ada yang menafikannya.
-
Raj‘ah
yang bermaksud kembali, iaitu orang yang mati akan kembali hidup di
dunia ini (sebelum Hari Kiamat). Setepatnya, apabila Imam Mahdi
muncul satu hari nanti, sekumpulan pengikutnya yang telah mati akan
hidup semula berjuang bersama Imam Mahdi.
-
Taqiyyah,
iaitu berpura-pura. Sikap ini ditekankan oleh para tokoh Syi‘ah
satu masa lalu sebagai strategi menghadapi kezaliman orang yang
membenci mereka. Kini ia jarang-jarang diamalkan oleh Syi‘ah
kontemporer. Mereka tidak segan-segan atau tidak berpura-pura dengan
keyakinan mereka, sebaliknya terus mengemukakannya dan
mendakwahkannya kepada orang ramai.
-
Jelmaan Tuhan.
Terdapat serpihan daripada orang Syi‘ah, yang disebut sebagai
al-Qaramitah yang berkeyakinan Ali bin Abi Thalib
radhiallahu 'anh ialah jelmaan Allah di muka bumi. Terdapat juga
aliran al-Khaththabiyah yang berkeyakinan Ja’far al-Sadiq
rahimahullah ialah jelmaan Allah di muka bumi. Keyakinan
kedua-dua aliran ekstrim ini tidak mewakili aliran utama Syi‘ah
dan ia telah pupus masa kini.
-
Jibrail Tersilap.
Ada juga serpihan yang mempercayai malaikat Jibrail ‘alaihi
as-Salam tersilap dalam membawa wahyu pertama yang mengangkat
seseorang menjadi Rasul. Ia sepatutnya dibawa kepada Ali bin Abi
Thalib, namun tersilap kepada Muhammad bin Abdillah. Serpihan yang
dikenali sebagai al-Ghurabiyah kini telah pupus juga.
Dalam rangka berdakwah dan membetulkan aliran Syi‘ah,
saya berpandangan enam keyakinan di atas tidak perlu diberi perhatian
kerana orang-orang Syi‘ah itu sendiri tidak lagi mempercayainya
dan mereka tidak menjadikannya sebagai dasar aqidah. Sebaliknya berilah
perhatian kepada keyakinan yang membentuk dasar aqidah mereka sekarang
ini, sepertimana yang akan dijelaskan seterusnya.
Kedua: Aqidah yang
ditonjolkan.
Ia merupakan aqidah Syi‘ah sejak zaman awal dan
dipertahankan sehingga kini. Aqidah inilah yang akan diberi fokus utama
dalam kertas kerja ini.
Pertama: Aqidah
al-Takfir.
Iaitu keyakinan bahawa majoriti para sahabat dan umat Islam
telah kafir kerana tidak menyakini konsep al-Imamah yang dibawa
oleh Syi‘ah. Syi‘ah mendakwa kekhalifahan Ahl al-Bait
telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Muhammad Husain Kasyif
al-Ghita menjelaskan:
Yang dimaksudkan oleh mereka (Syi‘ah) dengan
al-Imamah adalah satu jabatan Ilahi. Allah yang memilih
berdasarkan pengetahuan-Nya yang azali menyangkut hamba-hamba-Nya,
sebagaimana Dia memilih seorang Nabi. Dia memerintahkan kepada Nabi
untuk menunjukkan kepada umat dan memerintahkan mereka mengikutinya.
Mereka (Syi‘ah) percaya bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala
telah memerintahkan Nabi-Nya (Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam)
untuk menunjukkan dengan tegas Ali radhiallahu 'anh dan
menjadikannya tonggak pemandu bagi manusia sesudah baginda.
Sebelum itu Muhammad Ridha al-Mudzaffar menegaskan:
Kami (Syi‘ah) percaya bahawa al-Imamah,
seperti kenabian, tidak dapat wujud kecuali dengan nas dari Allah
Subhanahu wa Ta'ala melalui lisan Rasul-Nya shallallahu 'alaihi
wasallam atau lisan Imam rahimahullah yang diangkat dengan
nas apabila dia akan menyampaikan dengan nas imam yang bertugas
sesudahnya. Hukum (sifatnya) ketika itu sama dengan kenabian tanpa
perbezaan. Oleh kerana itu manusia tidak memiliki wewenang menyangkut
siapa yang ditetapkan Allah sebagai pemberi petunjuk dan pembimbing bagi
seluruh manusia, sebagaimana mereka (manusia) tidak mempunyai hak untuk
menetapkan, mencalonkan atau memilihnya.
Maka sesiapa yang menolaknya, bererti dia menolak al-Qur’an
dan al-Sunnah. Di sinilah jatuhnya hukum kafir. Malah Syi‘ah
menganggap jabatan al-Imamah seumpama jabatan kenabian (al-Nubuwah)
sehingga orang yang menolaknya seumpama orang yang menolak kenabian.
Seorang tokoh Syi‘ah bernama Nashiruddin al-Thusi dalam bukunya
Talkish al-Syafy berkata:
Menolak imamah adalah kufur sebagaimana
menolak kenabian adalah kufur. Ini kerana kejahilan berkenaan
kedua-duanya adalah dalam batas yang sama. Logika imamah adalah
logika kenabian dan tujuan kemestian adanya kenabian merupakan tujuan
yang sama dari kemestian adanya imamah. Saat terpancarnya
kenabian, saat itu juga merupakan saat terpancarnya imamah.
Demikianlah, dakwah bersinambungan dengan dua lisan, lisan kenabian dan
lisan imamah dalam satu garisan yang sama. al-Imamah memiliki
keistimewaan atas kenabian kerana ia berlanjut setelah terhentinya
kenabian.
Beberapa tokoh Syi‘ah kontemporer ada yang cuba
mensederhanakan dasar aqidah di atas. Mereka, seumpama Muhammad Husain
Kasyif al-Ghita, menyatakan bahawa orang yang berpegang dengan aqidah
al-Imamah ialah seorang mukmin yang khusus manakala orang yang tidak
berpegang dengannya ialah seorang muslim dan mukmin yang umum.
Pensederhanaan ini amat diragui kerana merupakan satu perkara yang tidak
diperselisihkan bahawa dasar Syi‘ah yang paling utama lagi
muktamad ialah aqidah al-Imamah. Mencairkan al-Imamah
bererti mencairkan Syi‘ah dan ini sudah tentu tidak akan
dilakukan oleh mana-mana tokoh Syi‘ah yang tulen.
Berdasar tiga kategori ini, Syi‘ah mutakhir berkata
mereka hanya mencela dan menghukum para sahabat yang berada dalam
kategori kedua. Sekali lagi, pensederhanaan ini tidak diterima oleh
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Ini kerana jika dikaji secara mendalam,
jujur dan adil terhadap tindak-tanduk para sahabat yang diletakkan dalam
kategori kedua, nescaya akan ditemui penjelasan yang jernih lagi adil.
Bahkan jika Ahl al-Bait disertakan dalam kajian tersebut, nescaya
didapati – sedikit atau banyak, secara langsung atau tidak langsung –
kesalahan juga berada di atas bahu Ahl al-Bait. Maka atas dasar
inilah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menahan diri daripada
membicarakan sejarah para sahabat. Ia bukan sekadar membela para sahabat
secara umum, tetapi juga membela Ahl al-Bait secara khusus.
Aqidah al-Takfir inilah merupakan pemisah utama antara
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dan Syi‘ah. Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah menyayangi dan menghormati para sahabat radhiallahu
'anhum dan meletakkan sikap sayang dan hormat ini sebagai salah satu
dasar aqidah. Ini kerana:
-
Para sahabatlah yang
telah mengorbankan jiwa, harta dan keluarga mereka untuk berjuang
bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga
Islam tegak di mukabumi ini.
-
Para sahabat jugalah
yang telah mengorbankan keselesaan hidup dan janji syurga untuk
keluar dari Kota Madinah selepas kewafatan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam demi menyampaikan Islam kepada orang lain
sehinggalah ia sampai ke dada kita sekarang ini. Tanpa para sahabat,
kita semua entah masih menyembah manusia, patung, pokok dan sungai.
Justeru adalah mustahil untuk dianggap para sahabat adalah
seorang yang berpura-pura dalam beragama (munafiq), rosak
agamanya (fasiq) dan memiliki agenda kepentingan diri sendiri.
Maka atas dasar ini, sesiapa di kalangan umat Islam yang
mengikuti aliran Syi‘ah atau paling kurang, bersimpati terhadap
Syi‘ah, bererti dia mengabaikan keseluruhan pengorbanan yang
pernah dilakukan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum. Padahal
dirinya sendiri, jika diminta satu pengorbanan yang amat kecil sekalipun
demi agama dan umat, nescaya akan keberatan dengan pelbagai alasan yang
tidak munasabah.
Tidak sekadar itu, ia bererti dia mengabaikan sekian banyak
ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
yang mempersaksikan pengorbanan dan jasa para sahabat.
Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, nilai agama, kejujuran dan
pengorbanan para sahabat disebut sebagai ciri adil. Terhadap ciri adil
ini, al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah menyatakan:
Ini kerana keadilan sahabat telah sabit dan maklum dengan pengiktirafan
Allah terhadap mereka dan perkhabaran-Nya tentang kesucian mereka dan
pemilihan-Nya akan mereka di dalam nas-nas al-Qur’an… Semua ini
menunjukkan tentang kesucian para sahabat dan kepastian di atas keadilan
dan kemurnian mereka. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala
sendiri yang mengetahui akan hakikat sahabat, telah menyatakan keadilan
mereka. Maka para sahabat tidak memerlukan lagi seseorang lain bagi
menyatakan keadilan mereka. Mereka kekal dengan status yang demikian
kecuali adanya seseorang yang berniat jahat yang sengaja mengeluarkan
mereka daripada kedudukan ini dengan menggugurkan keadilan mereka,
padahal Allah Taala telah membebaskan mereka daripada tuduhan
ini. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengangkat kedudukan mereka
di sisi-Nya.
Sehinggakan sekiranya Allah ‘Azza wa Jalla dan Rasul-Nya tidak
menyebut akan kelebihan mereka, memadailah hal ini dengan keadaan mereka
dalam berhijrah, berjihad dan mengorbankan diri dan harta mereka. Malah
mereka sanggup membunuh anak-anak serta bapa-bapa mereka demi
mempertahankan agama Allah. Sifat memberi nasihat untuk agama serta
kekuatan iman dan yakin mereka yang menjadi bukti akan keadilan mereka.
Justeru itu adalah menjadi kewajipan kepada kita ber’tikad akan
kemurnian atau kesucian mereka dan bahawasanya mereka itu lebih baik
dari semua orang yang dikatakan adil dan yang dikatakan murni (atau
suci) yang datang selepas mereka untuk selama-lamanya.
Seterusnya, sesiapa di kalangan umat Islam yang mengikuti
aliran Syi‘ah, bererti dia mengikuti juga aqidah al-Takfir.
Padahal aqidah seperti ini amat merbahaya berdasarkan sabda Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam:
لاَ يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلاً بِالْفُسُوقِ وَلاَ يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ
إِلاَّ ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ.
Tidak boleh
seseorang menuduh orang lain dengan kefasikan dan tidak pula dia
menuduhnya dengan kekafiran, melainkan hal ini akan kembali kepadanya
jika orang yang tertuduh tidak demikian.
إِذَا قَالَ الرَّجُلُ لأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهِ
أَحَدُهُمَا.
Apabila
seseorang mengatakan kepada saudaranya, “Wahai Kafir!”, maka hal ini
akan kembali kepada salah seorang daripada kedua-duanya.
Akhir sekali, sesiapa yang bersimpati terhadap Syi‘ah,
maka dia merelakan dirinya dihukum kafir oleh Syi‘ah. Padahal
Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang sikap sedemikian:
وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ
بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِۛ وَأَحۡسِنُوٓاْۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ
ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan.
[al-Baqarah 2:195]
Kedua: Aqidah
al-Quburiyyun.
Iaitu menjadi kubur sebagai pusat aktiviti ibadah dengan
keyakinan ia memiliki beberapa keistimewaan dan kemujaraban. Sebenarnya
amalan keyakinan seperti ini sangat masyhur dalam agama-agama lain
kecuali Islam. Terhadap kubur, Islam melarang menjadikannya sebagai
pusat aktiviti kecuali sekadar solat jenazah dan mendoakan jenazah
kerana dua yang terakhir ini memiliki dalil daripada Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam. Adapun selain itu, maka ia dilarang
oleh hadis-hadis yang bersifat mutawatir,
dua di antaranya:
وَإِنَّ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ
أَنْبِيَائِهِمْ وَصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ أَلاَ
فَلاَ تَتَّخِذُوا
الْقُبُورَ مَسَاجِدَ إِنِّي أَنْهَاكُمْ عَنْ ذَلِكَ.
Sesungguhnya orang-orang sebelum
kalian telah menjadikan kubur para nabi mereka dan orang-orang shalih
mereka sebagai masjid. Ingatlah! Jangan menjadikan kubur sebagai masjid.
Sesunguhnya aku melarangkan kalian dari melakukan sedemikian.
وَاعْلَمُوا أَنَّ شِرَارَ النَّاسِ الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْقُبُورَ
مَسَاجِدَ.
Ketahuilah bahawa seburuk-buruk
manusia adalah mereka yang menjadikan kubur sebagai masjid.
Larangan menjadikan
kubur sebagai masjid memiliki dua maksud:
-
Membina masjid
atas kawasan kubur.
-
Melaksanakan ibadah
atas kawasan kubur melainkan solat jenazah dan doa kepada jenazah.
Ini kerana apabila dikatakan “masjid”, ia tidak semestinya bererti
binaan seperti yang kita semua kenal hari ini, tetapi meluas kepada
apa jua tanah dan kawasan lapang di muka bumi ini. Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam:
أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي: ... وَجُعِلَتْ لِيَ
الأَرْضُ طَيِّبَةً طَهُورًا وَمَسْجِدًا
فَأَيُّمَا رَجُلٍ أَدْرَكَتْهُ
الصَّلاَةُ صَلَّى حَيْثُ كَانَ.
Aku diberikan lima
perkara yang tidak diberikan kepada seorangpun sebelum aku (salah satu
daripadanya ialah)..dan dijadikan untukku bumi bersih suci dan sebagai
tempat ibadah (masjid), maka bila-bila saja seseorang itu menemui waktu
solat, dia boleh bersolat di mana jua.
Justeru seluruh bumi ini ialah tempat beribadah untuk umat Islam kecuali
kawasan perkuburan.
Kemutlakan hadis “seluruh muka bumi adalah masjid” dibatasi oleh
hadis-hadis yang melarang menjadikan kubur sebagai masjid.
Oleh itu, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak
melaksanakan apa-apa ibadah di kawasan perkuburan seperti solat,
iktikaf, membaca al-Qur’an, berzikir dan berdoa kecuali apa yang sabit
daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu solat
jenazah dan doa kepada jenazah.
Berbeza dengan Syi‘ah, mereka menganggap kawasan
perkuburan, khasnya perkuburan para imam dan tokoh mereka, adalah
kawasan yang memiliki keberkatan yang patut dimuliakan. Dengan itu,
mereka juga menjadikan ia tempat beribadah. Ja’far Subhani, tokoh
Syi‘ah kontemporer yang banyak menulis, berkata:
Dengan mengikut petunjuk dari prinsip-prinsip agama
Islam, bangunan masjid yang berada di sekitar kuburan orang suci (para
imam) dan para wali tidak memiliki masalah sedikitpun. Ini disebabkan
oleh tujuan bangunan masjid yang tidak lebih dari beribadah kepada Allah
Subhanahu wa Ta'ala berdekatan dengan kuburan para kekasih-Nya,
yang menjadi sumber keberkatan. Dengan kata lain, maksud dari
pembangunan masjid pada tempat yang sedemikian adalah supaya para
penziarah yang mengunjungi para pemimpin suci sebelum atau sesudah
ziarah, dapat melaksanakan ibadah mereka di sana (di masjid itu). Ini
kerana ziarah ke kubur mahupun mendirikan solat (di masjid yang
lokasinya di kubur) tidaklah haram, sebelum atau sesudah ziarah.
Oleh kerana itu tidak ada alasan untuk mempercayai
bahawa membangun masjid yang bersebelahan dengan kuburan orang-orang
suci yang bertujuan menyembah Allah Subhanahu wa Ta'ala dan
melakukan amal ibadah adalah dilarang.
Bahkan Ja’far Subhani berpendapat adalah sunat (mustahab)
untuk membuat binaan di atas kubur agar orang ramai dapat beribadah di
dalamnya. Dia menulis:
Ketika mengubahsuai makam menjadi sumber perlindungan
ketulenan Islam, atau sumber membuktikan kecintaan kepada pemilik kubur
yang Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mewajibkan kecintaan kepada
mereka, atau sumber perlindungan terhadap syiar-syiar Islam, atau
menjadi sebab bagi para penziarah untuk membaca al-Qur’an dan berdoa di
bawah naungan bangunan yang berada di atas kuburan, maka pastinya
manfaat-manfaat tersebut bukan sekadar menghilangkan unsur makruh
(membuat binaan atas kubur) tetapi menjadikannya sunat (mustahab).
Bagi Ja’far Subhani, janganlah di pandang kepada faktor
perkuburan tetapi pandanglah kepada faktor manfaat membuat binaan atas
kuburan:
…perbahasan kita bukanlah mengenai kuburan itu
sendiri tetapi hal-ehwal mendirikan bangunan-bangunan dan kubah-kubah
yang berada atas kuburan yang dengan itu orang dapat memasukinya sambil
membaca al-Qur’an, berdoa dan solat.
Ada pun hadis-hadis yang melarang menjadikan kawasan kubur
sebagai masjid, Ja’far Subhani dalam bukunya yang sama menakwilkannya
sebagai larangan daripada beribadah kepada ahli kubur, seperti solat
menghadap kubur (dan bukan kiblat) serta menyembah ahli kubur.
Hujah-hujah Syi‘ah secara umum dan Ja’far Subhani
secara khusus dapat ditolak semudah berikut:
-
Apakah dalil yang
mengatakan kawasan perkuburan memiliki keberkatan? Ini kerana
keberkatan hanya merupakan milik Allah Subhanahu wa Ta'ala
dan hanya Allah yang berhak menentukan sesuatu tempat sebagai
memiliki Barakah atau tidak. Jika manusia sewenang-wenangnya
berkata “tempat itu dan ini memiliki keberkatan”, dia telah
meletakkan dirinya sejajarnya dengan kedudukan Allah. Tentu saja ini
adalah tindakan dan keyakinan yang merosakkan tauhidnya.
-
Apabila Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam melarang menjadikan kawasan
perkuburan sebagai masjid, baginda tidak menjelaskan sebab yang
boleh mengecualikan larangan itu. Maka membuat sebab (‘illat)
bahawa larangan itu hanya untuk kes sekian-sekian adalah tindakan
“mendahului Allah dan Rasul-Nya” yang dilarang oleh Islam:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تُقَدِّمُواْ
بَيۡنَ يَدَىِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ
سَمِيعٌ عَلِيمٌ۬
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului (melakukan
sesuatu ketetapan atau perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran)
Allah dan Rasul-Nya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[al-Hujurat 49:01]
-
Bumi ini amat luas
untuk seseorang itu beribadah dan mendirikan masjid. Lalu mengapakah
hendak dipilih lokasi perkuburan untuk beribadah dan mendirikan
masjid? Sebabnya tidak lain ialah mengharapkan pengaruh dari ahli
kubur dengan keyakinan mereka (ahli kubur) dapat menghampirkan ahli
ibadah kepada Allah, meningkatkan kualiti ibadah dan membantu
memujarabkan doa. Keyakinan ini tidak berbeza dengan keyakinan kaum
musyrik pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
وَٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِيَآءَ مَا
نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَآ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰٓ
Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi
pelindung dan penolong (mereka berkata): “Kami tidak menyembah atau
memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah
sehampir-hampirnya”.
[al-Zumar 39:03]
Demikian dua aqidah Syi‘ah yang sering mereka
tonjolkan, yang sebenarnya amat merbahaya kepada umat Islam secara umum
dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah secara khusus. Bahkan ia
merbahaya kepada orang Syi‘ah itu sendiri, seandainya mereka mahu
meneliti persoalan ini dengan lebih cermat.
PENDEKATAN ANTARA
SYI‘AH DAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA'AH.
Akhir-akhir ini banyak yang diperkatakan tentang usaha
pendekatan antara Syi‘ah dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Lalu apakah sikap kita, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, terhadap
usaha ini?
Saya berkata, usaha ini dialu-alukan dengan syarat persetujuan utama
yang dicapai adalah:
-
Syi‘ah
memberhentikan
celaan mereka kepada semua para sahabat radhiallahu 'anhum.
-
Syi‘ah
berhenti daripada memperalatkan sekian-sekian ayat dan hadis sebagai
kononnya telah menetapkan Ahl al-Bait radhiallahu 'anhum
sebagai Imam (al-Imamah) bagi umat Islam.
-
Syi‘ah
berhenti
daripada menyebarkan kisah-kisah sejarah yang palsu berkenaan
kezaliman dan kejahilan tiga khalifah yang pertama: Abu Bakar
al-Shiddiq, ‘Umar al-Khaththab dan ‘Usman ibn ‘Affan radhiallahu
'anhum.
-
Para tokoh Syi‘ah
memastikan ketiga-tiga syarat di atas dilaksanakan oleh semua
pengikut Syi‘ah, daripada khatib kepada penceramah, daripada
penulis buku kepada penulis blog.
Syarat yang saya letak di atas bukanlah berat sebelah, tetapi
ia bagi mengukur sama ada Syi‘ah benar-benar merupakan pembela
Ahl al-Bait atau tidak. Bahkan secara lebih luas, ia sebagai
pengukur sama ada Syi‘ah benar-benar menginginkan pendekatan dan
pendamaian bersama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah atau tidak. Ini
kerana jika dikaji pelbagai sumber yang sahih, tidak akan ditemui
seorang jua Ahl al-Bait mencela para sahabat, mendakwa
sekian-sekian ayat dan hadis sebagai telah melantik mereka menjadi Imam
dan memfitnah tiga khalifah yang pertama.
Kata-kata Syaikh Sa’id Ramadhan al-Buthi Ghazali
rahimahullah berikut ini menjadi sumber renungan kita, baik
Syi‘ah mahupun Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah:
Kita semua mengetahui bahawa sesuatu yang paling
menonjol, paling penting, sekaligus paling jelas menyangkut buah cinta
adalah keteladanan kepada siapa yang dicintai. (Bak kata pepatah):
“Sesungguhnya yang mencintai patuh kepada siapa yang dicintainya”.
Saya selalu melihat kepada hakikat yang pasti ini,
saya menuntun diri saya dan setiap muslim untuk melakukannya, apapun
mazhab atau ragam keterikatannya. Saya tidak menemui seorang muslim yang
bersikap jujur kepada Allah kecuali dia meneladani Ahl al-Bait
dalam tingkah-laku dan perasaannya.
Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya,
seandainya ‘Ali
karramahullahu wajhu
mengambil satu sikap yang jelas berbeza pada hari Saqifah,
atau mengambil sikap demikian pada waktu penunjukkan ‘Umar sebagai
khalifah oleh Abu Bakar, atau pada majlis syura yang atasnya ‘Utsman
dibai‘ah, seandainya yang demikian itu terjadi, maka pastilah kita
meninggalkan semua cara dan jalan, lalu kita mengikuti jalan yang
ditempuh oleh ‘Ali.
Akan tetapi kami telah mengamati dan kami mendapati
bahawa imam yang mulia itu (‘Ali) bersama-sama dalam fikiran dan
tingkah-laku di atas kalimat yang menyatu-padukan umat, bersama-sama di
atas jalan yang ditempuh oleh masyarakat umum. Oleh kerana itu mestilah
cinta (yang sejati akan) menghantar kita kepada meneladani beliau dan
menempuh jalan yang beliau telusuri.
Dalam analisa ini, saya tidak memiliki sikap yang lain daripada
perkataan saya di atas. Cukuplah bagi saya menemui ‘Ali yang telah
berada pada jalur itu dan saya mengikutinya.
Saya adalah seorang muslim. Tidak perlu saya
melakukan analisa atau tertanya-tanya. Saya tidak memiliki kepentingan
untuk melemahkan Hadis al-Ghadir (yang bermaksud “Sesiapa
yang aku adalah mawlanya, maka Ali adalah mawlanya”), tidak juga
mentakwilkannya atau menjauh dari lafaznya. Saya tidak memerlukan semua
itu kerana saya telah menjadikan ‘Ali panutan saya dalam memahami hadis
tersebut, bahkan dalam menafsirkan semua persoalan.
Bukti dari apa yang saya katakan ini, bukti
keteladanan yang saya rasakan kewajipannya itu, adalah saya merasakan
iman saya berkurang – bahkan terumbang-ambing lagi bergoncang – bila
keteladanan kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak dipenuhi.
Majoriti kaum muslimin berpendapat bahawa Hadis
al-Ghadir dan apa yang difahami dan dikesan olehnya hanya berkaitan
dengan peribadi ‘Ali, tidak selain beliau. Kaum muslimin dipersilakan
untuk bersepakat memilih siapa yang mereka kehendaki (untuk menjadi
khalifah).
Adapun saudara-saudara kami dari Syi‘ah,
mereka memahami Hadis al-Ghadir sebagai menunjuk kepada jawatan
imam bagi ‘Ali dan berlanjutan – masih menurut hadis itu – kepada
keluarga beliau sehingga ghaibnya imam ke-12.
Masa kini, betapapun pentingnya perbezaan pendapat
itu, namun persoalannya telah berlalu, telah tertutup. Ia telah menjadi
sebahagian dari sejarah masa lampau. Masa kini, di mana kita berada
dalam zaman ghaibnya imam ke-12 yang dinanti-nantikan oleh
saudara-saudara kita dari kalangan Syi‘ah, saya menyatakan dengan
sesungguhnya, saya menyatakan atas nama diri saya sendiri dan nama
setiap muslim, bahawa:
Jika tiba masanya kehadiran imam yang ghaib itu,
ketika beliau benar-benar datang – tidak ada keraguan menyangkut
kehadirannya, tidak ada kabut atau kerancuan menyangkut keperibadiannya
– jika tiba masa itu, maka saudara-saudara semua akan mendapati kaum
muslimin menganut satu mazhab sahaja. Mereka semua akan mempersembahkan
kesetiaan kepada imam itu dan berbai‘ah kepadanya.
Hal ini jika kita memandang ke masa depan. Jika kita
memandang ke masa lampau, ke belakang, maka saya memandang kepada ‘Ali
di mana setiap orang dari ketiga-tiga khalifah sebelumnya menjadikan
beliau sebagai penasihat, bahkan sebagai amir yang tidak bermahkota.
Saya menemui Abu Bakar radhiallahu 'anh yang
bermaksud untuk berangkat memerangi kaum yang murtad. Lalu ‘Ali datang
kepada beliau sambil memegang tali pacuan kudanya, dan berkata:
“Aku sampaikan kepadamu wahai khalifah Rasulullah apa
yang disampaikan pada hari peperangan Uhud – Jangan hunus pedang kamu
(pergi berperang) dan bahagiakanlah kami dengan (kehadiranmu
bersama-sama kami) kerana Demi Allah, seandainya kaum muslimin mendapat
cubaan melalui dirimu (yakni gugurnya Abu Bakar di medan perang), maka
kaum muslimin tidak akan tegak lagi sesudah pemergianmu itu.”
Mendengar nasihat ‘Ali itu, Abu Bakar membatalkan
niatnya untuk berangkat dan melantik orang lain bagi memimpin pasukan
(memerangi kaum murtad).
Saya memandang ‘Ali dan saya memandang Abu Bakar,
ketika beliau meminta pandangan ‘Ali berkenaan ekspedisi ketenteraan ke
Rom, lalu ‘Ali menjawab: “Saya merasakan anda (wahai Abu Bakar) adalah
seorang yang diberkati, ditinggikan dan dimenangkan urusannya
insya-Allah.” Maka Abu Bakar merasa tenang, lalu mengikuti saranan
‘Ali dengan mempersiapkan pasukan ekspedisi itu.
Lihatlah juga pada masa pemerintahan ‘Umar
radhiallahu 'anh. Bagaimana beliau meminta nasihat ‘Ali berkenaan
dirinya memimpin pasukan ke Parsi. ‘Ali menasihatkan agar ‘Umar jangan
meninggalkan pusat pemerintahan (Kota Madinah), bimbang jangan sampai
musuh dalam negeri membuat kekacauan.
Saya juga menemui nasihat-nasihat ‘Ali kepada ‘Utsman
radhiallahu 'anh, ketika para pemberontak mengepung beliau,
nasihat yang mustahil lahir kecuali dari hati yang ikhlas dan cinta.
Saya juga menemui beliau menyuruh kedua-dua buah matanya – Hasan dan
Husain radhiallahu 'anhuma – untuk menjaga ‘Utsman dari ancaman
apapun yang mungkin menimpanya.
Ketika saya menemui semua sikap di atas pada ‘Ali,
maka bagaimana saya hendak menyatakan cinta saya kepada beliau? Saya
tidak dapat menyatakan cinta itu kecuali dengan mengikuti
langkah-langkah beliau, kecuali dengan berjalan pada jalan yang beliau
telusuri.
Demi Allah! Sekali lagi saya ucapkan, seandainya ‘Ali
karramallahu wajhu mengambil satu sikap yang jelas dan mandiri
pada satu masa dari masa-masa kehidupannya, maka pastilah kita
meninggalkan semua sikap dan bergabung sikap beliau itu.
ALIRAN SYI‘AH
SEMAKIN MELUAS?
Tidak perlu disembunyikan lagi bahawa aliran Syi‘ah
semakin meluas, semakin mendapat tempat di hati umat Islam. Bagaimana
cara kita membendung peluasan ini? Atau lebih tepat, bagaimana kita
membela maruah para sahabat, yang dengan jerih payah mereka iman telah
sampai ke Malaysia dan memasuki hati kita ini? Caranya ialah dengan
mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan peluasan itu dan cuba
membetulkannya dari situ.
-
Kejahilan umat
Islam terhadap aliran Syi‘ah.
Mereka menganggap Syi‘ah adalah salah satu dari mazhab Islam
seumpama Mazhab al-Syafi’e, Hanafi, Maliki dan Hambali. Maka perlu
diterangkan bahawa Syi‘ah ialah satu aliran yang menyangkut
dasar-dasar agama manakala mazhab yang empat hanyalah berkaitan
hukum fiqh, di mana dasar-dasar agama bagi keempat-empat mazhab
tersebut adalah tetap sama.
-
Sikap manusia
apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru. Apabila berhadapan dengan sesuatu yang baru, manusia
terbahagi kepada tiga sikap. Pertama ialah mereka yang terus
menolaknya, menutup pintu hati serta fikiran mereka darinya.
Kedua ialah mereka yang terus menerimanya, membuka seluas-luas
hati serta fikiran mereka kepadanya. Ketiga ialah mereka yang
menganalisa perkara yang baru itu sama ada ia bertepatan dan
al-Qur’an, al-Sunnah dan ilmu yang sahih. Jika bertepatan ia
diterima, jika bertentangan ia ditolak. Sikap pertama dan kedua
adalah tercela manakala sikap yang ketiga adalah terpuji. Kebanyakan
yang terikut dengan aliran Syi‘ah terdiri dari mereka yang
memiliki sikap kedua.
-
Kelekaan pihak
berwajib.
Fokus pihak berwajib kelihatan hanya tertumpu kepada membasmi aliran
yang mereka sebut-sebut sebagai “Wahhabi”. Ada pun aliran lain yang
jelas menyeleweng seperti Syi‘ah, Anti-Hadis, Islam Liberal
dan sebagainya, ia dibiarkan sahaja atau hanya diberi fokus yang
minimum. Di sini pihak berwajib perlu menyusun semula keutamaan
fokus mereka (Fiqh al-Awlawiyat) agar bertindak ke atas
aliran yang jelas menyeleweng bak matahari, bukan aliran yang hanya
wujud secara bayang-bayangan… entah wujud atau tidak.
-
Kecuaian ahli
ilmu.
Hakikat pertama, Syi‘ah menyampaikan dakyah mereka dengan
dalil dan hujah. Hakikat kedua, kebanyakan ahli ilmu Ahl
al-Sunnah wa al-Jama'ah enggan berusaha menjawab dalil dan hujah
tersebut. Paling-paling yang dijawab hanyalah dengan slogan murah: “Syi‘ah
sesat, abaikan mereka.” Padahal dalam suasana tahap keilmuan umat
Islam yang semakin meningkat sekarang ini, yang diambil kira
bukanlah slogan murahan tetapi dalil dan hujah. Justeru ahli ilmu
perlu beralih dari kemalasan kepada kecergasan, dari sijil kelulusan
kepada aksi ilmiah, dari semakan kertas tesis kepada semakan aqidah
umat, agar dalil dan hujah dipatahkan dengan dalil dan hujah juga.
-
Pencarian wira
dan pasukannya.
Umat Islam sekarang
ini dalam dilema mencari seorang wira dan pasukan pejuang yang
berani bangkit menentang kezaliman zionis dan polis dunia. Dalam
pencarian tersebut, yang ditemui ialah wira yang beraliran Syi‘ah
dan pasukan pejuang yang beraliran Syi‘ah. Secara bawah
sedar, ia memberi kesan bahawa aliran yang benar ialah Syi‘ah.
Kecelaruan ini dijawab, bahawa kebenaran agama tidak ditentukan oleh
agama sang wira dan pasukan pejuangnya. Seandainya itulah ukuran
kebenaran, nescaya agama pasukan pejuang Vietnam yang menghancurkan
pasukan tentera Amerika Syarikat pada tahun 70an yang lalu adalah
jauh lebih benar dari agama Syi‘ah. Ketahuilah, kebenaran
terletak pada agama Islam manakala kelemahan terletak pada orang
Muslim kerana tidak menghayati Islam dengan cara yang benar, iaitu
cara Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.