Bab 6
Khawarij Moden
Dr Azwira Abdul Aziz
Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
UKM, Bangi
Pendahuluan
Berdasarkan nas-nas
syarac dan fakta-fakta sejarah, Khawarij dianggap
sebagai kumpulan sesat yang terkeluar daripada kelompok Ahli Sunnah
Wa Al-Jamaah disebabkan ideologi dan tindakan mereka yang menyimpang
dari ajaran Islam yang sebenar. Meskipun pada zahirnya mereka nampak
sangat beriltizam dengan ajaran agama, namun hakikatnya mereka telah
terkeluar dari Islam melalui lidah Nabi s.a.w. sendiri.
Bahkan baginda
menyatakan kesungguhan untuk memerangi dan menghapuskan mereka
seluruhnya serta menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah
S.W.T bagi sesiapa yang memerangi mereka. Ulama firaq telah
menggunakan beberapa istilah tertentu seperti
al-Muhakkimah,
ash-Shurah,
al-Haruriyyah,
al-Harariyyah,
an-Nawasib
dan al-Mariqah
sebagai gelaran bagi puak khawarij yang memang ada signifikasinya
tersendiri.
Gelaran khawarij
moden bukan dilihat dari segi persamaan nama dan gelaran, kerana
dalam konteks semasa tiada sesiapa lagi yang memakai gelaran-gelaran
khawarij lampau. Tetapi apa yang dilihat sebenarnya ialah persamaan
ideologi dan ciri antara kelompok-kelompok umat Islam semasa dengan puak
khawarij terdahulu. Justeru, untuk mengetahui kelompok manakah
yang menyamai puak khawarij serta layak untuk ‘ditabalkan’
sebagai khawarij moden, maka perlu difahami terlebih dahulu
apakah definisi, ideologi dan ciri golongan khawarij itu.
Definisi
Perkataan khawarij
dari segi bahasa adalah kata jamak bagi kharij, bermaksud ‘yang
keluar’, manakala dari segi istilah ia ditakrifkan sebagai: golongan
yang melucutkan ketaatan dan mengisytiharkan penentangan terhadap
khalifah yang sah.
Dari segi sejarah, nama khawarij dikhususkan kepada kumpulan
terawal yang melucutkan ketaatan terhadap Khalifah cAli Ibn
Abi Talib r.a.
Para fuqaha Islam menamakan golongan penentang khalifah yang ada
kekuatan pengikut sebagai bughah.
cAbd Al-Qahir al-Baghdadi (M429 H) membahagikan mereka kepada
20 puak
, namun, secara umumnya hanya tujuh puak sahaja
yang dilihat sebagai puak utama, iaitu: al-Muhakkimah al-Ula,
al-Azariqah, an-Najdat, as-Sufriyyah, al-cAjaridah,
al-Ibadhiyyah dan ath-Thacalibah, daripada
tujuh puak inilah terpecahnya pelbagai cabang puak khawarij yang
lain.
Hadith Berkenaan
Khawarij
Golongan khawarij
diberi perhatian serius dalam pengajian aqidah Islam kerana banyak
hadith Nabi s.a.w. yang berstatus mutawatir telah mengisyaratkan tentang
ancaman dan bahaya kesesatan mereka. Boleh dikatakan semua pembuku
hadith ada meriwayatkan hadith tentang mereka, cuma yang berbeza
hanyalah pada panjang pendeknya. Kata Abu Sacid al-Khudriyy
r.a.:
بعث علي رضي الله عنه وهو ظاهرا من اليمن بذهبة في أديم مقروظ لم تحصل من
ترابها إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقسمها رسول الله صلى الله عليه
وسلم بين أربعة نفر الأقرع بن حابس الحنظلي وعيينة بن بدر الفزاري وعلقمة
بن علاثة العامري وزيد الخير الطائي،
فغضبت قريش فقالوا أيعطي صناديد نجد ويدعنا كنا نحن أحق بهذا من هؤلاء.
فبلغ ذلك النبي صلى الله عليه وسلم فقال:
ألا تأمنوني وأنا أمين من في السماء يأتيني خبر السماء صباحا ومساء إني
إنما فعلت ذلك لأتألفهم.
فقام رجل من بني تميم ذو الخويصرة كث اللحية مشرف الوجنتين غائر العينين
ناتىء الجبين محلوق الرأس مشمر الإزار فقال اتق الله يا محمد!
فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
ويلك أو لست أحق أهل الأرض أن يتقي الله فمن يطع الله إن عصيته أيأمنني على
أهل الأرض ولا تأمنوني
ومن يعدل إن لم أعدل قد خبت وخسرت إن لم أعدل؟ ثم أدبر الرجل فقال عمر بن
الخطاب (أو خالد بن الوليد): يا رسول الله ألا أضرب عنقه؟
فقال: لا لعله أن يكون يصلي، معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي.
قال: وكم من مصل يقول بلسانه ما ليس في قلبه.
فقال:
إني لم أومر أن أنقب عن قلوب الناس ولا أشق بطونهم.
ثم نظر إليه وهو مقف فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
إنه يخرج من ضئضيء هذا قوم أحداث الأسنان سفهاء الأحلام يقولون من خير قول
البرية ليس قراءتكم إلى قراءتهم بشيء ولا صلاتكم إلى صلاتهم بشيء ولا
صيامكم إلى صيامهم بشيء تحقرون صلاتكم مع صلاتهم يقرأون القرآن يحسبون أنه
لهم وهو عليهم يقرأون القرآن لينا رطبا لا يجاوز حناجرهم يقتلون أهل
الإسلام ويدعون أهل الأوثان يمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية
ينظر إلى نصله ورصافه ونضِيّه وقُذذه فلا يوجد فيه شيء،
سبَق الفرْثَ والدّمَ، لئن أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد فإذا لقيتموهم
فاقتلوهم فإن في قتلهم أجرا لمن قتلهم عند الله يوم القيامة،
آية ذلك فيهم رجل أسود مـُخْدَج اليد ليس له ذراع على رأس عضده مثل ثدي
المرأة أو مثل البضعة تدردر عليه شعرات بيض، سيماهم التحليق هم من شر الخلق
يقتلهم أدنى الطائفتين إلى الحق، يخرجون على حين فرقة من الناس.
قال علي: لو لا أن تَبْطَروا لحدّثتكم بما وعد الله الذين يقتلونهم على
لسان محمد صلى الله عليه وسلم.
قال أبو سعيد:
فأشهد أني سمعت هذا من رسول الله صلى الله عليه وسلم وأشهد أن علي بن أبي
طالب رضي الله عنه قاتلهم وأنا معه فأمر بذلك الرجل فالتمس فوجد فأتي به
حتى نظرت إليه على نعت رسول الله صلى الله عليه وسلم الذي نعت.
Maksudnya: “cAli
r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah,
hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda
membahagikannya kepada al-Aqrac Ibn Habis al-Hanzhaliy,
cUyainah Ibn Badr al-Fazariy, cAlqamah Ibn cUlathah
al-cAmiriyy dan Zaid al-Khariththoiyy.
Tetapi pembahagian
itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap
baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada
mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu
tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah
(agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang,
sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati)
mereka.”
Tiba-tiba bangun
seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah,
berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol,
berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu
kepada Allah wahai Muhammad!” Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab:
“Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa?
Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia
boleh mempercayaiku atas sekalian penduduk bumi sedangkan kamu tidak
percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil,
sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil?”
Kemudian lelaki
itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata:
“Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan,
boleh jadi dia bersolat, (aku) minta dilindungi Allah daripada orang
bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana
dia ada pengikut”.
Umar (atau Khalid Ibn
al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap
apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab:
“Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan
menebuk hati mereka.” Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki
yang sedang beredar itu seraya bersabda;
“Sesungguhnya akan
lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal
pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya),
bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan
puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka.
Mereka sangka
quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia
adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia
tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi
membiarkan saja para penyembah berhala.
Mereka terkeluar
dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada
mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada
sebarang kesan darah dan bulunya.
Sekiranya aku
sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum
cAd, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana
memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah
S.W.T. pada Hari Kiamat.
Petanda hal itu
ialah di kalangan mereka ada
seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu
lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada
beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak.
Tanda pengenalan mereka ialah
at-tahliq (bercukur kepala),
mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah
satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka
keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah
belah”.
Kata cAli
r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku
akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang
memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”.
Kata Abu Sa’id r.a:
“Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada
Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama
(Khalifah) cAli Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka,
lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia
djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat
tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah
s.a.w.”.
Ideologi Dan Ciri
Khawarij
Hadith di atas
mengandungi banyak penjelasan tentang tanda dan sifat puak khawarij.
Maka itu Imam Muslim meletakkannya di bawah beberapa judul bab,
antaranya bab berjudul: “Bab pada menyatakan (ciri-ciri) Khawarij dan
sifat-sifat mereka”.
Namun, sebahagian
daripada ciri-ciri itu adalah tanda-tanda fizikal khusus bagi puak
khawarij yang muncul di zaman para Sahabat r.a. Tanda-tanda seperti
berkepala
botak, berkulit hitam, bertangan pendek, berjanggut lebat, bertulang
pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol
dan berkain
singkat tidak
boleh dijadikan ukuran dan tidak boleh dipantulkan ke atas mana-mana
individu atau golongan pada hari ini.
Justeru, kertas ini
akan fokus kepada beberapa ciri umum yang menunjukkan persamaan dan
perkaitan antara golongan khawarij lama dan khawarij
moden. Ciri-ciri tersebut ialah:
Pertama: Suka Bertakalluf.
Takalluf
bermaksud
menimbulkan persoalan yang tidak perlu atau
buat perkara yang susah atau memikul beban yang tidak biasa dipikul. Allah S.W.T
berfirman:
قُلۡ مَآ أَسۡـَٔلُكُمۡ عَلَيۡهِ مِنۡ أَجۡرٍ۬ وَمَآ
أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُتَكَلِّفِينَ
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak meminta daripada mu sebarang
bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari
golongan yang bertakalluf”.
Seorang lelaki
bertanya cUmar Ibn Al-Khattab r.a. maksud perkataan abba
yang terkandung dalam ayat 31 surah cAbasa, tetapi cUmar
tidak melayan persoalan lelaki itu, sebaliknya beliau menjawab:
نُهِينَا عَنْ التَّكَلُّفِ
“Kami dilarang
daripada bertakalluf
”.
Para Sahabat r.a.
sedia memahami maksud perkataan abba itu sebagai sejenis tumbuhan
yang terdapat dalam Syurga. Meskipun mereka tidak tahu jenis dan
bentuknya secara terperinci, namun kefahaman itu sudah memadai untuk
memberi keyakinan terhadap Hari Akhirat dan nicmat Syurga.
Justeru, mereka menahan diri daripada menyoal Nabi s.a.w. mengenai
perinciannya kerana pertanyaan seumpama itu termasuk dalam ertikata
takalluf yang dilarang syarac.
Imam Al-Bukhari
(M256H) ketika meriwayatkan hadith ini, meletakkannya di bawah bab
berjudul: Bab: (Pada menyatakan) perkara yang makruh (dibenci), seperti
banyak bersoal dan takalluf dengan persoalan yang tidak berfaedah
serta (pada menyatakan) firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Jangan kamu
bertanya tentang sesuatu yang jika diberitahu ia akan menyusahkan kamu”.
Berdasarkan judul bab
Bukhari ini, dapat disimpulkan bahawa persoalan berlebihan tanpa faedah
yang bersifat memaksa dan menyiksa adalah sebahagian daripada ciri-ciri
takalluf yang dilarang oleh syarac. Dalam hadith lain,
Al-Mughirah Ibn Syucbah r.a, berkata:
وَكَانَ يَنْهَى عَنْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةِ السُّؤَالِ.
“Sesungguhnya
baginda s.a.w. melarang daripada bercakap begitu begini, juga daripada
banyak bersoal (perkara tidak perlu)”.
Menjelaskan maksud
hadith ini, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-cAsqalani (M 852 H)
berkata: “Oleh itu, sekumpulan ulama salaf tidak suka mempersoalkan
perkara yang tidak berlaku kerana ia mengandungi maksud takalluf
dan melampau serta melontar andaian tanpa keperluan dalam perkara agama”.
Islam jelas melarang
umatnya daripada mempersoal dan mengandaikan perkara agama sehingga
melebihi dan bercanggah dengan kehendak nas. Apatah lagi jika persoalan
dan andaian itu hanya akan menambahkan beban kesusahan.
Malangnya, perkara
seperti inilah yang sangat digemari oleh golongan Khawarij
sehingga ia menjadi faktor utama yang menyesatkan mereka. Lihatlah
bagaimana mereka mempersoalkan pembahagian harta yang dibuat oleh Nabi
s.a.w., meskipun baginda telah memberikan alasan yang begitu lojik dan
islamik, namun mereka tetap mempertikaikannya.
Kemudian mereka
pertikaikan pula segala pendapat dan ijtihad para Khalifah Islam
sehingga akhirnya mereka sanggup mengkafir, memerangi dan membunuh para
Sahabat r.a. Semua itu adalah kerana sikap mereka yang suka bertakalluf
dalam perkara agama. Dalam sebuah hadith, seorang perempuan bernama
Ma’azah berkata:
“Aku bertanya
Aishah r.a. kenapa wanita haid wajib qada (ganti) puasa tetapi tak perlu
ganti solat”? Lalu beliau bertanyaku: “Adakah kamu seorang
haruriyyah”? Aku
menjawab: “Aku bukan dari golongan haruriyyah cuma saja aku nak
tanya”. Lalu beliau menjawab: “Kami datang haid (pada zaman Nabi s.a.w.)
lalu kami disuruh supaya qada puasa dan kami tidak disuruh supaya qada
solat”.
Aishah r.a. bertanya Ma’azah
tentang kecenderungan mazhabnya kerana persoalannya itu mengandungi
unsur takalluf yang telah menyesatkan puak khawarij. Para
Sahabat di zaman Nabi s.a.w. menerima syariat seumpama itu dengan mudah
tanpa mempersoalkannya, sehingga muncullah puak khawarij yang
mempersoalkannya. Lalu mereka mewajibkan perempuan haid qada solat
sebagaimana qada puasa, bahkan ada yang mewajibkan kedua-dua solat dan
puasa ke atas perempuan haid.
Kedua: Menolak
Konsep Taysir.
Islam adalah agama
yang menekankan prinsip at-taysir (memudah dan meringankan)
sebagai salah satu dasar utamanya. Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):
إِنَّ
الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ
فَسَدِّدُوا
وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ
وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنْ الدُّلْجَةِ.
“Sesungguhnya
agama (Islam) itu mudah, tiada sesiapa yang menjadikan agama ini susah
melainkan dia akan tewas. Maka hendaklah kamu perbetulkan, dekatkan,
gembirakan dan mohonlah pertolongan (gunalah kesempatan) daripada
perjalanan pada waktu pagi dan petang serta sedikit daripada perjalanan
pada waktu awal malam”.
Dalam sebuah hadith
lain, ketika Nabi s.a.w. mengutuskan Mucaz Ibn Jabal r.a. dan
Abu Musa Al-Asycari r.a. ke Yaman, baginda berpesan kepada
kedua-duanya:
يَسِّرَا وَلاَ تُعَسِّرَا وَبَشِّرَا وَلاَ تُنَفِّرَا وَتَطَاوَعَا وَلاَ
تَخْتَلِفَا.
“Hendaklah kamu
berdua permudahkan jangan menyusahkan, gembirakan jangan menakutkan,
hendaklah saling bekerjasama dan jangan berbeza pendapat”.
Imam Al-Bukhari
meriwayatkan hadith ini di bawah beberapa judul bab yang berbeza dalam
kitab Sahihnya, antaranya di bawah bab berjudul: “Bab: (Pada
menyatakan) sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu permudahkan jangan
menyusahkan”, kerana sesungguhnya Baginda sukakan peringanan dan
kemudahan untuk manusia”.
Disebabkan kejahilan
khawarij tentang sunnah, maka mereka pesimis terhadap
sunnah-sunnah yang bersifat taysir, lalu mereka pertikai dan
menolaknya. Dalam hal ini, Al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan:
كنا على شاطئ نهر بالأهواز نقاتل الحرورية فجاء أبو برزة الأسلمي على فرس
فصلى وخلى فرسه فانطلقت الفرس فترك صلاته وتبعها حتى أدركها فأخذها ثم جاء
فقضى صلاته فجعل رجل من الخوارج يقول:
اللهم افعل بهذا الشيخ ترك صلاته من أجل فرس،
فأقبل فقال إني سمعت قولكم، ما عنفني أحد منذ فارقت رسول الله صلى الله
عليه وسلم وإني غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ست غزوات أو سبع
غزوات وثمان وشهدت تيسيره وإني إن كنت أن أراجع مع دابتي أحب إلي من أن
أدعها ترجع إلى مألفها فيشق علي إن منـزلي متراخ فلو صليت وتركت لم آت أهلي
إلى الليل.
Kami sedang berada di
tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah,
tiba-tiba Abu Barzah Al-Aslamiyy datang menunggang kuda lalu bersolat
sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya
lantas beliau menghentikan solat dan mengejarnya sehingga dapat.
Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya.
Seorang lelaki
khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah
meninggalkan solatnya kerana seekor kuda”.
Abu Barzah tampil
seraya berkata: “Sesungguhnya aku dengar kata-kata kamu, semenjak
Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku,
sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama
Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan (pendekatan)
taysir
baginda (dalam ibadat), sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama
binatang tungganganku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya
sehingga menyusahkanku, sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat
dan biarkan nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke
malam.”
Hadith ini jelas
menunjukkan bahawa golongan khawarij tidak menerima kemudahan
bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak, meskipun ia menepati
sunnah Nabi s.a.w. dan menepati konsep taysir yang menjadi dasar
penting dalam ajaran Islam.
Ketiga: Berpegang Dengan
Falsafah ‘Bidah Hasanah’.
Dalam sebuah
athar
sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asycari r.a. memberitahu
Ibn Mascud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan
lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk
bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu
mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para
Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mascud menuju
ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya:
Mendengar kata-kata
Ibn Mascud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu
cAbd Ar-Rahman!
Tujuan kami hanya untuk kebaikan”.
Mendengar jawapan
mereka itu, lalu Ibn Mascud berkata: “Berapa ramai orang yang
bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW
memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak
melebihi kerongkong mereka”.
Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari
kalangan kamu”.
Menjelaskan kata-kata
Ibn Mascud ini, cAmr Ibn Salamah
berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam
halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari
peperangan An-Nahrawan”.
Athar
ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai
adalah amalan bidcah puak Khawarij yang memerangi para
Sahabat r.a. dalam peperangan an-Nahrawan. Manakala jawapan yang
mereka berikan kepada Ibn Mascud r.a. itu pula menunjukkan
bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah
hasanah’.
Keempat: Membalut
Kebatilan Dengan Kebenaran.
Telah disebutkan
sebelum ini bahawa puak khawarij dikenali dengan beberapa gelaran
seperti al-Muhakkimah dan asy-Syurah yang menggambarkan
seolah-olah mereka berada di atas landasan kebenaran.
Gelaran
al-Muhakkimah misalnya diberi kerana slogan yang sering mereka
laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya mereka hanya
berhukum dengan hukum Allah sebagaimana firmanNya;
إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ يَقُصُّ ٱلۡحَقَّۖ
وَهُوَ خَيۡرُ ٱلۡفَـٰصِلِينَ
“Hanya
Allah jualah yang menetapkan hukum, Dia menerangkan kebenaran, dan
Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.”
Begitu juga
dengan gelaran asy-Syurah kerana mereka mendakwa kononnya menjual
diri mereka kepada Allah, sanggup berkorban nyawa keranaNya, sebagaimana
firmanNya;
إِنَّ ٱللَّهَ ٱشۡتَرَىٰ مِنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
أَنفُسَهُمۡ وَأَمۡوَٲلَهُم بِأَنَّ لَهُمُ ٱلۡجَنَّةَۚ يُقَـٰتِلُونَ فِى
سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيَقۡتُلُونَ وَيُقۡتَلُونَۖ
“Sesungguhnya Allah membeli nyawa dan harta orang beriman dengan balasan
syurga (kerana) mereka berperang pada jalan Allah…”.
Tidak dinafikan
bahawa gelaran yang mereka pakai itu mengandungi maksud yang baik dari
segi bahasanya, manakala slogan yang mereka laung-langkan itu juga
adalah slogan yang benar pada asalnya.
Namun, hakikatnya
semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang
mereka lakukan terhadap khalifah dan umat Islam. Sebagaimana sabda Nabi
s.a.w. (maksudnya): “…Mereka
bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya)…”.
Menjelaskan hal ini cAli Ibn Abi Talib r.a. berkata:
“Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”.
Kelima: Membaca
Quran Tanpa Penghayatan Dan Keikhlasan.
Sabda Nabi s.aw (maksudnya):
“…Mereka membaca al-Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi
halqum mereka…”. Menjelaskan maksud sabda ini, Imam an-Nawawi
memetik kata-kata al-Qadi
cIyad bahawa ia membawa dua pengertian,
Pertama:
Hati mereka tidak memahaminya dan mereka tidak mendapat manfaat daripada
bacaan mereka dan kedua: segala amalan dan bacaan mereka tidak
diangkat dan tidak diterima.
Imam al-Bukhari
meriwayatkan
hadith-hadith berkenaan Khawarij ini
di bawah beberapa judul bab, antaranya: “Bab (pada menyatakan): dosa
orang yang membaca al-Quran untuk riya’, mencari makan dengannya atau
berbangga dengannya”
dan “Bab (pada menyatakan): bacaan orang jahat dan munafiq serta suara
mereka dan bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka.”
Keenam: Mengkafir
Dan Memerangi Umat Islam.
Sabda Nabi s.a.w.
(maksudnya): “…Mereka
memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala”.
Ibn Umar r.a. mengangap mereka sebagai sejahat-jahat makhluk dan beliau
(Ibn Umar) berkata: “Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan
kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”.
Al-Qadi Abu Bakr Ibn
al-Arabi membahagikan puak khawarij kepada dua kumpulan:
Pertama, kumpulan yang mengkafirkan semua para Sahabat r.a. yang
terlibat dalam perang Jamal, Siffin dan yang redha dengan
Majlis Tahkim. Kedua, kumpulan yang mengkafirkan
sesiapa saja yang melakukan dosa besar.
Manakala al-Hafiz Ibn
Hajar menegaskan bahawa puak an-Najdah menambah pegangan takfir
khawarij kepada sesiapa saja yang tidak keluar memerangi orang
Islam, meskipun orang itu berpegang dengan aqidah mereka.”
Ketujuh: Penyelewengan Aqidah
Imam Abu Hasan al-Ashcariyy
(M330H) menegaskan bahawa pegangan tauhid Khawarij sama dengan
pegangan Muktazilah dan mereka sepakat menganggap al-Quran
sebagai makhluk (bukan Kalam Allah).
Kemudian al-Ashcariyy huraikan pegangan tauhid Muktazilah
yang berkisar pada konsep takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi)
dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di
mana-mana tempat.
Puak Khawarij
mempunyai titik kesepakatan dari segi mengkafirkan Khalifah cUthman
Ibn cAffan dan cAli Ibn Abi Talib r.a. serta semua
yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis
Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib
melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan
itu hanya pada kacamata mereka sahaja.
Pendapat
Khawarij Yang Bercanggah
Selain daripada
ciri-ciri di atas, puak-puak khawarij juga berpegang dengan
pelbagai pendapat yang menyalahi pendapat Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah
dan saling bercanggah sekalipun di kalangan mereka sendiri. Antara
pendapat mereka yang dilihat sebagai salah dan bercanggah itu ialah:
-
Segala perbuatan
hamba mengikut kehendak Allah semata-mata.
-
Menolak ijtihad
dan berpegang dengan zahir al-Quran.
-
Menolak taklif
sebelum diutus Rasul.
-
Menolak adanya
azab kubur.
-
Harus tiada
khalifah bagi umat Islam kerana mereka tidak perlu kepadanya.
-
Harus membunuh
kanak-kanak dan wanita pihak yang menyalahi mereka.
-
Pelaku dosa besar
adalah kafir dan kekal dalam neraka.
-
Tidak sah
berkahwin dengan orang yang tidak mengkafirkan cUthman
dan cAli r.a.
-
Semua orang yang
menyalahi mereka adalah kafir atau musyrik.
-
Orang yang tidak
berhijrah kepada mereka adalah musyrik.
-
Wajib menguji
kesetiaan orang yang berhijrah kepada mereka dengan cara menyuruh
orang itu membunuh tawanan. Jika tidak sanggup bermakna munafiq dan
mereka akan membunuhnya.
-
Anak-anak orang
yang menyalahi mereka adalah kekal dalam Neraka.
-
Menganggap negeri
orang yang menyalahi mereka sebagai negeri kafir.
-
Menggugurkan
hukum rejam ke atas penzina yang sudah beristeri.
-
Mengharuskan
kekufuran para Nabi a.s. sebelum dan selepas mereka dilantik menjadi
nabi.
-
Memotong tangan
pencuri sampai ke bahu.
-
Wajib solat dan
puasa ke atas perempuan haid.
-
Wajib qada solat
ke atas perempuan haid sebagaimana qada puasa.
-
Mendakwa ayat 204
surah al-Baqarah khusus untuk Ali r.a.
-
Mendakwa ayat 207
surah al-Baqarah sebagai khusus untuk cAbd ar-Rahman Ibn
Muljim (pembunuh Ali r.a.).
-
Penyokong mereka
tidak akan masuk neraka Jahannam, jika berdosa mereka akan diazab
dengan azab selain neraka Jahannam.
-
Sebahagian mereka
menggugurkan hukum hudud bagi peminum arak, manakala sebahagian yang
lain pula mengenakan hukuman yang sangat berat.
-
Melakukan dosa
kecil secara berterusan adalah suatu kesyirikan bagi yang tidak
menyokong mereka, tetapi bagi para penyokong mereka ia tidak pula
dianggap syirik meskipun melakukan dosa besar.
-
Mengharuskan
at-taqiyyah.
-
Harus melantik
wanita sebagai Khalifah Agung.
-
Harus berkahwin
dengan anak perempuan cucu lelaki (cicik) dan anak perempuan anak
saudara lelaki.
-
Sifat munafik itu
hanya khusus bagi golongan yang disebutkan dalam al-Quran.
Antara Ahbash
Dan Khawarij
Puak
Ahbash
pimpinan Abdullah al-Harari al-Habsyi yang muncul dan berpusat di Lubnan
dilihat antara kelompok semasa yang paling banyak mempunyai persamaan
dengan ciri-ciri puak Khawarij. Persamaan itu dilihat dari
beberapa aspek, antaranya:
-
Kemunculan puak
Ahbash di Lubnan ketika negara itu berada dalam konflik perang
saudara, sama seperti puak Khawarij dahulu yang muncul ketika
umat Islam berpecah belah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mereka
keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan
berpecah belah”.
Sebagaimana puak Khawarij mengambil kesempatan untuk
menyebarkan kesesatan mereka ketika keadaan umat Islam di zaman
khalifah Ali r.a. berpecah belah, maka demikianlah juga puak
Ahbash mengambil peluang untuk menyebarkan kesesatan mereka
ketika Negara Lubnan berada dalam keadaan huru-hara akibat perang
saudara.
-
Mengaburi
masyarakat dengan slogan dan gelaran indah, seperti gelaran ahli
sunnah wa al-jamaah bagi puak mereka, gelaran al-allamah
al-muhaddith (ulama hadith) bagi guru mereka al-Harari dan
gelaran samahah asy-shiekh (gelaran mufti) bagi tokoh mereka
yang bernama Nizar al-Halabi. Mereka juga mengaburi para pelajar
Islam yang belajar di luar Negara seperti di Switzerland dengan
dakwaan kononnya mereka adalah wakil Universiti al-Azhar Mesir.
-
Mengeluarkan
fatwa-fatwa yang bercanggah dengan nas dan pendapat ulama muktabar,
seperti boleh melihat, bercampur dan bersalam dengan wanita bukan
mahram, boleh bertabarruj dan memakai wangi-wangian bagi
wanita yang keluar rumah tanpa izin suami, boleh makan riba dan
boleh bersolat dengan pakaian bernajis.
-
Mengatakan
al-Quran itu adalah lafaz Jibril bukan Kalam Allah S.W.T.
-
Menafi atau
mentakwil nas-nas Sifat Allah S.W.T.
-
Beriktiqad bahawa
segala perbuatan hamba adalah mengikut kehendak Allah semata-mata.
-
Mengamal dan
menggalakkan bidah seperti memohon hajat pertolongan di kubur,
amalan tasauf sesat dan sambutan maulid.
-
Mencela para
Sahabat r.a. terutamanya Muawiyah, Khalid Ibn al-Walid dan Aisyah
r.a.
-
Mengkafir dan
memerangi para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka seperti
Sheikh Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Imam az-Zahabi, Muhammad
Abdul Wahab, Nasiruddin al-Albani, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb,
Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali, Yusuf
al-Qaradawi, Muhammad Said Ramadan al-Buti dan lain-lain. Mereka
juga telah mengkafir dan memerangi para ulama Lubnan seperti Sheikh
Subhi Saleh dan Faisal Maulawi sehingga ramai yang terpaksa
melarikan diri ke Mesir dan Arab Saudi. Bahkan mereka telah
mengkafir dan membunuh Mufti Lubnan yang bernama Hassan Khalid.
Kesimpulan
Berdasarkan
fakta-fakta di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja hari
ini yang mempunyai ciri dan sifat seperti khawarij, maka dialah
yang layak untuk digelar khawarij moden.
Demikian juga
sebarang perkumpulan yang memiliki dasar dan pegangan yang sama dengan
dasar dan pegangan khawarij, maka merekalah yang layak untuk
digelar puak khawarij moden.
Semakin banyak aspek
persamaan, maka semakin dekatlah mereka dengan golongan tersebut.
Meskipun mereka juga menyatakan kebencian terhadap Ibn al-Kawwa’, Ibn
Muljim atau tokoh-tokoh khawarij lain dan meskipun mereka tidak
pernah mengaku mereka khawarij, namun jika ideologi dan cirinya
sama, maka mereka tetap khawarij.
Ya, mereka adalah
khawarij dari segi amalan dan pegangan, meskipun mereka bukan
khawarij dari segi nama. Nama khawarij tentu tidak wujud pada
mana-mana jamaah pada hari ini, kerana tiada sesiapa pun yang begitu
bodoh untuk memakai nama kumpulan yang telah disepakati sebagai sesat.
Tetapi amalan dan pegangan khawarij mungkin wujud sama ada dalam
konteks individu atau kumpulan.
Justeru, kertas ini
mengajak sekalian kita supaya bermuhasabah agar kita dapat menjauhkan
diri, keluarga dan masyarakat daripada terpalit dengan sebarang ciri dan
ideologi khawarij yang sesat dan menyesatkan itu.