 |
Bab 4
Wahabi!
Bulan November 2008 ini genaplah dua tahun laporan
muka utama sebuah akhbar perdana tempatan yang
berjudul “Fahaman Wahabi Menular”. Kebanyakan
kenyataan dalam laporan tersebut adalah tidak tepat
sebagaimana yang telah dijelaskan oleh sahabat saya,
Mohd. Yaakub bin Mohd. Yunus dalam bukunya
Fahaman Wahabi Menular: Satu Analisis Terhadap
Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia
terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2006. Namun ada
dua kenyataan yang boleh dikatakan tepat:
-
Pertama:
Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman
Wahabi sedang menular. Ini tepat, bahkan yang
lebih jitu adalah fahaman Wahabi memang
sungguh-sungguh sedang menular. Ia seumpama
arus tsunami yang menenggelamkan pelbagai
fahaman, pengaruh, jamaah dan aliran lain yang
ada di Malaysia.
-
Kedua:
Laporan tersebut menyatakan bahawa fahaman
Wahabi mendapat tempat di kalangan cerdik pandai
umat Islam. Ini tepat, tetapi realiti masa kini
membuktikan bahawa fahaman Wahabi juga sudah
mendapat tempat di kalangan mereka yang berada
dalam pelbagai lapisan dan latarbelakang.
Apa Dan Kenapa Wahabi?
Saya biasa ditanya, apakah fahaman Wahabi? Jawapan
saya mudah sahaja: “Ia adalah pemikiran dan amalan
Islam berdasarkan dalil dan hujah yang berbeza
dengan kebiasaan masyarakat”. Soalan seterusnya,
kenapa fahaman Wahabi mendapat tempat secara meluas
di kalangan umat Islam? Terdapat beberapa jawapan
bagi persoalan ini:
Pertama:
Fahaman ini memandang Islam sebagai suatu agama yang
berdasarkan ilmu. Oleh itu ia tidak membicarakan
Islam melainkan dengan metodologi ilmiah yang tinggi
lagi berdisiplin. Fahaman ini menolak bicara Islam
yang berdasarkan mitos, khayalan, cerita-cerita
dongeng dan apa-apa yang seumpama. Dalam suasana
umat Islam yang semakin meningkat taraf keilmuannya,
mereka mula beralih kepada Islam yang berdasarkan
ilmu, yakni dalil dan hujah.
Kedua:
Fahaman ini meningkatkan lagi penghayatan umat Islam
terhadap agama Islam. Jika sebelum ini umat hanya
mengenal Islam berdasarkan hafalan “fardhu ain”,
kini umat mula mengenal Islam berdasarkan dalil dan
hujah. Umat Islam mula mengenal kenapa mereka
beribadah dengan tatacara sekian-sekian, hikmah di
sebalik sesuatu ibadah, tujuan di sebalik sesuatu
hukum dan objektif yang ingin dicapai oleh syari’at
kepada manusia.
Ketiga:
Fahaman ini memberi penekanan kepada usaha tajdid,
iaitu usaha membersihkan agama Islam dari pelbagai
pencemaran sehingga ia kembali tulen. Ketulenan ini
adalah sesuatu yang benar-benar asing kepada
masyarakat sehingga mereka menganggap ia adalah
sesuatu yang baru, sekali pun ia sebenarnya sudah
wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Usaha tajdid
memberi nafas baru kepada umat Islam. Mereka mula
melihat keindahan, kemudahan dan kesyumulan Islam
sebagaimana yang dilihat oleh generasi pertama yang
menerimanya secara tulen daripada Rasulullah s.a.w..
Keempat:
Fahaman ini menyentuh isu-isu terkini lagi relevan
dengan suasana umat Islam. Sebagai contoh, apabila
fahaman yang lain masih memberi perhatian kepada
hukum berwudhu’ dengan air perigi, fahaman ini
memberi perhatian kepada hukum berwudhu’ dalam
kapalterbang. Apabila fahaman lain memberi perhatian
kepada cara berzikir di atas pokok, fahaman ini
memberi perhatian kepada cara beribadah di atas
kenderaan moden seperti LRT, Monorail, Komuter dan
sebagainya. Oleh itu tidak asing juga apabila
didapati antara yang kehadapan dalam menangani
isu-isu liberalisme, pluralisme, feminisme dan
athiesisme adalah tokoh-tokoh yang disandarkan
kepada fahaman ini.
Kelima:
Fahaman ini tidak membataskan ahli-ahlinya kepada
jamaah tertentu. Tidak ada sistem mendaftar keahlian, berbai’ah kepada amir, perlantikan ahli
jawatan kuasa tahunan dan lain-lain yang biasa
ditemui dalam jamaah-jamaah Islam. Seseorang itu
boleh sahaja mengikuti fahaman ini dan pada waktu
yang sama terus bergiat aktif dengan jamaah yang
dianggotainya. Hanya saja fahaman ini mengingatkan
umat Islam agar membetulkan tujuan mereka bergiat
aktif di dalam sesuatu jamaah. Hendaklah tujuan
tersebut demi kebaikan Islam dan umatnya, bukan demi
memelihara maruah jamaah dan menjaga kedudukannya
sebagai yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang
lain.
Di Mana Salahnya Fahaman Wahabi?
Secara umum, tidak ada yang salah dengan fahaman
Wahabi kecuali namanya. Memang, ada segelintir orang
yang mengikuti fahaman ini dengan semangat yang
mendahului ilmu dan kematangan sehingga mereka
berlebih-lebihan dalam mengkritik dan mencela. Namun
tindakan segelintir tidak boleh dijadikan hujah
untuk menghitamkan keseluruhan fahaman ini dan
majoriti yang mengikutinya berdasarkan ilmu dan
kematangan.
Fahaman Wahabi bukanlah sesuatu yang asing dalam
Islam atau terkeluar dari Ahl al-Sunnah wa
al-Jama'ah. Malah ia lebih mendekati Islam yang
sebenar dan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang
tulen. Terkecuali adalah nama “Wahabi” yang
disandarkan kepada fahaman ini, ia adalah nama yang
sengaja digunakan oleh sebahagian agamawan
sebagai senjata untuk menakutkan orang ramai dan
menjauhkan mereka daripada fahaman yang murni ini.
Kenapakah perlu ditakut dan dijauhkan orang ramai
daripada fahaman ini? Paling kurang ada dua sebab
utama:
Sebab Pertama:
Apabila fahaman ini membicarakan Islam berdasarkan
metodologi ilmiah, akan terbongkar kesilapan,
kedongengan dan kepalsuan apa yang selama ini
disampaikan oleh para agamawan tersebut. Dalam
menghadapi suasana ini, para agamawan terbahagi
kepada dua kategori:
-
Pertama adalah mereka yang bekerjaya dalam
jurusan agama berdasarkan sikap jujur lagi
amanah. Mereka membetulkan apa yang pernah
disampaikan sebelum ini seandainya ia
sememangnya tidak tepat.
-
Kedua adalah mereka yang bekerjaya dalam jurusan
agama kerana maruah dan status. Mereka sukar
untuk mengakui bahawa apa yang mereka sampaikan
sebelum ini adalah tidak tepat. Maka mereka
mencari helah untuk menakutkan orang ramai dan
menjauhkan mereka dari kebenaran tersebut. Helah
tersebut adalah: “Berhati-hatilah dengan fahaman
Wahabi kerana ia terkeluar dari Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah……”
Sebab Kedua:
Fahaman ini benar-benar mendapat sambutan daripada
umat Islam sehingga kuliah-kuliah pimpinan tokohnya
dibanjiri oleh hadirin dari pelbagai latarbelakang.
Suasana ini bertolak belakang dengan kuliah-kuliah
lain yang semakin lengang sehingga akhirnya
dibatalkan oleh pihak penganjur. Dalam menghadapi
suasana ini, sekali lagi para agamawan terbahagi
kepada dua kategori:
-
Pertama adalah mereka yang memiliki sikap yang
positif dimana dengan sikap tersebut mereka
berusaha untuk mempertingkatkan mutu kuliah yang
disampaikan, selari dengan kehendak para
hadirin.
-
Kedua adalah mereka yang memiliki sikap yang
negatif dimana mereka enggan mempertingkatkan
mutu kuliah yang disampaikan. Pada waktu yang
sama mereka tidak boleh berdiam diri kerana
semua ini melibatkan sumber pendapatan mereka.
Dengan berkurangnya jemputan, berkuranglah juga
pendapatan. Maka mereka perlu mencari helah
untuk menjanakan kembali sumber pendapatan
dengan berkata: “Berhati-hatilah dengan kuliah
orang-orang Wahabi, mereka itu ditaja oleh pihak
Barat……”
Siapa Yang Sebenarnya Salah?
Diharapkan melalui penjelasan yang ringkas di atas,
para pembaca sekalian dapat mengetahui kisah sebenar
di sebalik gelaran atau tuduhan “Wahabi”. Tidak
percaya? Cubalah mengkaji salah satu dari kitab
Mazhab asy-Syafi’e yang muktabar dan pilih satu
hukum atau amalan yang berbeza dari kebiasaan
masyarakat. Nescaya anda akan dituduh “Wahabi”
sekalipun rujukan anda ialah kitab muktabar Mazhab
asy-Syafi’e.
Di sini ingin saya tambah, bahawa yang tidak benar
bukan sekadar tuduhan “Wahabi”, tetapi sikap orang
yang menuduh itu sendiri adalah tidak benar. Ini
kerana Islam melarang umatnya daripada tuduh-menuduh,
cemoh-mencemuh dan memanggil antara satu sama lain
dengan gelaran yang tidak baik. Allah s.w.t.
berfirman:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٌ۬ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن
يَكُونُواْ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُمۡ
وَلَا نِسَآءٌ۬ مِّن نِّسَآءٍ
عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرً۬ا مِّنۡہُنَّۖ وَلَا
تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ
بِٱلۡأَلۡقَـٰبِۖ
بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ
ٱلۡإِيمَـٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ
هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu
kumpulan (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan kumpulan lelaki yang lain, (kerana)
boleh jadi kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik
daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu kumpulan
dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan
kumpulan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi
kumpulan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka;
Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban
setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
panggil-memanggil antara satu dengan yang lain
dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang
tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi
fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada
seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah),
sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan
fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
[al-Hujurat 49:11]
Akhir kata, apabila anda mendengar seseorang
berkata: “Si fulan Wahabi”, “Kumpulan itu Wahabi”,
“Ini majalah Wahabi” atau apa-apa tuduhan seumpama,
maka ketahuilah bahawa kesalahan tidak terletak pada
yang dituduh tetapi pada yang menuduh.
|
 |