|
Bab 3
Fiqh al-Awlawiyat
Dan Kepentingannya Kepada Umat Islam
Mutakhir Ini.
Mutakhir ini jarang-jarang umat Islam dapat membuat
satu keputusan, melakukan satu pekerjaan dan
melaksanakan satu ibadah melainkan pasti dia
berhadapan dengan dua atau lebih keadaan yang saling
bertembung dari sudut hukum agama. Pertembungan
mungkin berlaku antara yang halal dengan yang haram,
antara yang halal dengan yang halal, antara yang
haram dengan yang haram dan perkara halal yang hanya
dapat diperolehi melalui cara yang haram.
Tidak ketinggalan, di kalangan umat Islam pasti ada
yang bercita-cita gemilang demi agama dan manusia.
Dalam rangka mencapai cita-cita tersebut, tentu saja
dia perlu menyusun tindak-tanduknya mengikut tertib
kepentingan (prioritize). Justeru apakah
panduan yang sepatutnya dia jadikan pedoman untuk
menyusun kepentingan tersebut?
Dua perenggan di atas menjadi Kata Pembuka bagi
risalah saya ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat.
Sebelum meneruskannya, izinkan saya menjelaskan
latarbelakang istilah ini terlebih dahulu.
Latarbelakang Fiqh al-Awlawiyat.
Istilah ini terdiri dari dua perkataan. Pertama
ialah “Fiqh” yang bermaksud kefahaman. Lazimnya ia
dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud
kefahaman terhadap sesuatu hukum. Justeru apabila
dikatakan “Fiqh Solat”, bererti subjek yang memberi
kefahaman kepada hukum, hikmah dan objektif solat
dalam suasana biasa dan tidak biasa. Ada pun
kebiasaan silibus tempatan yang menekankan hafalan
hukum-hukum berkaitan solat, ia tidak dapat disebut
sebagai “Fiqh Solat” tetapi lebih kepada “Hafazan
Solat”.
Al-Awlawiyat
berasal dari perkataan “Awla” yang bermaksud utama,
unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi
Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam
membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih
unggul dan lebih penting. Secara ejaan, Fiqh
al-Awlawiyat tidak wujud di dalam al-Qur’an dan
al-Sunnah, akan tetapi secara maksud dan konsep, ia
wujud secara jelas di dalam kedua-dua sumber mulia
tersebut.
Dalam perbicaraan Fiqh al-Awlawiyat, para
pembaca juga perlu beramah mesra dengan dua istilah
yang lazim digunakan, iaitu maslahat dan mafsadat.
Secara mudah, maslahat ialah kebaikan atau faedah
manakala mafsadat ialah keburukan atau
kerosakan. Setiap sesuatu yang dilarang oleh
syari‘at sebagai haram atau makruh pasti memiliki
sesuatu mafsadat yang ingin dijauhkan.
Manakala setiap sesuatu yang disuruh oleh syari‘at
sebagai harus, sunat atau wajib pasti memiliki
sesuatu maslahat yang ingin dicapai.
Fiqh al-Awlawiyat
Antara Dua Larangan Yang Saling Bertembung.
Katakanlah kita berhadapan dengan dua larangan dalam
satu masa, larangan pertama hukumnya makruh manakala
larangan kedua hukumnya haram. Maka tindakan yang
benar ialah menjauhi kedua-duanya. Seterusnya,
katakanlah kita hanya mampu menjauhi salah satu
darinya, maka tindakan yang lebih utama ialah
menjauhkan larangan yang hukumnya haram. Tentu saja
ini mudah untuk kita pertimbang dan utamakan.
Namun bagaimana jika kita berhadapan dengan dua
larangan dalam satu masa dimana kedua-dua hukumnya
adalah haram dan kita hanya mampu menjauhi salah
satu darinya? Di sinilah terdapatnya kepentingan
Fiqh al-Awlawiyat. Kes seumpama ini pernah
disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam
firman-Nya:
يَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلشَّہۡرِ
ٱلۡحَرَامِ قِتَالٍ۬ فِيهِۖ قُلۡ قِتَالٌ۬ فِيهِ
كَبِيرٌ۬ۖ
وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ
وَڪُفۡرُۢ بِهِۦ وَٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ وَإِخۡرَاجُ
أَهۡلِهِۦ مِنۡهُ أَكۡبَرُ عِندَ ٱللَّهِۚ
وَٱلۡفِتۡنَةُ أَڪۡبَرُ مِنَ
ٱلۡقَتۡلِۗ
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai
(hukum) berperang dalam bulan yang dihormati;
katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah
berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi
(orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan
kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat
(orang-orang Islam) ke Masjid al-Haram (di Makkah),
serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu)
adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan
(ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya)
daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang
dihormati).
[al-Baqarah 2:217]
Dalam ayat di atas, umat Islam berhadapan dengan dua
larangan yang saling bertembung dalam satu masa:
-
Larangan # 1:
Berperang dalam bulan-bulan yang dihormati,
iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan
Rejab. Peperangan memiliki mafsadat di
sebaliknya seperti kehilangan nyawa dan
kerosakan harta benda, maka larangan berperang
pada bulan-bulan yang dihormati adalah bagi
mengurangi mafsadat tersebut.
-
Larangan # 2:
Membiarkan musuh-musuh menghalangi umat Islam
dari jalan Allah, khasnya menghalang umat Islam
dari memasuki Kota Mekah untuk beribadah di
Masjid al-Haram sekali pun dalam bulan-bulan
yang dihormati. Jika dibiarkan, tindakan musuh
ini akan memberi mafsadat kepada Islam
dan umatnya.
Antara dua larangan di atas, mafsadat yang
kedua lebih berat dari yang pertama. Ini dapat
diketahui dengan membandingkan antara mafsadat
pertama yang Allah sifatkan sebagai “…berdosa
besar” dengan mafsadat kedua yang
Allah sifatkan sebagai “…lebih besar dosanya
di sisi Allah.” Seterusnya Allah
Subhanahu wa Ta'ala juga menerangkan bahawa
fitnah dari membiarkan tindakan musuh menghalangi
umat Islam adalah lebih besar kesannya berbanding
bunuh-membunuh yang berlaku dalam peperangan, sekali
pun dalam bulan-bulan yang dihormati.
Berdasarkan ayat di atas dapat dirumuskan beberapa
kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu
berhadapan dengan dua atau lebih larangan dalam satu
masa dan dia tidak mampu menjauhi semua larangan
tersebut, maka:
-
Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang
mafsadatnya memberi kesan jangka masa
panjang berbanding larangan yang mafsadatnya
memberi kesan jangka masa pendek.
-
Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang
mafsadatnya memberi kesan kepada orang
yang besar jumlahnya berbanding larangan
yang mafsadatnya memberi kesan kepada
orang yang kecil jumlahnya.
-
Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang
mafsadatnya bersifat pasti berbanding
larangan yang mafsadatnya bersifat
kemungkinan.
Sebagai contoh katakan seorang wanita telah
terlanjur berzina sehingga menyebabkan dia hamil.
Lelaki yang menzinainya tidak mahu bertanggungjawab
ke atas tindakan mereka dan terus menghilang diri.
Wanita tersebut berfikir sama ada untuk terus
mengandung, melahir dan membesarkan anak itu atau
menggugurkannya. Di sini terdapat dua larangan yang
saling bertembung:
Larangan yang manakah yang patut diutamakan,
maksudnya dijauhkan? Individu yang berbeza mungkin
memiliki pilihan keutamaan yang berbeza. Bagi wanita
yang hidup dalam lingkungan ahli keluarga dan
sahabat-sahabat yang saling memberi sokongan moral,
dia akan mengutamakan Larangan # 1, iaitu
tidak menggugurkan anak. Adapun fitnah dari
masyarakat terhadap diri dan anaknya, ia adalah
mafsadat yang bersifat kemungkinan sementara
menggugurkan anak adalah mafsadat yang
bersifat pasti. Maka berdasarkan kaedah Fiqh
al-Awlawiyat, adalah lebih utama menjauhkan
larangan yang mafsadatnya bersifat pasti
berbanding larangan yang mafsadatnya bersifat
kemungkinan.
Berbeza bagi wanita yang hidup dalam lingkungan
orang-orang yang tidak lekang dari mencela dan
menghina atas keterlanjurannya itu. Maka
mengutamakan Larangan # 2 mungkin menjadi
pilihannya, iaitu menggugurkan anak. Dia merasakan
tidak sanggup menghadapi fitnah yang berterusan,
apatah lagi diyakininya bahawa fitnah itu akan
bertambah hebat ketika dalam peringkat membesarkan
anak. Maka wanita ini cenderung kepada kaedah
Fiqh al-Awlawiyat yang menyatakan adalah lebih
utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya
memberi kesan jangka masa panjang berbanding
larangan yang mafsadatnya memberi kesan
jangka masa pendek.
Di sini ingin dijelaskan, sama ada bagi contoh di
atas atau selainnya, bahawa dalam mempertimbangkan
apakah tindakan yang lebih utama, individu yang
berbeza akan memiliki pilihan yang berbeza. Banyak
faktor yang mempengaruhi pilihan tersebut, seperti
tahap ilmu, kadar jatidiri, lokasi dan keadaan
masyarakat sekeliling. Faktor-faktor ini akan
sentiasa berbeza antara individu yang berbeza, maka
dengan itu pilihannya tentang apakah yang lebih
utama akan berbeza juga.
Fiqh al-Awlawiyat
Antara Dua Suruhan Yang Saling Bertembung.
Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan
agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua
suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan
keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya
antara harus, sunat dan wajib, maka yang utama ialah
melaksanakan yang wajib, kemudian yang sunat dan
kemudian yang harus.
Akan tetapi bagaimanakah sikap kita apabila
berhadapan dengan dua suruhan yang sama darjat
hukumnya dan kita hanya mampu melaksanakan salah
satu darinya? Sekali lagi, kemahiran dalam subjek
Fiqh al-Awlawiyat akan dapat membantu
menyelesaikan persoalan ini. Perhatikan hadis
berikut:
Seorang sahabat Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan-jalan di
satu lembah dan ternampak sebuah mata air yang indah
sehingga mengkagumkan dia. Dia berkata: “Andainya
aku mengasingkan diri dari manusia (uzlah) dan
tinggal di lembah ini, akan tetapi aku tidak akan
melakukannya melainkan setelah meminta izin daripada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.”
Hajatnya ini dikhabarkannya kepada Rasulullah lalu
baginda menjawab:
Jangan melakukannya kerana sesungguhnya kedudukan
seseorang kamu di (medan Jihad) di jalan Allah
adalah lebih utama daripada bersolat dalam rumah
selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah
mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam
Syurga ? Berperanglah di jalan Allah, barangsiapa
yang berperang di jalan Allah selama tempoh memerah
susu unta (yakni tempoh yang sekejap) maka wajib ke
atasnya Syurga.
[Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1650]
Dalam hadis di atas terdapat dua suruhan agama yang
saling bertembung:
-
Suruhan # 1:
Mendirikan solat dalam tempoh masa yang lama di
tempat yang indah agar dapat memperolehi
kekhusyukan yang sempurna. Ia mengandungi
maslahat kepada orang yang bersolat.
-
Suruhan # 2:
Berjuang di medan perang demi menegakkan kalimah
Allah dan membela nasib umat Islam. Ia
mengandungi maslahat membela nasib agama dan
umat Islam manakala orang yang berperang dijamin
keampunan Allah dan balasan syurga.
Di antara dua suruhan di atas, yang lebih utama ialah suruhan kedua kerana ia mengandungi kadar
maslahat yang lebih besar berbanding suruhan
pertama. Ini terbukti dengan perkataan Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam “…adalah lebih utama
daripada bersolat…”.
Berdasarkan hadis di atas dapat dirumuskan beberapa
kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu
berhadapan dengan dua atau lebih suruhan dalam satu
masa dan dia tidak mampu melaksanakan semua
tersebut, maka:
-
Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang
maslahatnya memberi kesan jangka masa panjang
berbanding suruhan yang maslahatnya memberi
kesan jangka masa pendek.
-
Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang
maslahatnya memberi kesan kepada orang yang
besar jumlahnya berbanding suruhan yang
maslahatnya memberi kesan kepada orang yang
kecil jumlahnya.
-
Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang
maslahatnya bersifat pasti berbanding
suruhan yang maslahatnya bersifat kemungkinan.
Sebagai contoh bagi Fiqh al-Awlawiyat antara
dua suruhan yang saling bertembung ini, ingin saya
kongsi persoalan yang agak lazim saya terima
daripada para pelajar pusat pengajian tinggi. Mereka
lazim bertanya, manakah yang patut diutamakan,
pelajaran atau aktiviti agama bersama jamaah
masing-masing di kampus? Atau adakah pelajaran dan
aktiviti agama diletakkan pada tahap yang sama? Ini
kerana dalam persoalan ini kelihatannya ada dua
suruhan agama yang saling bertembung:
Antara dua suruhan ini, yang utama ialah pelajaran.
Sebabnya:
-
Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat
jangka masa yang panjang. Empat tahun (purata)
di pusat pengajian tinggi akan memberi maslahat
kepada dirinya sehinggalah dia meninggal dunia.
Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar
maslahat dalam tempoh empat tahun dia berada di
kampus itu. Jarang-jarang ditemui pelajar yang
aktif di kampus akan aktif setelah tamat dari
kampus dengan aktiviti agama.
-
Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat
kepada orang yang besar jumlahnya. Kelulusannya
cemerlang dalam pelajaran akan membolehkan dia
bekerja dan menjadikan kerjayanya sebagai sarana
melakukan kerja-kerja dakwah dan islah kepada
orang ramai sehinggalah ke akhir hayat. Ada pun
aktiviti agama di kampus, ia sekadar mencapai
maslahat untuk warga kampus.
-
Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat
yang bersifat pasti. Ini kerana apa saja yang
dilakukan oleh seseorang, kemaslahatan yang
hakiki hanya akan tercapai jika ia berdasarkan
ilmu yang sahih. Ada pun aktiviti agama di
kampus, ia lebih kepada semangat dan pengisian
jiwa yang kosong akibat jauh dari keluarga
tersayang. Maka jika ada maslahat, ia adalah
maslahat yang bersifat kemungkinan.
Justeru berdasarkan pertimbangan Fiqh
al-Awlawiyat, pelajaran adalah lebih utama dari
aktiviti agama. Namun saya tidaklah bermaksud
seseorang itu meninggalkan aktiviti agama secara
keseluruhan. Hanya hendaklah ia disusun mengikut
tertib keutamaan. Sekadar cadangan, hendaklah tenaga
dan masa dibahagikan pada kadar 40% untuk pelajaran
dalam jurusan masing-masing, 40% untuk meningkatkan
ilmu agama dan 20% untuk aktiviti agama.
Ilmu agama tidak sama dengan aktiviti agama. Ilmu
agama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,
sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
dan penjelasannya oleh para ilmuan Ahl al-Sunnah
wa al-Jama'ah. Aktiviti agama hendaklah
bertepatan dengan ilmu agama kerana ilmu memimpin
amal dan bukan sebaliknya. Betapa ramai orang yang
melakukan aktiviti agama tetapi ia berseberangan
dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Renungilah! Anda masih mempunyai masa yang banyak
untuk menambah kadar aktiviti agama selepas anda
lulus pengajian dan selepas anda memiliki ilmu agama
yang secukupnya. Maslahat jangka masa panjang
hendaklah diutamakan dari maslahat jangka masa
pendek.
Fiqh al-Awlawiyat
Antara Suruhan dan Larangan Yang Saling Bertembung.
Bagaimana pula sikap kita apabila berhadapan dengan
satu keadaan yang bertembung antara suruhan dan
larangan agama? Hadis berikut memberi jawapannya:
فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا
اسْتَطَعْتُمْ.
Apabila aku melarang kalian dari sesuatu maka
jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kalian dengan
sesuatu urusan maka laksanakanlah sedaya upaya kamu.
[Shahih al-Bukhari, hadis no: 7288]
Hadis di atas menggabungkan antara larangan dan
suruhan, iaitu:
-
Larangan:
Jauhilah ia, sekali pun yang kecil atau sedikit
darinya.
-
Suruhan:
Laksanakanlah ia sedaya mungkin, sekali pun yang
kecil atau hanya sedikit darinya.
Berdasarkan hadis ini dirumuskan kaedah Fiqh
al-Awlawiyat bahawa apabila bertembung antara
larangan dan suruhan dalam satu masa dan seseorang
itu hanya mampu melakukan salah satu daripadanya,
maka adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan
berbanding melaksanakan suruhan.
Di sini timbul persoalan kedua yang lebih penting.
Sama-sama diketahui bahawa di sebalik setiap
larangan ada mafsadat yang ingin dijauhi oleh
agama manakala di sebalik setiap suruhan ada manfaat
yang ingin dicapai oleh agama. Lalu bolehkah kita
berusaha mencapai satu matlamat yang disuruh oleh
agama dengan cara yang dilarang oleh agama?
Lazimnya kita akan menjawab “tidak” kerana “matlamat
tidak menghalalkan cara”. Ini ialah jawapan yang selamat namun tidak semestinya tepat. Sebabnya,
berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, boleh
atau tidak dipertimbangkan antara maslahat di
sebalik matlamat yang disuruh dengan mafsadat
di sebalik cara yang dilarang. Ia seperti berikut:
-
Jika mafsadat di sebalik cara adalah
lebih besar berbanding maslahat di sebalik
matlamat, maka adalah lebih utama untuk
meninggalkan matlamat tersebut.
-
Jika maslahat di sebalik matlamat adalah lebih
besar berbanding mafsadat di sebalik
cara, maka adalah lebih utama untuk melaksanakan
matlamat tersebut.
Dalilnya ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang
berlaku di antara umat Islam dan kaum kafir Mekah.
Ringkasnya apabila perjanjian hendak ditulis,
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
berkata kepada jurutulisnya, Ali bin Abi Thalib
radhiallahu 'anh agar surat perjanjian dimulai
dengan: “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Wakil
kaum kafir Mekah, Suhail bin Amr membantah dengan
berkata: “Ada pun al-Rahman, maka demi Allah! Aku
tidak tahu apakah itu. Akan tetapi tulislah:
“Bismikallahumma”. Kaum muslimin yang hadir
ketika itu membantah: “Demi Allah! Kami tidak akan
menulisnya melainkan dimulai dengan Bismillahir
Rahmanir Rahim”. Namun Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bersabda: “(Tak mengapa),
tulislah Bismikallahumma”.
Kemudian Rasulullah berkata kepada jurutulisnya:
“Ini adalah apa yang diputuskan oleh Muhammad, Rasul
Allah”. Sekali lagi ia dibantah oleh Suhail:
“Sekiranya kami mengetahui bahawa engkau adalah
Rasul Allah, nescaya kami tidak akan menghalangi
kamu mengunjungi Baitullah dan kami tidak akan
memerangi kamu. Akan tetapi tulislah – Muhammad bin
Abdullah.”
Rasulullah menjawab: “Demi Allah! Sungguh aku adalah
Rasul Allah sekali pun kalian mendustakan aku. (Tak
mengapa), tulislah – Muhammad bin Abdullah.”
Seterusnya Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam meminta: “Maka janganlah menghalangi
kami untuk mengunjungi Baitullah agar kami dapat
melakukan tawaf di sana.” Dengan permintaan ini
perjanjian dipersetujui dan mulai tahun seterusnya,
umat Islam dapat masuk ke Mekah dan tawaf di
Baitullah dalam Masjid al-Haram. [Shahih
al-Bukhari, hadis no: 2731-2732 secara ringkas]
Dalam peristiwa di atas terdapat pertembungan antara
matlamat dan cara:
-
Matlamat:
Melaksanakan umrah di Masjid al-Haram. Ia
termasuk suruhan agama.
-
Cara:
Menafikan dalam surat perjanjian nama Allah
“al-Rahman dan al-Rahim” dan menafikan kedudukan
Muhammad sebagai seorang Rasul Allah. Ini
termasuk larangan agama.
Dalam menghadapi pertembungan di atas, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa
melaksanakan umrah memiliki maslahat yang besar
kepada umat Islam berbanding penafian nama Allah dan
kedudukan baginda yang memiliki mafsadat yang
kecil. Ini kerana penafian tersebut hanya berlaku di
atas kertas perjanjian dan tidak secara hakiki. Maka
atas dasar pertimbangan antara matlamat dan cara,
juga antara maslahat dan mafsadat, baginda
mempersetujui perjanjian tersebut.
Di sini dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh
al-Awlawiyat bahawa dibolehkan mencapai matlamat
yang disuruh dengan cara yang dilarang dengan
syarat:
-
Maslahat di sebalik matlamat adalah jauh
lebih besar sementara mafsadat di
sebalik cara adalah jauh lebih kecil.
-
Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan
jangka masa panjang sementara mafsadat
di sebalik cara memberi kesan jangka masa
pendek.
-
Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan
kepada orang yang besar jumlahnya
sementara mafsadat di sebalik cara
memberi kesan kepada orang yang kecil
jumlahnya.
-
Maslahat di sebalik matlamat bersifat pasti
sementara mafsadat di sebalik cara
bersifat kemungkinan.
Walaubagaimanapun penting untuk digariskan di sini
bahawa kaedah-kaedah di atas bukanlah untuk
diamalkan sesuka hati oleh orang awam dan para
penuntut ilmu. Ini kerana tidak ramai yang mampu
menilai secara adil dan luas antara matlamat dan
cara, antara maslahat dan mafsadat. Sesuatu
perkara mungkin dianggap matlamat yang memiliki
maslahat padahal ia sebenarnya adalah satu
mafsadat. Sesuatu cara mungkin dianggap memiliki
kadar mafsadat yang sementara padahal ia
sebenarnya memberi kesan jangka masa yang amat
panjang.
Justeru kaedah-kaedah di atas hanyalah layak
diamalkan oleh para mujtahid dan ahli fatwa. Ada pun
bagi orang awam dan para penuntut ilmu, kaedah yang
selamat ialah “Matlamat tidak menghalalkan cara”.
Tidak Termasuk Fiqh al-Awlawiyat.
Ukuran sama ada sesuatu perkara adalah utama atau
tidak bukan bergantung kepada semangat atau
kecenderungan peribadi, tetapi bergantung kepada
dalil dan hujah. Kadangkala kita mendengar
orang-orang yang kononnya memiliki “wawasan besar
terhadap agama” melaungkan kata-kata “Persoalan
wudhu’ dan zikir hal kecil, persoalan negara Islam
dan Palestin hal besar! Jangan disibuk-sibukkan
dengan hal kecil!”. Kenyataan ini salah paling
kurang dari dua sudut:
-
Jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam, akan didapati baginda
memberi perhatian yang besar sekalipun terhadap
perkara yang mungkin di sisi sebahagian orang
dianggap kecil. Ambil saja contoh bab wudhu’,
baginda pernah melihat sebahagian sahabat
berwudhu’ tetapi mereka tidak membasuh tumit
kaki mereka dengan sempurna. Melihat yang
sedemikian Rasulullah menegur beberapa kali
dengan suara yang tegas lagi tinggi:
وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ!
Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api
neraka!
[Shahih al-Bukhari, hadis no: 60]Nah! Persoalan tumit yang tidak terkena air mungkin
dianggap kecil oleh orang yang memiliki “wawasan
besar terhadap agama”. Akan tetapi di sisi
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia
tetap merupakan isu besar yang perlu ditegur serta
merta secara tegas.
-
Jika seorang muslim cuai dan jahil dalam
persoalan “kecil”, lalu bagaimana mungkin dia
dianggap mampu bersikap cemerlang dan bijak
dalam persoalan “besar”? Tentu saja tidak. Maka
tidak hairanlah kita lazim mendengar atau
membaca pandangan-pandangan yang lebih
mafsadat dari maslahat dari orang-orang yang
konon memiliki “wawasan besar terhadap agama”
dalam isu negara Islam, Palestin dan pemulauan
barangan negara Barat.
Penutup.
Para tokoh generasi awal umat Islam (al-Salaf al-Shalih)
pernah berpesan, seorang muslim yang bijak bukanlah
mereka tahu membezakan antara yang halal dan haram.
Akan tetapi dia ialah seorang yang mampu membezakan
antara dua perkara yang halal, manakah yang lebih
utama untuk diambil dan antara dua perkara yang
haram, manakah yang lebih utama untuk dijauhkan.
Semoga risalah ringkas ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat
mampu membawa kita ke arah ciri-ciri muslim yang
bijak. Apatah lagi dalam suasana umat Islam sekarang
ini yang mundur dalam serba serbi persoalan,
janganlah pula kita menjadi mundur dalam persoalan
agama kita sendiri.
|