|
Bab 1
Antara Penyapu Lidi Dan Vacuum Cleaner: Hukum
dan Adab Berjamaah Dalam Islam.
“Amin! Boleh tak sebatang lidi menyapu habuk di atas
permaidani?” tanya Syukri penuh semangat kepada
rakan sekuliahnya, Muhammad Amin.
“Ha? Mana boleh? Sudah tentu tidak.”
“Ahaa! Tepat sekali. Bagaimana jika beberapa batang
lidi diikat bersama menjadi sebatang penyapu lidi?”
“Ya! Kali ini boleh.
Ehh! Engkau nak buka perniagaan sambilan menjual
penyapu ke Syukri?” tanya Muhammad Amin, kehairanan
mendengar soalan rakannya itu. Mereka berdua ialah
pelajar tahun pertama dalam subjek ekonomi di
Universiti Muamalat Malaysia. “Subjek ekonomi yang
engkau pelajari sekarang ini pun macam nyawa-nyawa
ikan. Takkan nak buat bisnes pulak?” lanjut Muhammad
Amin.
“Bukan buat bisnes. Saja nak bagi engkau satu
perumpamaan.”
“Teruskan…”
“Kita umat Islam dituntut berusaha untuk agama dan
umat. Akan tetapi jika kita berusaha secara
berseorangan, hasilnya amat minimum…macam sebatang
lidi yang digunakan untuk menyapu habuk di atas
permaidani. Entah-entah takde hasil langsung!”
“Owh! Menarik ni…teruskan…” jawab Muhammad Amin
sambil menyedut jus Carrot susu di depannya.
Jus tembikai Syukri kelihatan masih belum disentuh.
“Akan tetapi kalau kita berusaha dalam dalam satu
jamaah, hasilnya jauh lebih baik. Satu jamaah umpama
beberapa batang lidi yang diikat menjadi sebatang
penyapu lidi, ia lebih berhasil untuk menyapu habuk
di atas permaidani” jelas Syukri. Jus tembikai mula
disedutnya, kepuasan terserlah di air muka setelah
melihat Muhammad Amin mengangguk-angguk.
“Nanti dulu, ada lagi!”
“Apa dia? Teruskan…” jawab Muhammad Amin dengan
wajah yang berseri-seri.
“Di antara sebatang lidi dan sebatang penyapu lidi,
yang mana satu mudah dipatahkan?”
“Sudah tentu sebatang lidi. Ahaa! Engkau nak cuba
buat perumpamaan yang kalau kita berseorang, kita
mudah gagal berbanding kalau kita berjamaah, kita
sukar gagal atau patah semangat?”
“Bijak sungguh engkau ni Min. Aku belum cakap engkau
dah tangkap!”
Muhammad Amin membalas sederhana: “Takdelah bijak
mana, setakat itu aku tahulah”
“Owh! Jadi engkau dah tahulah tentang jamaah yang
aku nak jemput engkau ni? Kalau gitu tunggu apa lagi?”
“Hmm…adalah, susah sikit aku nak cakap. Bukan semua
orang boleh terima.”
“Belum cuba belum tahu. Try me, I’m open, I’m
cool man” balas Syukri sambil mula menconcongkan
diri kepada Muhammad Amin.
“Bukan apa…perumpamaan penyapu lidi itu memang baik.
Tetapi…tetapi setakat yang aku amati, habuk di atas
permaidani tak disapu. Masing-masing jamaah hanya
sibuk untuk mengetatkan ikatan penyapu lidi
masing-masing.”
“Maksud engkau?”
“Masing-masing jamaah
banyak memberi tumpuan kepada mengkader ahli yang
baru dan memagar ahli yang sedia ada. Aktiviti demi
agama dan umat amat minimum. Mungkin ada tetapi aku
tak nampak pun.”
“Aku rasa engkau tak nampak kut…” balas Syukri
sambil mula ke belakang, bersandar di kerusi plastik
warung tepi jalan itu.
“Ada lagi yang aku nampak…engkau nak dengar ke?”
“Err…apa lagi?”
“Kalau pun penyapu lidi dah berjaya diikat ketat,
aktiviti seterusnya ialah berlawan pedang antara
sesama jamaah. Penyapu lidi umpama pedang.”
“Isyy! Mana ada kita main pedang?”
“Ada, itu hanya kiasan. Perhatikan antara berbilang
jamaah, berlaku fenomena saling mendengki, saling
memfitnah dan saling bersaing secara negatif.
Aktiviti ini lebih diberi tumpuan berbanding menyapu
habuk di atas permaidani.”
“Ahaa! Itu aku tak setuju. Jamaah yang aku join
semuanya OK. Semuanya baik, semuanya teratur lagi
kemas. Yang engkau cakap itu mesti jamaah-jamaah
yang lain. Mereka itu memang berterabur…samseng pun
ada!”
“Inilah yang aku maksudkan. Engkau menganggap jamaah
engkau yang terbaik, orang lain menganggap jamaah
dia yang terbaik dan begitulah seterusnya. Akhirnya
berlawan pedang siapa yang terbaik, habuk masih
belum disapu.”
“Habis engkau apa beza? Engkau tidak menyertai
mana-mana jamaah, engkau hanya sebatang lidi yang
tidak menyapu apa-apa habuk juga!” tegas Syukri,
nadanya sudah berubah sikit, lebih tinggi daripada
sebelumnya. Ketulan ais dalam jus tembikainya sudah
mula cair.
“Islam ini luas, Islam ini lapang, ada pelbagai
sarana dan jalan. Seseorang itu bebas memilih cara
yang efektif untuk dia berusaha demi kebaikan agama
dan umat. Jangan memenjarakan diri dengan satu
sarana aje.”
“Habis engkau guna cara apa?” tanya Syukri tidak
sabar.
“Aku guna vacuum cleaner. Penyapu lidi dah
ketinggalan zaman daaa…!” balas Muhammad Amin
tersenyum lebar sambil menepuk-nepuk bahu Syukri.
Fenomena berbilang jamaah adalah sesuatu yang lazim
berlaku sekarang ini di dunia Islam. Malah ia adalah
sesuatu yang hangat di institut pengajian tinggi. Di
sebalik kelaziman dan kehangatan ini, tidak ramai
yang mengetahui apakah hukum berbilang jamaah di
dalam Islam. Seterusnya jika berbilang jamaah
dibolehkan, apakah adab-adab yang patut dimiliki
oleh setiap ahli jamaah? Risalah ini insya-Allah
akan mengupas dua persoalan di atas.
Bahagian A: Hukum Berbilang Jamaah.
Para ilmuan berbeza pandangan tentang hukum
berbilang jamaah di dalam Islam. Perbezaan mereka
boleh disimpulkan kepada dua pandangan:
-
Tidak boleh
berbilang jamaah di dalam Islam kerana ia
memecah-belahkan persatuan umat Islam. Malah
istilah “jamaah” itu sendiri tidak tepat untuk
digunakan kerana “jamaah” bererti persatuan yang
antonim kepada perpecahan. Berbilang jamaah
adalah satu perpecahan, lalu bagaimana mungkin
ia digelar jamaah?
Seterusnya terdapat beberapa dalil yang secara jelas
melarang perpecahan di kalangan umat Islam. Salah
satu daripadanya ialah firman Allah Subhanahu wa
Ta'ala:
إِنَّ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ
دِينَہُمۡ وَكَانُواْ شِيَعً۬ا لَّسۡتَ مِنۡہُمۡ فِى
شَىۡءٍۚ إِنَّمَآ أَمۡرُهُمۡ إِلَى ٱللَّهِ ثُمَّ
يُنَبِّئُہُم بِمَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama
mereka dan mereka menjadi bergolongan-golongan,
tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun
dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara
mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia
akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat
kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan
membalasnya).
[al-An’aam 6:159]
Berbilang jamaah yang wujud masa kini ialah
“golongan-golongan” yang dimaksudkan oleh
ayat di atas. Kita tidak boleh mengikuti
golongan-golongan atau jamaah-jamaah yang lain
kecuali apa yang dibawa oleh Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam, iaitu golongan
atau jamaah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
-
Boleh
berbilang jamaah merujuk kepada tindakan
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam
yang menghantar para sahabat dalam jamaah-jamaah
yang berasingan, setiap satu dengan misi
tertentu seperti dakwah, risikan, peperangan dan
sebagainya. Perkara ini boleh dirujuk dalam
kitab-kitab sirah yang muktabar.
Di antara dua pandangan ini, saya cenderung kepada
yang dipertengahan. Berbilang jamaah dibolehkan jika
setiap satu daripadanya ditubuhkan sebagai satu
sarana yang memiliki matlamat demi kebaikan agama
Islam dan manusia sejagat, tanpa mengira muslim atau
bukan muslim. Sekalipun wujud berbilang jamaah,
setiap jamaah memiliki dasar-dasar agama yang sama
seperti apa yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya,
iaitu apa yang dikenali masa kini sebagai
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Jika dikaji secara mendalam ayat-ayat al-Qur’an yang
dijadikan dalil melarang berbilang jamaah, ia
sebenarnya merujuk kepada jamaah-jamaah yang setiap
satunya memiliki dasar-dasar agama yang tersendiri.
Ini sudah tentu tidak dibolehkan. Seterusnya jika
dikaji sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam, setiap jamaah yang baginda utuskan –
seandainya ia dapat digelar sebagai jamaah –
memiliki dasar agama yang sama. Hanya misi mereka
yang berbeza antara satu sama lain.
Bahagian B: Adab-Adab Berjamaah.
Sekalipun berbilang jamaah dibolehkan dengan syarat
semuanya memiliki dasar agama yang sama, terdapat
beberapa adab yang perlu diperhatikan oleh setiap
ahli jamaah dalam semua jamaah agar masing-masing
tetap berada di sempadan “yang dibolehkan”.
Adab-adab yang saya maksudkan ialah:
Adab Pertama: Tidak Memiliki Dasar Agama Yang
Tersendiri.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى
مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ
ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ
ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ
لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ
Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul
lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah
kamu menurut jalan-jalan (yang lain) kerana
jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan
Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan
kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-An’aam 6:153]
Berdasarkan perintah Allah di atas, kita umat Islam
hendaklah berada atas satu jalan agama, iaitu jalan
Allah yang termaktub di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah
yang sahih. Jalan inilah yang membentuk dasar-dasar
Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Kita tidak boleh
mengikut jalan-jalan yang lain dengan dasar-dasar
yang lain.
Pada masa kini terdapat beberapa jamaah yang
masing-masing memiliki dasar yang tersendiri.
Sekalipun dasar tersebut mungkin berasal dari Islam,
ia hanya satu daripada keseluruhan dasar-dasar yang
membentuk kesempurnaan Islam. Jamaah pertama hanya
memiliki dasar “menegakkan negara Islam”, jamaah
kedua hanya memiliki dasar “mendirikan khalifah”,
jamaah ketiga hanya memiliki dasar “keluar empat
puluh hari”, jamaah keempat hanya memiliki dasar
“tidak mentakwil sifat-sifat Allah”, jamaah kelima
hanya memiliki dasar “zikir berlagu”, jamaah keenam
memiliki dasar “usul 20” dan pelbagai lagi. Semua
ini tidak dibolehkan berdasarkan firman Allah
Subhanahu wa Ta'ala:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ
ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا
تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِۚ إِنَّهُ ۥ
لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke
dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu
menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan
itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[al-Baqarah 2:208]
Allah melarang kita mengikuti jejak langkah syaitan
kerana antara tipudaya syaitan ke atas umat Islam
ialah membanyakkan jalan-jalan dengan setiap jalan
memiliki dasar yang tersendiri sehingga akhirnya
umat Islam terpisah jauh dari jalan Allah yang
sebenar:
قَالَ فَبِمَآ أَغۡوَيۡتَنِى
لَأَقۡعُدَنَّ لَهُمۡ صِرَٲطَكَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ
ثُمَّ لَأَتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ
أَيۡدِيہِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَـٰنِہِمۡ
وَعَن شَمَآٮِٕلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ
شَـٰكِرِين
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)
menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya
aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalan-Mu yang lurus; kemudian aku datangi
mereka dari hadapan mereka serta dari belakang
mereka dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka;
dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka
bersyukur.”
[al-A’raaf 7:16-17]
Adab Kedua: Tidak Berbangga-Bangga Dengan Jamaah
Sendiri.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ
وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُواْ مِنَ
ٱلۡمُشۡرِڪِينَ
مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ
دِينَهُمۡ وَڪَانُواْ شِيَعً۬اۖ كُلُّ حِزۡبِۭ بِمَا
لَدَيۡہِمۡ فَرِحُونَ
Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang
menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang
memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi
beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga
dengan apa yang ada pada golongan mereka.
[al-Rum 30:31-32]
Merujuk kepada firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap
golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada
golongan mereka”,
maka setiap jamaah tidak boleh berbangga-bangga
dengan menganggap diri mereka sebagai yang terbaik.
Konon, “kamilah jamaah tertua di Malaysia”, “kamilah
jamaah pertama di kampus”, “kamilah jamaah paling
aktif di sini” dan sebagainya.
Semua ini dilarang kerana sikap sedemikian akan
melahirkan persaingan yang negatif antara jamaah
seperti saling berburuk sangka, saling memfitnah dan
saling bermusuhan. Seterusnya sikap ini akan
melahirkan jamaah-jamaah yang berpuak-puak dan
bersuku-suku.
Sikap yang benar ialah merasa rendah diri lagi serba
kekurangan. Sikap ini seterusnya akan melahirkan
budaya positif saling memahami, saling bertukar
pendapat dan saling bekerja sama antara jamaah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ
وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ
وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ
شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat
kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya.
[al-Maidah 5:02]
Adab Ketiga: Hanya Berpegang Kepada Tali Allah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ
جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali
Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.
[Ali Imran 3:103]
Allah memerintahkan kita untuk hanya berpegang
kepada tali-Nya, iaitu menjadikan Allah sebagai
satu-satunya sumber ketaatan, arah tujuan, tempat
pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan,
dasar pembelaan dan sebab kemarahan.
Maka dalam rangka berjamaah, tidak boleh berpegang
kepada tali jamaah. Tidak boleh menjadikan jamaah
sebagai sumber ketaatan, arah tujuan, tempat
pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan,
dasar pembelaan dan sebab kemarahan. Justeru dalam
rangka berjamaah, hendaklah diperhatikan
perkara-perkara berikut:
-
Pemimpin jamaah (amir) tidak boleh mengeluarkan
syarat yang bertentangan dengan perintah
larangan Allah. Seorang amir tidak boleh
melarang ahlinya daripada mengikuti
majlis-majlis ilmu yang di dalamnya disampaikan
ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah atau
melarang ahlinya daripada menyertai aktiviti
agama yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti
jamaahnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala
memberi amaran keras kepada orang yang melarang
orang lain daripada jalan-Nya:
أَلَا لَعۡنَةُ ٱللَّهِ عَلَى
ٱلظَّـٰلِمِينَ
ٱلَّذِينَ يَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ
ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَہَا عِوَجً۬ا وَهُم بِٱلۡأَخِرَةِ
هُمۡ كَـٰفِرُونَ
Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa
kepada orang-orang yang zalim! (Iaitu) orang-orang
yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari
jalan Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi
bengkok terpesong.
[Hud 11:18-19]
-
Ahli jamaah tidak boleh mentaati syarat pemimpin
jamaah yang bertentangan dengan perintah
larangan Allah, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.
Mentaatinya bererti melakukan maksiat dan dalam
hal ini Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam telah mengingatkan:
-
Perasaan gembira dan sedih, suka dan marah,
redha dan benci, Wala’ (kesetiaan) dan
Bara’ (tidak setia) tidak boleh dibataskan
kepada hal-ehwal jamaah. Sebaliknya hendaklah
didasari kepada hal-ehwal agama dan umat.
Sebagai contoh:
-
Hendaklah merasa marah seandainya umat Islam
diperangi, bukan marah kepada ahli jamaah yang
tidak aktif (futur) atau yang ingin
keluar jamaah (bughat dan mutasakitun).
-
Hendaklah merasa gembira seandainya dapat
menjemput orang bukan Islam memeluk Islam, bukan
sedih jika tidak dapat mengkader ahli baru ke
dalam jamaahnya.
-
Hendaklah setia (Wala’) kepada seluruh
umat Islam, membela mereka, mengunggulkan mereka,
mencintai mereka dan membantu mereka. Sikap
Wala’ tidak boleh dibataskan kepada jamaah
sahaja kerana:
إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ
وَرَسُولُهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلَّذِينَ
يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ
رَٲكِعُونَ
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ
وَرَسُولَهُ ۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ
ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ
Sesungguhnya Wali kamu tidak lain hanyalah
Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman yang
mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka
rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya
serta orang-orang yang beriman itu Walinya (maka
mereka itulah golongan Allah), kerana sesungguhnya
golongan Allah itulah yang tetap menang.
[al-Maidah 5:55-56]
Adab Keempat: Tidak Memesongkan Hadis-Hadis
Berkaitan Jamaah.
Sebahagian jamaah ada yang memesongkan hadis-hadis
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang
menyentuh perihal jamaah. Antara hadis yang
dimaksudkan ialah:
فَإِنَّ يَدَ اللهِ مَعَ الْجَمَاعَةِ، وَإِنَّ
الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ
يَرْتَكِضُ.
Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah
dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang
memecah-belahkan al-Jamaah.
Hadis di atas dan lain-lain yang semakna lazim
digunakan untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa
ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan
mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar.
Ini adalah satu kesalahan besar.
al-Jamaah
yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah
keseluruhan umat Islam. Dalam erti kata lain,
hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan untuk
umat Islam bersatu (berjamaah) dan jika ada khalifah
yang hak, hendaklah kita bersatu (berjamaah) dengan
khalifah tersebut.
Hadis di atas tidak bermaksud jamaah-jamaah tertentu
dengan amir-amirnya. Sesiapa yang menggunakan
hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna
dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri,
sungguh dia termasuk dalam kategori orang yang
berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Dalam sebuah hadis yang sudah dihafal
dan diketahui oleh semua orang, Rasulullah bersabda:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ
عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ.
“Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya
sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan
memasuki neraka.”
Terdapat empat kategori orang yang berdusta atas
nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
-
Orang yang mencipta sesuatu hadis lalu dia
menyandarkannya kepada Rasulullah.
-
Orang yang menyampaikan sesuatu hadis tanpa dia
sendiri mengetahui sama ada ia sahih atau tidak
berasal daripada Rasulullah.
-
Orang yang mengatakan “Hadis ini sahih, Hadis
itu dha’if” dan sebagainya padahal dia
sendiri tidak tahu nilai darjat hadis tersebut.
-
Orang yang menyampaikan sesuatu hadis lalu
ditarik maknanya jauh daripada makna asal yang
ingin disampaikan oleh Rasulullah.
Orang-orang yang menggunakan hadis-hadis jamaah
seumpama di atas dan lain-lain yang semakna
dengannya atas tujuan jamaahnya sendiri termasuk
dalam kategori keempat di atas.
Adab Kelima: Membetulkan Tujuan Berjamaah.
Telah diterangkan sebelum ini bahawa berbilang
jamaah dibolehkan jika ia sekadar satu sarana yang
bermatlamat demi kebaikan agama dan manusia. Perkara
ini perlu sering diingat-ingatkan kerana kerap kali
terjadi tujuan berjamaah berpindah arah dari
kebaikan agama dan umat kepada kebaikan jamaah dan
ahli sendiri.
Perkara ini boleh diukur melalui aktiviti-aktiviti
jamaah itu sendiri. Syaikh Muhammad Sa‘id Ramadhan
al-Buti pernah mengulas tentang aktiviti
jamaah-jamaah di Timur Tengah:
Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan
oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini
tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok
(jamaah) masing-masing.
…Jika anda perhatikan secara saksama, nescaya anda
akan menyaksikan dinding pemisah yang tinggi yang
memisahkan antara kelompok-kelompok (jamaah-jamaah)
yang melancarkan aktiviti gerakan seperti yang kami
kemukakan sebelumnya. Pada dasarnya di antara mereka
itu tidak terjadi proses dakwah, diskusi atau tukar
fikiran. Justeru anda menyaksikan sebaliknya, iaitu
muncul pelbagai macam kelompok dengan pelbagai macam
aliran dan pemikiran yang merosak. Kemudian
masing-masing kelompok (jamaah) berusaha mencari
pengaruh, berlumba-lumba mendatangi perkampungan
untuk menyebarluaskan pemikiran dan aliran mereka…
Semua ini terjadi pada saat para pemerhati Islam
atau kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam sedang
memberi tumpuan kepada kegiatan gerakan mereka yang
khusus di kalangan mereka. Sehingga dengan demikian
itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana
dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa
(seolah) berperanan sebagai seorang da’i (untuk
kebaikan Islam dan umatnya).
Dengan penghuraian di atas, penulis tidaklah
bermaksud merendahkan aktiviti kelompok-kelompok (jamaah-jamaah)
Islam, …… tetapi yang penulis maksudkan adalah
bahawa aktiviti gerakan ini merupakan satu hal
sedangkan dakwah ke jalan Allah merupakan satu hal
lain dimana masing-masing istilah tidak dapat
disamakan.
Meski pun aktiviti yang dilakukan oleh
kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) tersebut adalah
baik dan bermanfaat, namun demikian mereka tidak
memainkan peranan yang diwajibkan, iaitu mengajak
manusia ke jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
…Layak untuk kami kemukakan di sini, bahawa
masyarakat Islam, sekali pun kaya dengan pelbagai
aktiviti gerakan kelompok-kelompok (jamaah-jamaah)
Islam, namun sebenarnya sungguh miskin dalam
aktiviti dalam bidang dakwah. Sejauh yang kami
saksikan dari beberapa medan dakwah ke jalan Allah
dan pengenalan Islam di beberapa tempat, kegiatan
tersebut tidak lepas dari keadaan atau tindakan yang
bersifat memenuhi kepentingan peribadi dan bukan
untuk memenuhi kepentingan yang lebih besar atau
memberi solusi (dalam menghadapi cabaran-cabaran
Islam dan umatnya).
Tujuan berjamaah hendaklah sentiasa jelas dan nyata
kepada setiap ahli. Disyorkan setiap jamaah
menjadikan ayat berikut sebagai slogan:
وَمَآ أُرِيدُ أَنۡ أُخَالِفَكُمۡ
إِلَىٰ مَآ أَنۡهَٮٰڪُمۡ عَنۡهُۚ إِنۡ أُرِيدُ
إِلَّا ٱلۡإِصۡلَـٰحَ مَا ٱسۡتَطَعۡتُۚ
وَمَا تَوۡفِيقِىٓ إِلَّا بِٱللَّهِۚ
عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُ وَإِلَيۡهِ أُنِيبُ
Aku tidak memiliki apa-apa tujuan melainkan
melakukan pembaikan (untuk agama dan manusia) sedaya
upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk
menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah.
Kepada Allah jualah aku berserah diri dan
kepada-Nyalah aku kembali.
[Hud 11:88]
Adab Keenam: Saling Menasihati dan Menegur.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَٱلۡعَصۡرِ
إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ
إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ
وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran
serta berpesan-pesan dengan sabar.
[al-‘Asr 103:1-3]
Dalam konteks berjamaah, saling berpesan-pesan
dengan kebenaran dan kesabaran, yakni saling
menasihati dan menegur, berlaku dalam dua sudut:
-
Di dalam jamaah,
yakni sesama ahli jamaah yang saling menasihati,
menegur ke arah kebenaran dan kesabaran. Perkara
ini berlaku dalam semua tingkatan. Ahli biasa
menegur ahli jawatankuasa, ahli muslimat
menasihati ahli muslimin dan begitulah
sebaliknya.
Jangan pula wujud budaya kasta dalam jamaah sehingga
ahli biasa tidak boleh menasihati ahli jawatankuasa
dan ahli muslimat tidak boleh menegur ahli muslimin.
Antara tanda awal budaya kasta yang wujud dalam
jamaah ialah ahli biasa tidak boleh duduk semeja
untuk makan minum bersama barisan kepimpinan jamaah.
Demikian juga, ide yang cemerlang serta pemikiran
yang bernas perlu diterima secara terbuka sekali pun
yang mengemukakannya ialah seorang yang baru
seminggu menjadi ahli.
Jangan pula wujud tembok pemisah yang tinggi lagi
tebal di antara jamaah sehingga masing-masing tidak
tegur menegur, apatah lagi untuk nasihat menasihati.
Adab Ketujuh: Menyertai Jamaah Bukan Satu Kewajipan.
Apabila berbicara tentang jamaah, akan ditemui
sebahagian umat Islam yang tidak menyertai mana-mana
jamaah. Terdapat beberapa sebab di sebalik tindakan
ini:
-
Mereka berpendapat pandangan yang melarang
berbilang jamaah adalah pandangan yang kuat (rajih)
sehingga dengan itu mereka menahan diri daripada
menyertai mana-mana jamaah.
-
Mereka tidak menemui mana-mana jamaah yang
memiliki adab-adab berjamaah yang baik.
-
Mereka pernah menyertai satu atau lebih jamaah
dan mendapati jamaah-jamaah tersebut tidak
memiliki adab-adab berjamaah yang baik. Maka
dengan itu mereka keluar dan berhenti daripada
menyertai mana-mana jamaah.
-
Mereka berpandangan usaha demi kebaikan agama
dan manusia dapat dicapai secara lebih berkesan
tanpa menyertai mana-mana jamaah.
Di antara yang menyertai jamaah dan yang tidak
menyertai, perlu wujud sikap saling menghormati
antara satu sama lain. Tidak boleh satu pihak
mencerca atau memandang rendah pihak yang lain. Ini
kerana yang diwajibkan oleh agama ialah berjamaah –
yakni bersatu – manakala menyertai jamaah hanya satu
pilihan yang terbuka kepada kecenderungan
masing-masing.
Mewajibkan setiap individu menyertai jamaah bererti
mensyari‘atkan satu hukum agama yang baru dan ini
adalah salah satu perkara yang menyalahi tauhid.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
أَمۡ لَهُمۡ شُرَڪَـٰٓؤُاْ
شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ
ٱللَّهُۚ
وَلَوۡلَا ڪَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ
لَقُضِىَ بَيۡنَہُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ
عَذَابٌ أَلِيمٌ۬
Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain
Allah yang mensyari‘atkan untuk mereka agama yang
tidak diizinkan oleh Allah?
[al-Syura 42:21]
Demikian tujuh adab berjamaah yang perlu
diperhatikan oleh para ahli jamaah dan mereka yang
berhajat menyertai jamaah.
Nasihat Kepada Para Pelajar.
Memandangkan kebanyakan yang menyertai jamaah-jamaah
ialah para pelajar institut pengajian tinggi, saya
ingin merebut peluang ini untuk berkongsi dua
nasihat.
-
Tujuan anda di institut pengajian tinggi ialah
menuntut ilmu dalam jurusan masing-masing. Maka
fokus anda ialah menuntut ilmu hingga lulus
cemerlang. Jangan berlebih-lebihan dalam
aktiviti jamaah hingga terganggu aktiviti
pembelajaran anda. Ingat! Jurusan yang sedang
anda pelajari itu adalah juga penting demi
kebaikan agama dan manusia. Justeru bahagilah
masa dan tenaga secara adil antara pembelajaran
dan aktiviti jamaah.
-
Sama ada menyertai jamaah atau tidak, berusaha
demi kebaikan agama dan manusia adalah sesuatu
yang dituntut ke atas kita sepanjang hidup. Oleh
itu jangan sekadar bergiat aktif ketika di
institut pengajian tinggi tetapi kemudian
mengabaikannya setelah tamat pengajian.
Sebaliknya hendaklah sentiasa berusaha sehingga
ke akhir hayat. Agama Islam dan manusia, sama
ada yang muslim atau bukan muslim, amat
memerlukan anda.
|