Membongkar Aliran Islam Liberal

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian B:  

Enforcing Public Morality: Satu Analisa Ke Atas Kertas Kerja Zainah Anwar

 

 

Enforcing Public Morality. Demikianlah tajuk sebuah forum yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 April 2005 yang lalu. Forum ini, dengan ahli panel yang terdiri daripada saudari Zainah Anwar, Dr. Siti Mariah dan Dato’ Param Cumaraswamy, mengupas isu undang-undang moral yang kini agak hebat dibincang dalam negara kita daripada kalangan cerdik pandai sehinggalah kepada orang awam.

 

Malang sekali disebabkan kesibukan kerja, saya tidak dapat menghadiri forum tersebut. Akan tetapi kertas kerja yang dibentang oleh saudari Zainah Anwar, Pengarah Eksekutif  pertubuhan Sisters in Islam, dapat saya rujuk di laman web mereka: http://www.sistersinislam.org.my/zai%20speech.htm

 

Kertas kerja ini benar-benar menarik perhatian saya, khasnya apabila ia dimulakan dengan kata-kata:

“I speak from the perspective of a Muslim, a believer, a feminist and an activist who believes that Islam is just, that God is just.”

 

Ini kerana merupakan satu kejanggalan apabila seorang muslim (a muslim) dan mukmin (a believer) menulis sebuah kertas kerja tanpa mengisinya dengan apa-apa dalil daripada Allah yang Maha Adil bagi meneracai keadilan Islam yang sebenar. Apatah lagi memandangkan kertas kerja tersebut dibentangkan kepada hadirin yang terdiri daripada kalangan pelbagai agama dan pemikiran, ia sepatutnya menjadi peluang untuk membuktikan keadilan Allah dan keadilan Islam, sekali gus menjadi sarana dakwah kepada mereka semua. Kehadiran kalangan bukan Islam tidak sepatutnya menjadikan kita segan atau rendah diri, mengingatkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dari menyampaikan ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu dan serulah mereka kepada jalan Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan. [al-Qasas 28:87]

 

Semua ini menyebabkan saya – dengan segala rendah diri – merasa perlu untuk melakukan satu analisa ke atas kertas kerja saudari Zainah Anwar. Analisa ini bukanlah untuk mengukur nilai muslim atau mukmin seseorang, tetapi untuk mengukur jauh atau dekat dasar-dasar kertas kerja tersebut daripada neraca al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Semoga analisa ini dapat membantu kita sebagai orang muslim dan mukmin membahas isu undang-undang moral berdasarkan kaca mata Islam yang diturunkan oleh Allah yang Maha Adil, tidak berdasarkan kaca mata agama lain atau doktrin ciptaan manusia.

 

Analisa tidak dihadkan kepada dalil-dalil Ilahi sahaja (naqli), tetapi dipanjangkan kepada dalil-dalil pemikiran yang sihat lagi adil (aqli). Ringkasnya boleh dikatakan bahawa analisa akan dilakukan berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli kerana naqli yang sahih tidak akan bertentangan dengan aqli yang sihat.

 

Kertas kerja saudari Zainah Anwar dibahagikan kepada empat isu utama. Akan tetapi setelah menelitinya, saya mendapati hanya ada tiga dasar yang layak dianalisa:

 

 

Dasar Pertama: Moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai.

 

Kertas kerja tersebut menyatakan bahawa ukuran moral yang baik atau buruk ditentukan oleh kesepakatan orang ramai (public consensus) yang diwakili oleh pihak daripada semua agama dan lapisan, tidak sekadar pihak berwajib agama Islam. Sebagai contoh, melakukan hubungan seks di hadapan khalayak ramai adalah satu tindakan yang tidak bermoral menurut kesepakatan orang ramai. Justeru tidak mengapa jika undang-undang moral dikuatkuasakan ke atas tindakan sedemikian.

 

Analisa:

Sesungguhnya di sisi manusia memang terdapat pelbagai cara atau jalan untuk menentukan apa yang baik dan apa yang buruk. Di antara jalan-jalan ini, yang mana satukah yang betul? Bagi seorang muslim dan mukmin, jalan tersebut ialah jalan Islam dan bukan jalan-jalan yang lain. Ini telah diingatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153]

 

Sehubungan dengan ayat di atas, ‘Abd Allah bin Mas’ud radhiallahu 'anh menerangkan:

 (Pada suatu ketika) Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam menggariskan kepada kami satu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah.” Kemudian baginda menggariskan beberapa garisan di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.

 

Kemudian baginda membacakan ayat: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah.”[1]

 

Di antara jalan yang mencerai-beraikan umat Islam daripada jalan Allah ialah menggunakan jalan lain, seperti kesepakatan orang ramai, untuk menentukan moral yang baik atau buruk. Jalan ini bukan sahaja menyimpang daripada jalan Islam, tetapi juga telah dikenal pasti oleh Islam sebagai satu jalan yang tidak mampu membawa manusia ke arah kebaikan yang hakiki, malah justeru ke arah keburukan dan kerosakan.

 

Sebabnya, majoriti manusia (baca: kesepakatan orang ramai) menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan berdasarkan sangkaan dan hawa nafsu, bukan pengetahuan yang sebenar. Perkara ini dikhabarkan oleh Yang mencipta manusia itu sendiri, Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. [Yunus 10:36]

 

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas. [al-An’am 6:119]

 

Menggunakan hawa nafsu sebagai pedoman dalam menentukan yang baik atau buruk tidak akan membawa manusia ke arah destinasi kebaikan yang hakiki. Ini kerana hawa nafsu itu adalah sumber kerosakan bagi manusia dan segala yang ada:

Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). [Yusuf 12:53]

 

Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada. [al-Mukminun 23:71]

 

Atas sebab-sebab di ataslah Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengingatkan kita umat Islam agar tidak mengikuti jalan yang ditempuh oleh majoriti manusia. Kecenderungan majoriti manusia kepada sangkaan dan hawa nafsu akan menyesat kita daripada jalan Allah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. [al-An’am 6:116]

 

Semua ini mengembalikan kita kepada ayat pertama yang dikemukakan di atas, iaitu firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. [al-An’am 6:153]

 

Oleh itu seorang muslim dan mukmin tidak menerima “kesepakatan orang ramai” sebagai ukuran penentu moral yang baik atau buruk. Akan tetapi ukuran yang diterima ialah apa yang ditentukan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

 

Menggunakan ukuran “kesepakatan orang ramai” tidak sahaja ditolak berdasarkan dalil-dalil Ilahi, tetapi juga oleh pemikiran yang sihat lagi adil. Ini kerana manusia sentiasa berbeza-beza penilaian mereka dalam menentukan moral yang baik dan buruk. Lebih dari itu, seandainya manusia dapat bersepakat dalam menentukan moral yang baik dan buruk, kesepakatan tersebut tidak akan bertahan lama. Apa yang dianggap baik pada masa kini akan dianggap buruk pada masa akan datang dan demikianlah sebaliknya. Tidak sekadar itu, moral yang dianggap baik pada satu lokasi mungkin dianggap buruk di lokasi yang lain, dan demikianlah juga sebaliknya.

 

Semua ini menunjukkan bahawa ukuran “kesepakatan orang ramai” hanyalah satu teori yang fiktif (fictitious), mustahil wujud secara realiti. Kemustahilan ini mengarah kepada kemustahilan mewujudkan satu undang-undang moral. Ini berakhir dengan negara tidak memiliki apa-apa undang-undang moral. Apabila negara tidak memiliki undang-undang moral, tingkah laku tidak bermoral, daripada perbuatan tidak senonoh yang kecil sehinggalah jenayah yang besar, akan berleluasa sehingga ke tahap yang tidak dapat digambarkan.

 

Tingkah laku tidak bermoral akan turut memberi kesan kepada pihak yang pada asalnya mengusulkan teori “kesepakatan orang ramai”. Akan tetapi tidak ada apa-apa yang dapat mereka lakukan untuk menegah dan menghukumnya. Ini kerana tidak wujud “kesepakatan orang ramai” untuk mengatakan bahawa ia adalah tingkah laku yang tidak bermoral sehingga patut ditegah dan dihukum.

 

Semua ini menunjukkan bahawa undang-undang moral tidak akan dapat dibentuk melalui “kesepakatan orang ramai”. Sebabnya adalah mudah, manusia tidak dapat menentukan moral manusia. Hanya yang mencipta manusia dapat menentukan moral manusia, iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

 

 

Dasar Kedua: Isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang.

 

Kertas kerja tersebut turut menyatakan bahawa tingkah laku moral yang baik atau buruk tidak sepatutnya dikawal oleh pihak pemerintah atau dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang. Secara lebih terperinci:

  1. Persoalan moral bukanlah urusan pihak pemerintah atau badan tertentu yang diberi mandat oleh pemerintah.

  2. Moral yang dipersetujui baik di sisi majoriti diserap ke dalam masyarakat melalui pendidikan dan bukannya penguatkuasaan undang-undang. Lebih dari itu moral yang baik bagi umat Islam lahir daripada sifat iman yang sememangnya tidak boleh dipaksa melalui penguatkuasaan undang-undang.

  3. Undang-undang moral yang cuba dikuatkuasakan oleh pihak pemerintah dan jabatan agama memiliki banyak kelemahan seperti beberapa perbuatan yang diwartakan sebagai “kesalahan” padahal apa dan bagaimana perbuatan tersebut tidak diperincikan. Lebih dari itu negeri yang berlainan memiliki undang-undang moral yang berlainan.

  4. Undang-undang moral yang sudah sedia diwartakan tidak dikuatkuasakan. Sebagai contoh, merokok difatwakan haram di negeri Selangor dan sesiapa yang melanggar sesuatu fatwa di negeri Selangor boleh diambil tindakan undang-undang. Akan tetapi tidak kelihatan penguatkuasaan fatwa ini dilaksanakan di negeri Selangor.

  5. Undang-undang moral juga bersikap berat sebelah, iaitu ringan kepada kaum lelaki tetapi berat kepada kaum wanita.

  6. Undang-undang moral, daripada pewartaannya sehingga kepada penguatkuasaannya, hanya membazir duit para pembayar cukai (tax payers’ money).

 

Analisa:

Poin-poin yang membentuk dasar di atas akan dianalisa dalam bentuk poin juga:

 

Pertama:

Dalam Islam, persoalan moral sememangnya menjadi urusan dan tanggungjawab pemerintah. Persoalan moral termasuk dalam ruang lingkup Amar ma’ruf dan Nahi mungkar yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh melakukan kebaikan serta melarang daripada melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. [al-Hajj 22:41]

 

Kedua:

Dipersetujui bahawa iman adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa. Ia diterap ke dalam diri seseorang melalui pendidikan. Akan tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi kerana manusia dikenali mudah bersifat leka dan sering cenderung kepada bisikan syaitan dan hawa nafsunya. Oleh itu iman bukan sahaja dididik tetapi juga dikawal agar ia sentiasa tersemat kemas dalam diri orang yang memilikinya.

 

Perkara ini dapat diperhatikan dalam sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Salah satu daripadanya ialah kes pengharaman arak. Arak tidak diharamkan secara terus melainkan terlebih dahulu diterangkan secara hikmah kepada masyarakat bahawa ia bukanlah sesuatu yang bermanfaat. Ayat yang pertama berkenaan pengharaman arak hanya berbunyi:

Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah “Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar dari manfaatnya.” [al-Baqarah 2:219]

 

Setelah turunnya ayat di atas dan umat Islam dapat menerima kesalahan meminum arak, barulah turun ayat yang mengharamkannya:

Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk yang merupakan perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan. [al-Maidah 5:90]

 

Pengharaman arak tidak sekadar membacakan ayat di atas kepada orang ramai tetapi digandingi dengan perlaksanaan Amar Ma’ruf dan Nahi mungkar. Dalam sebuah hadis, ‘Abd Allah bin ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan bahawa ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang berjalan-jalan, baginda ternampak satu karung kulit tergantung yang berisi arak. Lantas baginda meminta sebilah pisau dan terus membelah karung tersebut (dan menumpahkan isinya).[2] Anas bin Malik radhiallahu 'anh juga melaporkan bahawa apabila para sahabat mengetahui tentang pengharaman arak (berdasarkan ayat 90 surah al-Maidah), mereka terus memecah dan menumpahkan bekas-bekas arak yang masih mereka miliki.[3]

 

Di Malaysia, minum arak dan pelbagai keburukan moral yang lain sudah diketahui ramai. Ini kerana pendidikan tentang keburukan-keburukan moral telah diterapkan kepada semua sejak kecil. Oleh itu faktor “pendidikan” bukanlah syarat bagi perlaksanaan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar di Malaysia. Ia tetap dilaksanakan ke atas setiap individu tanpa mengambil kira samada dia mengetahui atau tidak tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Jika individu tersebut sudah mengetahuinya, maka usaha Amar ma’ruf dan Nahi mungkar tersebut menjadi peringatan kepadanya. Seandainya individu tersebut belum mengetahuinya, maka usaha Amar ma’ruf dan Nahi mungkar tersebut menjadi pengetahuan yang baru baginya.

 

Dakwaan bahawa moral yang baik hanya diterapkan melalui pendidikan adalah dakwaan yang tidak berpijak pada bumi yang nyata. Ini kerana moral yang baik tidak akan tercapai dengan pendidikan semata-mata. Ia tetap perlu digandingi dengan penguatkuasaan undang-undang. Sebagai contoh, para pemandu dididik terlebih dahulu dengan cara memandu yang betul lagi selari dengan peraturan jalan raya. Setelah lulus, mereka juga sering diingatkan melalui media akan kepentingan memandu dengan betul lagi selari dengan peraturan jalan raya. Akan tetapi semua ini tidak mencukupi. Penguatkuasaan oleh pihak polis adalah tetap perlu kerana hampir setiap saat kita menemui pemandu yang memandu secara bahaya dan melanggar peraturan jalan raya.

 

Demikianlah juga dengan tingkah laku moral. Pendidikan sahaja adalah tidak mencukupi melainkan perlu digandingi dengan penguatkuasaan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar.

 

Ketiga:

Diakui bahawa undang-undang moral yang diwartakan memiliki beberapa kelemahan di dalamnya. Sekalipun apa yang baik dan apa yang buruk dalam Islam telah ditentukan lebih 1400 tahun yang lalu, proses mewartakannya sebagai satu undang-undang di Malaysia masih berada di tahap yang awal, masih jauh dari tahap kematangan. Dalam suasana sebegini, boleh dijangkakan wujud beberapa kelemahan.

 

Berbeza dengan undang-undang sivil, ia telah mencapai tahap kematangan kerana proses mewartakannya bermula beberapa abad yang lalu di negara-negara Barat. Apabila undang-undang sivil ini pertama kali digubal dan diwartakan di negara-negara Barat, ia juga memiliki pelbagai kekurangan di dalamnya. Akan tetapi hasil usaha sama semua pihak, khasnya para peguam mereka, undang-undang tersebut dapat disempurnakan sehingga mencapai tahap kematangan yang tinggi. Apabila ia diterapkan ke atas umat Islam di Malaysia, ia hanya perlu mengalami sedikit pengubah-suaian.

 

Salah satu punca kelemahan dalam proses mewartakan undang-undang Islam di Malaysia ialah banyaknya orang yang menentang dan memandang rendah terhadapnya. Lebih memberatkan, yang bersikap demikian tidak sekadar orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Contoh yang terbaik ialah para tokoh aliran Islam Liberal, khasnya para peguam mereka. Para peguam ini tidak memainkan peranan untuk membantu menyempurnakan proses mewartakan undang-undang Islam, tetapi justeru bertindak aktif dalam mempersoal, mengkritik dan meremehkannya. Seandainya semua peguam Islam bekerjasama, pasti undang-undang Islam akan mencapai tahap kematangan yang tinggi melebihi undang-undang sivil.

 

Keempat:

Dalam Islam, penguatkuasaan undang-undang moral tidak terletak pada bahu pihak polis, tetapi pada bahu umat Islam itu sendiri. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Taubah 9:71]

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman.[4]

 

Perhatikan dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meletakkan tanggungjawab mengubah, mencegah dan menghentikan kemungkaran kepada sesiapa jua yang melihat kemungkaran tersebut, tanpa dibataskan kepada pihak polis dan pemerintah sahaja.

 

Adapun kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang moral, ia berpunca daripada beberapa faktor, antaranya:

  1. Kurangnya kesedaran umat Islam tentang kewajipan mereka melakukan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar.

  2. Kurangnya kemampuan pihak berwajib, sama ada dari sudut kakitangan, peralatan dan mandat, untuk melaksanakan penguatkuasaan.

  3. Banyaknya kritikan daripada pihak lain seandainya dilaksanakan penguatkuasaan undang-undang moral.

Terhadap faktor ketiga di atas, terdapat dua poin menarik yang dapat ditarik:

  1. Merupakan satu keanehan apabila kita membaca kritikan tentang kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang moral. Bukankah jika undang-undang tersebut dikuatkuasakan, ia juga akan dikritik oleh yang mengkritik?

  2. Turut menjadi keanehan ialah kritikan tidak adanya penguatkuasaan fatwa haram merokok di negeri Selangor. Padahal jika dibanding pada sudut yang lain, merokok juga dilarang di stesen-stesen minyak. Malah di stesen-stesen itu juga ditampal pelekat “Dilarang merokok”, diikuti dengan amaran “Denda RM5000 atau Penjara 2 tahun”. Akan tetapi pernahkah sesiapa yang melihat pihak polis mengawasi stesen-stesen minyak?

Kelima:

Adapun anggapan undang-undang moral bersikap berat sebelah, iaitu ringan kepada kaum lelaki tetapi berat kepada kaum wanita, ia dapat diimbangi semula berdasarkan salah satu atau kedua-dua daripada pemberat berikut:

  1. Ia merupakan salah satu daripada kelemahan undang-undang moral yang perlu diperbaiki. Ini sebagaimana yang diterangkan dalam poin ketiga di atas.

  2. Ia bukan bersikap berat terhadap wanita tetapi selari dengan keperluan wanita. Ini kerana wanita adalah lebih istimewa daripada lelaki sehingga keistimewaan tersebut memerlukan perhatian yang lebih tinggi. Wanita juga memiliki peranan yang amat besar, iaitu melahirkan generasi pelapis yang bakal memelihara dan memimpin Islam, umat dan negara. Justeru wanita memerlukan keprihatinan yang lebih tinggi berbanding lelaki agar mereka dapat memainkan peranan tersebut dengan sebaik-baiknya. Selain itu wanita lebih mudah menjadi mangsa berbanding lelaki terhadap pelbagai keburukan moral yang berlaku di sekelilingnya. Oleh itu prioriti diberikan kepada wanita dalam rangka melindungi mereka daripada terkesan dengan keburukan di sekeliling mereka.

Apabila disebut “selari dengan keperluan wanita”, yang dimaksudkan adalah keselarian pada ukuran Islam, bukan pada ukuran Barat yang sebenarnya “menelanjangkan wanita” di atas label “memerdekakan wanita”.[5]

 

Keenam:

Tidak ada yang mendakwa undang-undang moral membazir duit para pembayar cukai kecuali mereka yang berpemikiran yang amat terbantut. Ini kerana undang-undang moral menjamin kebaikan rakyat dan negara, sekali gus belanjawan duit para pembayar cukai. Paling kurang ini dapat diperhatikan daripada dua sudut:

  1. Banyak duit para pembayar cukai digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah. Kemudian duit para pembayar cukai juga digunakan untuk “menyara” penjenayah daripada perbicaraan di mahkamah sehinggalah kepada hukuman di penjara. Seorang manusia tidak berubah menjadi penjenayah secara tiba-tiba melainkan ia bermula secara bertahap-tahap. Di antara tahap yang awal ialah tingkah laku moral yang buruk. Justeru menangani tingkah laku moral yang buruk sejak dari awal lebih menjimatkan duit para pembayar cukai daripada menangani tingkah laku jenayah pada akhirnya.

  2. Sekalipun tidak semua pelaku moral yang buruk akan berakhir sebagai penjenayah, ia tetap membawa kerugian kepada duit para pembayar cukai. Ini kerana moral yang buruk selalunya sinonim dengan individu yang malas, tidak berdisiplin lagi tidak berwawasan. Semua ini akan menyebabkan negara terpaksa menggunakan duit para pembayar cukai pada jumlah yang lebih untuk mencapai sesuatu objektif.

Dalam Islam, undang-undang moral memiliki kepentingan yang sangat tinggi kepada rakyat dan negara. Kepentingan ini tidak hanya pada para pelaku moral yang buruk tetapi juga kepada orang-orang yang beristiqamah dengan moral yang baik. Kepentingan ini juga tidak hanya untuk masa kini tetapi untuk masa akan datang, khasnya dalam rangka melahirkan generasi pelapis. Ini kerana moral yang baik menjamin kebaikan kepada semua pihak sementara moral yang buruk mengakibatkan keburukan kepada semua pihak juga.

 

Semua kepentingan ini telah digambarkan dengan sebegitu indah oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam seperti berikut:

Perumpamaan orang yang menegakkan perintah Allah (Amar ma’ruf dan Nahi mungkar termasuk perintah Allah) dan orang yang jatuh ke dalam larangan Allah ialah seperti satu kaum yang mengundi untuk mendapat tempat di dalam sebuah kapal. Sebahagian daripada mereka mendapat tempat di tingkat atas manakala sebahagian lagi pada tingkat bawah. (Ketika dalam pelayaran), apabila orang di tingkat bawah inginkan air, mereka terpaksa pergi meminta kepada orang yang berada pada tingkat atas.

 

Lalu mereka (yang berada di tingkat bawah) berkata: “Jika kita membuat lubang pada tingkat ini nescaya kita tidak perlu lagi meminta daripada orang di atas kita.”

 

Jika (mereka yang berada di tingkat atas) membiarkan mereka (orang di tingkat bawah) melakukan apa yang mereka hendaki (melubangkan kapal), pasti semuanya akan musnah (tenggelam). Sebaliknya jika mereka (yang berada di tingkat atas) menahan dengan tangan mereka (rancangan melubangkan kapal), pasti mereka (yang di tingkat atas) akan selamat dan akan selamat juga semuanya (termasuk di tingkat bawah).[6]

 

Atas dasar inilah Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan bahawa umat Islam akan menjadi “umat terbaik” apabila kita semua melaksanakan Amar ma’ruf dan Nahi mungkar:

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran, serta kamu pula beriman kepada Allah. [Ali Imran 3:110]

 

 

Dasar Ketiga: Menyelaraskan rukun-rukun keimanan dengan arus semasa.

Akhirnya kertas kerja tersebut menekankan bahawa umat Islam masa kini memiliki satu cabaran yang hebat, iaitu bagaimana untuk menyelaraskan rukun-rukun keimanan kita (reconcile the tenets of our faith) kepada cabaran kemodenan, kepelbagaian dan perubahan semasa. Termasuk daripada cabaran ini ialah bagaimana seharusnya kita umat Islam menentukan ciri-ciri moral yang selari secara universal dengan nilai-nilai demokrasi (kesepakatan orang ramai), hak kemanusiaan dan hak wanita, serta di manakah kedudukan Islam terhadap nilai-nilai moral yang sentiasa berubah di dalam dunia yang serba moden ini?

 

Analisa:

Di atas bukanlah cabaran tetapi masalah yang dihadapi oleh tidak sedikit daripada umat Islam masa kini. Masalah tersebut ialah bersifat “mengalah” kepada arus semasa. Pemikiran yang “mengalah” ini lahir daripada kehinaan yang wujud dalam diri seorang muslim dan mukmin, hasil daripada kesan penjajahan pada masa lalu dan sifat ketinggalan pada masa kini yang dihadapi oleh umat Islam. Ini sebagaimana yang saya terangkan sebelum ini dalam risalah Membongkar Aliran Islam Liberal.

 

Perasaan hina tersebut amatlah berat sehingga dianggap jalan keluar bukan sekadar “menafsirkan semula Islam” tetapi “menyelaraskan rukun-rukun keimanan” kepada arus semasa. Sungguh, ini tidak akan membawa kepada kemuliaan tetapi justeru kehinaan yang lebih buruk.

 

Oleh itu apa yang ditekankan dalam Dasar Ketiga di atas bukanlah cabaran hebat yang dihadapi oleh umat Islam. Cabaran hebat yang sebenar ialah menterjemahkan kedua-dua firman Allah berikut ini:

Dia-lah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya Dia meninggikannya (Islam) atas segala agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang hal itu). [al-Fath 48:28]

 

Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (yang lain tentang benar dan salah) dan Rasulullah pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. [al-Baqarah 2:143]

 

Cabaran yang pertama, sebagaimana ayat 28 surah al-Fath, ialah membuktikan Islam sebagai agama yang tertinggi di atas segala agama lain. Sifat “tinggi” yang dimaksudkan bukan sahaja dari sudut ketenteraan tetapi juga dari sudut kepimpinan yang mampu memimpin manusia ke arah kemuliaan, kejayaan, keselamatan dan kebahagiaan yang jauh lebih baik daripada apa-apa agama mahupun doktrin ciptaan manusia.

 

Cabaran yang kedua ialah kita sebagai orang muslim dan mukmin perlu memainkan peranan untuk meninggikan agama Islam dengan menjadikannya pemimpin kepada arus semasa. Kita, bukan apa dan sesiapa lain, yang sepatutnya menerangkan apa yang baik dan apa yang buruk. Dengan itu juga cabaran-cabaran kemodenan, kepelbagaian, perubahan semasa, moral yang baik dan buruk, hak kemanusiaan dan hak wanita patut diselaraskan kepada nilai-nilai Islam dan bukan sebaliknya.

 

Hanya apabila kita melaksanakan dua cabaran di atas, kita layak menggelar diri kita seorang muslim dan mukmin. Justeru saya mengingatkan diri saya dan semua para pembaca agar tidak dengan mudah berkata “I speak from the perspective of a Muslim, a believer, ……”. Ini kerana menggelar diri sebagai seorang muslim memiliki tanggungjawab yang amat berat.

 

Ciri-ciri seorang muslim adalah dia menjadikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai saksi yang menerang apa yang benar dan apa yang salah berdasarkan risalah Islam yang dibawa oleh baginda. Seterusnya berdasarkan risalah Islam tersebut, seorang muslim menjadi saksi yang menerangkan kepada manusia yang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah. Di samping itu seorang muslim juga mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat tahunan. Kemudian apabila mereka berhadapan dengan sesuatu masalah atau cabaran, mereka tidak mencari jalan penyelesaian yang lain kecuali berpegang teguh kepada jalan Allah. Ini dilakukan oleh seorang muslim kerana mereka menyakini bahawa Allah sahajalah yang merupakan sebaik-baik pelindung dan pemberi pertolongan.

 

Semua sifat dan tanggungjawab seorang muslim sepertimana di atas telah diperincikan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firman-Nya:

Allah menamakan kamu “al-Muslimin” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula menjadi saksi yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang benar dan salah). Oleh itu dirikanlah sembahyang dan berilah zakat serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. [al-Hajj 22:78]

 

 

Kesimpulan:

Sama-sama dapat kita perhatikan bahawa dasar-dasar yang kita analisa di atas amat berjauhan – malah bercanggah – dengan dasar-dasar al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak dapat diterima oleh pemikiran yang sihat lagi adil. Semua ini menimbulkan satu persoalan, dari manakah munculnya dasar-dasar tersebut?

 

Wujud satu kemungkinan.

 

Forum Enforcing Public Morality dianjurkan oleh Liberal Forum Malaysia dan Friedrich Naumann Foundation. Adalah selamat untuk dikatakan bahawa Friedrich Naumann Foundation adalah penganjur utama forum tersebut. Ini kerana nama pertubuhan ini tercatit dengan besar di belakang pentas forum. Lebih dari itu, Friedrich Naumann Foundation turut memberi liputan teks dan bergambar kepada forum tersebut. Teks dan gambar tersebut boleh dirujuk di: (http://www.fnfmalaysia.org/Campaign/276).

 

Timbul persoalan: Apa dan siapa Friedrich Naumann Foundation?

 

Friedrich Naumann Foundation adalah sebuah pertubuhan liberal yang diasaskan di negara Jerman pada tahun 1958. Dasar-dasar pertubuhan ini telah dinyatakan secara padat dalam satu perenggan di laman web mereka sebagai:

The Friedrich Naumann Foundation is committed to liberalism. Liberalism, in the classic European sense of the word, calls for the advancement of individual freedom. It requires the strengthening of democratic structures, the reduction of state interventionism, the advocacy of decentralization and  privatization, the cutting of existing state regulations and of bureaucratic red tape in our daily lives.[7]

 

Friedrich Naumann Foundation juga memiliki minat yang mendalam tentang hal ehwal umat Islam, khasnya dalam menafsirkan semula Islam mengikut arus semasa.[8]

 

Kembali kepada dasar-dasar pertubuhan Friedrich Naumann Foundation, mungkinkah “kebebasan individu adalah melalui pengukuhan struktur demokrasi” yang dimaksudkan sewarna dengan “kebebasan tingkah laku moral melalui kesepakatan orang ramai”? Mungkinkah “pengurangan kawalan negara, undang-undang atau badan tertentu terhadap kebebasan individu” yang dimaksudkan secorak dengan “isu moral bukanlah urusan pemerintah atau undang-undang”? Mungkinkah “liberalism” yang dimaksudkan senafas dengan “menyelaraskan rukun-rukun keimanan dengan arus semasa”?

 

Saya menyerahkan persoalan-persoalan di atas kepada kajian dan analisa para pembaca sekalian. Yang jelas, Friedrich Naumann Foundation bukan sekadar penganjur kepada forum Enforcing Public Morality. Ini dapat diperhatikan dalam kesimpulan mereka dalam liputan terhadap forum tersebut:

However, the different positions among the discussants also made it very clear that the desired unity among the Muslim faithful does not exist and that there is no consensus in the Muslim community on the moral laws called upon by PAS. This refutes their claim to represent the umma. Even less, of course, can they represent those members of society, who do not follow the Muslim faith.[9]

 

Saya mengakhiri penulisan ini dengan sekali lagi mengingatkan diri saya dan para pembaca sekalian agar tidak dengan mudah berkata “I speak from the perspective of a Muslim, a believer, a feminist and an activist who believes that Islam is just, that God is just.” Jika kita benar-benar beriman bahawa Islam adalah adil dan Allah adalah Maha Adil, maka buktikanlah ia dengan menjadikan Islam sebagai jalan yang memberi penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi oleh umat Islam masa kini.

 

Islam yang saya maksudkan bukan Islam versi tertentu atau yang dicedok dari sumber asing, tetapi Islam yang diredhai oleh Allah yang Maha Adil. Kita tidak akan mengetahui apa dan bagaimana Islam yang diredhai oleh Allah melainkan kita merujuk kepada kitab-Nya, yakni al-Qur’an dan tunjuk ajar Rasul-Nya, yakni Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Merujuk kepada al-Qur’an bukanlah dengan menyelaraskan al-Qur’an kepada arus semasa tetapi menyelaraskan arus semasa kepada al-Qur’an. Ini berdasarkan tunjuk ajar Rasul-Nya, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam:

Al-Qur’an adalah syafa’at yang diterima dan penghujah yang dibenarkan. Sesiapa yang meletakannya di hadapan maka ia (al-Qur’an) akan memimpinnya ke syurga dan sesiapa yang meletakannya di belakang ia akan menolaknya ke neraka.[10]

 

 

 


 

[1] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna ‘uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 4142 (Musnad ‘Abd Allah bin Mas‘ud).

[2] Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arna ‘uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 5390 (Musnad ‘Abd Allah bin ‘Umar).

[3]  Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1980 (Kitab al-Asyribah, Bab keharaman arak…).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 49 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan bahawa melarang kemungkaran adalah sebahagian dari iman).

[5] Lebih lanjut, rujuk:

1.       Woman Between Islam And Western Society oleh Wahiduddin Khan (The Islamic Centre, Delhi, 1995).

2.       Wanita Menurut Syariat Islam Dan Peradaban Moden oleh Dr. Mustafa al-Siba‘i (edisi terjemahan oleh Halimuddin; Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1986).

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2493 (Kitab al-Syarikah, Bab bolehkah mengundi untuk mendapatkan bahagian…)..

[7] http://www.fnstusa.org/Startpage.htm

[8]  Antara lain sila rujuk artikel-artikel mereka di dua link berikut:

http://www.fnfmalaysia.org/Human_Right_Islam_Resouces/225

http://www.fnst.org/africa_news_archive/News/gershman.htm

[9] http://www.fnfmalaysia.org/Campaign/276

[10] Sanad Jayyid: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan al-Thabarani, sanadnya dinilai jayyid (baik) oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no: 2019.

 

 

kandungan