Membongkar Aliran Islam Liberal

 

Hafiz Firdaus Abdullah

 

 

Bahagian B:  Berkenalan Dengan Hukuman Hudud

 

 

Hukuman Hudud adalah salah satu dasar penting dalam syari‘at Islam. Selagi mana mampu, ia wajib dilaksanakan dalam negara-negara Islam dan umat Islam perlu redha dengan perlaksanaannya. Saya yakin kenyataan dalam perenggan pertama di atas diketahui oleh umat Islam. Namun apa, mengapa dan bagaimana hudud tersebut, ia masih samar-samar. Jika ia samar-samar kepada umat Islam, maka bayangkanlah pula pandangan kaum bukan Islam terhadapnya.

 

Melalui tulisan ini, saya akan cuba, secara ringkas dan sederhana, memberi pengenalan kepada hukuman hudud. Tumpuan ditujukan kepada ciri-ciri hukuman hudud, agar kita umat Islam dapat lebih mengenali dan memahaminya. Pada waktu yang sama saya akan menyelit penjelasan kepada beberapa aspek hukuman hudud yang memusykilkan atau menimbulkan salah faham.

 

Dalam mengkaji dan menulis artikel ini, saya merujuk kepada al-Qur’an dan kitab-kitab hadis dalam subjek hudud. Kemudian saya melanjutkannya kepada kitab-kitab fiqh, mahu pun buku-buku khas yang membicara subjek hudud. Akan tetapi jika berlaku perselisihan antara sumber-sumber di atas, al-Qur’an dan hadis saya unggulkan di atas selainnya.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan Hudud?

Mudahnya, hudud ialah menjatuhkan hukuman yang telah ditetapkan bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas seseorang yang melakukan sesuatu jenayah, dimana jenis jenayah dan cara pembuktian jenazah telah ditetapkan juga oleh Allah dan Rasul-Nya. Jenis jenayah yang masuk dalam kategori hudud ialah murtad, zina, seks sejenis (gay dan lesbian) dan mencuri.

Dalam fiqh Islam, hukuman kepada jenayah dibahagikan kepada tiga kategori:

  1. Hudud: sepertimana yang dijelaskan di atas.

  2. Qishash, iaitu balasan setimpal ke atas sesuatu jenayah yang dilakukan. Qishash lazimnya merujuk kepada jiwa dan anggota badan. Jika seseorang itu mencederakan tangan seseorang, maka hukuman qishash ialah mencederakan kembali tangan orang yang mencederakan. Namun yang dicederai memiliki pilihan untuk mengenakan denda atau memaafkan orang yang mencederakannya.

  3. Takzir, iaitu hukuman yang tidak ditetapkan bentuk dan kadarnya oleh Allah dan Rasul-Nya. Kadangkala bentuk dan kadarnya ada dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya, namun ia tidaklah bersifat mengikat. Perubahan boleh dilakukan oleh hakim berdasarkan faktor-faktor yang melatarbelakangi jenayah dan penjenayah berdasarkan kes demi kes. Takzir juga diterapkan ke atas jenis jenayah yang sebelum ini tidak dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya atau terhadap jenayah yang dibuktikan dengan cara yang berbeza. Sebagai contoh, jika kes rogol dibuktikan dengan ujian DNA atau kes menggelap wang syarikat dibuktikan melalui cara audit balance sheet, maka jenayah ini dan hukumannya masuk dalam kategori takzir. Walaubagaimana pun bab ini masih terdapat perbincangan di kalangan ilmuan Islam.

 

Ciri-Ciri Hukuman Hudud.

 

Ciri # 1: Hudud bersifat menakutkan.

Objektif utama hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia daripada melakukan sesuatu jenayah. Untuk mencapai objektif ini, hudud memiliki sifat menakutkan agar dengan itu manusia merasa takut dengan jenayah tersebut dan berusaha untuk menjauhinya. Perkara ini disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187]

 

Oleh itu jika ada yang berkata hudud adalah menakutkan, kita jawab: “Benar!” Jawapan ini kemudiannya disambung dengan penjelasan bahawa objektif utama hukuman hudud bukanlah menghukum, tetapi menjauhkan manusia daripada melakukan sesuatu jenayah.

 

 

Ciri # 2: Hukuman Hudud Tidak Dikenakan Ke Atas Orang Gila, Jahil dan Keliru.

Pernah seorang lelaki muslim datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di dalam masjid dan berkata:

“Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.” Rasulullah berpaling daripada orang tersebut sehingga dia mengulang-ulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Maka tatkala dia bersaksi ke atas dirinya sebanyak empat kali, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam  memanggilnya dan bertanya: “Adakah engkau gila?” Dia menjawab: “Tidak.” “Adakah engkau sudah berkahwin?” Dia menjawab: “Ya.” Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Ambillah dia dan rejamlah dia”.[1]

 

Dalam sebuah riwayat lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertanya:

“Mungkin engkau hanya mencium atau menyentuh atau memandangnya?”[2]

 

Berdasarkan pertanyaan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada orang yang mengaku berzina, jelas bahawa ditentukan terlebih dahulu sama ada beliau adalah gila atau tidak. Kemudian ditentukan juga sama ada beliau benar-benar tahu apa yang dimaksudkan dengan zina, agar tidak terjadi sebarang salah faham atau kekeliruan.

 

Berdasarkan pertanyaan ini, dapat dirumuskan bahawa orang yang melakukan jenayah dalam keadaan fikirannya tidak terkawal sepenuhnya, dia tidak dikenakan hukuman hudud. Contoh selain gila ialah jahil, keliru, kanak-kanak dan tidur.

 

Disebut dalam beberapa riwayat bahawa Amirul Mukiminin ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh tidak menjatuhkan hukuman hudud kepada orang yang berzina kerana kejahilan mereka akan kesalahan berzina.[3]

 

 

Ciri # 3: Hukuman Hudud Dijatuhkan Ke Atas Jenayah Yang Berlaku Secara Terbuka.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.[4]

 

Selain itu sama-sama kita mengetahui bahawa untuk menjatuhkan hukuman hudud, pendakwa perlu membawa jumlah saksi yang tertentu. Jika syarat saksi tidak memadai, pendakwa sendiri yang akan dikenakan hukuman. Ini sekali lagi menjadi bukti bahawa hukuman hudud hanya dijatuhkan kepada jenayah yang berlaku secara terbuka sehingga wujud orang yang menyaksikannya.

 

Sebagai tambahan, perhatikan semula hadis di atas tentang bagaimana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpaling sebanyak empat kali daripada orang yang datang mengaku bahawa dia telah berzina. Berdasarkan sikap Rasulullah tersebut, dapat dirumuskan bahawa:

  1. Kemaksiatan adalah sesuatu yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan tetapi baginda tidak melaksanakan usaha mengintip atau memata-matai orang yang disyaki melakukan maksiat. Ini selari dengan sabda baginda:Sesungguhnya seorang penguasa, apabila dia mencari-cari kesalahan rakyatnya, bererti dia merosakkan mereka.[5]

  2. Berpalingnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menunjukkan baginda tidak suka mendengar pengakuan orang yang telah berzina. Dalam ertikata lain, sesuatu yang telah berlaku secara tertutup, biarlah ia tertutup. Baginda bersabda, maksudnya: “…sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah…”

  3. Orang yang melakukan jenayah tidak dianjurkan kepadanya untuk melapor kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia bertaubat, sebagaimana lanjutan hadis di atas: “…hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah…” Kembali kepada kes orang yang mengaku berzina kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dikhabarkan bahawa ketika sedang direjam, beliau melarikan diri kerana tidak tahan sakit. Salah seorang sahabat sempat mengejar beliau dan memukulnya sehingga mati dengan seketul tulang unta. Peristiwa ini kemudiannya dikhabarkan kepada Rasulullah. Baginda bertanya: Kenapa tidak dibiarkan dia, mungkin dia bertaubat dan Allah menerima taubatnya.[6]

  4. Seseorang yang mengetahui berlakunya sesuatu jenayah juga tidak dianjurkan melaporkannya kepada pihak penguasa. Sebaliknya hendaklah dia memberi nasihat dan teguran kepada yang melakukannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menutupi (kesalahan) seorang muslim maka Allah menutupinya di dunia dan akhirat.[7]

     

    Imam Ibn Majah meletakkan hadis ini dalam bahagian Kitab al-Hudud, Bab menutup kesalahan seorang mukmin dan mengelak hukuman hudud disebabkan syubhat.

    Saling memaafkanlah terhadap (jenayah) hudud yang berlaku di antara kalian kerana (sesuatu jenayah) hudud yang sampai kepada aku, maka wajib dikenakan hukumannya.[8]

     

    Sesiapa yang melakukan dosa sedemikian (syirik, mencuri dan zina) dan dihukum keranannya, maka hukuman itu adalah kifarah baginya. Dan sesiapa yang melakukan dosa sedemikian lalu Allah menutupinya, maka terpulang kepada Allah sama ada untuk mengampunkannya atau mengazabnya.[9]

 

Memaafkan atau mengazab? Sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Pemaaf akan memberi kemungkinan yang tinggi ke arah memaafkan. Hadis berikut menjelaskan:

Sesiapa yang berdosa di dunia dengan melakukan sesuatu dosa lalu dikenakan hukuman ke atasnya disebabkan dosanya itu, maka Allah Maha Adil daripada melipat gandakan hukuman-Nya ke atas hamba-Nya. Dan sesiapa yang berdosa dengan satu dosa di dunia lalu Allah menutupi ke atasnya, maka Allah Maha Mulia daripada mengenakan hukuman ke atas sesuatu yang telah Dia maafkan.[10]

 

 

Ciri # 4: Tertuduh Dibenarkan Membela Diri.

Umm Salamah radhiallahu 'anha berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia. Jika kalian membawa kepada aku kes masing-masing, boleh jadi salah seorang dari kalian dapat membela diri dengan cara yang lebih meyakinkan berbanding yang lain sehingga aku memberi keputusan berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang (aku tersilap dalam memberi keputusan) sehingga memberi kepadanya apa yang sebenarnya milik saudaranya, maka janganlah mengambilnya kerana yang diambil itu hanyalah sebahagian daripada api neraka.[11]

 

Hadis di atas menunjukkan bahawa orang yang tertuduh boleh membela dirinya dengan sekian-sekian hujah. Mungkin dia jahil, mungkin dia keliru, mungkin dia mencuri kerana keadaan darurat, mungkin dia membunuh kerana cuba membela siri sendiri (self defence), mungkin para saksi yang sengaja memerangkap dirinya dalam melakukan jenayah tersebut dan pelbagai lagi.

 

Berdasarkan hadis ini juga muncul sistem peguambela, dimana orang tertuduh yang tidak tahu cara membela dirinya boleh meminta orang lain yang lebih arif melakukannya.

 

 

Ciri # 5: Hukuman Hanya Dijatuhkan Ke Atas Tertuduh Jika Tiada Kesamaran.

Dalam sebuah hadis disebut bahawa:

Elaklah daripada mengenakan hukuman hudud selagi mana kamu boleh mengelaknya.[12]

Tolaklah hukuman hudud berdasarkan syubhat-syubhat.[13]

 

Dalam bab ini terdapat beberapa hadis dan perkataan para sahabat yang semakna sehingga al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Dan telah diriwayatkan dari tidak seorang para sahabat bahawasanya mereka berkata sedemikian…” lalu beliau menyenaraikan riwayat-riwayat tersebut.[14]

 

Sekali pun riwayat-riwayat di atas diperbincangkan darjat sanadnya, maksudnya adalah benar sehingga para ilmuan telah bersepakat bahawa hukuman hudud tidak dikenakan di atas sesuatu kes yang memiliki kesamaran di dalamnya. Imam Ibn al-Munzir berkata: Seluruh para ahli ilmu yang aku hafal namanya seakat bahawa hukuman hudud tertolak berdasarkan syubhat.[15]

 

Ciri-ciri ini telah diikuti oleh sistem pengadilan konvesional masa kini dimana pendakwaraya perlu membuktikan tanpa sebarang kesamaran bahawa yang tertuduh memang bersalah. Manakala peguambela bagi yang tertuduh pula akan membuktikan bahawa dalam bukti-bukti tersebut terdapat kesamaran di dalamnya. Jika kesamaran masih wujud di antara hujah salah satu pihak, hukuman tidak dikenakan ke atas yang tertuduh.

 

 

Ciri #  6: Hukuman Hudud Berbentuk Fizikal.

Perbezaan yang paling menonjol antara hukuman hudud dan hukuman konvesional adalah hukuman hudud berbentuk fizikal seperti sebat, potong tangan, buang daerah dan bunuh. Manakala hukuman konvesional, penjenayah diberi hukuman penjara. Kadangkala hukuman penjara ditambah dengan sebatan, namun yang lazim adalah hukuman penjara sahaja. Terdapat perbezaan yang besar antara dua bentuk hukuman ini, antaranya:

  1. Hukuman fizikal benar-benar memberi kesan “hukuman” kepada penjenayah manakala hukuman penjara memberi kesan “kesenangan” kepada penjenayah. Seorang penjenayah bergembira jika dia dapat memasuki penjara kerana dapat memperoleh tempat tinggal, pakaian, makanan dan rakan-rakan banduan untuk bersosial. Ini semua adalah satu kesenangan berbanding hukuman yang berbentuk fizikal.

     

    Malah saya pernah terbaca laporan bahawa sebahagian banduan yang selesai tempoh hukuman penjara akan segera melakukan jenayah yang baru agar dapat memasuki penjara semula. Ini kerana jika dia hidup diluar penjara, dia tidak memiliki rumah untuk tinggal, bilik air untuk menjaga kebersihan, makanan, pakaian dan aktiviti bersama orang ramai. Kehidupan dalam penjara adalah jauh lebih baik daripada di luar penjara. Maka untuk melayakkan diri masuk penjara, dia perlu melakukan sesuatu jenayah yang baru.

  2. Hukuman fizikal tidak memerlukan kos yang tinggi. Tukang sebat atau pemotong tangan hanya memerlukan bayaran yang rendah, atau mungkin tiada bayaran langsung. Ini jauh berbeza dengan sistem penjara. Saya pernah membaca dalam akhbar tempatan bahawa kos penjagaan penjara dan banduan di Malaysia menelan belanja beberapa juta ringgit.

  3. Hukuman fizikal benar-benar menakutkan orang ramai dan ini dapat membantu untuk menjauhkan mereka daripada melakukan sesuatu jenayah. Hukuman penjara tidak menakutkan, bahkan seperti yang saya jelaskan di atas, ia menjemput seseorang itu melakukan jenayah.

 

Maka atas dasar inilah, jika muncul sesuatu jenis jenayah baru yang tidak disebut oleh Allah dan Rasul-Nya 1400 tahun yang lalu, bentuk hukuman yang bakal dikenakan hendaklah dalam bentuk fizikal juga.

 

Ada yang menyindir, bahawa bentuk hukuman fizikal adalah barbaric. Kita menjawab: “Ya! Memang benar. Akan tetapi cuba bayangkan jika anda atau orang yang anda sayangi menjadi mangsa sesuatu jenayah. Nescaya anda akan bersetuju penjenayah tersebut dihukum secara fizikal dan tidak dihantar untuk bercuti di dalam penjara.”

 

 

Ciri # 7: Orang Yang Lemah Diringankan Hukuman Fizikalnya.

Sekali pun hukuman hudud berbentuk fizikal, tidaklah bererti ia disama ratakan kepada semua manusia yang berbeza-beza tahap fizikalnya. Orang yang tua umpamanya, diringankan hukuman fizikalnya. Dalam sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, pernah seorang yang kecil lagi lemah melakukan jenayah zina. Perkara ini dihadapkan kepada Rasulullah dan baginda memerintahkan agar hukuman sebat seratus kali dikenakan. Terhadap perintah ini, para sahabat berkata:

 “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya dia amat lemah untuk menerima hukuman tersebut sehingga jika kami menyebatnya seratus kali, nescaya kami akan membunuhnya.” Rasulullah menjawab: “Ambillah tangkai kurma yang ada seratus ranting padanya dan sebatlah dia dengannya sekali sebatan sahaja. Setelah itu bebaskanlah dia”[16]

 

Bezakan bahawa hukuman fizikal hanya diringankan berdasarkan faktor fizikal seseorang. Faktor kedudukan, keturunan dan kekayaan tidak boleh dijadikan hujah untuk meringkan hukuman hudud. Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, pernah diminta agar seorang yang ditangkap mencuri diringkankan hukuman hududnya. Permintaan ini dijawab oleh Rasulullah:

Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian musnah tidak lain kerana mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang miskin dan mengecualikan orang yang mulia. Demi jiwaku yang berada di Tangan-Nya, seandainya Fathimah (binti Muhammad, anak baginda) melakukan kesalahan sedemikian (mencuri), pasti akan potong tangannya jua.[17]

 

 

GADUD vs Hududiyyah.

Apabila kita bersembang-sembang dengan rakan-rakan tentang hukuman hudud, lazimnya akan ditemui dua puak atau kategori orang:

  • Pertama adalah puak GADUD (Golongan Anti Hudud). Mereka adalah orang-orang yang tidak faham tentang hudud lalu menolaknya. Bagi mereka, jika hudud dilaksanakan dalam sesebuah negara, nescaya kebanyakan rakyatnya akan berjalan ke sana sini tanpa tangan dan badan yang berbelang-belang.

  • Kedua adalah puak Hududiyyah. Mereka adalah orang-orang yang tidak faham tentang hudud tetapi beria-ria untuk menegakkannnya. Bagi mereka, sebuah negara Islam adalah negara yang tugasnya tidak lain menebas tangan pencuri dan membelasah para penzina.

 

Jika kedua-dua puak di atas diberikan penjelasan yang baik tentang ciri-ciri hukuman hudud, nescaya mereka akan mengubah pandangan dan pendirian. Di dalam hukuman hudud, tetap terserlah sifat adil dan rahmat yang merupakan asas kepada Islam. Negara yang melaksanakan hukuman hudud akan terserlah di dalamnya keamanan, keadilan dan rahmat. Aman kerana hudud bersifat menakutkan seseorang daripada melakukan jenayah sehingga dengan itu berkuranglah jumlah jenayah. Adil dan rahmat kerana hudud memperhatikan terlebih dahulu sebab yang melatarbelakangi sesuatu jenayah dan keadaan orang yang melakukan jenayah tersebut.

 

Jika dibandingkan ciri-ciri hukuman hudud dengan hukuman konvesional masa kini, akan ditemui banyak kesamaan. Bahkan tidak berlebihan jika saya katakan bahawa perbezaan hanya dari sudut bentuk hukuman dimana hudud menghukum dalam bentuk fizikal manakala konvesional menghukum dalam bentuk penjara. Apabila saya menekankan kesamaan ini, tidaklah saya bermaksud umat Islam boleh berpuas hati sahaja dengan hukuman konvesional. Akan tetapi yang ingin saya gariskan adalah:

  1. Sistem hukuman konvesional masa kini yang dianggap moden, adil lagi canggih sebenarnya diambil daripada sistem Islam. Bayangkan, manusia 1400 tahun yang lalu hidup dalam suasana jahiliyah dan kegelapan manakala Islam telah meletakkan dasar-dasar bagi menghukum sesuatu jenayah. Maka menjadi satu kezaliman terhadap diri sendiri apabila umat Islam membelakangkan hukuman hudud dan mengambil hukuman konvesional yang sebenarnya merupakan tiruan daripada warisan Islam.

  2. Orang-orang yang memilih atau mengutamakan hukuman konvesional, mereka sebenarnya tidak faham tentang hukuman hudud. Malah mereka telah ditakut-takutkan tentangnya oleh puak Hududiyyah. Dengan penjelasan yang baik lagi bertahap-tahap daripada kita, nescaya mereka akan berubah pandangan tentang hukuman hudud dan menyokongnya.

Oleh itu melalui penulisan yang serba ringkas dan sederhana ini, marilah kita menjadi orang yang memahami ciri-ciri hukuman hudud. Anggaplah penulisan ini sebagai permulaan untuk kita memperdalamkan pengetahuan tentang hukuman hudud. Hendaklah usaha ini dilakukan kerana Islam, bukan kerana politik atau kepartian. Seandainya di antara pembaca ada yang mendekati ciri-ciri GADUD atau Hududiyyah yang saya umpamakan di atas, sama-samalah kita menyemak dan membetulkan diri sendiri.

 

Seterusnya kita perluaskan penjelasan kepada rakan-rakan yang bukan Islam, agar mereka dapat memahami dan bersifat neutral tentang hukuman hudud. Memang, lebih baik jika mereka menyokong hukuman hudud. Akan tetapi jika kita sendiri tidak memahaminya secara benar, bagaimana mungkin mereka?

 

 


 

 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6815 (Kitab al-Hudud, Bab tidak direjam lelaki yang gila dan wanita yang gila).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6824 (Kitab al-Hudud, Bab bolehkah seorang pemimpin berkata…).

[3] Rujuk riwayat-riwayat tersebut beserta huraiannya dalam buku Minhaj ‘Umar bin al-Khaththab fi al-Tasyri’ (edisi terjemahan oleh Masturi Irham atas judul Metodologi Ijtihad Umar bin al-Khathab; Khalifa, Jakarta, 2005), ms. 273 dan seterusnya.

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 (Kitab al-Taubah wa al-Inabah) dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4889 (Kitab al-Adab, Bab larangan dari mengintip).

[6] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Irwa al-Ghaleel, hadis no: 2322-8.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis 2078 (Kitab al-Hudud, Bab menutup kesalahan seorang mukmin dan mengelak hukuman hudud disebabkan syubhat).

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4376 (Kitab al-Hudud, Bab kemaafan bagi hukum hudud bagi kes yang belum sampai ke pengetahuan penguasa).

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6784 (Kitab al-Hudud, Bab hudud adalah kaffarah).

[10] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 775 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 7169 (Kitab al-Ahkam, Bab nasihat pemimpin kepada pesalah).

[12] Dha‘if: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya, hadis no: 2545. Dinyatakan lemah oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047.

[13] Dha‘if: Dikeluarkan oleh al-Baihaqi, dinyatakan lemah oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Bulugh al-Maram, hadis no: 1047, namun dinilai hasan oleh al-Sayuthi dalam al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 314.

[14] Rujuk Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir (Maktabah Nazr Musthafa al-Baz, Riyadh, 1996), hadis no: 1755.

[15] Dikemukakan oleh ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 6, ms. 247.

[16] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no: 21935 (Musnad al-Anshar, Hadis Sa‘id bin Sa‘id bin ‘Ubadah).

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6787 (Kitab al-Hudud, Bab menegakkan hukum hudud ke atas orang yang mulia dan lemah).

 

 

kandungan