|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Penjelasan Tambahan Contoh 7:Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad) berbanding umat-umat lain.[122] Berdasarkan hadis di atas, ramai yang menganggap bahawa “meramaikan anak” adalah merupakan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam manakala perancangan keluarga pula ialah sesuatu yang menyalahinya. Sebenarnya hadis di atas hanyalah merupakah salah satu dari keseluruhann sunnah Rasulullah. Kita tidak boleh mengejar satu sunnah dan mengabaikan sunnah-sunnah yang lain. Perhatikan dua hadis berikut dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang turut menjadi tuntutan sunnah baginda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia (lain).[123] Seorang Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih disayangi oleh Allah berbanding seorang Mukmin yang lemah.[124] Sifat kuat yang dimaksudkan di atas adalah umum dalam semua hal, kekuatan fizikal, jati diri, ilmu pengetahuan, ketajaman fikiran dan berbagai lagi. Perhatikan permisalan Allah Subhanahu wa Ta‘ala berikut ini: Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: Dua orang lelaki, salah seorangnya kelu pekak dari semulajadinya, tidak dapat menyatakan apa yang difikirkannya dan tidak dapat mendengar apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; Adakah dia (yang demikian sifatnya) sama seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar) ? [al-Nahl 16:76] Daripada dua hadis di atas, jelas kepada kita bahawa termasuk sunnah-sunnah Rasulullah yang lain ialah membina umat yang kuat imannya, teguh taqwanya, berilmu, bertenaga dan dapat membawa manfaat kepada manusia dan alam seluruhnya. Jauh sekali dari kehendak sunnah Rasulullah sebuah keluarga yang ramai anak-anak tetapi ibubapanya gagal dalam pendidikan, pembinaan dan pengacuan mereka sehingga menjadilah anak-anak tersebut seseorang yang lemah imannya, longgar taqwanya, tidak berilmu dan menjadi beban kepada yang lainnya. Justeru sunnah “meramaikan anak” yang sebenarnya di sisi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam adalah ianya diselaraskan dengan kemampuan sesebuah keluarga itu. Selain itu, antara sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ialah menjaga kebaikan serta mengelakkan kemudaratan sesebuah institusi keluarga. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Tidak boleh membuat mudarat dan tidak boleh memudaratkan.[125] Iaitu jangan melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri dan jangan pula melakukan sesuatu yang memudaratkan orang lain. Justeru jika ibu menghadapi masalah kesihatan untuk melahirkan anak, maka menjadi sunnah untuk membataskan jumlah anak demi menjaga kesihatan ibu. Jika kedudukan kewangan keluarga adalah sangat terhad, maka juga menjadi sunnah untuk mengawal jumlah anak supaya setiap ahli keluarga dapat hidup dengan keperluan-keperluan asas yang secukupnya (iaitu seperti yang disenaraikan pada Contoh Ke-11). Jika ikatan suami isteri adalah tersangat longgar dengan harapan masa depan yang tidak cerah, maka juga menjadi sunnah untuk mengawal jumlah anak supaya mereka tidak terikut sama dengan konflik yang mungkin akan menimpa. Juga merupakan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam “meramaikan anak” adalah hendaknya sesebuah institusi keluarga itu memerhatikan kemampuannya untuk memelihara, mengasuh dan mendidik anak-anaknya agar menepati amanah yang dibebankan oleh Allah Azza wa Jalla kepada mereka (ibubapa), sebagaimana dalam ayat berikut: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala). [al-Tahrim 66:06] Tidak ketinggalan dari sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersikap hati-hati dari pelbagai ujian dan cubaan yang mungkin timbul daripada “anak-anak yang ramai” seperti leka dengan mereka sehingga melalaikan daripada tanggung-jawab terhadap Allah, agama dan umat. Berapa ramai ibubapa yang mencurahkan segala tenaga, wang ringgit dan perhatian hanya kepada anak-anak mereka tanpa mahu berkongsi sedikitpun tenaga, wang ringgit dan perhatian tersebut demi kebaikan umat seluruhnya. Malah yang lebih buruk adalah, anak-anak yang ramai tersebut adakalanya sumber berbangga-bangga dan ria’: anak kamilah yang paling comel, anak kamilah yang paling ramai, anak kamilah yang paling bijak. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengingatkan hal ini dalam firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. [al-Taghabun 64:14-15] Demikianlah antara beberapa petunjuk yang diberikan oleh al-Qur’an dan Hadis dalam perancangan keluarga. Perancangan ini lazimnya akan berbeza antara individu, keluarga, komuniti, sosio-ekonomi dan suasana. Dengan perbezaan ini masing-masing keluarga akan mempunyai jumlah ahli yang berbeza dan dalam perbezaan ini tidaklah sesuatu keluarga itu lebih baik dari keluarga yang lain. Yang pentingnya, sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah sekadar mengamalkan satu ajarannya, tetapi adalah mengamalkan kesemua ajarannya secara sama rata sekadar mampu. Pengamalan seperti inilah, tak kira dalam urusan perancangan keluarga atau selainnya, yang akan benar-benar dibanggai oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [122] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang daripada Ma’qil bin Yasar radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasai, al-Baihaqi dan lain-lain, dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel – no: 1784. [123] Hasan: Hadis daripada Jabir bin ‘Abd Allah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Daruquthni dalam al-Afraad, dinukil oleh al-Suyuti dalam Jamii’-us-Sagheir – no: 4044 (lihat juga no: 9147) dan dinilai hasan oleh beliau. Ini dipersetujui oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Jamii’-us-Sagheir – no: 3289. [124] Sahih: Sebahagian dari hadis yang panjang dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim, Ibn Majah dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2664 (Kitab al-Qadar, Bab pada kekuatan dan menghindar kelemahan........). [125] Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, al-Daruquthni, Ibn Majah dan lain-lain, dinukil dan dinilai hasan oleh al-Suyuti dalam Jamii’-us-Sagheir – no: 9899 manakala dinilai sahih oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Irwa’ al-Ghaleel – no: 896.
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||