|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rabb yang mencipta dan mengurus alam dan segala yang ada di dalamnya. Allah Azza wa Jalla berfirman Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmu-Nya akan tiap-tiap sesuatu. [al-Talaq 65:12] Selawat dan salam kepada Muhammad bin ‘Abd Allah yang diutuskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai rahmat bagi sekalian alam, pengajar al-Qur’an dan penyampai risalah Islam. Firman Allah: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [al-Anbiyaa’ 21:107] Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya. [al-Nahl 16:44] Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. [‘‘Ali Imran 3:164] Salam juga kepada ahli keluarga baginda, para sahabat, tabiin dan semua yang mengikuti risalah serta sunnahnya. Allah Tabaraka wa Ta‘ala berfirman: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. [al-Taubah 9:100] Antara masalah yang dihadapi oleh seseorang untuk memahami sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah wujudnya beberapa hadis yang memiliki maksud, petunjuk dan hukum yang saling bercanggah, berlawanan dan bertentangan antara satu sama lain. Adakalanya percanggahan ini menyebabkan sebahagian umat menjadi ragu akan kebenaran hadis-hadis tersebut manakala sebahagian lain pula tersilap dalam mengamalkannya, iaitu mereka mempraktikkan sebahagian dan menolak sebahagian. Malah ada yang menjadikan senario percanggahan ini sebagai salah satu faktor untuk menolak hadis secara keseluruhan dari syari‘at Islam. Insya-Allah, melalui buku ini penulis akan terangkan cara bagi menangani masalah ini. Tidak dinafikan bahawa memang wujud hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang pada zahirnya kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Percanggahan ini bukanlah sesuatu yang bersifat hakiki tetapi ia hanyalah fiktif pada pandangan seseorang semata-mata kerana kelemahan dalam memahami maksud sesuatu hadis dan tidak mengetahui kaedah-kaedah bagi mengatasi percanggahan tersebut. Buku ini disusun dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Selepas sahaja Kata Pengantar ini, penulis mengemukakan penjelasan terhadap beberapa maklumbalas yang penulis terima daripada para pembaca berdasarkan beberapa buku yang telah penulis susun sebelum ini. Kemudian disusuli dengan Bahagian Pertama yang berkisar kepada apakah yang dimaksudkan sebagai Hadis Bercanggah dan adakah percanggahan tersebut sesuatu yang benar-benar berlaku atau hanya pada zahir sahaja. Kemudian diikuti dengan Bahagian Kedua di mana penulis menyenaraikan 20 contoh hadis yang kelihatan bercanggah di mana bagi setiap contoh penulis akan: [1] Berikan dua atau lebih hadis yang kelihatan saling bercanggah. [2] Diterangkan di mana dan bagaimana ia bercanggah. [3] Diterangkan kaedah yang perlu digunakan bagi mengatasi percanggahan tersebut. [4] Bagaimana mengguna-pakai kaedah tersebut, dan [5] Diikuti dengan penjelasan tambahan, jika perlu, apabila didapati hadis yang dikemukakan sebagai contoh adalah yang berkait rapat dengan suasana semasa. Adakalanya penjelasan tambahan ditulis dalam bentuk notakaki, iaitu apabila perkara yang dijelaskan itu bukanlah sesuatu yang berkait rapat dengan asal perbincangan. Antara tujuan penulis menyusun perbincangan setiap hadis mengikut peringkat 1 – 2 – 3 – 4 – 5 adalah untuk melatih para pembaca bersikap mengkaji, berfikir dan menganalisa. Caranya adalah, pertama dibaca contoh hadis-hadis yang penulis kemukakan sebagai bercanggah (peringkat 1 & 2), kemudian hendaklah para pembaca sendiri yang cuba kaji dan fikirkan cara mengatasi percanggahan tersebut. Kemudian bandingkan hasil kajian para pembaca dengan keterangan penulis (peringkat 3 & 4). Moga-moga dengan cara seperti ini dapat memberikan persediaan yang secukupnya kepada para pembaca apabila mereka bertemu dengan apa-apa hadis yang kelihatan bercanggah di masa akan datang. Walaubagaimanapun ingin ditegaskan bahawa buku ini hanya menerangkan kaedah-kaedah umum untuk mengatasi percanggahan antara hadis-hadis, sekadar memberi pengetahuan kepada para pembaca bahawa para ilmuan Islam telah sedia menggariskan kaedah-kaedah yang khas dalam bab ini. Buku ini tidaklah memperincikan segala syarat-syarat, kaedah dan hukum. Maklumat dalam buku ini tidak mencukupi untuk dijadikan sumber rujukan bagi seseorang membuat rumusan hukum dan pendapat (fatwa) apabila benar-benar berhadapan dengan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah. Untuk mempelajari segala perincian syarat, hukum dan kaedah, seseorang itu perlu mendalami ilmu usul fiqh, khususnya dalam bab Tarjih. Manakala bagi para pembaca yang terdiri daripada ahli-ahli fiqh pula, akan didapati sesetengah kaedah yang penulis gunakan bagi mengatasi percanggahan adalah berbeza dengan apa yang digariskan dalam sesebuah kitab Usul Fiqh. Sebenarnya perbezaan ini sedia diketahui penulis, hanya sahaja jika kita mengkaji semua kitab-kitab Usul Fiqh tanpa terbatas kepada sesuatu mazhab, akan didapati sejumlah kaedah yang digunakan oleh seseorang pentarjih apabila berhadapan dengan hadis-hadis yang bercanggah. Maka apa yang dilakukan oleh penulis ialah memilih kaedah pentarjihan yang paling sesuai dan mudah untuk dijadikan contoh dalam buku ini untuk tatapan pembaca umum. Pemilihan penulis akan sesuatu kaedah tarjih tidaklah bererti bahawa penulis menolak kaedah-kaedah tarjih yang lain. Dalam menyusun buku ini penulis telah dijadikan 4 rujukan berikut sebagai dasar kajian: [1] Metode Tarjih atas Kontradiksi Dalil-dalil Syara’ oleh Muhammad Wafaa, edisi asalnya berjudul Ta‘arud al-Adillati al-Syar‘iyati min al-Kitabi wa al-Sunnati wa al-Tarjih Bainaha. [2] Minhaj al-Taufiq wa al-Tarjih baina Mukhtalaf al-Hadis oleh ‘Abd al-Majid Muhammad Ismail al-Susuh. [3] al-Ta‘arud wa al-Tarjih baina Adillati al-Syar‘iyat oleh ‘Abd al-Latif ‘Abd Allah Aziz al-Barzanji. [4] Dirasat fi al-Ta‘arudh wa al-Tarjih ‘inda al-Usuliyyin oleh Sayyid Saleh Aud. Penulis dalam buku ini banyak memberi rujukan kepada buku Muhammad Wafaa supaya memudahkan para pembaca meluaskan kajian, memandangkan ianya telahpun diterjemahkan dan boleh diperolehi di pasaran tempatan. Dalam penyusunan buku ini, terjemahan ayat-ayat al-Qur’an al-Karim dirujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan ar-Rahman kepada Pengertian al-Qur’an oleh ‘Abd Allah Basmeih yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Kitab ini kini dapat dirujuk dalam bentuk Cdrom. Bagi setiap hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang dikemukakan, penulis akan terangkan status kekuatannya dengan merujuk kepada semakan mereka yang pakar dalam bidang ini. Jika sesuatu hadis itu belum disemak oleh mereka maka penulis sendiri yang akan menyemaknya sekadar mampu. Adakalanya penulis berbeza pendapat dengan rumusan yang diberi oleh seseorang penyemak, maka dalam kes ini akan penulis terangkan secara terperinci kenapa wujudnya perbezaan pendapat. Setiap yang benar lagi sempurna adalah dari Allah Azza wa Jalla manakala setiap yang salah adalah dari diri penulis sendiri. Kita memohon petunjuk dan pemeliharaan dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala agar sentiasa digolongkan dalam orang yang berhati-hati lagi waspada apabila berinteraksi dengan hadis-hadis Rasul-Nya yang mulia, yang juga merupakan salah satu bentuk wahyu yang berasal dari-Nya. Hendaklah kita tergolong dalam orang yang selalu menyemak sumber sesuatu hadis dan status kekuatannya sebelum diperhujahkan atau diamalkan. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang berdusta atas aku dengan sengaja maka pasti dia menempah tempat duduknya di dalam neraka.[1] Antara yang dimaksudkan berdusta ialah mengutarakan sebuah hadis yang tidak berasal daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Sengaja berdusta terbahagi kepada beberapa peringkat, yang paling rendah ialah daripada kalangan orang awam di mana memang sukar untuk mereka mengetahui kebenaran sesuatu hadis secara tepat. Maka bagi mereka kemaafan dan rahmat daripada Allah Azza wa Jalla yang Maha Pemaaf lagi Maha luas Rahmat-Nya. Namun hendaklah mereka sentiasa berusaha tanpa mengenal rehat untuk mencari jalan berinteraksi dengan hadis-hadis Rasulullah dengan sebenar-benarnya. Yang paling tinggi ialah mereka yang berperanan sebagai da‘i, pengajar, penceramah, penulis dan pemberi fatwa, kerana mereka adalah ulama’ pewaris Rasulullah, maka hendaklah mereka warisi apa yang benar dan sampaikan apa yang tepat. Tidak ada kelonggaran kecuali tersilap, terlupa atau tertidur. Maka bagi mereka, dan diri penulis sendiri, semoga sabda Rasulullah sallallahu-alaihi-wassalam di atas menjadi amaran, peringatan dan pendorong untuk sentiasa berhati-hati, cermat dan berdisiplin apabila berinteraksi dengan hadis-hadis baginda. Akhir kata, diharapkan buku ini mencapai tujuannya dalam memberi kefahaman dan jalan penyelesaian kepada masyarakat apabila berhadapan dengan hadis-hadis yang kelihatan bercanggah antara satu sama lain. Terlebih penting ialah agar buku ini berjaya menempatkan kembali keyakinan dan sekaligus menyingkirkan keraguan dalam diri seseorang akan kebenaran hadis-hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Besar harapan penulis agar buku ini dapat menambah ilmu dan pengetahuan dalam beberapa bab lain yang rapat berkaitan. Diakui bahawa dalam buku ini wujud kesilapan, ketidak-tepatan dan kelemahan sekalipun segala usaha telah dicurahkan untuk mengelakkannya. Kerana kesempurnaan itu hanyalah milik Allah Azza wa Jalla. Penulis mengalu-alukan pembetulan dan maklumbalas dari para pembaca, sama ada melalui e-mel atau surat menyurat yang dialamatkan kepada penerbit. Sebelum mengundur diri dari Kata Pengantar ini, ingin penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah membantu penulis dari pelbagai sudut demi kebaikan buku ini. Di antara mereka adalah Muhammad Iqbal ‘Abd al-Rahman, Haezal Hezri Omar, Maryati Mat Nasir, Azimah Othman dan Najah Nadiah Amran. Diucapkan juga ribuan terima kasih kepada kedua ibubapa dan keluarga penulis yang telah memberi dorongan dan pertolongan dari berbagai sudut sehingga menjayakan penerbitan buku ini. Semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala melempahi mereka dengan ganjaran yang sebaik-baiknya.
Hafiz
Firdaus Abdullah |
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
=========================== [1] Sahih: Hadis mutawatir dikeluarkan oleh Ahmad, al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan – no: 001. |
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
|
||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||||