Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 5

Hadis A:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesiapa taat kepada aku maka sesungguhnya dia taat kepada Allah. Dan sesiapa derhaka kepada aku maka sesungguhnya dia derhaka kepada Allah. Dan sesiapa taat kepada pemimpin maka sesungguhnya dia taat kepada aku. Dan sesiapa derhaka kepada pemimpin maka sesungguhnya dia derhaka kepada aku.[99]

Hadis B:

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Tidak ada ketaatan dalam perbuatan maksiat terhadap Allah. Sesungguhnya hanya sahaja taat adalah dalam kebaikan.[100]

Dua hadis di atas nampaknya saling bertentangan. Hadis A memerintahkan ketaatan kepada pemimpin secara mutlak manakala hadis B memerintahkan ketaatan hanya dalam hal-hal yang merupakan kebaikan, tidak dalam hal-hal yang merupakan kemungkaran dan kemaksiatan.

Pertentangan ini dapat dihilangkan dengan mengkaji secara mendalam susunan teks antara kedua-dua hadis di atas. Hadis A berbicara secara terbuka tanpa adanya had, sempadan atau batasan manakala Hadis B berbicara secara terhad, memiliki sempadan dan batasan.

Hadis A dikenali sebagai hadis yang memiliki Lafaz Mutlaq, iaitu lafaz yang menunjukkan atas suatu objek yang tercakup dalam jenisnya tanpa dibatasi oleh suatu batasan dari cakupan tersebut.[101] Hadis B dikenali sebagai hadis yang memiliki Lafaz Muqayyad, iaitu lafaz yang memiliki petunjuk atas sesuatu yang telah dibatasi dengan suatu batasan yang mempersempitkan cakupannya atau petunjuk lafaz tersebut telah tertentu maknanya.[102]

Apabila bertembung antara hadis yang memiliki lafaz Mutlaq dengan hadis yang memiliki lafaz Muqayyad, maka hendaklah hadis lafaz Mutlaq tersebut difahami mengikut petunjuk yang dibawa oleh hadis yang memiliki lafaz Muqayyad. Ini adalah kerana hadis lafaz Muqayyad berperanan melengkap dan memperincikan lagi petunjuk hukum yang dibawa oleh hadis lafaz Mutlaq tersebut.

Berkata Sayfuddin al-Amidi [103]: Kami tidak mengetahui adanya perselisihan pendapat di antara para ulama’ mengenai bolehnya mengamalkan lafaz mutlaq yang difahami secara muqayyad dalam masalah ini. Memang seharusnya demikian. Mengamalkan lafaz muqayyad bererti telah mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung dalam lafaz mutlaq, manakala mengamalkan lafaz mutlaq tidak bererti mengamalkan petunjuk hukum yang terkandung dalam lafaz muqayyad. Sehingga menjama’kan keduanya merupakan kewajipan utama yang harus dilakukan. [104]

Kembali kepada pertentangan antara Hadis A dan B di atas, maksud sebenar antara kedua-dua hadis tersebut adalah, hendaklah taat kepada pemimpin selagi pemimpin tidak memerintahkan sesuatu yang berupa kemungkaran atau kemaksiatan. Pembatasan yang dimiliki oleh Hadis B melengkapkan lagi maksud yang terkandung dalam Hadis A, sehingga menjadilah kedua-duanya muafakat antara satu sama lain.[105]

Inilah sebenarnya maksud yang dikehendaki oleh Rasulullah sallalahu-alaihi-wasallam apabila beliau memerintahkan ketaatan kepada seseorang pemimpin, dan mengaitkan ketaatan tersebut sebagai ketaatan kepada dirinya dan kepada Allah Azza wa Jalla. Kehendak ini diperkuatkan lagi oleh baginda dengan sebuah hadis lain:

Patuh (mendengar) dan taat hanyalah benar selagi tidak diperintah dengan kemaksiatan. Jika diperintah dengan kemaksiatan maka tiada lagi kepatuhan dan ketaatan.[106]

===========================

99]          Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1835 (Kitab Pemimpin, Bab wajib taat kepada pemimpin pada perkara selain maksiat..........).


[100]        Sahih: Hadis daripada ‘Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 1840.    

[101]         Mustafa Sa‘id Khin – Asr al-Ikhtilaf fi al-Qawa‘id al-‘Usuliyyah fi Ikhtilaf al-Fuqaha’ – ms 244, dinukil daripada Muqaranah Mazahib fil Ushul, ms 195-196 oleh Romli SA. Teks Arabnya adalah seperti berikut:

[102]          Mustafa Sa‘id Khan – Asr al-Ikhtilaf fi al-Qawa‘id, ms 245

[103]         Beliau ialah seorang tokoh besar dalam bidang Usul Fiqh Mazhab Shafi‘i. Di lahirkan di Amid, Turki pada 511H dan berhijrah ke Baghdad, Damsyik dan Kaherah untuk belajar dan mengajar. Kitab beliau yang masyhur ialah al-Ihkam fi Usul al-Ahkam. Imam al-Amidi meninggal dunia pada tahun 631H.

[104]          al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jld 3, ms 4, dinukil dari Metode Tarjih, ms 154 oleh Muhammad Wafaa.

[105]         Lebih lanjut lihat keterangan al-Nawawi – Syarh Sahih Muslim, jld 6, ms 468, syarah bagi hadis no: 1835.

[106]        Sahih: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn ‘Umar radiallahu ‘anhuma, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, al-Nasa’i dan lain-lain, lihat Sahih al-Bukhari – no: 2955 (Kitab Jihad, Bab patuh dan taat kepada pemimpin).

 
:: laman utama