Kaedah Memahami Hadis Hadis yg Saling Bercanggah - Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
 

 

BAHAGIAN KEDUA

20 Contoh Hadis yang kelihatan Bercanggah dan Kaedah Mengatasi Percanggahan Tersebut

CONTOH  no 11

            Hadis A:            

Jabir bin ‘Abd Allah radiallahu ‘anhu berkata, kami berada di sisi Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika datang seorang lelaki kepadanya dengan membawa emas sebesar telur. Lalu dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku mendapatkannya dari lombong, ambillah ia sebagai sedekah, aku tidak memiliki sesuatu selainnya.”

             Lantas Rasulullah berpaling daripadanya, lalu dia menghampiri dari sebelah kanan dan berkata yang sama (tetapi) Rasulullah berpaling daripadanya. Dia menghampiri dari sebelah kiri tetapi Rasulullah berpaling darinya. Kemudian lelaki tersebut menghampiri Rasulullah dari belakang. Rasulullah melontar barang (emas) itu sehingga andai kata terkena lelaki tersebut, pasti menyakiti atau melukai dia. Akhirnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Datang seseorang kamu dengan hartanya atau yang seumpama, lalu dia berkata: Tiadalah apa-apa yang kami miliki selain telah kami sedekahkannya. Kemudian dia menyesal sesudah itu dan meminta-minta kepada manusia. Sesungguhnya sedekah tidak lain adalah yang lebih dari keperluan. Ambillah harta kamu dari kami, tidak kami berhajat kepadanya.[135]

Hadis B:   

Berkata Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kami bersedekah. Ini bertepatan dengan harta yang ada pada aku. Aku berkata: “Jika satu hari aku akan menang di atas Abu Bakar, maka hari inilah aku akan menang atas beliau.” Lalu aku datang dengan setengah harta aku, lalu Rasulullah bertanya: “Apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga kamu ?” Aku menjawab: “Sepertiga.”

Lalu datang pula Abu Bakar membawa seluruh harta yang ada padanya. Maka bertanya Rasulullah:

“Wahai Abu Bakar, apa yang kamu tinggalkan untuk ahli keluarga engkau ?” Abu Bakar menjawab:

              “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan Rasul-Nya.” Berkata Umar: “Aku memang tidak akan menang di atas Abu Bakar sesuatupun selama-lamanya."[136]

Dua hadis di atas jelas bercanggah, di mana dalam Hadis A Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menerima seseorang yang mensedekahkan semua hartanya manakala dalam Hadis B Rasulullah telah menerima semua harta yang disedekahkan oleh Abu Bakar radiallahu ‘anhu sekalipun beliau tidak meninggalkan apa-apa baki untuk keperluan ahli keluarganya. Kenapakah demikian ?

Berlakunya percanggahan adalah kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menujukan sabdanya kepada dua individu yang berlainan. Antara hikmah didikan Rasulullah adalah beliau selalu memerhatikan kepada siapa baginda berbicara dan daripada siapa baginda menerima soalan. Kebijaksanaan ini menjadikan baginda seorang guru dan pemimpin yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, sama ada yang tua atau muda, lelaki atau wanita, yang bijak atau yang lembab, yang baru memeluk Islam atau sudah lama dan seterusnya.[137]

Cuba perhatikan jawapan Rasulullah dalam riwayat berikut daripada ‘Abd Allah bin ‘Amr al-‘Ash radiallahu ‘anhu:

Ketika kami sedang bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka datang seorang pemuda lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, bolehkan saya mencium sedangkan saya berpuasa ?” Rasulullah menjawab: “Jangan.” Lalu datang laki-laki lain yang sudah lanjut usia. Dia bertanya: “(Wahai Rasulullah), bolehkah saya mencium sedangkan saya berpuasa ?” Rasulullah menjawab: “Ya.” Kemudian kami (para sahabat) saling memandang satu sama lain. Lalu Rasulullah bersabda: “Saya sudah tahu saling memandangnya kalian. Sesungguhnya orang yang berusia lanjut itu boleh mengawal (nafsu) dirinya.”[138]

Kembali kepada percanggahan antara Hadis A dan B di atas, ia sebenarnya ditujukan kepada dua individu berbeza. Dalam Hadis A, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam enggan menerima sedekah lelaki tersebut kerana dia berhajat menyerahkan seluruh hartanya dan ini tidak selari dengan prinsip-prinsip asas Islam dalam bersedekah.

Islam menegaskan bahawa seseorang itu hanya mensedekahkan apa yang melebihi dari keperluan asasnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan mereka bertanya kepada engkau (Wahai Muhammad): “Apakah yang mereka (patut) nafkahkan (sedekahkan) ?” Katakanlah: “(Nafkahkanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir. [al-Baqarah 2:219]

Dalam sebuah hadisnya pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Sebaik-baik sedekah ialah apa yang melebihi keperluan dan mulailah dengan orang yang kamu tanggungi (ibubapa, keluarga dan sebagainya).[139]

              Keperluan asas seseorang sudah tentu berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain. Lebih dari itu, sedekah seseorang bergantung juga kepada tahap iman dan taqwanya dan kadar kesanggupan mengorbankan harta demi agama, yang pasti juga berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain. Seseorang mungkin mensedekahkan apa yang melebihi keperluannya di hari ini, tetapi esok kerana iman yang rendah, taqwa yang longgar, daya pengorbanan yang minimum, atau tiba-tiba menghadapi sesuatu musibah, dia mungkin menghadapi kekurangan lalu menyesali akan sedekah yang diberi sebelum itu. Akhirnya dia meminta-minta kepada orang ramai dan inilah yang tidak diingini oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis A di atas.

             Manakala dalam Hadis B pula, yang bersedekah itu adalah seorang sahabat senior, pendamping Rasulullah di masa genting dan senang, pembela Islam dan mengorbankan jiwa dan harta demi agama dan umat. Maka apabila Abu Bakar al-Siddiq radiallahu ‘anhu menyerahkan semua hartanya sebagai sedekah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menerima semuanya tanpa sebarang keberatan.

               Al-Khitabi [140] menulis: Dari hadis tersebut (Hadis A) dapat difahami bahawa yang tepat bagi orang tersebut adalah menyimpan keperluan hidup untuk dirinya dan tidak melepaskan semua harta miliknya sekaligus kerana dikhuatir dia akan jatuh miskin, atau dikhuatir sengitnya peperangan batin terhadap pengeluaran infaq tersebut akan menimbulkan penyesalan dalam dirinya sehingga harta sudah terlanjur hilang tetapi tidak pula mendapatkan pahalanya dan akhirnya menjadilah dia beban kepada orang lain.

              Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengingkari Abu Bakar al-Siddiq radiallahu ‘anhu yang menyerahkan seluruh hartanya kerana baginda sedia mengetahui akan kebenaran niatnya, kekuatan keyakinan dirinya dan tidak khuatir fitnah atas dirinya seperti yang dikhuatirkan atas orang yang ditolak (sedekah) emasnya.[141]

          Tindakan Abu Bakar tidaklah menyalahi firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam ayat 219 surah al-Baqarah, kerana Allah sedia mengiktiraf pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang demi agama dan umat. Allah Azza wa Jalla memuji sikap kaum Ansar terhadap kaum Muhajirin:

             Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta  (orang-orang) beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu;

             Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. [al-Hasyr 59:09]

Penjelasan Tambahan:

Mungkin ada baiknya jika penulis senaraikan di sini apakah yang dimaksudkan sebagai “keperluan asas” menurut ukuran syari‘at Islam. Keperluan asas tersebut adalah sejumlah harta yang dapat memenuhi sembilan tuntutan berikut:

[1]        Menyedia makanan yang cukup lagi berkhasiat, tidak kekurangan sehingga menyebabkan kelemahan dan tidak berlebihan hingga menyebabkan kemalasan dan kemudaratan kesihatan.

[2]        Menyediakan air serta alat-alat kebersihan demi menjaga kebersihan diri.

[3]      Menyediakan pakaian yang dapat menutup aurat, menjaga tubuh, memelihara dari kepanasan dan kesejukan, dan sopan di hadapan sesama manusia, tidak buruk sehingga menjadi keburukan pandangan dan tidak berlebihan sehingga menjadi sumber berbangga-bangga.

[4]        Menyediakan tempat tinggal yang sempurna, tidak terlalu kecil sehingga mengganggu batas aurat antara sesama orang tua dan kanak-kanak dan tidak terlalu besar sehingga menjadi tempat singgahan syaitan dan medan menunjuk-nunjuk.

[5]        Untuk bernikah. Bagi yang sudah bernikah, untuk menyara keperluan mendidik dan membesarkan anak-anak.

[6]        Untuk mencari ilmu pengetahuan, disama ratakan antara ilmu agama dan ilmu dunia.

[7]        Untuk berubat ketika sakit.

[8]        Bersiap sedia menunaikan ibadah Haji yang wajib, iaitu Haji yang pertama.

[9]        Sebagai simpanan (insuran) bagi menghadapi musibah, seandai ia menimpa.[142]

 

 

===========================

[135]        Hasan: Hadis dikeluarkan oleh Abad bin Hamid, al-Darimi, Abu Daud, Abu Ya’la, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban, al-Baihaqi dan al-Hakim. Para perawinya thiqah sebagaimana terang Husain Salim Asad dalam semakannya ke atas Musnad Abu Ya’la, jld 4, ms 65, no: 2084 dan Syu‘aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sahih Ibn Hibban, jld 8, ms 165, no: 3372. Hanya sahaja salah seorang perawinya: Muhammad bin Ishaq, beliau mudalis. Penulis menguatkan hadis ini ke tangga hasan kerana maksudnya yang diperkuatkan oleh sebuah hadis lain:

                Tidak ada sedekah kecuali kelebihan dari keperluan. [Sanad Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah, dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam semakannya ke atas Musnad Ahmad – no: 7155. (Musnad Abu Hurairah, haddathana Ya’la bin Ubaid…..). Juga disebut oleh al-Bukhari secara mu‘allaq dalam kitab Sahihnya, (Kitab al-Wasiat, Bab Takwil ayat 11 surah al-Nisaa’).]

Juga sebagai penguat adalah nukilan Ibn Hazm dalam al-Muhalla, jld 8, ms 13-14 di mana seorang miskin yang hanya memiliki dua helai pakaian telah mensedekahkan salah satu darinya, lalu Rasulullah menyuruh orang miskin tersebut mengambil kembali pakaiannya. Selengkapnya sila rujuk Sahih Ibn Hibban – no: 2505 di mana ia dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth, juga dinilai hasan oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan al-Nasa’i – no: 2535 (Kitab al-Zakat, Bab Apabila seseorang bersedekah, dan dia memerlukannya, apakah boleh mengambil balik).

[136]       Hasan: Hadis dikeluarkan oleh Abad bin Hamid, Ahmad (Fadha‘il al-Sahabah), Abu Nu‘aim, Ibn Abi ‘Ashim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Hakim, al-Darimi dan al-Baihaqi, semuanya dari Hashim bin Sa‘ad dan adalah beliau diperselisihkan. Hadis ini dinilai hasan oleh Nasr al-Din al-Albani dalam Sahih Sunan Tirimizi – no: 3675T dan ‘Abd al-Salam bin Muhammad bin ‘Umar dalam semakannya ke atas al-Mustadrak – no: 1550.

[137]        Lihat al-Sunnah sebagai sumber Iptek dan Peradaban, ms 164 dan seterusnya oleh Yusuf al-Qaradhawi.

[138]        Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad sahaja dan sanadnya dinilai sahih oleh Ahmad Syakir dalam Musnad Ahmad – no: 7054. (Musnad ‘Abd Allah bin ‘Amr, haddathana Musa bin Daud.......).

[139]       Sahih: Hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dikeluarkan oleh al-Bukhari, Abu Daud dan al-Nasa’i, dinukil oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Sagheir – no: 4021.

[140]       Beliau ialah Hamd bin Muhammad bin Ibrahim, Abu Sulaiman al-Khittabi, seorang tokoh besar yang berasal dari Afghanistan. Beliau berhijrah ke Makkah, Basrah, Baghdad dan Nishapur untuk belajar dan mengajar. Antara murid beliau yang terkenal ialah Imam al-Hakim, penyusun kitab hadis al-Mustadrak manakala yang termasyhur antara berbagai karya beliau sendiri ialah Ma‘alim al-Sunan yang merupakan syarah bagi kitab Sunan Abu Daud. Imam al-Khattabi meninggal dunia pada tahun 388H.

[141]        Ringkasan dari keterangan al-Khitabi, lihat Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld 5, ms 69-70 (Syarh bagi Bab “Seorang lelaki yang mengeluarkan semua hartanya” , dalam Kitab al-Zakat).

[142]         Bagi dalil-dalil yang membentuk 9 dasar asas keperluan di atas, lihat Peran Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam, ms 181 – 187 & 194 oleh Yusuf al-Qaradhawi.

 

 
:: laman utama