|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Kata Penutup
|
|
Kata Penutup: Sebelum kita memasuki sebuah restoran, kita pastikan terlebih dahulu bahawa ia menghidangkan makanan yang halal. Kepastian ini kita cari bukan saja dari sudut sembelihan tetapi juga dari sudut bahan-bahan campuran yang digunakan untuk memasak dan perkakas yang digunakan. Lebih dari itu kita pandai menyesuaikan hukum secara analogi antara resipi-resipi masa kini dengan hukum yang terkandung dalam al-Qur’an dan hadis yang sahih. Jika kita ragu-ragu tentang status halal atau kebersihan sesebuah restoran, kita akan menjauhinya. Kita lakukan semua ini kerana sejak dini kita telah diajar dan diperingatkan tentang hukum halal dan haram dalam urusan pemakanan. Akan tetapi sayang sekali kita jarang-jarang diajar dan diberi peringatan tentang hukum halal dan haram dalam urusan harta. Hakikat ini menyebabkan kebanyakan umat Islam menceburi urusan harta tanpa memastikan hukumnya terlebih dahulu. Lebih memburukkan, apabila mereka kemudian sedar bahawa bentuk urusan harta yang diceburi adalah haram, mereka cuba mencari-cari alasan untuk menghalalkannya. Sikap yang benar ialah kita perlu memiliki ilmu fiqh harta sebelum menceburi apa-apa yang berkaitan dengan harta. Atas dasar inilah ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh pernah berpesan:
لاَ يَبِعْ فِي سُوقِنَا إِلاَّ مَنْ قَدْ تَفَقَّهَ فِي الدِّينِ.
Jangan berjual-beli dalam pasaraya kami kecuali orang yang memiliki kefahaman dan ilmu dalam agama.[1]
Atas dasar ini, saya berharap buku yang ringkas ini dapat menjadi pencetus untuk kita sama-sama memberi tumpuan dan penekanan yang lebih kepada subjek harta dalam pandangan Islam. Para agamawan perlu memperbanyakkan pengajaran dalam subjek fiqh harta manakala orang awam perlu lebih giat mencari ilmu dalam subjek fiqh harta.
Saya mengakhiri buku ini dengan dua buah doa daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang penting berkenaan harta, moga-moga ia bermanfaat bagi kita. Berdoa untuk harta adalah sesuatu yang menepati sunnah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pernah berdoa untuk pembantunya Anas bin Malik radhiallahu 'anh:
اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ
وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ.
Ya Allah! Perbanyakkanlah hartanya dan anaknya serta berkatilah baginya apa jua yang Engkau berikan kepadanya.[2]
Dua doa yang saya maksudkan ialah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ
وَفِتْنَةِ الْقَبْرِ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَشَرِّ فِتْنَةِ الْغِنَى
وَشَرِّ فِتْنَةِ الْفَقْرِ.
Ya Allah! Aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah neraka dan azab neraka, fitnah kubur dan azab kubur, keburukan fitnah kekayaan dan keburukan fitnah kefakiran.[3]
اللَّهُمَّ قَنِّعْنِيْ بِمَا رَزَقْتَنِيْ
وَبَارِكْ لِيْ فِيْهِ وَاخْلُفْ عَلَى كُلِّ غَائِبَةٍ لِيْ بِخَيْرٍ.
Ya Allah! Berilah aku perasaan puas terhadap apa yang Engkau telah rezekikan kepadaku, berkatilah aku padanya dan gantikanlah ke atas setiap yang hilang daripadaku dengan yang lebih baik.[4]
[1] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 487 (Kitab al-Sholat, Bab keutamaan berselawat ke atas Nabi). [2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6334 (Kitab al-Du‘awat, Bab firman Allah – surah al-Taubah, ayat 103). [3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6377 (Kitab al-Du‘awat, Bab memohon perlindungan daripada fitnah kefakiran). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 3360 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah al-Nahl) dan beliau mensahihkannya, dipersetujui oleh al-Zahabi.
|