FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Kata Pembukaan

 

 

إن الحمد لله

نحمده ونستعينه ونستغفره,

ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا,

من يهده الله فلا مضل له

ومن يضلل فلا هادي له.

 ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له

ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Segala puji bagi Allah,

kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya,

dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami.

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya.

Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya

dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berjalan melintasi (sebuah kedai yang menjual) makanan. Maka baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut, ternyata jari-jarinya terasa sesuatu yang basah (makanan yang sudah rosak). Maka baginda bertanya: “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Dia menjawab: “Ia telah basah kerana terkena air hujan ya Rasulullah!” Rasulullah membalas:

أَفَلاَ جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ؟

مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي.

Mengapa kamu tidak meletaknya di bahagian atas makanan supaya boleh dilihat oleh orang ramai

(dan mereka mengetahui ia sudah rosak)?

Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada golonganku.[1]

 

Ketika mengulas hadis ini, Imam al-Nawawi rahimahullah berkata:

Adapun maksud hadis, maka ia berlaku kepada orang yang menghalalkan (penipuan dalam urusniaga) sedangkan dia mengetahui (kesalahan itu) secara nyata. Maka (orang tersebut) kafir dan keluar dari agama Islam. Ada yang berkata, maksud hadis ialah (orang yang melakukan penipuan dalam urusniaga) tidak berada di atas jalan dan hidayah kami (Muhammad) secara sempurna. Sufyan bin ‘Uyaynah rahimahullah membenci penafsiran “tidak berada di atas hidayah kami”. Beliau berkata: “Amatlah buruk perkataan itu. Lebih baik menahan diri dari memberi takwilan sedemikian kepada hadis ini supaya ia lebih berkesan dalam jiwa dan sebagai satu pencegahan.” Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.[2]

Hadis di atas dan ulasannya oleh seorang ilmuan Islam yang tidak diragukan ilmunya menunjukkan kepada kita bahawa fiqh harta adalah satu subjek yang amat penting. Kita umat Islam berinteraksi dengan harta dalam kehidupan seharian. Namun tidak ramai di antara kita yang mengetahui bahawa jika kita salah dalam berinteraksi dengan harta, ia boleh menyebabkan kekafiran, yakni murtad dari Islam.

Atas dasar ini, saya berpandangan subjek fiqh harta perlu diberi tumpuan dan penekanan yang lebih, bahkan pada tahap yang sama dengan fiqh thaharah dan fiqh solat. Ini kerana sebagaimana kita berhadapan dengan persoalan kebersihan dan solat dalam kehidupan seharian, kita juga berhadapan dengan persoalan harta dalam kehidupan seharian.

Fiqh harta sehari-harian yang saya maksudkan merangkumi enam perkara:

  1. Fiqh Mencari Harta.
  2. Fiqh Jual-Beli.
  3. Fiqh Menyimpan Harta.
  4. Fiqh Pelaburan Harta.
  5. Fiqh Membelanjakan Harta.
  6. Fiqh Hutang-Piutang Harta.

Tidak dapat tidak, setiap individu muslim pasti akan berinteraksi dengan salah satu atau lebih daripada enam perkara di atas. Setiap hari kita bekerja, itu adalah fiqh mencari harta. Pada waktu pagi kita singgah ke gerai bersarapan nasi lemak, itu adalah fiqh jual-beli. Pada hujung bulan kita mendapat gaji dan menyimpannya, itu adalah fiqh menyimpan harta. Melaburkan lebihan harta yang tersimpan, itu adalah fiqh pelaburan harta. Membelanjakan harta untuk seisi keluarga, itu adalah fiqh membelanjaan harta. Meminjamkan RM50.00 kepada rakan sekuliah, itu adalah fiqh hutang-piutang harta.

Berpijak pada dasar ini, saya merasakan perlu untuk menulis sebuah buku berkenaan fiqh harta yang ditujukan kepada masyarakat umum, bukan kepada ahli ekonomi, perbankan dan kewangan. Saya judulkan buku ini Fiqh Harta: Satu Pengenalan. Berdasarkan judul ini:

  • Perkataan “fiqh” memiliki dua maksud, kefahaman dan hukum. Maka dalam buku ini saya cuba memberi kefahaman tentang konsep harta dalam Islam. Pada waktu yang sama saya juga akan mengupas hukum-hukum berkaitan harta.

  • Perkataan “harta” tidak semestinya bermaksud jongkong emas yang menimbun, tetapi apa jua yang dimiliki sama ada sedikit atau banyak, yang memiliki nilai.

  • Saya menambah pada judulnya “Satu Pengenalan” kerana buku ini hanya menyentuh satu titik dari lautan ilmu yang amat luas dalam subjek harta. Harapan saya buku ini dapat menjadi pencetus kepada para penyampai dan para penuntut ilmu untuk lebih memberi tumpuan kepada subjek harta.

 

Penghargaan.

Buku ini asalnya ialah kertas kerja tambahan yang saya tulis khas sempena seminar The Professional Mukmin Generation: Synergy of Faith, Knowledge and Action anjuran Islamic Medical Association of Malaysia – Czech Republic Student Chapter yang diadakan di Cerny Most Mosque, Praque, Czech Republic pada 22 dan 23 March 2008. Ketika itu kertas kerja tersebut berjudul Islam dan Harta: Beberapa Pesanan Moral. Kertas kerja tersebut kemudian saya kembangkan sedikit sebanyak sehingga menjadi buku kecil ini dan diubah judulnya menjadi Fiqh Harta: Satu Pengenalan. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada para pelajar di sana yang sudi menjemput saya yang dengan jemputan itu lahirlah buku ini.

Tidak ketinggalan, saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada isteri dan sahabat-sahabat yang sudi membaca pruf buku ini dan mengemukakan beberapa pembetulan dan cadangan pembaikan. Semoga Allah membalasi mereka dengan apa yang lebih baik. Walaubagaimanapun diakui bahawa buku ini tidaklah sempurna. Justeru dialu-alukan apa-apa pembetulan dan cadangan pembaikan daripada para pembaca yang budiman sekalian.

Akhir sekali, saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar buku ini berjaya mencapai objektifnya untuk memberi pengenalan kepada umat Islam dalam subjek fiqh harta.

Hafiz Firdaus Abdullah

6 Jun 2008

 

Kandungan
 


[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalan Shahihnya, hadis no: 102 (Kitab al-Iman, Bab sabda Nabi: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari golonganku”.)

[2] al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 2, ms. 176-177.