FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian A:

Fiqh Hutang-Piutang Harta

 

Perkara Khusus Penghutang

Dalam fiqh hutang-piutang, terdapat beberapa perkara yang ditujukan khusus kepada penghutang dan pemiutang sahaja. Perkara khusus yang dimaksudkan kepada penghutang ialah:

 

Pertama: Penghutang Hendaklah Bertekad Membayar Hutang.

Apabila penghutang bertekad atau bersungguh-sungguh ingin membayar hutangnya, maka Dia akan memperoleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai pembantunya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى

 

اللَّهُ عَنْهُ

 

وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا

 

أَتْلَفَهُ اللَّهُ.

 

Sesiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dan berkeinginan untuk membayarnya,

Allah akan (membantu dia) membayarnya

dan sesiapa yang mengambil dan ingin membinasakannya (tidak berhajat untuk membayar balik),

Allah akan (membantu dia) untuk membinasakannya.[1]

 

 

Kedua: Penghutang Hendaklah Segera Membayar Hutang.

Jika memiliki kelebihan harta, hendaklah menggunakannya untuk segera membayar hutang sekalipun lebih awal dari tempoh matang. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لَوْ كَانَ لِي مِثْلُ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا يَسُرُّنِي أَنْ لاَ يَمُرَّ عَلَيَّ ثَلاَثٌ وَعِنْدِي مِنْهُ شَيْءٌ إِلاَّ شَيْءٌ أُرْصِدُهُ لِدَيْنٍ.

 

Seandainya aku memiliki emas semisal bukit Uhud (jumlahnya),

aku tidak senang seandainya emas itu masih ada padaku selama tiga hari

melainkan aku gunakannya untuk membayar hutang.[2]

 

 

Ketiga: Menghukum Penghutang Yang Sengaja Menunda Bayaran.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

 

لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وَعُقُوبَتَهُ.

Penundaan oleh orang yang mampu membayar hutang menghalalkan dia dipermalukan dan dihukum.[3]

 

Jika penghutang sengaja menunda pembayaran setelah tempoh matang padahal dia mampu, pihak pemiutang berhak memaparkan namanya di akhbar dan mengenakan tindakan mahkamah ke atasnya. Walaubagaimanapun dilarang mengenakan hukuman berbentuk harta kepada penghutang tersebut kerana itu ialah riba. Sebagai contoh, jika Zakaria gagal membayar hutangnya kepada Yaakub yang berjumlah RM10,000.00 pada tempoh matangnya, Yaakub tidak boleh menghukum Zakaria dengan mensyaratkan dia membayar RM12,000.00. Tambahan RM2000.00 itu ialah riba.

 

 

Keempat: Dianjurkan Membayar Dengan Nilai Yang Lebih Dan Mendoakan Pemiutang.

Abi Rafi’ radhiallahu 'anh menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah meminjam seekor unta yang masih kecil umurnya. (Beberapa ketika) kemudian unta-unta sedekah diserahkan kepada baginda. Baginda menyuruh Abi Rafi’ untuk mengembalikan unta kecil yang pernah baginda pinjam sebelum itu. (Setelah mencari-cari di kalangan unta sedekah itu) Abi Rafi’ kembali kepada Rasulullah dan berkata: “Aku tidak menemui kecuali semuanya yang lebih baik.” Maka Rasulullah bersabda:

 

أَعْطِهِ إِيَّاهُ

 

إِنَّ خِيَارَ النَّاسِ أَحْسَنُهُمْ قَضَاءً.

 

“Berikanlah kepadanya (unta yang lebih baik itu kerana) sesungguhnya

di antara (ciri) manusia yang baik ialah membayar hutang dengan nilai yang lebih baik.[4]

 

Membayar dengan nilai yang lebih baik hanya dibolehkan jika lebihan tersebut adalah hadiah daripada penghutang kepada pemiutang. Ia tidak boleh menjadi syarat hutang kerana yang sedemikian ialah riba.

Selain itu disunnahkan juga mendoakan pemiutang. ‘Abd Allah bin Abu Rabi‘ah radhiallahu 'anh berkata, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pernah meminjam sebanyak empat puluh ribu (dinar) daripadanya. Apabila baginda datang untuk membayar balik hutang tersebut, baginda bersabda:

 

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي أَهْلِكَ وَمَالِكَ

 

إِنَّمَا جَزَاءُ السَّلَفِ الْحَمْدُ وَالأَدَاءُ.

 

Semoga Allah memberkati kamu dalam urusan keluarga kamu dan harta kamu.

Sesungguhnya balasan dari pinjaman tidak lain adalah pujian dan pembayaran.[5]


 

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2387 (Kitab fi al-Istiqradh…, Bab sesiapa mengambil harta orang …).

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2389 (Kitab fi al-Istiqradh…, Bab membayar hutang).

[3] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abi Daud, hadis no: 3628 (Kitab al-Aqdiyat, Bab menahan orang kerana hutang dan selainnya).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1600 (Kitab al-Musaqat, Bab orang yang mengambil sesuatu sebagai hutang…). Unta sedekah tersebut dibeli oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebelum digunakan untuk membayar hutang kerana baginda sekeluarga tidak boleh menerima sedekah. Rujuk penjelasan al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjajj, jld. 6, ms. 116.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa‘i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa‘i, hadis no: 4697 (Kitab al-Buyu’, Bab pinjaman).