|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian C: Fiqh Menyimpan Harta
|
|
Ketiga: Jangan Bersikap Bermegah-Megahan Dan Sombong Dengan Harta. Di dalam al-Qur’an juga terdapat kisah seorang yang bernama Qarun:
Sesungguhnya Qarun, adalah dia dari kaum Nabi Musa. Kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. [al-Qasas 28:76]
Terhadap nasihat ini:
Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku.” [al-Qasas 28:78]
Maka Allah Subhanahu wa Ta'ala membalas kesombongannya itu:
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. [al-Qasas 28:81]
Harta yang sedikit lazimnya menyebabkan manusia merasakan dirinya rendah dan hina manakala harta yang banyak lazimnya menyebabkan manusia merasakan dirinya megah dan sombong. Ini kerana dengan harta tersebut, dia merasa mampu melakukan pelbagai perkara dan boleh mencapai apa jua yang dikehendakinya.
Dalam surah al-Qasas Allah Subhanahu wa Ta'ala merakam kisah seorang yang bernama Qarun. Dia memiliki harta yang amat banyak sehingga kunci yang digunakan untuk membuka atau menutup gudang hartanya perlu “…dipikul oleh sebilangan orang yang kuat.” Akan tetapi sekalipun dengan harta yang sebegitu banyak, ia tidak dapat membantu Qarun apabila berhadapan dengan azab Allah Subhanahu wa Ta'ala. Akhirnya Qarun ditenggelamkan ke dalam tanah sebagai balasan akan kemegahan dan kesombongan dirinya.
Kisah di atas dirakam oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala bukan untuk kita jadikan bahan bacaan sebelum tidur, tetapi untuk kita jadikan iktibar dan mengukur diri kita apabila berinteraksi dengan harta. Janganlah harta yang banyak menyebabkan kita merasa megah dan sombong kerana harta itu, sebanyak mana sekalipun, tidak sekali-kali akan dapat membantu kita di hadapan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
|