|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian C: Fiqh Menyimpan Harta
|
|
Kedua: Harta Tidak Kekal. Sekalipun seseorang itu menyimpan hartanya mengikut kaedah yang paling selamat, ketahuilah bahawa ia tetap tidak kekal. Pada bila-bila masa Allah boleh mengambilnya semula dengan cara yang tidak disangka-sangka. Dalam al-Qur’an terdapat kisah tentang pemilik kebun anggur yang berkata:
Tuan kebun itu pula mempunyai harta lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta daripadamu dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai!”
Dan diapun masuk ke kebunnya sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri sambil dia berkata: “Aku tidak fikir kebun ini akan binasa selama-lamanya!” [al-Kahf 18:34-35]
Maka Allah membalas sikapnya itu dengan:
Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah dia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan (syirik) sesuatupun dengan Tuhanku!” [al-Kahf 18:42]
Satu perkara yang menarik perhatian kita dalam ayat 42 surah al-Kahf di atas ialah ucapan orang yang dibinasakan tanaman dan harta bendanya: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!” Mengapakah dia mengaitkan peristiwa yang terjadi dengan persoalan syirik?
Sebahagian ahli tafsir berkata, mungkin kerana dia seorang musyrik yang tersedar akan kesalahannya. Namun ada pandangan lain yang lebih saya cenderungi[1], iaitu timbulnya persoalan antara tauhid dan syirik kerana orang itu menganggap dia berkuasa sepenuhnya dalam urusan hartanya baik dahulu, kini dan akan datang. Dia menafikan peranan Allah Subhanahu wa Ta'ala terhadap hartanya padahal harta adalah milik Allah dan hanya Allah yang memiliki kuasa sepenuhnya dalam urusan harta tersebut baik dahulu, kini dan akan datang.
Maka bagi orang tersebut, dia ialah seorang muslim tetapi memiliki aqidah yang salah. Dia menyekutukan Allah kerana menganggap dirinya mampu melakukan peranan ketuhanan. Apabila Allah memusnahkan hartanya, barulah dia sedar akan kesalahan aqidahnya lalu mengakui: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”
Pengajaran penting di sini ialah jangan kita lupa bahawa harta ialah milik Allah Subhanahu wa Ta'ala sementara kita hanya diwakilkan oleh-Nya untuk mengurusi harta tersebut. Kedua, kekal atau tidak harta adalah urusan Allah Subhanahu wa Ta'ala manakala kita hanya menjaganya sekadar yang mampu. Bila-bila masa Allah boleh mengambilnya, mengubahnya, menambahinya atau menguranginya. Justeru jangan merasa yakin harta simpanan termasuklah rumah, perabut, kenderaan sehinggalah kepada talifon bimbit dan dompet akan kekal selama-lamanya. Sebaliknya sentiasalah berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar harta kita dipelihara dan diberkati oleh-Nya. [1] Rujuk Tafsir al-Mishbah oleh Dr. Muhammad Quraish Shihab (Lentera Hati, Jakarta, 2002), jld. 8, ms. 64-65.
|