FIQH HARTA: SATU PENGENALAN

 

Bahagian C:

Fiqh Menyimpan Harta

 

Pertama: Keluarkan Zakat.

Apa jua harta yang anda simpan, terdapat hak zakat di dalamnya yang wajib dikeluarkan kepada pemerintah atau wakil yang dilantik olehnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

 

Ambillah dari harta mereka menjadi sedekah (zakat),

supaya dengannya engkau membersihkan mereka dan mensucikan mereka;

dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.

Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

[al-Taubah 9:103]

 

Dan orang yang dalam harta mereka terdapat hak bagi yang termaklum

bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).

[al-Ma‘arij 70: 24-25]

 

 

Orang yang tidak mengeluarkan zakat diancam keras oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala:

 

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak

serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah (iaitu mengeluarkan zakat),

maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak itu dalam neraka jahannam,

lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka

(sambil dikatakan kepada mereka):

“Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri,

oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

[al-Taubah 9:34-35]

 

 

Menyentuh tentang zakat, terdapat tiga persoalan yang lazim dikemukakan. Saya merasakan ia penting untuk dikupas dalam tulisan ini kerana tidak sedikit yang menjadikan tiga persoalan ini sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan zakat.

 

 

Persoalan Pertama:

Wajibkah mengeluarkan zakat terhadap bentuk-bentuk harta yang tidak wujud pada zaman Rasulullah tetapi wujud pada zaman kini seperti zakat wang simpanan, zakat gaji dan zakat saham?

 

Jawapan:

Jika dirujuk kepada ayat 103 surah al-Taubah serta ayat 24 dan 25 surah al-Ma‘arij, Allah Subhanahu wa Ta'ala menyebut harta secara umum. Di dalam harta itu terdapat hak zakat yang wajib dikeluarkan. Harta yang dimaksudkan dalam kedua-dua ayat di atas tidak terhad kepada bentuk harta yang wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sahaja tetapi meliputi apa jua yang ditakrifkan sebagai harta di sisi manusia baik dahulu, kini dan akan datang.

 

 

Persoalan kedua:

Bolehkah membayar zakat secara terus kepada orang-orang yang berhak menerimanya?

 

Jawapan:

Terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan terhadap persoalan ini[1] dan ia dapat diringkaskan kepada dua pendapat:

  1. Zakat hendaklah dikeluarkan kepada pemerintah atau wakil yang dilantik oleh pemerintah seperti Pusat Zakat. Tidak sah mengeluarkan zakat secara sendiri.

  2. Zakat boleh dikeluarkan secara sendiri kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Tidak wajib mengeluarkannya kepada pemerintah mahupun wakilnya.

Pendapat yang dipilih ialah yang dipertengahan. Jika seseorang itu hidup di negara yang memiliki pemerintah yang mengurusi hal-ehwal zakat seperti di Malaysia, maka zakat dikeluarkan kepada pemimpin atau wakilnya. Jika seseorang itu hidup di negara yang tidak memiliki pemerintah yang mengurusi hal-ehwal zakat seperti di Eropah, maka zakat dikeluarkan secara sendiri kepada orang-orang yang berhak menerimanya.[2]

 

Dalil yang mewajibkan zakat dikeluarkan kepada pemerintah atau wakilnya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud: Ambillah dari harta mereka menjadi sedekah (zakat)…. Siapakah yang diperintah oleh Allah untuk mengambil harta umat Islam sebagai zakat? Pada saat ayat di atas diturunkan, ia merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang berperanan sebagai pemerintah. Pada masa kini ia adalah pemerintah umat Islam di negara masing-masing. Syaikh Wahbah al-Zuhaili berkata:

 

Bahawa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Ambillah dari harta mereka menjadi sedekah (zakat)… tidak terhad kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tetapi merangkumi para pemerintah sesudah baginda.[3]

 

 

Persoalan Ketiga:

Adakah kita tetap mengeluarkan zakat kepada Pusat Zakat yang tidak cekap dalam menguruskannya?

 

Jawapan:

Sebelum menjawab persoalan ini, saya akan kemukakan beberapa soalan terlebih dahulu?

  1. Apabila dikatakan Pusat Zakat tidak cekap, wujudkah bukti yang kukuh untuk mendakwa sedemikian? Sudahkah orang yang mendakwa melakukan audit ke atas Pusat Zakat secara menyeluruh atau ia semata-mata berdasarkan rungutan tiga empat orang? Pada pengamatan saya, ia lebih kepada sangkaan semata-mata, bukan berdasarkan audit atau penilaian yang diiktiraf.

  2. Bercakap tentang audit, sudahkah orang yang mendakwa memerhatikan hasil audit terhadap syarikat-syarikat yang besar? Jika sudah, nescaya dia akan mendapati paling kurang 5 hingga 10 peratus daripada urusan kewangan syarikat tersebut ditakrif sebagai “tidak cekap” oleh pihak pengaudit. Malah, jika yang mendakwa melakukan audit ke atas perbelanjaan harian dirinya sendiri, nescaya dia juga akan menemui beberapa perbelanjaan yang tidak sepatutnya dia lakukan. Fakta penting yang cuba saya bawa di sini ialah, kesempurnaan hanya milik Allah manakala kekurangan ialah milik manusia. Kekurangan pentadbiran Pusat Zakat – seandainya ada – bukanlah merupakan ciri khusus mereka tetapi merupakan ciri kelaziman manusia.

  3. Jika terbukti Pusat Zakat tidak cekap, sudahkah kita berusaha untuk menasihati mereka dan membantu mereka meningkatkan kecekapan? Atau kita hanya duduk merungut?

Berdasarkan tiga soalan di atas, maka jawapan kepada soalan asal: “Adakah kita tetap mengeluarkan zakat kepada Pusat Zakat yang tidak cekap dalam menguruskan zakat?” ialah:

  1. Jika Pusat Zakat terbukti secara jelas melakukan khianat dan penyelewengan dalam urusan zakat, maka tidak wajib mengeluarkan zakat kepada mereka. Zakat boleh dikeluarkan secara bersendirian kepada yang berhak menerimanya.

  2. Jika kecekapan Pusat Zakat diragui dalam urusan zakat, maka zakat tetap dikeluarkan kepada mereka (Pusat Zakat). Ini kerana hukum-hukum Islam dibina di atas keyakinan manakala keraguan semata-mata tidak boleh mengubahnya.


 

[1] Asal usul perbincangan merujuk kepada dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sering menyebut zakat sebagai sedekah. Ini kerana dari sudut manfaatnya, zakat dan sedekah hampir sama. Hanya dari sudut hukumnya, zakat adalah wajib manakala sedekah adalah sunat.

              Berpijak dari kesamaan antara istilah zakat dan sedekah, sebahagian orang membaca dalil-dalil yang menganjurkan sedekah kepada ahli keluarga, sanak saudara dan orang miskin dengan kefahaman boleh mengeluarkan zakat secara terus kepada ahli keluarga, sanak saudara dan orang miskin. Padahal anjuran yang dimaksudkan oleh dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah tersebut ialah sedekah yang sunat dan bukannya zakat yang wajib hukumnya.

               Lalu apabila mengkaji al-Qur’an dan al-Sunnah, bagaimanakah untuk kita membezakan sama ada perkataan “sedekah” yang digunakan bermaksud zakat yang wajib hukumnya atau sedekah yang sunat hukumnya? Caranya ialah dengan mengkaji susunan ayat. Jika ayat tersebut bersifat memerintah atau mengancam orang yang enggan dengan azab, maka perkataan sedekah bermaksud zakat. Jika ayat tersebut bersifat anjuran atau menjanjikan ganjaran, maka perkataan sedekah bermaksud sedekah sunat. Sebagai contoh, ayat 103 surah al-Taubah di atas memerintah untuk mengambil sedekah, bererti sedekah yang dimaksudkan ialah zakat.

[2] Rujuk Fiqh al-Zakat oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (edisi terjemahan oleh Salman Harun, Didin Hafidhuddin & Hasanuddin atas judul Hukum Zakat; Mizan & Litera AntarNusa, Jakarta, 1996), ms. 733 dan seterusnya (Bab cara membayar zakat).

[3] al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syar‘iyyah wa al-Manhaj (Dar al-Fikr, Beirut, 1998), jld. 11, ms. 35.