|
FIQH HARTA: SATU PENGENALAN
Bahagian B: Fiqh Jual-Beli Harta
|
|
Seorang peniaga muslim selalu menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Sikap itu tidak muncul hanya dari sisi kepentingan komersil semata seperti yang dilakukan oleh kalangan bukan Islam. Namun sikap itu muncul dari keyakinan yang kukuh, yang asasnya ialah ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan mengikuti jejak langkah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam serta mengharapkan pahala dalam hal itu. Seandainya mereka mendapat keuntungan di sebalik akhlak yang baik tersebut, seperti urusniaga yang semakin laris, hal itu terjadi sebagai hasil sampingan, bukan tujuan utama. Budi pekerti yang baik bagi peniaga muslim berpengaruh besar dalam penyebaran Islam di banyak negara Asia dan Afrika. Kenyataannya Islam tersebar melalui perantaraan para peniaga yang berdakwah, bukan pendakwah yang berniaga. Namun hampir tidak pernah habis kehairanan kita kepada perbezaan antara realiti masyarakat Barat yang sangat pakar dalam bidang pelayanan menyambut para pelanggan (customer service), ditambah dengan sikap rendah diri dalam berinteraksi dengan para pelanggan, dengan realiti masyarakat Islam yang kebanyakannya dalam cara mengurusi perniagaan lebih pakar dalam menyakiti hati pelanggan dan bersikap kasar terhadap mereka. Seolah-olah perbuatan mereka itu memberi isyarat kepada para pelanggan: “Jangan sekali-kali anda sekalian kembali berurusniaga dengan kami!” Saya tidak berbeza pandangan walau sedikit jua dengan pengamatan Dr. ‘Abd Allah al-Mushlih dan Dr. Shalah al-Shawi di atas.[1] Islam sangat menekankan akhlak yang mulia dan saat ketika berjual-beli, apabila dua atau lebih muslim saling bertemu, merupakan saat untuk kita berakhlak mulia. Akan tetapi sayang sekali apabila bertemu dengan peniaga muslim, yang lazim ditemui adalah muka yang masam, layanan “nak tak nak” dan komunikasi yang memiliki maksud tersirat: “Lepas ini jangan datang ke kedai ini!” Semua ini amat bertentangan dengan ciri-ciri akhlak mulia yang sepatutnya menjadi pakaian seragam umat Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan: أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا. Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya.[2]
Akhlak yang mulia merupakan ibadah yang paling memberatkan timbangan amal: مَا مِنْ شَيْءٍ أَثْقَلُ فِي الْمِيزَانِ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ. Tiada sesuatu yang lebih memberatkan timbangan (pada Hari Akhirat) berbanding akhlak yang baik.[3]
Orang yang memiliki akhlak yang mulia menjadi orang yang dicintai oleh Allah: إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الأَمْرِ كُلِّهِ. Sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan.[4]
Dalam riwayat yang lain, para sahabat radhiallahu ‘anhum pernah bertanya: “Siapakah orang yang paling dicintai oleh Allah?” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Orang yang paling baik akhlaknya.”[5]
Orang yang memiliki akhlak yang mulia juga menjadi orang yang dicintai oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan menduduki tempat yang hampir dengan baginda di Hari Akhirat:
إِنَّ مِنْ أَحَبِّكُمْ إِلَيَّ
وَأَقْرَبِكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
أَحَاسِنَكُمْ أَخْلاَقًا
وَإِنَّ أَبْغَضَكُمْ إِلَيَّ
وَأَبْعَدَكُمْ مِنِّي مَجْلِسًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
الثَّرْثَارُونَ وَالْمُتَشَدِّقُونَ وَالْمُتَفَيْهِقُونَ.
Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kalian dan yang paling hampir tempat duduknya dengan aku pada Hari Kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling tidak aku sukai dan paling jauh tempat duduknya dari aku pada Hari Kiamat adalah orang yang banyak berbicara, bermulut besar dan sombong.[6]
Akhlak yang mulia menghiasi seseorang:
إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِي شَيْءٍ إِلاَّ زَانَهُ
وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ شَانَهُ.
Sesungguhnya tidaklah sikap lemah lembut terdapat pada sesuatu melainkan ia menghiasinya dan tidaklah ia (sikap lemah lembut) tercabut dari sesuatu melainkan ia memburukkannya.[7]
Akhlak yang mulia merupakan salah satu faktor penentu kejayaan, termasuklah kejayaan perniagaan:
إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ
وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ
وَمَا لاَ يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاهُ.
Sesungguhnya Allah Maha Pelembut dan menyukai sikap lemah lembut, Dia memberi terhadap kelembutan apa yang tidak diberi terhadap kekasaran dan tidak memberi apa jua (terhadap sikap yang menyelisihi kelembutan).[8]
Apabila dua orang muslim bertemu, seorang pembeli dan seorang penjual, hendaklah mereka saling mengucap dan menjawab salam serta melakukannya dengan wajah yang ceria. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا
وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا
أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ؟
أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ.
Tidaklah kalian akan memasuki syurga sehinggalah kalian beriman dan tidaklah kalian beriman sehinggalah kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian lakukan nescaya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.[9]
لاَ تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا
وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ.
Janganlah engkau meremehkan sedikit jua daripada perbuatan baik, sekalipun sekadar engkau menampakkan wajah yang manis kepada saudara engkau.[10]
Kemudian apabila jual-beli berlangsung, maka:
الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا أَوْ قَالَ حَتَّى يَتَفَرَّقَا
فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا
وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا.
Dua orang yang melakukan jual-beli boleh saling menyatakan pilihan sebelum mereka berpisah. Jika mereka berdua jujur dan berterus-terang, jual-beli mereka akan diberkati. Sebaliknya jika mereka saling menyembunyikan dan berdusta, dihapuskan keberkatan dalam jual-beli itu.[11]
Hubungan yang saling redha, saling toleran dan “berlebih kurang” di antara penjual dan pembeli bakal memperoleh rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.
Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila membeli, menjual dan mengutip hutang.[12] Cara jual-beli yang diharamkan.
Beberapa Pesanan Berkenaan Fiqh Jual-Beli.
[1] Fikih Ekonomi Keuangan Islam, ms. 3-4 dengan beberapa suntingan bahasa. [2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1162 (Kitab al-Radha’, Bab berkenaan hak wanita ke atas suaminya). [3] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4799 (Kitab al-Adab, Bab berkenaan akhlak yang baik). [4] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2165 (Kitab al-Salam, Bab larangan mendahului Ahl al-Kitab…). [5] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Ausath, hadis no: 6380 (Bab al-Mim, Orang yang bernama Muhammad) dan dikemukakan oleh al-Haitsami dalam Majma al-Zawa‘id dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dan para perawinya adalah perawi yang sahih.” Rujuk Bughyah al-Ra‘id fi Tahqiq Majma’ al-Zawa‘id wa Manba’ al-Fawa‘id, hadis no: 12691. Sebelum itu ia juga dikemukakan oleh al-Dimyathi dalam al-Matjar al-Rabih dan beliau berkata: “Riwayat al-Thabarani dengan isnad yang menepati syarat sahih.” Hadis ini juga disahihkan oleh Zakaria bin Ghulam al-Pakistani, pentahqiq kitab al-Matjar al-Rabih. Rujuk Shahih al-Matjar al-Rabih fi Tsawab al-‘Amal al-Shalih (Dar Ibn Hazm, Beirut, 2001), hadis no: 908. [6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2018 (Kitab al-Birr wa al-Solah, Bab berkenaan akhlak mulia). [7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2594 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab keutamaan bersifat lemah lembut). [8] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2593 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab keutamaan bersifat lemah lembut). [9] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 54 (Kitab al-Iman, Bab menjelaskan bahawa tidak akan masuk syurga…). [10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2626 (Kitab al-Birr wa al-Solah…, Bab disunatkan berwajah manis…). [11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2079 (Kitab al-Buyu’, Bab apabila dua orang melakukan jual-beli…). [12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2076 (Kitab al-Buyu’, Bab mudah dan lapang dada dalam pembelian, penjualan…).
|