|
Amalan-Amalan Di Bulan Ramadhan |
|
Iktikaf: Adakah Ianya Dibolehkan Di Semua Masjid Atau Tiga Masjid Sahaja? Oleh Hafiz Firdaus Abdullah
Antara sunnah yang penting pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan ialah beriktikaf di masjid. Namun wujud perbezaan pendapat di kalangan ilmuan, adakah iktikaf dibolehkan di semua masjid atau hanya di tiga masjid yang khusus iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Palestin. Dalam risalah ini kita akan mengkaji punca wujudnya perbezaan pendapat tersebut dan mencari pendapat yang rajih (paling kuat).
Punca perbezaan pendapat Punca perbezaan pendapat bertitik tolak daripada sebuah riwayat daripada Huzaifah bin al-Yaman radhiallahu 'anh:
لاَ اِعْتِكَافَ إِلاَّ فِي الْمَسَاجِدِ الثَّلاَثَةِ.
Tidak ada iktikaf kecuali dalam masjid yang tiga.
Riwayat di atas adalah sahih namun ia wujud dalam dua bentuk. Yang pertama adalah marfu’ kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, bererti ia adalah sabda baginda sendiri. Kedua adalah mauquf kepada Huzaifah, bererti ia adalah kata-kata atau pendapat Huzaifah sendiri. Untuk mengkaji lebih lanjut tentang dua bentuk periwayatan ini, marilah kita mengkaji riwayat-riwayat yang marfu’ dan mauquf.
Riwayat yang marfu’ Riwayat secara marfu’ merujuk kepada apa yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi rahimahullah (458H):
أخبرنا أبو الحسن محمد بن الحسين العلوي
أنبأ أبو نصر محمد بن عبدويه بن سهل الغازي
ثنا محمود بن آدم المروزي ثنا سفيان بن
عيينة عن جامع بن أبي راشد عن أبي وائل قال:
قال حذيفة لعبد الله يعني ابن مسعود رضي الله عنه عكوفا
بين دارك ودار أبي موسى
وقد علمت أن رسول الله صلى الله عليه وسلم
قال: لا اعتكاف إلا في المسجد الحرام
أو قال: إلا في المساجد الثلاثة.
فقال عبد الله لعلك نسيت وحفظوا
أو أخطأت وأصابوا, الشك مني.
Dikhabarkan kepada kami oleh Abu al-Hasan Muhammad bin al-Husain al-‘Alawi, dia berkata, diberitahu kepada kami oleh Abu Nashr Muhammad bin ‘Abdawiyah bin Sahl al-Ghazi, dia berkata, diceritakan kepada kami oleh Mahmud bin Adam al-Maruzi, dia berkata, diceritakan kepada kami oleh Sufyan bin ‘Uyaynah, daripada Jami’ bin Abi Rasyid daripada Abi Wail, dia berkata,
Berkata Huzaifah kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) radhiallahu 'anh berkenaan (orang-orang yang) beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari):
“(Kenapakah dibiarkan hal itu berlaku) padahal engkau (Ibn Mas‘ud) mengetahui bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali dalam al-Masjid al-Haram (di Mekah)” – atau - (perawi kurang pasti) baginda bersabda: “Tidak ada iktikaf melainkan dalam masjid yang tiga.” Maka ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) menjawab: “Mungkin engkau lupa dan mereka mengingatinya, atau mungkin engkau silap dan mereka benar. Aku ragu terhadap hal ini.”
Riwayat ini dikeluarkan oleh al-Baihaqi di dalam kitabnya al-Sunan al-Kubra (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Atha’; Dar al-Kutub al-Ilmiah Beirut 1999), jld. 4, ms. 517, hadis no: 8574 (Kitab puasa, Bab Iktikaf dalam masjid).
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para perawi kitab sahih al-Bukhari dan Muslim kecuali tiga perawi yang terakhir. Mereka ialah:
Oleh itu sanad hadis di atas adalah sahih. Adapun ketidakpastian di dalam matannya, antara “…al-Masjid al-Haram” atau “…masjid yang tiga”, maka yang benar adalah “…masjid yang tiga” berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh Ahmad bin Ibrahim al-Ismaili rahimahullah (371H) sebagaimana berikut:
حدثنا أبو الفضل العباس بن أحمد الوشاء حدثنا محمد بن الفرج حدثنا سفيان بن عيينة عن جامع بن أبي راشد عن أبي وائل قال: قال حذيفة لعبد الله عكوف بين دارك ودار أبي موسى
لا يضر وقد علمت أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: لا اعتكاف إلا في المساجد الثلاثة. فقال عبد الله: لعلك نسيت وحفظوا أو أخطأت وأصابوا.
Diceritakan kepada kami oleh Abu al-Fadhal al-‘Abbas bin Ahmad al-Washa’, dia berkata, diceritakan kepada kami oleh Muhammad bin al-Faraj, dia berkata, diceritakan kepada kami oleh Sufyan bin ‘Uyaynah, daripada Jami’ bin Abi Rasyid daripada Abi Wail, dia berkata, berkata Huzaifah kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud - berkenaan orang-orang yang) beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari):
“Kenapakah tidak ditegah mereka (daripada beriktikaf di dalam rumah) padahal engkau (Ibn Mas’ud) mengetahui bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada iktikaf kecuali dalam masjid yang tiga.” Maka ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) menjawab: “Mungkin engkau lupa dan mereka mengingatinya, atau mungkin engkau silap dan mereka benar.”
Riwayat di atas dikeluarkan oleh al-Ismaili di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Syukh (diteliti oleh Ziyad Mahmud bin Mansur, Maktabah al-‘Ulum wa al-Hukum, Madinah 1410H), jld 3, ms 720-721.
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para perawi kitab sahih al-Bukhari dan Muslim kecuali Muhammad bin al-Faraj, beliau juga adalah thiqah dan merupakan perawi Shahih Muslim. Perawi yang terakhir ialah Abu al-Fadhal al-‘Abbas bin Ahmad al-Washa’. Beliau ialah al-‘Abbas bin Ahmad bin al-Hasan bin Yazid, Abu al-Fadhal al-Washa’. Berkata al-Khatib al-Baghdadi: “Beliau seorang syaikh yang salih.” Rujuk:
Daripada riwayat yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan al-Ismaili secara marfu’, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan bahawa iktikaf hanya dibolehkan dalam tiga masjid, iaitu Masjid al-Haram di Mekah, Masjid al-Nabawi di Madinah dan Masjid al-Aqsa di Palestin.[1]
Riwayat yang mauquf Riwayat secara mauquf merujuk kepada apa yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq rahimahullah (211H):
عن عبد الرزاق عن ابن عيينة عن جامع بن أبي راشد قال سمعت أبا وائل يقول: قال حذيفة لعبد الله قوم عكوف بين دارك ودار أبي موسى لا تنهاهم.
فقال له عبد الله فلعلهم اصابوا وأخطأت وحفظوا ونسيت.
فقال حذيفة: لا اعتكاف الا في هذه المساجد الثلاثة, مسجد المدينة ومسجد مكة ومسجد إيلياء.
Daripada ‘Abd al-Razzaq, daripada (Sufyan) Ibn ‘Uyaynah, daripada Jami’ bin Abi Rasyid, dia berkata aku mendengar Abu Wail dia berkata: Berkata Huzaifah kepada ‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) berkenaan orang-orang yang beriktikaf di antara rumah dia dan rumah Abi Musa (al-Asya‘ari): “Kenapakah tidak ditegah mereka (daripada beriktikaf di dalam rumah)?”
‘Abd Allah (Ibn Mas‘ud) berkata kepada Huzaifah: “Mungkin mereka (orang-orang yang beriktikaf di dalam rumah) benar dan engkau silap serta mereka ingat dan engkau lupa.”
Maka berkata Huzaifah: “Tidak ada iktikaf kecuali dalam tiga masjid ini, iaitu masjid di Madinah, masjid di Mekah dan masjid di Iliya’ (Masjid al-Aqsa di Palestin).”
Riwayat di atas dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq di dalam kitabnya al-Musannaf (diteliti oleh Habib al-Rahman al-A’zami; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1983), jld 4, ms 348, no: 8016. Rujuk juga al-Musannaf al-Jami’ ‘Abd al-Razzaq (diteliti oleh Aiman Nashr al-Din berdasarkan manuskrip lain; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 2000), jld 4, ms 266-267, no: 8046.
Para perawinya adalah thiqah, termasuk para perawi kitab sahih al-Bukhari dan Muslim. Malah tiga perawinya, Sufyan bin ‘Uyaynah, Jami’ bin Abi Rasyid dan Abu Wail, mereka adalah para perawi yang sama dengan apa yang dikeluarkan oleh al-Baihaqi dan al-Ismaili sebagaimana di atas.
Berdasarkan riwayat yang dikeluarkan oleh ‘Abd al-Razzaq secara mauquf, pembatasan iktikaf kepada tiga masjid sahaja adalah pendapat peribadi Huzaifah bin al-Yaman.[2]
Pendapat yang rajih Berdasarkan dua bentuk periwayatan di atas, wujud tiga pendapat:
Di antara pendapat-pendapat di atas, masing-masing memiliki hujah dan kekuatan. Sesiapa yang mampu menganalisa di antara kedua-dua pendapat ini, maka dipersilakan untuk berpegang kepada pendapat yang dianggapnya paling kuat. Sesiapa yang tidak mampu untuk menganalisa maka memadai baginya untuk mengikuti salah satu daripada kedua-dua pendapat di atas. Yang penting seseorang itu tidak boleh memaksa apa yang dicenderunginya ke atas individu yang lain melainkan perbezaan di antara pendapat-pendapat ini dapat diselaraskan secara muktamad.
[1] Riwayat yang seumpama juga dikeluarkan al-Thahawi di dalam Syarh Musykil al-Atsar. Rujuk Tuhfat al-Akhyar bi Tartib Syarh Musykil al-Athar (diteliti dan disusun mengikut bab fiqh oleh Khalid Mahmud al-Rabath; Dar Balnasyah, Riyadh 1999), jld 3, ms 82, hadis no: 1500 (Bab menjelaskan kemusykilan tentang apa yang diriwayatkan daripada Hudzaifah bin al-Yaman……….). Akan tetapi di dalam sanadnya terdapat Muhammad bin Sinan al-Syaizari, juga disebut sebagai al-Syairazi. Beliau adalah di kalangan orang-orang yang meriwayatkan hadis mungkar, perlu disemak semula riwayat yang dibawanya. (صاحب مناكير , يتأنى فيه) Demikian nilai al-Dzahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Rujuk: 1. al-Mizan al-Iktidal oleh al-Dzahabi (diteliti oleh Aidil Ahmad & ‘Ali Muhammad Mu’awwad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld 6, ms 180, perawi no: 7656. 2. al-Mughni fi al-Dhu‘afa’ oleh al-Dzahabi (diteliti oleh Abu al-Zahra’ Hazm; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1998), jld 2, ms 314, perawi no: 5605. 3. Lisan al-Mizan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Rahman; Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi, Beirut 2001), jld 6, ms 171, perawi no: 7523. [2] Riwayat yang seumpama juga dikeluarkan ‘Abd al-Razzaq di dalam kitabnya al-Musannaf, jld. 4, ms. 347-348, hadis no: 8014, Ibn Abi Syaibah di dalam kitabnya al-Musannaf fi al-Ahadith wa al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Salim Syahin; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 2, ms. 337, hadis no: 9669 dan al-Thabarani di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Kabir (diteliti oleh Hamdi ‘Abd al-Majid; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 1985), jld. 9, ms. 301-302, hadis no: 9510 dari jalan Ibrahim (al-Nakha‘e): “Berkata Hudzaifah……….” seumpama di atas secara mauquf. Ibrahim al-Nakha‘ie tidak pernah bertemu dengan Hudzaifah bin al-Yaman. Akan tetapi sedia diketahui manhaj Ibrahim al-Nakha‘e dalam meriwayatkan hadis, di mana apabila dia menerima sebuah hadis daripada seorang perawi, dia akan menyatakan nama perawi tersebut. Akan tetapi jika dia menerima sebuah hadis daripada beberapa orang perawi, dia tidak akan menyatakan nama perawi-perawi tersebut tetapi memadai dengan menyatakan secara terus nama sahabat yang meriwayatkannya. [3] Rujukan kepada kitab al-Musannaf oleh ‘Abd al-Razzaq, al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah dan al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi di dalam bab al-Iktikaf mendapati para tokoh generasi al-Salaf berbeza pendapat sama ada iktikaf dibolehkan dalam semua masjid atau masjid yang tertentu. Majoriti di antara mereka seperti ‘Ali bin Abi Thalib, Ibn ‘Abbas, Ibn Mas‘ud, Urwah, Abu Za’ra’, Sa‘id bin Jabir, ‘Abd al-Rahman bin ‘Ali, al-Zuhri, al-Hakim, Abi Ja’far dan lain-lain berpendapat boleh beriktikaf di mana-mana masjid yang didirikan solat berjamaah di dalamnya. Ibn Musayyab berpendapat iktikaf hanya dibolehkan di Masjid Nabi sementara ‘Atha’ pada awalnya membenarkan iktikaf di semua masjid jami’, kemudian beliau membataskannya kepada Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah sahaja. Adapun pendapat para tokoh generasi selepas itu, Abu Bakar al-Jassas rahimahullah (370H) menjelaskan di dalam kitabnya Ahkam al-Qur’an (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp thn), jld 1, ms 294: Kesimpulannya telah ada kesepakatan di kalangan al-Salaf, bahwa diantara syarat iktikaf harus dilakukan di masjid, dengan perbedaan pendapat di antara mereka tentang apakah masjid-masjid umum atau khusus, akan tetapi tidaklah berselisih para ulama’ di tempat-tempat lain (al-Amsor) pada bolehnya beriktikaf di semua masjid yang didirikan solat berjamaah di dalamnya.” [4] Ahmad ‘Abd al-Razzaq al-Kubaisi – al-Iktikaf: Ahkamuhu wa Ahammiyatuhu fi Hayah al-Muslim (edisi terjemahan oleh A.M. Basmalah; Gema Insani, Jakarta 1994), ms. 34-37. [5] Demikian pendapat Majlis Fatwa al-Azhar, Mesir. Rujuk: ( http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=6999)
|