|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Berinteraksi Dengan Kaum Bukan Islam
Pengenalan:Dalam kitab-kitab fiqh terdapat kupasan tentang hukum Ahl al-Dzimmi, iaitu kaum bukan Islam yang hidup di bawah perjanjian dengan umat Islam. Mereka (kaum bukan Islam) membayar jizyah kepada umat Islam dan umat Islam pula menjanjikan keselamatan bagi mereka. Akan tetapi kita di Malaysia memiliki beberapa keistimewaan yang menyebabkan hukum-hukum Ahl al-Dzimmi tidak boleh diterapkan. Antaranya, kaum bukan Islam tidak membayar jizyah kepada umat Islam. Selain itu keselamatan Malaysia dijaga oleh seluruh rakyatnya, termasuk kaum bukan Islam. Sekali pun majoriti yang menganggotai tentera dan polis adalah kaum Melayu yang beragama Islam, kita tidak boleh nafikan kewujudan anggota yang bukan beragama Islam. Sejauh kajian saya, suasana masyarakat majmuk di Malaysia adalah sesuatu yang belum dikupas secara terperinci oleh para ilmuan Islam. Namun hal ini tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan subjek ini dalam satu ruang yang vakum. Jika dirujuk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, akan ditemui beberapa ciri yang dapat membentuk dasar kita dalam berinteraksi dengan kaum bukan Islam.
A: Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah membahagikan kaum bukan Islam kepada dua kategori: 1. Kaum bukan Islam yang bersikap neutral terhadap Islam dan umatnya, 2. Kaum bukan Islam yang bersikap memusuhi Islam dan umatnya. Terhadap kaum bukan Islam kategori pertama, dibolehkan untuk berinteraksi dengan mereka secara baik (ma’ruf) dan adil. Akan tetapi bagi kaum bukan Islam kategori kedua, tidak dibolehkan berinteraksi dengan mereka melainkan dengan ketegasan.
Penjelasan: Pembahagian ini adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [al-Mumtahanah 60:8-9]
Jika dikaji keseluruhan ayat-ayat al-Qur’an dan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan ditemui sebahagian dalil yang menyuruh kita berbuat baik dan adil kepada kaum bukan Islam dan sebahagian lagi yang menyuruh kita bersikap tegas kepada mereka. Pada zahirnya kelihatan dalil-dalil ini seolah-olah bercanggah antara satu sama lain. Akan tetapi ayat 8 dan 9 surah al-Mumtahanah di atas menutup percanggahan di atas dengan membahagikan kaum bukan Islam kepada dua kategori. Pada pengamatan saya, kaum bukan Islam di Malaysia secara majoriti duduk dalam kategori pertama. Oleh itu boleh, malah patut kita berinteraksi dengan mereka dalam kebaikan dan keadilan seperti mengucapkan “Selamat Pagi”, duduk semeja minum kopi dan ziarah-menziarah. Terdapat dua manfaat besar dalam interaksi ini: 1. Kita dapat membuka ruang untuk mendakwahkan Islam kepada mereka. 2. Kita dapat belajar beberapa ilmu yang mereka miliki dan meneladani apa-apa sikap mereka yang baik, yang tidak bertentangan dengan Islam. Jika dirujuk kepada sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda juga mengambil manfaat daripada kelebihan yang dimiliki oleh kaum bukan Islam.
Namun dalam berinteraksi dengan mereka, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diperhatikan:
Pertama: Tidak boleh beranggapan bahawa agama mereka adalah sama atau setaraf dengan agama Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dia-lah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh Rasul-Nya itu). [al-Fath 48:28]
Kedua: Tidak boleh mengutamakan kaum bukan Islam dan membelakangkan umat Islam. Tidak boleh mengambil mereka sebagai Wali, iaitu pelindung, sahabat akrab dan tempat ditujukan kesetiaan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali jika kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [‘Ali Imran 3:28]
Pengecualian diberikan kepada seseorang yang terpaksa, seperti orang yang pergi belajar ke negara bukan Islam dimana dia terpaksa meminta perlindungan daripada pihak polis negara tersebut dari sesuatu bahaya. Atau sebuah negara Islam yang diserang oleh negara yang lain, tiada negara Islam yang membantunya sehingga dia terpaksa meminta bantuan negara lain yang bukan Islam. Kes-kes terpaksa seperti ini dibolehkan, sebagaimana firman Allah di atas yang bermaksud: “…kecuali jika kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka.” Lebih lanjut rujuk semula ke bab aqidah berkenaan ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam cinta dan benci kerana Allah serta konsep al-Wala’ wa al-Bara’.
Ketiga: Dalam rangka berinteraksi dengan kaum bukan Islam dalam kebaikan dan keadilan, tidak boleh sehingga ke tahap menyekutukan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ayat berikut membezakan dua perkara ini:
Dan jika mereka berdua (ibubapa yang bukan Islam) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik (ma’ruf). [Luqman 31:15]
Ayat di atas sekali pun membicarakan hubungan antara anak yang muslim dengan ibubapanya yang bukan Islam, pengajaran yang dapat diambil daripadanya dapat diperluaskan kepada hukum interaksi antara kita dengan kaum bukan Islam. Oleh itu tidak boleh turut serta meraikan upacara-upacara ibadah kaum bukan Islam, seperti turut pergi ke gereja untuk meraikan Hari Krismas, ke kuil untuk meraikan Hari Deepavali serta Tahun Baru Cina dan sebagainya. Walaubagaimana pun timbul perbincangan, apakah boleh mengucapkan “Selamat” kepada hari-hari perayaan keagamaan kaum bukan Islam dan menziarahi mereka pada hari-hari tersebut? Perbincangan ini membuahkan dua pandangan: 1. Tidak boleh mengucapkan “Selamat” dan menziarahi mereka melainkan dalam suasana terpaksa. 2. Tidak boleh mengucapkan “Selamat” dan menziarahi mereka kecuali atas strategi dakwah, iaitu agar hubungan tetap terjalin dengan kaum bukan Islam demi memudahkan usaha-usaha dakwah pada kemudian hari.
Apabila berhadapan dengan kaum bukan Islam kategori kedua, hendaklah kita tetap berlaku adil. Tidak boleh menjadikan permusuhan yang ditonjolkan oleh sebahagian kaum bukan Islam sebagai hujah untuk mendudukkan keseluruhan kaum bukan Islam dalam kategori kedua. Sebagai contoh, tidak boleh memusuhi seluruh rakyat Amerika kerana tindakan pemimpin mereka yang memusuhi Islam dan umatnya. Sebagaimana yang kita sedia ketahui, majoriti rakyat Amerika memiliki pandangan yang neutral terhadap Islam dan tidak setuju dengan tindak-tanduk pemimpin mereka. Mereka tidak termasuk dalam apa yang disebut sebagai “…, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu.” [al-Mumtahanah 60:09] Sebahagian rakyat Amerika ada yang memusuhi Islam dan umatnya, akan tetapi permusuhan tersebut lebih kepada salah faham dan kegagalan kita sendiri untuk menampilkan imej yang sebenar tentang Islam. Oleh itu hendaklah bersikap adil sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [al-Maidah 5:08]
|
||