|
MARI BERKENALAN DENGAN AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH
hafiz firdaus abdullah
|
||
|
Berkenalan Dengan Ciri - Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah Dalam:
Fiqh
Pengenalan: Subjek fiqh yang dimaksudkan tidak terhad kepada bab ibadah harian seperti solat dan puasa, akan tetapi meluas kepada pelbagai bab lain seperti jual-beli, ekonomi, perjanjian, hutang-piutang, pernikahan, peperangan dan sebagainya. Jika dalam subjek aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memiliki ciri-ciri yang selamat lagi terkawal, bagi subjek fiqh Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memiliki ciri-ciri yang dinamik lagi terbuka.
A: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memanfaatkan keempat-empat mazhab fiqh yang muktabar, iaitu mazhab al-Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hambali. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah tidak menganggap salah satu daripadanya adalah lebih baik dari yang lain, akan tetapi kesemuanya adalah baik sebagai jambatan yang menghubungkan umat Islam kepada hukum-hukum fiqh yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Jika dalam sesuatu persoalan terserlah pendapat dalam salah satu mazhab lantaran kekuatan dalil dan hujahnya, maka ia menjadi pilihan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Pemilihan ini dilakukan bukan kerana memandang rendah kepada pendapat mazhab yang lain mahu pun mencela para tokohnya, tetapi semata-mata kerana meletakkan al-Qur’an dan al-Sunnah di tangga yang teratas.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang mewajibkan seseorang itu mengikuti salah satu daripada mazhab yang empat dengan (2) mereka yang mengharamkan seseorang daripada mengikuti mana-mana mazhab yang empat. ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Aziz bin Baz rahimahullah (1420H) pernah ditanya: “Ada yang mengatakan bahawa mengikuti mazhab yang empat adalah termasuk perbuatan bid‘ah. Bagaimana pendapat anda dalam hal itu?” Beliau menjawab:
Perkataan seperti itu secara umum adalah salah, tidak boleh kita berkata seperti itu. Yang benar adalah, di dalam mazhab yang empat itu terdapat banyak kebaikan dan petunjuk kerana mereka (para imam mazhab) adalah da’i-da’i dan ulama’-ulama’ yang terkenal, iaitu Imam Abu Hanifah, al-Syafi’e, Malik dan Ahmad bin Hanbal. Yang salah adalah fanatik dan mengikuti mereka dengan taqlid buta, kerana mereka juga adalah manusia biasa. Setiap mereka memiliki beberapa pendapat yang salah dalam pelbagai masalah.
Jadi yang wajib bagi pengikut mereka adalah bertaqwa kepada Allah, tidak fanatik dan mengambil kebenaran yang didukung oleh dalil-dalil yang kuat. Maka apabila seorang alim salah dalam ijtihad, maka janganlah menganggap bahawa kesalahan ini bukan sebuah kesalahan hanya kerana orang alim itu adalah imam mazhab mereka. Jangan, (sebab) kebenaran lebih (utama) dari semua itu. Oleh kerana itu, pengikut-pengikut Imam Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’e dan Ahmad serta pengikut-pengikut ulama’ lainnya, harus mengambil kebenaran yang diperkuat oleh dalil-dalil, tidak fanatik kepada (individu tertentu seumpama) Zaid, Amru dan lain-lain.
Pengikut-pengikut Abu Hanifah tidak boleh fanatik kepada Imam Abu Hanifah dan demikian pula dengan pengikut imam-imam lainnya. Mereka harus taqwa, mengambil kebenaran dan berijtihad di dalamnya dari mana pun datangnya, agar hujah dan dalil kebenaran tersebut dapat dikehadapankan. Maka apabila apa yang dikatakan oleh Imam Abu Hanifah benar dan sesuai dengan dalil yang ada, maka dia mengambil pendapat tersebut. Pada waktu yang lain, jika apa yang dikatakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal tentang sesuatu masalah benar dan sesuai dengan dalil yang ada, maka dia harus mengambil pendapat itu, demikian seterusnya dengan pendapat imam-imam yang lain.[1] Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (795H) berkata:
Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka.
Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Dan adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi pesuruh Allah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.[2]
B: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa pintu-pintu ijtihad masih terbuka, khususnya berkenaan isu-isu mutakhir dan pintu tersebut boleh dimasuki oleh orang yang menepati syarat-syarat untuk menjadi mujtahid. Justeru Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memanfaatkan pendapat-pendapat ahli-ahli fiqh mutakhir yang masyhur dikenali berdasarkan keluasan ilmu mereka dan ketepatan ijtihad mereka.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang berpendapat pada masa kini pintu ijtihad sudah ditutup rapat dan tiada lagi mujtahid dengan (2) mereka yang berpendapat pintu ijtihad luas terbuka dan sesiapa sahaja boleh menjadi mujtahid. Antara isu fiqh mutakhir yang memerlukan perhatian adalah Fiqh Majmuk atau Fiqh Malaysia, iaitu hukum-hukum fiqh yang khusus bagi suasana umat Islam Malaysia berkenaan hubungan mereka dengan kaum bukan Islam.
C: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam berinteraksi dengan fiqh mengkategorikan manusia kepada beberapa tahap seperti berikut sesuai dengan persekitaran dan kemampuan mereka:
1. Orang yang bertaqlid, iaitu orang yang hanya mengikuti sesuatu pendapat fiqh tanpa mengetahui dalil dan hujah di sebaliknya. Bagi mereka yang sebaiknya adalah mengikuti satu mazhab, iaitu mazhab yang diikuti oleh orang-orang ditempatnya. 2. Orang yang berittiba’, iaitu orang yang mengikuti sesuatu pendapat fiqh dengan mengetahui dalil dan hujah di sebaliknya. Bagi mereka boleh memilih-milih antara pendapat mazhab (talfiq) dengan syarat sebelum dia memilih pendapat dari sesebuah mazhab, dia mengetahui dalil dan hujahnya. 3. Orang yang berijtihad dan mereka seterusnya terbahagi kepada tiga tahap:
Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengesyorkan agar setiap individu Muslim berusaha sekadar mampu untuk mempertingkatkan dirinya daripada tahap yang pertama kepada tahap yang kedua sebagai tahap yang paling minima. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah memandang bahawa seseorang individu itu boleh berbeza-beza tahapnya dalam persoalan fiqh dalam suasana yang berbeza-beza. Ini semua bergantung kepada kemampuan dirinya dan persekitaran yang dihadapinya.
Penjelasan: Demikian kedudukan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang mewajibkan taklid secara mutlak dengan (2) mereka yang mengharamkan taqlid secara mutlak. Berkata Ibn Taimiyyah:
Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan imam ialah ijtihad dibolehkan dalam beberapa sudut dan taqlid dibolehkan dalam beberapa sudut yang lain. Mereka tidak mewajibkan ijtihad ke atas setiap individu dan mereka tidak mengharamkan taqlid. (Pada waktu yang sama) mereka tidak mewajibkan taqlid ke atas setiap individu dan mereka tidak mengharamkan ijtihad.
Ijtihad dibolehkan mengikut kadar kemampuan masing-masing untuk berijtihad dan taqlid dibolehkan bagi sesiapa yang tidak mampu berijtihad. (Timbul persoalan) adakah orang yang mampu berijtihad dibolehkan baginya untuk bertaqlid ? Dalam persoalan ini terdapat perbezaan pendapat. Yang benar ia dibolehkan, iaitu pada ketika seseorang tidak mampu berijtihad sama ada kerana dalil-dalil yang dimilikinya sama-sama kuat atau kerana kesuntukan waktu untuk berijtihad atau kerana tidak menemui dalilnya. Dalam suasana keuzuran di atas, gugur baginya kewajipan untuk berijtihad sekadar apa yang menjadi keuzuran baginya dan statusnya beralih kepada apa yang di sebaliknya, iaitu taqlid. Ini sebagaimana orang yang memiliki keuzuran untuk bersuci kerana ketiadaan air (maka dia bertayamum).
Dan demikianlah juga bagi orang awam, jika dia berkemampuan untuk berijtihad dalam sebahagian masalah, maka dibolehkan baginya untuk berijtihad. Ini kerana ijtihad merupakan sesuatu yang boleh menerima pemecahan dan pembahagian (kepada tahap dan tingkatannya). Maka yang penting ialah mampu atau tidak (untuk berijtihad). Boleh jadi seseorang itu mampu berijtihad di dalam sebahagian masalah akan tetapi tidak mampu di dalam sebahagian masalah yang lain. Akan tetapi kemampuan untuk berijtihad tidak boleh terlepas daripada terlebih dahulu menguasai ilmu yang diperlukan untuk mencapai ijtihad. Ada pun jika dia hanya menguasai satu masalah daripada satu bab (atau topik) maka masih jauh baginya untuk ijtihad dalam (bab tersebut).[3]
D: Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah mengiktiraf wujudnya perbezaan pendapat dalam sebahagian persoalan fiqh. Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah membahagikan perbezaan pendapat tersebut kepada dua kategori: 1. Perbezaan pendapat yang dibolehkan, iaitu beberapa pendapat fiqh yang muncul dimana pendapat-pendapat tersebut sama-sama kuat dari sudut dalil dan sama-sama benar dari sudut penghujahannya. Terhadap perbezaan pendapat kategori pertama ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah bersikap terbuka dan menyerahkannya kepada kecenderungan masing-masing dengan syarat pihak yang cenderung kepada satu pendapat fiqh tidak boleh mencela pihak yang cenderung kepada pendapat fiqh yang lain.
2. Perbezaan pendapat yang dilarang, iaitu beberapa pendapat fiqh yang muncul dimana jelas terserlah kekuatan satu pendapat di atas pendapat yang lain. Termasuk juga dalam kategori ini pendapat fiqh yang tidak lahir daripada al-Qur’an dan al-Sunnah serta kaedah-kaedah Ushul al-Fiqh yang muktabar, tetapi lahir daripada adat turun temurun dan ijtihad individu yang tidak layak berijtihad. Terhadap perbezaan pendapat kategori kedua ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah hanya berpegang kepada pendapat fiqh yang jelas kekuatannya. Pada waktu yang sama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah akan menerangkan kepada orang ramai kelemahan pendapat yang lain sebagai tanggungjawab melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Penjelasan: Demikian kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah antara (1) mereka yang terbuka kepada semua pendapat fiqh tanpa membezakan sama ada pendapat-pendapat tersebut memiliki dalil atau hujah dengan (2) mereka yang menutup semua pendapat fiqh kepada satu pendapat pilihan dirinya sahaja. Sebagai contoh adalah bab kedudukan jari telunjuk ketika duduk tasyahud dalam solat, adakah ia ditegakkan atau digerak-gerakkan. Kedua-duanya memiliki dalil daripada hadis yang sahih. Akan tetapi segelintir individu menjadikan bab ini sebagai sumber pencelaan dan pergaduhan semata-mata kerana mereka terdedah kepada satu pendapat daripada pembacaan satu buku. Berkata ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam setelah menghuraikan hadis-hadis dan pendapat-pendapat dalam bab ini:
Apa yang telah dituturkan mengenai perbezaan pendapat di antara para imam tentang cara meletakkan tangan di atas peha dan berisyarat dengan jari telunjuk, itu adalah masalah furu‘iyyah. Setiap imam berpendapat sesuai dengan hasil ijtihadnya dalam memahami nas-nas yang ada. Orang yang berijtihad itu mempunyai dua pahala (jika betul) atau satu pahala (jika silap). Mereka semua, rahimahullahu ta‘ala, sepakat bahawa itu termasuk keutamaan solat, jika ditinggalkan atau dilakukan, maka tidak membatalkan solat dan tidak boleh berselisih.
Oleh kerana itu saya sarankan kepada para pemuda yang bersungguh-sungguh terhadap kebaikan, ketahuilah bahawa perbezaan pendapat dalam masalah furu‘iyyah tidak boleh menjadi penyebab pertikaian dan pemusuhan di antara mereka. Akan tetapi hendaklah mereka mengkajinya untuk mencapai yang benar. Ada pun saling menyalahkan dan saling memusuhi, ini malah akan menyempitkan Islam itu sendiri. Hanya Allah-lah yang berkuasa memberi petunjuk ke jalan yang benar.[4]
[1] Temuramah bersama Majalah al-Islah, dikemukakan oleh Abu Abdirrahman al-Thalibi dalam bukunya Dakwah Salafiyah Dakwah Bijak (Hujjah Press, Jakarta, 2006), ms. 164-165. [2] Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam kitabnya Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil daripada The Prophet's Prayer Described, ms. xv oleh al-Albani. [3] Majmu’ al-Fatawa, jld. 20, ms. 202-204. |
||