|
|||
|
Penutup
Jika para pembaca telah mengkaji ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sejak dari permulaan buku ini, akan ditemui satu ciri yang amat terserlah, iaitu kedudukan pertengahan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di antara pelbagai pemikiran dan perbuatan. Di antara pemikiran dan perbuatan tersebut ada yang bersifat berlebih-lebihan dan ada pula yang bersifat meremehkan. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berada di pertengahan dan mereka menerangkan kepada kedua-dua pihak apa yang benar dan apa yang salah. Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan ciri-ciri ini dalam firman-Nya:
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. [al-Baqarah 2:143]
Sebuah lagi ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sebagaimana istilahnya, adalah berjamaah. Berjamaah di sini bukan bermaksud berbilang jamaah dengan setiap satu darinya mendakwa merekalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang terbaik, paling benar dan paling tulen. Akan tetapi ia adalah satu jamaah yang berdiri di atas ciri-ciri yang telah disebut dalam buku ini. Dalam rangka berjamaah, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menerima perbezaan pendapat selagi mana ia tidak terkeluar dari ciri-ciri yang disebut dalam buku ini. Jika ditemui individu atau kumpulan yang terkeluar dari ciri-ciri tersebut, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berusaha untuk menarik kembali mereka dengan penjelasan yang hikmah dan bertahap-tahap. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan perpecahan, sama ada di antara sesama mereka secara khusus atau sesama umat Islam secara umum, kerana ia adalah sesuatu yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Untuk memelihara persatuan dan mengelak perpecahan, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah memerhatikan paling kurang empat faktor berikut:
Pertama: Mengingati nikmat Islam yang Allah kurniakan. Satu masa lalu kita semua hidup dalam suasana jahiliyah dan berpecah-pecah, lalu Allah memberi kepada kita nikmat Islam dan dengan nikmat itu Allah menyatu-padukan hati kita. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (satu masa dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. [‘Ali Imran 3:103]
Apabila umat lupa akan nikmat Islam yang Allah kurniakan, maka berlakulah sikap angkuh, sombong serta sikap membela puak (jamaah atau aliran) tersendiri. Sikap-sikap ini menyebabkan umat Islam saling berpecah dan bermusuhan sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Maka hendaklah kita semua kembali mengingati nikmat Islam yang Allah kurniakan kepada kita dengan cara bersyukur, rendah diri dan benci kepada perpecahan berpuak-puak. Dengan ingatan ini Allah Subhanahu wa Ta'ala akan menyatukan hati kita.
Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (orang-orang yang beriman itu). Kalaulah engkau membelanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [al-Anfal 8:63]
Kedua: Berpegang kepada keseluruhan ajaran Islam. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan di antara orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani”, Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke Hari Kiamat; dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan. [al-Maidah 5:14]
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan sikap kaum Nasrani yang memungkiri perjanjian mereka kepada Allah. Mereka berpegang kepada sebahagian dan memungkiri sebahagian yang lain. Sikap ini akhirnya menyebabkan berlakunya permusuhan dan kebencian di antara mereka sehingga akhirnya mereka berpecah kepada beberapa aliran sebagaimana yang nampak pada hari ini. Kita umat Islam juga telah membuat perjanjian dengan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Perjanjian kita adalah bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah. Dengan perjanjian ini kita bersaksi bahawa hanya Allah yang layak menurunkan satu agama kepada kita, iaitu Islam. Agama itu pula diturunkan-Nya secara lengkap dan sempurna melalui pesuruh-Nya: Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila umat Islam mula meninggalkan perjanjian ini, iaitu dengan berpegang kepada sebahagian ajaran Islam, mengabaikan sebahagian yang lain dan membuat-buat ajaran tersendiri, maka berlakulah perpecahan dengan sikap permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Perhatikan pecahan-pecahan umat Islam yang wujud sepanjang sejarah hingga ke saat ini. Tidaklah setiap dari pecahan itu wujud melainkan mereka memiliki ciri-ciri berpegang kepada sebahagian ajaran Islam, mengabaikan sebahagian yang lain dan mencipta sesuatu yang baru ke dalam Islam. Oleh itu untuk kita bersatu, hendaklah kita berpegang kepada keseluruhan agama Islam yang tulen. Janganlah kita berpecah-pecahan, berkelompok-kelompok, berjamaah-jamaah dan berparti-parti. Sebaliknya hendaklah kita bersatu sebagai Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, berjamaah di atas keseluruan agama Islam.
Ketiga: Menjauhi sikap dengki antara satu sama lain. Kedengkian memainkan peranan penting dalam memecah-belahkan umat Islam sebagaimana yang disebut oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya:
Dan tiadalah umat tiap-tiap Rasul berpecah belah (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang benar dan apa yang salah); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana dengki sesama sendiri. [al-Syura 42:14]
Kedengkian adalah membenci sesuatu kelebihan yang dimiliki oleh saudaranya, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bab akhlak. Sebegitu besar peranan kedengkian sebagai faktor utama perpecahan sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala mengajar kita doa untuk membersihkan kedengkian tersebut:
Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat. [al-Hasyr 59:10]
Punca kedengkian dan cara-cara mengubatinya telah dijelaskan dalam bab akhlak Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Keempat: Berwaspada terhadap hasutan syaitan. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan katakanlah kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik; sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang beriman); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia. [al-Isra’ 17:53]
Sebagai musuh utama umat Islam, syaitan memiliki pelbagai strategi untuk memecah-belahkan umat Islam. Antara strateginya ialah menghasut sesama umat Islam dengan sangkaan buruk dan gosip yang dusta. Sehingga akhirnya umat Islam saling berpecah dan bermusuhan semata-mata kerana prasangka dan gosip yang dusta. Merupakan satu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan daripada perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam masa kita adalah kerana berburuk sangka dan mempercayai gosip yang dusta. Maka hendaklah kita berwaspada dengan strategi hasutan syaitan ini. Hendaklah kita saling berkata-kata yang baik, iaitu berbaik sangka dan tidak mencari atau menyebarkan berita kecuali yang baik. Berkata-kata yang baik akan saling mententeramkan hati sehingga dengan itu kita saling mencintai dan berjamaah kerana Allah.
|
|||
|
|
|||