MARI BERKENALAN DENGAN

AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMAAH

 

 

hafiz firdaus abdullah

 

   

 

Pendahuluan

 

 

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره,

ونعوذ باالله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا,

 من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له.

ونشهد أن لا إله الا الله وحده لاشريك له ونشهد أن محمدا عبده ورسوله.

 

Segala puji bagi Allah,

kami memuji-Nya dan kami memohon pertolongan-Nya dan kami memohon keampunan-Nya,

dan kami berlindung kepada Allah dari keburukan diri kami dan dari keburukan perbuatan kami.

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiadalah kesesatan baginya

dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah maka tiadalah petunjuk baginya.

Kami bersaksi bahawa tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Esa,

tiada sekutu bagi-Nya dan kami bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan Rasul-Nya.

 

 

Kenapa subjek Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah?

Agaknya itulah persoalan pertama yang timbul di fikiran para pembaca sekalian terhadap buku saya ini. Persoalan ini sesuatu yang saya jangkakan kerana jika diteliti buku-buku di pasaran, akan ditemui sejumlah yang memberi tumpuan kepada subjek Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Ada yang tebal, ada yang nipis. Ada yang ringan, ada yang ilmiah. Justeru mengapa saya turut memberi tumpuan kepada subjek ini? Bukankah lebih baik jika diberikan tumpuan kepada subjek yang masih minimum diperbincangannya?

Sebenarnya terdapat beberapa sebab mengapa saya memilih untuk turut memberi tumpuan kepada subjek Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Sebabnya boleh dibahagi kepada dua.

 

 

Pertama:

Apabila kita meneliti secara mendalam buku-buku yang ada di pasaran dalam subjek Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, akan ditemui bahawa ia hanya memberi tumpuan kepada beberapa aspek:

  1. Maksud Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dari sudut bahasa, iaitu orang-orang Islam yang pakar tentang sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan berjamaah dalam mengikutinya.

  2. Siapakah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dimana masing-masing individu, aliran dan kelompok mendakwa merekalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah manakala yang lain bukan. Namun apabila ditanya apakah yang dimaksudkan dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, mereka gagal menerangkan ciri-cirinya. Kegagalan ini menyebabkan pelbagai teori serta amalan yang aneh membentuk ciri-ciri pemikiran serta perbuatan mereka. Lebih memberatkan, semua yang aneh tersebut mereka anggap berada dalam ruang lingkup Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

  3. Sejarah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, dimana ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dikupas dengan cara memandang ke belakang pada zaman generasi awal umat Islam. Jarang-jarang ciri-ciri ini dikupas dengan metod yang berpijak pada realiti masa kini dengan pandangan ke arah masa depan. Hasilnya umat Islam hanya mengetahui ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan aliran-aliran yang menyimpang pada zaman awal Islam. Mereka tidak mengetahui bagaimana mempraktikkan ciri-ciri tersebut pada masa kini, juga bagaimana menangani aliran-aliran yang menyimpang pada masa kini.

  4. Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, dimana tumpuan hanya diberi kepada subjek aqidah, khasnya berkenaan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Ini memberi gambaran seolah-olah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah hanya menyentuh isu aqidah dan tidak selainnya.

 

Empat sebab di atas menyebabkan saya merasa perlu menyusun sebuah buku yang memberi pengenalan tentang ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam aspek yang lebih luas, iaitu:

  1. Menerangkan apakah dan bukan siapakah Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Dengan menerangkan apakah ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah, kita sama-sama dapat menjadi Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berdasarkan dalil, hujah dan kefahaman, bukan dakwaan semata-mata.

  2. Berdasarkan dalil, hujah dan kefahaman, kita dengan sendirinya dapat membasmi dan menangkis apa-apa pemikiran, ucapan dan perbuatan yang tidak menepati ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. Kita tidak lagi perlu mengikut secara membuta kepada sekian-sekian individu yang cenderung kepada mencipta pemikiran, ucapan dan perbuatan yang tersendiri lalu cuba menjustifikasikannya di atas nama Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

  3. Mengupas ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah berdasarkan realiti masa kini dengan pandangan ke hadapan, agar para pembaca mengetahui cara berpegang dan mempraktikannya. Oleh itu perbincangan tentang aliran Khawarij, Murji’ah dan sebagainya tidak akan disertakan. Metod ini bukanlah bererti menafikan kepentingan sejarah zaman awal umat Islam, tetapi lebih kepada membawa manhaj generasi awal umat Islam, iaitu generasi al-Salaf al-Shalih, kepada realiti masa kini. Seolah-olah, jika generasi al-Salaf al-Shalih hidup pada zaman kita, apa dan bagaimanakah sikap mereka dalam membela Islam yang tulen dan membawa umatnya ke arah kejayaan yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

  4. Pengenalan kepada ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak dihadkan kepada aqidah sahaja, tetapi diluaskan kepada fiqh, akhlak, politik dan sebagainya.

 

 

Kedua:

Dalam kerjaya saya sebagai seorang juruterbang, ada sesuatu yang digelar Standard Operating Procedures. Ia adalah beberapa buah buku yang memuatkan ciri-ciri bagaimana untuk “memandu” kapalterbang dengan selamat, sama ada dalam suasana kebiasaan atau kecemasan. Saya yakin para pembaca sekalian, dalam bidang kerjaya masing-masing sama ada doktor, jurutera, peguam, guru dan sebagainya, juga memiliki sesuatu seumpama yang disediakan oleh pihak majikan. Standard Operating Procedures ini membolehkan semua kakitangan dalam sesebuah firma atau jurusan bekerja dengan cara yang teratur dan terarah untuk mencapai matlamat.

Tidak ketinggalan adalah para pelajar dimana masing-masing memiliki silibus bagi jurusan pengajian masing-masing. Silibus ini menentukan ciri-ciri yang perlu dipelajari dalam jurusan tersebut untuk melengkapkan kursus pengajian. Silibus ini tidak jauh berbeza dengan Standard Operating Procedures yang saya sebut di perenggan sebelumnya.

Maka saya terfikir, apakah mungkin dibuat satu Standard Operating Procedures atau silibus bagi umat Islam? Tentu mungkin dan tentu patut. Sebenarnya sesuatu yang mirip kepada Standard Operating Procedures atau silibus sudah ada di kalangan umat Islam. Standard Operating Procedures atau silibus ini dikenali dengan nama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Ia memuatkan ciri-ciri yang sepatutnya diketahui dan dipraktikkan oleh umat Islam dalam beragama.

Secara lebih terperinci, sejarah kelahiran Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dapat diringkaskan seperti berikut. Beberapa dekad selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, sebahagian umat Islam berpecah daripada aliran yang utama (mainstream) dan membentuk beberapa aliran, setiapnya memiliki beberapa ciri baru yang tersendiri. Ciri-ciri tersebut ada yang mereka ambil daripada agama lain atau pemikiran luar dan ada yang mereka cipta sendiri. Setiap aliran menonjolkan ciri-ciri yang tersendiri dan mereka menggelar diri mereka dengan nama-nama tertentu seperti Syi‘ah, Khawarij, Jahmiyah dan sebagainya.

Kelahiran aliran-aliran ini menyebabkan umat Islam, khasnya para sahabat, merasa perlu untuk membuat satu nama untuk diri mereka sendiri, agar kedudukan mereka sebagai aliran yang benar lagi utama (mainstream) dapat dibezakan daripada aliran yang berpecah tersebut. Nama yang mereka pilih adalah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Di sebalik nama tersebut terdapat sejumlah ciri yang perlu dipegang dan dipraktikkan oleh umat Islam agar mereka tetap berada di atas jalan kebenaran, jalan yang dibawa oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Ringkasnya, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah Standard Operating Procedures atau silibus bagi umat Islam.

Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tidak memilih nama Islam untuk diri mereka sendiri kerana mereka tidak menghukum aliran-aliran yang berpecah itu sebagai kafir atau telah keluar dari Islam. Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sangat berhati-hati dalam menghukum sesuatu aliran. Mereka sekadar menghukum aliran-aliran tersebut sebagai aliran bid‘ah atau puak yang berpecah (firqah) tanpa berlebih-lebihan sehingga menghukum mereka sebagai keluar dari Islam.

Seterusnya dengan nama tersebut, Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berusaha keras untuk membetulkan aliran-aliran yang berpecah, menerangkan kesalahan-kesalahan mereka dan memperingatkan umat Islam daripada kesalahan tersebut. Justeru akan didapati salah satu ciri utama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah ialah melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dimana apa yang ma’ruf adalah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam manakala apa yang mungkar adalah bid‘ah yang meyelisihi sunnah tersebut. Maka Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah di sepanjang zaman dapat dikenali sebagai mereka yang sentiasa menyuruh ke arah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan melarang daripada bid‘ah. Sebaliknya jika ditemui mereka yang membela bid‘ah dan membenci sunnah, maka ketahui bahawa itu bukan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.[1]

 

Maka atas dasar ini, saya berusaha untuk menyusun sebuah buku yang dapat menjadi Standard Operating Procedures atau silibus bagi umat Islam. Penulisan ini saya tuju kepada:

  1. Diri saya sendiri. Sebagai seorang yang masih belajar tentang Islam, saya ingin mengetahui apakah ciri-ciri yang membentuk Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, sekali gus menjadi Standard Operating Procedures atau silibus bagi diri saya. Maka tiada cara terbaik untuk mengetahui dengan mendalam sesuatu perkara melainkan dengan menulis buku. Ini kerana menulis akan memaksa penulisnya untuk mengkaji subjek yang bakal ditulisnya secara mendalam. Maka alhamdulillah, sejak saya mula menulis subjek ini pada bulan Mei 2006, puluhan buku berkenaan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah telah saya kaji, daripada yang ditulis oleh para tokoh pada zaman awal sehinggalah ke zaman mutakhir.[2]

  2. Umat Islam yang ingin kembali kepada Islam yang tulen. Alhamdulillah pada masa kini terdapat satu keinginan yang kuat di kalangan umat Islam untuk kembali kepada Islam yang tulen, iaitu Islam yang berlandaskan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Mereka ingin mempelajari ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah berdasarkan manhaj al-Salaf al-Shalih, iaitu sikap generasi awal umat Islam dalam beragama. Jika ciri dan manhaj ini dapat dipegang dengan betul, nescaya umat Islam pada zaman kini akan dapat meraih kemuliaan sebagaimana yang diraih oleh generasi al-Salaf al-Shalih. Semua ini menyebabkan saya merasa perlu diusahakan sebuah buku yang dapat menjadi Standard Operating Procedures atau silibus bagi memenuhi keinginan tersebut.

  3. Umat Islam yang sudah mengenali ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Mereka adalah umat Islam yang bersungguh-sungguh untuk berpegang kepada ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah lagi beristiqamah di atasnya. Akan tetapi dalam beberapa ciri tertentu, sikap mereka perlu diperkemaskan, perlu diperindahkan. Salah satu sikap yang dimaksudkan adalah gopoh menuduh orang lain sebagai Ahl al-Bid‘ah. Padahal Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sangat berhati-hati dalam menghukum seseorang sama ada sebagai ahli maksiat atau Ahl al-Bid‘ah. Sebaliknya sikap gopoh menghukum adalah ciri Ahl al-Bid‘ah yang sebenar.

Justeru buku ini juga insya-Allah diharapkan dapat menjadi Standard Operating Procedures atau silibus kepada mereka yang sudah mengenali Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah tetapi masih memiliki sifat rendah diri lagi terbuka untuk mengkajinya secara lebih mendalam.

 

Metod penulisan.

Untuk mencapai objektif di atas, saya membahagikan buku ini kepada beberapa bab, setiapnya menjelaskan secara terperinci ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dalam bab tertentu seperti aqidah, fiqh, akhlak dan sebagainya. Bagi setiap bab, ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah saya jelaskan dengan teks hitam dan besar manakala penjelasan kepada ciri tersebut saya berikan dengan saiz teks yang biasa.

Dalam mengemukakan penjelasan ini, saya memilih metod yang dinamik antara yang panjang, sederhana dan ringkas, bergantung kepada kepentingan atau pengetahuan tentang sesuatu ciri itu di kalangan masyarakat. Disamping itu, sebahagian penjelasan akan saya arah kepada buku-buku rujukan lain agar para pembaca sekalian dapat memperoleh perincian yang lebih mendalam di sana. Dimana boleh, saya akan kemukakan buku rujukan dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris bagi memudahkan para pembaca yang tidak mahir dalam bahasa Arab untuk mengkajinya.

Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar usaha kecil ini dapat memenuhi tujuan penulisan yang saya sebutkan di atas. Ribuan terima kasih diucapkan kepada rakan-rakan yang membantu penulisan ini, sama ada dalam bentuk memberi cadangan atau membuat pembetulan. Kesempurnaan hanyalah milik Allah, maka dengan itu saya tidak nafikan mungkin wujud kesilapan atau kekurangan dalam penulisan ini. Pembetulan dan cadangan daripada para pembaca sekalian amat dialu-alukan.

Hafiz Firdaus bin Abdullah

31 March 2007 (Cetakan Pertama)

11 Ogos 2007 (Cetakan Kedua)

 

 

kandungan
 


[1] Penjelasan yang lengkap dalam persoalan ini boleh dirujuk dalam buku Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah: Ma‘alim al-Intilaqat al-Kubra oleh Muhammad ‘Abd al-Hadi al-Misri yang telah diterjemah oleh Baharuddin Ayudin atas judul Mercu-Mercu Kegemilangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah; diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, 1998). Ini adalah sebuah buku yang amat bermanfaat dan telah menjadi rujukan utama oleh para pengkaji, penulis, pensyarah dan penceramah dalam subjek Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.

Wujud salah faham di kalangan ramai, termasuk para ilmuan, kononnya Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah (324H). Ini adalah satu kesalahan. Yang benar, Abu al-Hasan al-Asya‘ari adalah salah seorang tokoh yang mewarisi ciri-ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang telah wujud sejak zaman para sahabat radhiallahu 'anhum. Beliau meneruskan perjuangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam menjelaskan apa yang sunnah dan apa yang bid‘ah kepada masyarakat pada zamannya. al-Baihaqi rahimahullah (458H) menjelaskan hakikat ini:

Syaikh kami, Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah tidaklah mencipta di dalam agama Allah ini sesuatu yang baru dan tidaklah dia mendatangkan padanya sesuatu bid‘ah. Sebaliknya beliau mengambil doktrin para sahabat dan para tabi‘in dan daripada (orang-orang) sesudah mereka daripada kalangan para imam dalam prinsip agama. Kemudian beliau mempertahankannya dengan memberi syarahan tambahan dan penjelasan. Dan (beliau membuktikan) bahawa apa yang diperkatakan tentang persoalan prinsip (agama) dan apa yang datang tentangnya dari pembuat syari‘at (Allah) adalah benar di sisi akal yang sahih, berbeza dengan apa yang didakwa oleh para pengikut hawa nafsu bahawa sebahagian daripada prinsip tersebut tidak selari dengan pandangan akal.

Maka penjelasan beliau merupakan penguat kepada apa yang (sebelum itu) tidak dibuktikan ke atasnya oleh Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah dan pertahanan kepada doktrin para imam sebelumnya seperti Abu Hanifah dan Suyfan al-Tsauri daripada kalangan ahli Kufah, al-Auza‘i dan selainnya daripada kalangan ahli Syam, Malik dan al-Syafi‘e daripada kalangan ahli Haramain dan sebagainya daripada kalangan Semenanjung Arab dan baki yang seterusnya daripada lain-lain negeri, dan seperti Ahmad bin Hanbal dan selainnya daripada kalangan Ahl al-Hadits. [Diriwayatkan oleh Ibn ‘Asakir dalam Tabyin Kazb al-Muftari fi Ma Nusiba ila al-Imam Abu al-Hasan al-Asya‘ari (tahqiq: Zahir al-Kautsari; Dar al-Fikr, Damsyik), ms. 103.]

 

[2] Dari cetakan pertama, saya menerima maklumbalas dari para pembaca yang bertanya mengapa saya tidak memberi rujukan kepada ciri-ciri yang dikemukakan di bahagian notakaki serta mengapa tidak disenaraikan sumber-sumber rujukan di akhir buku.

Saya menjelaskan bahawa ciri-ciri yang saya kemukakan dalam buku ini boleh ditemui dalam sumber-sumber rujukan para tokoh Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dari zaman al-Salaf al-Shalih hingga zaman kini. Saya tidak menyenaraikannya kerana ia akan mengambil ruang yang banyak. Rujukan saya bukan sekadar empat atau lima buku, tetapi empat puluh hingga lima puluh buah buku, bahkan lebih. Alhamdulillah.

Dalam cetakan kedua ini, saya terfikir untuk menyenaraikan sumber rujukan. Akan tetapi kemudiannya saya terfikir pula: Apa kata saya bukakan hal ini kepada para pembaca sekalian?

Jadikan buku ini sebagai sumber kajian, iaitu para pembaca menganalisanya serta membandingkannya dengan rujukan-rujukan muktabar Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dengan cara ini para pembaca dapat meluaskan kajian. Pada waktu yang sama para pembaca juga dapat membetulkan saya seandainya penjelasan saya dalam buku ini ada yang silap atau tidak tepat.

Dipersilakan.