|
36 Kritikan Ke Atas Buku
Hafiz Firdaus Abdullah |
||
|
# 30: Kepentingan Merujuk Kepada Kitab Asal (2).
Masih dalam rangka membela lafaz istighfar popular: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ. pihak ASSSDK 64 mengemukakan hadis berikut: Hadis keempat ialah Hadis dha‘if, riwayat Imam al-Thobarani di dalam kitabnya الأوسط dan الصغير , daripada al-Bara’ bin ‘Azib, katanya: "قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَنْ قَالَ دُبُرَ كُلَّ صَلاَةٍ أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنَ الزَّحْفِ. "
Maksudnya: “Rasulullah telah bersabda: “Sesiapa yang beristighfar setiap kali selepas solat fardhu dengan lafaz: أَسْتَغْفِرُ اللهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ Nescaya diampunkan dosanya walaupun dosa melarikan diri dari medan perang.”
Dalam notakaki nombor 72, pihak ASSSDK menyebut rujukan: مجمع الزوائد ومنبع الفوائد – (ج 4 \ ص 448)
Kritikan: Jika pihak ASSSDK merujuk terus ke kitab al-Mu’jam al-Ausath[1] dan al-Mu’jam al-Shagheir[2] karangan al-Thabarani rahimahullah, nescaya mereka akan lebih gembira kerana lafaz zikir yang sebenarnya disebut dalam kedua-dua rujukan itu lebih mendekati lafaz istighfar popular yang sedang mereka bela, iaitu:
مَنْ قَالَ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ: أَسْتَغْفِرُ اللهَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ, غُفِرَ لَهُ وَإِنْ كَانَ فَرَّ مِنْ الزَّحْفِ.
Akan tetapi, sekalipun al-Hafiz al-Hatsami rahimahullah telah menilainya dha‘if dalam Majma’ al-Zawa’id, hadis no: 16934, al-Albani rahimahullah telah menilainya sebagai amat dha‘if (dha‘if jiddan) dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha‘ifah, hadis no: 4546 dan Dha‘if al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 990.
[1] Hadis no: 7738. [2] Tahqiq: Muhammad Syukur & Mahmud al-Haj, terbitan al-Maktab al-Islami, Beirut, 1405H (www.islamww.com), hadis no: 839.
|
||