(Baca Di Malam Ramadhan)
Hafiz Firdaus
Abdullah
فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ
وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ
لَكُمْ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنْ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنْ الْفَجْرِ ثُمَّ
أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ.
Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]
Saya
juga yakin hampir semua muslim mengetahui hukuman kafarat ke atas orang
yang melakukan seks di siang Ramadhan, iaitu sama ada membebaskan seorang
hamba, puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang
miskin. Hukuman kafarat ini berdasarkan hadis berikut:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ! قَالَ: وَمَا
أَهْلَكَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي فِي رَمَضَانَ. قَالَ: هَلْ تَجِدُ
مَا تُعْتِقُ رَقَبَةً؟ قَالَ :لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ
شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ مَا تُطْعِمُ
سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ.
قَالَ: ثُمَّ جَلَسَ
فَأُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهِ تَمْرٌ
فَقَالَ: تَصَدَّقْ بِهَذَا. قَالَ: أَفْقَرَ مِنَّا فَمَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا
أَهْلُ بَيْتٍ أَحْوَجُ إِلَيْهِ مِنَّا. فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَأَطْعِمْهُ
أَهْلَكَ.
Daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh,
bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam
dan berkata: “Celakalah saya wahai Rasulullah!” Rasulullah bertanya: “Apa yang
mencelakakan kamu?” Dia menjawab: “Saya telah melakukan hubungan seks dengan
isteri saya pada (siang hari) bulan Ramadhan.” Lalu Rasulullah bertanya:
“Bolehkah kamu mencari seorang hamba untuk dibebaskan?” “Tidak!” “Bolehkah kamu
berpuasa dua bulan berturut-turut?” “Tidak!” “Bolehkah kamu memberi makan
kepada enam puluh orang miskin?” “Tidak!”
Kemudian dia duduk. Tatkala itu dibawakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sebakul kurma. Rasulullah berkata kepadanya: “Sedekahkanlah (kurma) ini”. Dia menjawab: “Adakah yang lebih miskin dari kami? Tidak ada yang lebih miskin di antara dua lembah Madinah ini melainkan keluarga saya.” Mendengar yang sedemikian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam ketawa sehingga nampak gigi baginda. Lalu baginda bersabda: “Pergilah dan berilah makan keluarga kamu (dengan kurma ini).” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1111-1 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan seks…)].
Akan tetapi hukum berkenaan seks di siang Ramadhan tidak semudah yang dijangkakan. Jika kita menelaah kitab-kitab fiqh keempat-empat mazhab dahulu dan kini, akan ditemui perbincangan yang terperinci dalam persoalan ini. Sekadar mampu saya telah mengkaji kitab-kitab tersebut dan hasil kajian saya permudahkan dalam risalah yang ringkas ini.
Maksud saya sebagai “permudahkan” ialah memudahkan cara untuk menyampaikan perbezaan pendapat yang berlaku di antara dan di dalam mazhab. Ini kerana jika kita mengkaji khazanah keempat-empat mazhab, akan ditemui mereka saling berbeza pendapat dalam sesuatu persoalan fiqh. Perbezaan ini berlaku bukan sahaja di antara mazhab tetapi dalam satu mazhab yang sama. Semua ini adalah normal kerana apabila kita berinteraksi dengan sesuatu subjek berdasarkan ilmu, pasti akan ada perbezaan pendapat.
Katakanlah terdapat satu persoalan hukum yang memiliki perbezaan pendapat sama ada ia makruh atau haram. Saya memiliki dua cara untuk menyampaikan perbezaan tersebut:
1. Menyebut nama mazhab-mazhab dan perbezaan pendapat mereka. Umpama:
Dalam
persoalan ini, terdapat dua pendapat dari Ahmad, yang pertama ialah makruh
manakala yang kedua ialah haram. Ada pun di sisi Mazhab Hanafi, para tokoh
mereka yang awal berpendapat ia adalah makruh sementara para tokoh terkemudian
mendiamkannya. Bagi Mazhab al-Syaf‘e, pendapat yang ashah ialah haram.
Demikian juga di sisi Malikiyyah, ia adalah haram. Namun terdapat sebuah
riwayat dari Malik yang menyatakan beliau hanya memakruhkannya.
2. Tidak menyebut nama mazhab, sebaliknya menyebut perbezaan mereka, sebab perbezaan dan pendapat yang paling kuat (rajih) dalam perbezaan tersebut. Umpama:
Dalam
persoalan ini, para ilmuan terbahagi kepada dua pendapat. Yang pertama
berpendapat ia adalah makruh manakala yang kedua berpendapat ia adalah haram.
Punca perselisihan ialah kerana hadis dalam persoalan ini boleh difahami
melalui dua cara. Antara dua pendapat ini, yang rajih ialah makruh
kerana…… .
Cara mana yang lebih mudah dan mesra kepada para pembaca awam? Tentunya cara kedua. Ada pun para pembaca yang inginkan pandangan setiap mazhab secara berasingan, dia boleh merujuk kepada kitab-kitab mazhab tersebut dalam bab yang dibincangkan. Lebih lanjut berkenaan cara berinteraksi dengan mazab-mazhab fiqh yang empat ini, sila rujuk buku saya Pedoman-Pedoman Bermazhab Dalam Islam terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Kembali kepada persoalan seks di siang Ramadhan, secara umumnya terdapat dua perkara yang perlu diperincikan. Pertama berkenaan aktiviti seks yang dilakukan manakala kedua berkenaan hukuman kafarat yang dikenakan.
Bahagian A: Aktiviti Seks
Yang Mewajibkan Kafarat.
Terdapat
beberapa pecahan tentang aktiviti seks dan kaitannya dengan hukuman kafarat.
Ia adalah seperti berikut:
A-1: Seks Yang Disepakati Hukuman Kafarat.
Sesiapa
yang melakukan hubungan seks dalam bentuk lelaki memasukkan zakar ke dalam
faraj wanita, maka puasanya batal dan dia dikenakan hukuman kafarat
tanpa mengira sama ada keluar air mani atau tidak. Sejauh yang saya kaji, tidak
ada perselisihan di kalangan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah dalam
hukum ini.
A-2 Seks Yang Diperselisihkan Sama Ada
Dikenakan Kafarat Atau Tidak.
Para
ilmuan dari keempat-empat mazhab: al-Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hanbali
memiliki perbincangan yang meluas berkenaan hukuman kafarat bagi
aktiviti seks selain A-1. Sebelum menyenaraikan aktiviti seks yang
dimaksudkan, ingin saya gariskan bahawa sebahagian daripada aktiviti seks
tersebut ada yang haram hukumnya. Hanya dalam risalah ini, saya tidak
membincang halal atau haram aktiviti tersebut, sebaliknya memberi tumpuan
kepada wajib atau tidak hukuman kafarat bagi sesiapa yang melakukannya.
Hukum halal atau haram boleh dirujuk kepada sumber-sumber yang membicara Fiqh
al-Mubasyarah secara khusus.
Aktiviti
seks selain A-1 yang dimaksudkan adalah:
- Seks antara lelaki dan wanita
tanpa memasukkan zakar ke dalam faraj.
- Seks antara jantina yang sama,
iaitu lelaki dengan lelaki (gay) atau perempuan dengan perempuan (lesbian).
Tidak dibezakan sama ada jenis kemaluan adalah semula jadi atau melalui
pembedahan.
- Seks bersendirian seperti onani
(masturbation), menonton tayangan lucah, membaca majalah lucah atau
menggunakan alat-alat mainan tertentu.
- Seks dengan selain manusia,
seperti seks dengan mayat (manusia yang telah meninggal dunia), jin,
haiwan dan makhluk asing.
Bagi
aktiviti-aktiviti seks di atas, para ilmuan bersepakat bahawa ia membatalkan
puasa. Akan tetapi mereka terbahagi kepada dua pendapat berkenaan hukuman kafarat:
- Pendapat Pertama menyatakan hukuman kafarat
tidak dikenakan kerana aktiviti-aktiviti seks di atas tidak melibatkan
zakar yang dimasukkan ke dalam faraj wanita.
- Pendapat Kedua menyatakan hukuman kafarat
wajib dikenakan kerana sekali pun aktiviti-aktiviti di atas tidak
melibatkan zakar yang dimasukkan ke dalam faraj, ia tetap merupakan suatu
aktiviti seks yang memberikan kepuasan seksual kepada pelakunya.
Di
antara dua pendapat di atas, yang rajih (kuat) ialah pendapat kedua. Ini
kerana aktiviti seks wujud dalam pelbagai bentuk dan cara, dimana kesemuanya
memberi kepuasan seksual kepada pelakunya. Padahal ibadah puasa ialah menahan
diri dari makan, minum dan seks dari waktu fajar sehingga maghrib. Ia bukan
makanan dan minuman tertentu sahaja tetapi meliputi semua jenis makanan dan
minuman. Demikian juga bagi seks, ia bukan aktiviti seks yang melibatkan zakar
yang dimasukkan ke dalam faraj sahaja, tetapi melibatkan apa jua aktiviti yang
masuk dalam kategori “seks”.
A-3 Beberapa Pengecualian Dan Kelonggaran.
Terdapat
beberapa aktiviti atau kes yang dikecualikan atau diberi kelonggaran, iaitu:
- Cium. Dibolehkan bagi orang yang
dapat mengawal nafsunya untuk berciuman dengan pasangannya. Berciuman
tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat. Dalilnya
adalah keterangan A’isyah radhiallahu 'anha:
كَانَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ
وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ أَمْلَكُكُمْ لإِرْبِهِ.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah
mencium (isterinya) padahal baginda sedang berpuasa dan pernah bermesra-mesraan
(dengan isterinya) padahal baginda berpuasa. Akan tetapi baginda adalah orang
yang paling mampu mengendali nafsunya di antara kalian. [Sahih: Dikeluarkan oleh
Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1106 (Kitab al-Siyam, Bab mencium
tanpa syahwat dibolehkan bagi orang berpuasa)]
Justeru dibolehkan bagi seorang suami mencium isterinya sebelum pergi kerja atau isteri memeluk suaminya sekembalinya dari kerja. Aktiviti seperti ini dibolehkan dengan syarat ia dikawal dari berlarutan.
- Bermesra-mesraan. Dibolehkan bagi orang tua untuk
bermesra-mesraan dengan pasangannya. Bagi orang yang tidak dapat mengawal
nafsunya, seperti orang muda, ditegah baginya dari bermesra-mesraan di
siang Ramadhan. Bermesra-mesraan tidak membatalkan puasa dan tidak
mewajibkan kafarat. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan:
أَنَّ
رَجُلاً سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْمُبَاشَرَةِ
لِلصَّائِمِ فَرَخَّصَ لَهُ. وَأَتَاهُ آخَرُ فَسَأَلَهُ فَنَهَاهُ فَإِذَا
الَّذِي رَخَّصَ لَهُ شَيْخٌ وَالَّذِي نَهَاهُ شَابٌّ.
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi shallallahu
'alaihi wasallam berkenaan bermesra-mesraan (dengan isteri pada siang)
Ramadhan dan baginda memberi keringanan baginya (boleh melakukannya).
(Kemudian) datang pula seorang lelaki lain yang bertanya soalan yang sama namun
baginda melarangnya. Maka yang diberi keringanan ialah orang tua manakala yang dilarang
ialah orang muda. [Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan sahih oleh
al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2387 (Kitab al-Shaum, Bab dimakruhkan mencium)]
- Keluar air mazi. Air mazi ialah cecair pelincir
yang keluar di zakar dan faraj. Ia lazimnya keluar sebelum keluarnya air
mani, bertujuan memperlincirkan pergerakan antara zakar dan faraj ketika
melakukan hubungan seks. Keluarnya air mazi, sama ada sengaja atau tidak
sengaja, tidak membatalkan puasa dan tidak mewajibkan kafarat
kerana ia bukanlah hubungan seks tetapi pengantar kepada hubungan seks.
Air mazi juga tidak mewajibkan Mandi Wajib, sebaliknya cukup dengan
membasuh kemaluan dan mengambil wudhu’. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda:
إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْيَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ
وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ.
Apabila kamu melihat air mazi, maka
basuhlah kemaluan kamu dan berwudhu’lah sebagaimana kamu berwudhu’ untuk solat. [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu
Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis
no: 206 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan air mazi)]
- Air mani yang meleleh keluar. Wujud kemungkinan air mani
meleleh keluar kerana penyakit tertentu atau baki daripada hubungan seks
sebelum fajar. Air mani yang meleleh keluar tidak membatalkan puasa dan
tidak mewajibkan kafarat. Ia juga tidak mewajibkan Mandi Wajib. Ini
kerana yang diambil kira sebagai hubungan seks dan yang mewajibkan Mandi
Wajib ialah air mani yang terpancut keluar (ejaculation).
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
فَإِذَا
فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ.
Apabila kamu memancutkan air mani,
maka mandilah (Mandi Wajib). [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih
oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 206 (Kitab al-Thaharah,
Bab berkenaan air mazi)]
- Tidak sengaja. Orang yang melakukan aktiviti
seks secara tidak sengaja tidak batal puasanya dan tidak wajib kafarat
atas dirinya. Ini kerana Allah al-Rahman dan al-Rahim tidak
mengambil kira kesalahan yang tidak disengajakan:
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا
أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا
رَحِيمًا.
Dan kamu pula tidak dikira berdosa
dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu
ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu untuk melakukannya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Ahzab 33:05]
Seks tidak sengaja yang dimaksudkan ialah:
a) Mimpi sehingga memancutkan air mani (mimpi
basah).
b) Jahil, iaitu tidak tahu tentang larangan
aktiviti seks di siang Ramadhan atau tidak tahu hukum-hukum perinciannya.
c) Tersilap, seperti orang yang tersilap dalam
menentukan waktu fajar dan waktu maghrib lalu dia membuat aktiviti seks kerana
disangkakan fajar belum terbit atau maghrib sudah berlalu.
d) Terlupa, iaitu orang yang terlupa dia sedang
berpuasa atau dia berada di waktu siang Ramadhan sehingga melakukan aktiviti
seks.
- Dipaksa. Seperti orang yang dirogol, dia
dipaksa kepada aktiviti seks tanpa kerelaan dirinya. Orang yang dipaksa
kepada aktiviti seks tidak terbatal puasanya dan tidak wajib kafarat
ke atas dirinya. Ini kerana orang yang dipaksa tanpa kerelaan dirinya
tidak menerima apa-apa hukuman. Sebagai contoh, Allah Subhanahu wa
Ta'ala berfirman mengenai orang yang dipaksa ke arah kekufuran:
مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ
إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالإِيمَانِ.
Sesiapa yang kufur kepada Allah
sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang
yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman (maka
dia tidak mendapat kemurkaan dan azab dari Allah). [al-Nahl 16:106]
Maka demikianlah juga bagi orang yang dipaksa kepada aktiviti seks padahal hatinya menolak dan membantahnya, dia tidak dikira sebagai melakukan hubungan seks di siang Ramadhan. Puasanya tidak batal dan tiada kafarat yang diwajibkan ke atas dirinya.
Walaubagaimana pun, kebanyakan ahli fiqh berpendapat
orang yang dipaksa kepada aktiviti seks terbatal puasanya, hanya tiada kafarat
yang dikenakan ke atas dirinya. Tanpa melepaskan kehormatan saya kepada para
ahli fiqh tersebut, saya tidak bersetuju dengan pendapat mereka kerana dua
sebab:
1. Orang yang dipaksa
melakukan aktiviti seks, seperti dirogol, dia pada hakikatnya tidak melakukan
aktiviti seks. Ini kerana seks ialah satu aktiviti yang melibatkan kerelaan,
keseronokan dan pemuasan nafsu bagi orang atau orang-orang yang melakukannya.
Orang yang dipaksa kepada aktiviti seks amat jauh dari berada dalam keadaan
rela, seronok dan puas. Bahkan yang dialaminya ialah di sebalik itu semua.
2.
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tidak membatalkan puasa.
Perkara ini telah saya kupas dengan panjang lebar dalam risalah Puasa
Ramadhan: Antara Yang Ditinggalkan Dan Yang Ditokok Tambah. Oleh itu zakar
yang dimasukkan secara paksa ke dalam faraj wanita yang menjadi mangsa rogol
tidak membatalkan puasa wanita tersebut.
- Hyperseks. Dalam kes-kes terpencil terdapat
orang yang terpaksa melakukan aktiviti seks beberapa kali dalam sehari.
Jika tidak, kesihatan dan kehidupannya akan terjejas secara serius. Bahkan
mungkin kemudaratan akan berlaku kepada kemaluannya. Bagi orang seperti
ini, dia tidak wajib berpuasa kerana termasuk dalam kategori orang yang
memiliki penyakit (surah al-Baqarah 2:183-184). Pada waktu yang sama, dia perlu
berjumpa dengan doktor pakar atau menerima kaunseling berkenaan masalah
hyperseks yang dihadapinya. Tidak digalakkan untuk menghampiri penjual
daging di pasar atau pemotong kayu api di pinggir kampung.
A-4 Sengaja Berbuka Puasa Untuk Melakukan Aktiviti
Seks.
Para
ilmuan berbeza pendapat berkenaan orang yang ingin melakukan aktiviti seks di
siang Ramadhan, lalu dia sengaja makan, minum atau musafir untuk berbuka puasa
demi melakukan aktiviti seks tersebut. Terdapat dua pendapat di kalangan para
ilmuan:
- Dia tidak diwajibkan kafarat.
- Dia diwajibkan kafarat.
Pendapat
yang rajih (kuat) ialah dia tetap diwajibkan kafarat kerana pada
hakikatnya, dia melakukan hubungan seks dalam keadaan berpuasa. Ada pun
tindakannya untuk membatalkan puasa, ia hanya satu muslihat untuk menghalalkan
sesuatu yang diharamkan pada siang Ramadhan. Orang yang melakukan muslihat
tersebut, dia tidak lain hanya menipu dirinya sendiri:
يُخَادِعُونَ اللَّهَ
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ.
Mereka
hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya
memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. [al-Baqarah 2:09]
Tindakannya
tidak berbeza dengan orang yang ingin mencuri duit di dalam bank, lalu dia
membuat sebuah buku akaun yang palsu. Dengan buku akaun tersebut, dia dapat
mengeluarkan duit. Dari sudut teknikal, dia dikira “mengeluarkan duit (cash
withdrawal). Akan tetapi dari sudut hakikat, dia sebenarnya mencuri sesuatu
yang bukan miliknya. Dia adalah seorang pencuri yang mencuri secara muslihat.
Jika dihadap ke mahkamah, dia akan dijatuhkan hukuman sebagai pencuri.
A-5 Tidak Berpuasa Atas Alasan Syar‘i, Kemudian Melakukan Aktiviti Seks.
Katakanlah,
ada pasangan suami isteri yang tidak berpuasa Ramadhan kerana alasan yang
dibenarkan oleh syari‘at. Suami tidak berpuasa kerana diserang sakit kepala
yang amat dahsyat (migraine) manakala isteri pula tidak berpuasa kerana
berada dalam tempoh haid. Kemudian pada pukul sebelas pagi suami sembuh dari
sakit kepalanya dan pada pukul satu tengah hari isteri suci dari haidnya. Apa
hukumnya jika pasangan suami isteri ini ingin melakukan aktiviti seks pada
pukul tiga petang?
Terdapat
dua pendapat di kalangan para ilmuan terhadap persoalan ini:
- Mereka wajib menahan diri dari
perkara-perkara yang dilarang pada siang Ramadhan sehingga masuk waktu
maghrib. Ini disebut sebagai Wajib Imsak. Maka mereka tidak boleh
makan, minum dan dalam persoalan ini – melakukan aktiviti seks – sehingga
masuknya waktu maghrib. Jika melakukan hubungan seks, kafarat
dikenakan.
- Mereka tidak wajib menahan diri
dari perkara-perkara yang dilarang pada siang Ramadhan. Ini kerana konsep Wajib
Imsak tidak wujud dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Maka
mereka boleh makan, minum dan melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan.
Pendapat
yang rajih (kuat) ialah mereka boleh melakukan aktiviti seks tanpa
dikenakan hukuman kafarat. Mereka telah mendapat kelonggaran (rukhsah)
dari syari‘at Islam untuk tidak berpuasa pada hari tersebut kerana
alasan-alasan yang tidak mereka sengajakan. Maka sekali pun alasan-alasan itu
telah hilang, kelonggaran tetap diberikan kepada mereka sepanjang hari tersebut
untuk makan, minum dan dalam persoalan ini, melakukan aktiviti seks.
Bahagian B: Beberapa
Perincian Berkaitan Kafarat.
Seseorang
yang telah melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat
hendaklah memerhatikan beberapa perincian berikut berkenaan hukum kafarat
itu sendiri:
B-1 Hukum Kafarat Untuk Seks Berbilang
Kali.
Para
ilmuan meneliti hukum mengenai orang yang melakukan seks berbilang kali,
seperti:
- Orang yang melakukan aktiviti
seks tiga kali di siang Ramadhan, apakah dia dikenakan hukuman kafarat
sekali atau tiga kali?
- Orang yang memiliki tiga isteri
lalu pada satu hari di siang Ramadhan dia melakukan aktiviti seks dengan
setiap orang dari mereka sekali. Apakah dia dikenakan hukuman kafarat
sekali atau tiga kali?
- Orang yang melakukan aktiviti
seks sebanyak tiga kali di siang hari dalam bulan Ramadhan, setiap satunya
pada hari yang berasingan. Apakah dia dikenakan hukuman kafarat
sekali atau tiga kali?
Dalam
penelitian tersebut, ada yang menghitung hukuman kafarat berdasarkan
bilangan aktiviti seks yang dilakukan sepanjang Ramadhan. Sebahagian yang lain
pula menghitung jumlah hari aktiviti seks dilakukan sepanjang Ramadhan, tanpa
menghitung bilangan yang dilakukan dalam sehari.
Pendapat
yang rajih (kuat) ialah hukuman kafarat dihitung mengikut jumlah
hari dan bukannya bilangan seks. Ini kerana kafarat adalah hukuman yang
dikenakan ke atas orang yang melakukan hubungan seks ketika berpuasa di siang
hari. Ia tidak berkaitan dengan bilangan aktiviti seks, tetapi merujuk kepada
aktiviti seks itu sendiri dalam sehari. Maka bagi kes pertama dan kedua di
atas, pelaku hanya dikenakan hukuman kafarat sekali sementara bagi kes
ketiga, pelaku dikenakan hukuman kafarat tiga kali.
B-2 Cara Melaksanakan Hukuman Kafarat.
Cara
melaksanakan hukuman kafarat adalah seperti berikut:
- Membebaskan hamba. Pada masa kini tidak ada hamba
yang wujud, maka ia tidak lagi dilaksanakan. Pembantu rumah warga
Indonesia bukanlah hamba, maka membebaskan mereka dari kontrak kerja tidak
termasuk dalam kategori ini.
- Berpuasa dua bulan
berturut-turut.
Iaitu berpuasa secara berturutan selama dua bulan mengikut kalendar Islam
(hitungan berdasarkan peredaran anak bulan). Jika seseorang itu memutuskan
perturutan ini dengan sengaja, maka dia wajib mengulangi kesemua dua bulan
tersebut dari awal.
Jika seseorang itu memutuskan perurutan ini dengan alasan yang syar‘i, seperti musafir, sakit, kerja keras yang tidak dijangkakan (kereta rosak di kawasan pendalaman), haid, hamil, menyusu dan bertembung dengan hari yang dilarang berpuasa, maka terdapat dua pandangan di kalangan para ilmuan:
a) Dia wajib mengulangi
kesemua dua bulan tersebut dari awal.
b) Dia menyambung jumlah
hari yang berbaki setelah alasan syar‘i tersebut hilang.
Pandangan yang rajih (kuat) ialah dia hanya
menyambung jumlah hari yang berbaki. Pandangan yang pertama mustahil
dilaksanakan oleh sesiapa jua dan ia menyelisihi ciri-ciri istimewa syari‘at
Islam yang sentiasa memahami cabaran-cabaran yang dihadapi oleh manusia sebelum
menggariskan sesuatu hukuman.
- Memberi makan enam puluh orang
miskin. Iaitu
memberi makanan yang mengenyangkan kepada enam puluh orang miskin. Setakat
ini saya tidak menemui hadis sahih yang menerangkan jenis makanan mahu pun
kadarnya. Tidak juga ditemui ukuran bagaimana menentukan seseorang itu
miskin atau tidak. Maka jenis, kadar dan ukuran ini dirujuk kepada
kebiasaan (al-‘Urf) masyarakat. Di bandar-bandar besar, makanan
yang mengenyangkan lazimnya bernilai RM5.00, terdiri dari nasi, satu lauk
dan satu sayur. Jika di pekan-pekan kecil, makanan yang sama mungkin
bernilai RM3.00.
Ada pun ukuran orang miskin, maka ia adalah
berdasarkan penilaian orang yang dikenakan hukuman kafarat. Memadai
penilaian secara zahir, tidak perlu meminta penyata gaji atau melakukan
temuduga kepada orang miskin yang bakal diberikan makanan.
B-3 Jika Tidak Mampu Melaksanakan Kafarat.
Orang
yang tidak mampu melaksanakan kafarat memiliki dua pilihan:
- Menangguhkannya sehingga ke satu
masa dimana dia mampu melaksanakannya.
- Mewakilkan (meminta) orang lain
yang berkemampuan untuk memberi makanan kepada enam puluh orang miskin.
Kedua-dua
pilihan ini adalah berdasarkan hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang
dikemukakan di awal risalah ini. Hadis itu menerangkan berkenaan orang lelaki
yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan tetapi tidak mampu melaksanakan
mana-mana dari tiga hukuman kafarat yang dikenakan ke atasnya. Sekali
pun tidak mampu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak
melepaskan dia, sebaliknya hanya mendiamkan diri. Ini menunjukkan dia tetap
wajib melaksanakan kafarat.
Dia
juga boleh mewakilkan, yakni meminta orang lain yang mampu untuk memberi
makanan kepada enam puluh orang miskin. Ini berdasarkan tindakan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam yang mengambil sebakul kurma yang dihadiahkan kepada
baginda dan memberikannya kepada lelaki yang tidak mampu tersebut. Di sini,
Rasulullah telah memberi makanan kepada enam puluh orang miskin bagi pihak
lelaki yang tidak mampu tersebut.
B-4 Hukuman-Hukuman Kafarat, Adakah Ia
Secara Tertib Atau Pilihan?
Ketiga-tiga
hukuman kafarat, iaitu membebaskan seorang hamba, puasa dua bulan
berturut-turut dan memberi makan enam puluh orang miskin, adakah ia secara
tertib atau pilihan?
Di
kalangan para ilmuan, ada yang berpandangan ia dilaksanakan secara tertib.
Seseorang yang dikenakan hukuman kafarat hendak berpuasa dua bulan hari
berturut-turut. Jika tidak mampu, barulah dia pergi ke tertib seterusnya, iaitu
memberi makan enam puluh orang miskin. Mereka menggunakan hadis Abu Hurairah radhiallahu
'anh yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai dalil, dimana Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam bertanya kepada lelaki yang melakukan aktiviti seks hukuman-hukuman
kafarat secara tertib.
Sebahagian
ilmuan yang lain berpandangan ia dilaksanakan secara pilihan. Seseorang yang
dikenakan hukuman kafarat boleh memilih sama ada berpuasa dua bulan hari
berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Dalil mereka ialah
hadis sama yang diriwayatkan dalam lafaz yang menggunakan perkataan “atau”:
أَنَّ النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ رَجُلاً أَفْطَرَ فِي رَمَضَانَ أَنْ
يُعْتِقَ رَقَبَةً أَوْ يَصُومَ شَهْرَيْنِ أَوْ يُطْعِمَ سِتِّينَ مِسْكِينًا.
Bahawasanya
Nabi shallallahu
'alaihi wasallam memerintahkan lelaki yang melakukan aktiviti seks di
(siang) Ramadhan untuk memerdekakan hamba atau berpuasa dua bulan atau memberi
makan enam puluh orang miskin. [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya,
hadis no: 1111-3 (Kitab al-Siyam, Bab larangan keras melakukan hubungan
seks…)].
Pendapat
yang rajih (kuat) ialah secara tertib, kerana jika dikaji kesemua
hadis-hadis dalam bab ini, akan didapati jumlah jalan periwayatan dengan lafaz
tertib adalah jauh lebih banyak dari jalan periwayat dengan lafaz pilihan
(“atau”).
Justeru
bagi orang yang melakukan aktiviti seks yang mewajibkan hukuman kafarat,
hendaklah dia mempertimbangkan hukuman berpuasa selama dua bulan hari secara
berturut-turut terlebih dahulu. Antara yang turut dipertimbangkan adalah
kemampuan dia untuk menahan diri dari melakukan aktiviti seks di siang hari
selama dua bulan. Jika tidak mampu, barulah dia beralih kepada hukuman memberi
makanan kepada enam puluh orang miskin.
B-5 Adakah Kafarat Dikenakan Atas Suami
Sahaja Atau Suami Dan Isteri?
Terhadap
pasangan suami isteri yang melakukan aktiviti seks di siang Ramadhan, adakah
hukuman Kafarat dikenakan di atas suami sahaja atau suami dan isteri?
Persoalan ini berpaksi kepada hadis Abu Hurairah radhiallahu 'anh yang
dikemukakan di awal risalah ini, dimana Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam mendiamkan isteri lelaki yang datang berjumpa baginda. Sikap diam
baginda menimbulkan dua pandangan di kalangan para ahli ilmu:
- Isteri terkecuali kerana sikap
diam baginda menunjukkan isteri tidak dikenakan hukuman kafarat. Seandainya isteri
dikenakan hukuman juga, nescaya baginda akan menyebutnya kerana tidak
boleh mendiamkan perkara yang memiliki hukuman ke atasnya.
- Isteri termasuk sama dikenakan
hukuman kafarat. Ini kerana semua hukam Islam adalah sama antara
lelaki dan wanita, suami dan isteri. Tidak ada pengecualian kepada salah
seorang dari mereka melainkan dengan dalil. Apabila Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam mendiamkan isteri lelaki yang bertanya, ia adalah
kerana isteri tersebut memang berada dibawah hukuman kafarat yang
sama dengan suaminya. Seandainya isteri dikecualikan, nescaya baginda akan
menyebut pengecualian tersebut.
Di
antara dua pandangan di atas, saya memilih yang di pertengahan. Lelaki
dikenakan hukuman kafarat bagai aktiviti seks yang dilakukan bersama
isterinya. Ada pun isteri, maka dia tertakluk kepada tiga keadaan:
- Isteri turut rela, sama ada
sebelum, semasa atau sesudah melakukan aktiviti seks dengan suaminya. Maka
isteri dikenakan hukuman kafarat.
- Isteri tidak rela melakukan
aktiviti seks dengan suaminya, dari permulaan hinggalah akhir. Maksudnya,
isteri dipaksa melakukan aktiviti seks padahal dia tidak menghendakinya
kerana waktu pada ketika itu ialah di siang Ramadhan. Maka isteri tidak
dikenakan hukuman kafarat dan puasanya juga tidak batal.
- Isteri tidak rela melakukan
aktiviti seks, tetapi terpaksa merelakan diri demi menjaga kemaslahatan
suami. Dibimbangi jika nafsu seks suami tidak dilayan dengan baik, suami
akan beralih mencari aktiviti seks yang lain, yang haram hukumnya dan
besar kemudaratannya. Maka isteri tidak dikenakan hukuman kafarat
tetapi puasanya batal.
Kesimpulan.
Keliru
kerana terlalu banyak perincian hukum dan perbezaan pandangan dalam perincian
tersebut? Atau ada persoalan seks yang tidak terjawab dalam risalah ini? Ada
pilihan lain yang mudah, iaitu jangan melakukan apa-apa aktiviti seks di siang
Ramadhan. Bahkan jangan menghampiri apa-apa yang bersifat seksual di siang
Ramadhan. Pilihan ini disebut sendiri oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala di
akhir ayat 187 surah al-Baqarah. Setelah menyebut larangan daripada seks, makan
dan minum dari fajar hingga maghrib, Allah berfirman:
تِلْكَ حُدُودُ
اللَّهِ فَلاَ تَقْرَبُوهَا.
Itulah batas-batas larangan Allah, maka
janganlah kamu menghampirinya. [al-Baqarah 2:187]
Ini
adalah pilihan yang lebih mudah, baik dan selamat, yang juga menjadi kesimpulan
kepada risalah Seks Di Siang Ramadhan.