THI 2019: "Wahai orang kafir!"
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 2088
"Wahai orang kafir!"
Tazkirah hari ini merujuk kepada beberapa bentuk seruan dalam al-Qur'an,
يَا بَنِي آدَمَ
Wahai anak Adam! (al-A'raaf 7:26)
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ
Katakanlah, Wahai manusia! (al-A'raaf 7:158)
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ
Wahai Ahli Kitab! (Ali Imran 3:65)
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ
Katakanlah, Wahai orang kafir! (al-Kafirun 109:01)
Jika dikaji keseluruhan al-Qur'an, akan ditemui kata-kata seruan di atas yang Allah gunakan.
Menarik untuk diperhatikan bahawa kata seruan "Anak Adam, manusia dan Ahli Kitab" Allah gunakan meskipun di kalangan mereka yang Allah seru itu adalah orang-orang musyrik dan kafir.
Contohnya di kalangan Ahli Kitab terdapat orang Yahudi yang mendakwa Uzair adalah anak Allah dan orang Nasrani (Kristian) yang mendakwa Jesus adalah anak Allah (rujuk al-Taubah 9:30).
Bahkan Allah secara jelas menyatakan orang Kristian telah kafir kerana keyakinan Trinity yang mereka pegang (rujuk al-Maidah 5:73)
Namun di sebalik kekafiran mereka itu, Allah tetap menyeru mereka dengan "Wahai Ahli Kitab!"
Apakah hikmah di sebalik seruan sopan "Wahai anak Adam, manusia dan Ahli Kitab"? Salah satu daripada hikmahnya adalah supaya ia memberi kesan positif di hati dalam rangka berdakwah kepada mereka. Ini selari dengan firman Allah s.w.t.,
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
Serulah (dakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl 16:125)
Pun begitu, dibolehkan menyeru mereka dengan "Wahai orang kafir!" jika semua usaha dakwah yang terbaik telah dilakukan ke atas mereka.
Diriwayatkan bahawa surah al-Kafirun diturunkan oleh Allah s.w.t. sebagai jawapan kepada orang kafir Quraish yang cuba berunding dengan Nabi s.a.w. agar menyembah berhala mereka dan Allah setahun-setahun secara bergilir-gilir.
Menarik juga untuk diperhatikan bahawa seruan "Wahai orang kafir!" hanya berlaku sekali di dalam al-Qur'an sementara seruan yang lain berlaku berulang kali di dalam al-Qur'an.
Ini menunjukkan bahawa dalam rangka menyeru mereka yang belum Islam, adalah lebih utama menggunakan seruan berhikmah yang memberi kesan positif di hati dalam rangka berdakwah, berbanding seruan "Wahai orang kafir!"
THI 2019: "Wahai orang-orang yang beriman...."
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 2099
"Wahai orang-orang yang beriman...."
Tazkirah hari ini adalah ayat ayat al-Qur'an yang Allah mulakan dengan seruan, "Wahai orang-orang yang beriman...."
Contohnya,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(al-Baqarah 2:183)
Apakah peranan seruan ini? Penjelasannya adalah seperti berikut:
(1) Seluruh al-Qur'an adalah untuk orang Islam yang beriman.
Namun dengan seruan "Wahai orang-orang yang beriman....", ia berperanan meminta perhatian khusus lagi istimewa tentang apa yang bakal disampaikan.
(2) Apa yang bakal disampaikan, ada kaitannya dengan kadar iman seseorang.
Sehingga orang yang bersemangat mengamalkannya adalah tinggi imannya sementara orang yang malas atau mengabaikannya adalah rendah imannya.
Ayat 183 surah al-Baqarah di atas misalnya, orang yang beriman akan bergembira untuk menyahut perintah berpuasa, suka berpuasa dan mengamalkan semua hukum dan adab yang berkaitan dengan puasa.
Sementara orang yang rendah imannya, akan malas berpuasa atau terasa berat berpuasa, padahal baginya tiada uzur yang dibenarkan syarak.
(3) Sesiapa yang mahu mengukur tahap imannya, hendaklah melihat ayat-ayat yang bermula dengan seruan ini dan melihat pada dirinya sendiri, apakah dia mengamalkannya atau tidak?
Apakah dia mengamalkannya dengan semangat dan kerelaan, atau malas dan bantahan?
(4) Antara cara bagi orang yang mahu meningkatkan keimanannya, adalah dengan mencari ayat-ayat yang bermula dengan seruan ini dan mengamalkannya sebaik mungkin.
Nota 1: Terdapat 89 buah ayat al-Quran yang bermula dengan seruan, "Wahai orang-orang yang beriman...."
Nota 2: Di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, kadar iman seseorang itu boleh naik dan turun, bertambah dan berkurang.
THI 2019: Perihal Imsak
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 1363
Waktu imsak?
Lazimnya umat Islam di M'sia mengamalkan waktu imsak, iaitu 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh.
Adakah pengamalan ini selari dengan al-Qur'an dan al-Sunnah?
Perhatikan firman Allah:
فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ
وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ.
Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu;
dan makanlah serta minumlah sehingga NYATA kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
(al-Baqarah 2:187)
Dalam ayat di atas, Allah menerangkan bahawa dibolehkan makan, minum dan hubungan seks suami-isteri sehingga NYATA atau JELAS masuknya waktu fajar.
Tidak perlu waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu fajar atas alasan berhati-hati, lebih selamat, bimbang terlewat atau "margin" perbezaan waktu kiraan fajar.
Tidak mengapa jika ingin berhenti lebih awal dari makan, minum dan seks atas sebab ingin bersiap-siap pergi masjid atau surau untuk solat Subuh. Namun jika dalam perjalanan ke masjid atau surau, masih boleh minum air atau kunyah kurma.
THI 2019: Membid'ah Khilafiyah
- Details
- Written by Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
- Category: Tazkirah Hari Ini
- Hits: 1262
Sebuah negeri di M'sia mengeluarkan fatwa, tidak boleh membid'ahkan perkara khilafiyah.
Saya berkata, fatwa ini memerlukan perincian. Ia terbahagi kepada dua:
(1) Jika perkara itu khilaf di sisi para ulama' dengan kedua-dua pihak memiliki hujah yang kuat, maka tidak boleh membid'ahkan salah satu pendapat.
Contoh khilaf jenis pertama ini, imam membaca Basmalah secara kuat atau perlahan untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak.
Kedua-dua pendapat memiliki dalil dan hujah, maka tidak boleh membid'ahkan salah satu daripadanya.
(2) Jika perkara itu bukan khilaf di sisi para ulama', maka boleh dan patut membid'ahkannya.
Contohnya membaca zikir selepas solat fardhu dengan lafaz dan/atau bilangan sesuka hati oleh imam.
Padahal lafaz dan bilangan zikir selepas solat fardhu adalah tetap drpd Nabi s.a.w..
Maksud para ulama' adalah para imam dalam Mazhab al-Syafi'e, Maliki, Hambali dan Hanafi.
Bukan para ustaz dan ustazah yang mengedit hukum agama agar berjaya peroleh tauliah, selari dengan sunnah M'sia dan akhirnya mendapat jemputan serta sampul surat.
Kebanyakan perkara yang dibid'ahkan dalam negeri yang mengeluarkan fatwa tersebut duduk dalam jenis yang kedua.
Page 24 of 67




